Ahad, 27 Disember 2009

DEBU DI JALANAN



Hari ini aku hendak bercerita tentang sebuah kumpulan yang bernama DEBU yang berasal dari USA dan kini menetap di Indonesia. Kali pertama aku mendengar DEBU kalau tidak silap aku pada 2004 melalui siaran TV3, Malaysia Hari Ini. Tv3 menjemput Mustafa, selaku ketua kumpulan untuk ditemubual. Kagum sekali aku dengar penjelasan Mustafa mengenai misi dan tujuan penubuhan DEBU, hampir tidak aku percaya mereka semua datang dari Amerika Syarikat. Kebanyakan lirik dan arah tuju diselia dan dirujuk kepada guru mereka, Syeikh Fattaah.

Lagu pertama yang aku dengar dari Debu adalah “Cinta Saja”, terus menusuk kedalam hati aku sehingga ke hari ini. Tidak mungkin akan hilang chorus yang amat indah itu. Semenjak hari itu aku terus berusaha mendapatkan album sulung mereka, “Mabuk Cinta” yang terpaksa aku tempah dari kedai kaset untuk memilikinya. Setahun selepas itu aku dapatkan cd-nya. Seterusnya tiada liputan mengenai Debu oleh media Malaysia aku temui, beberapa tahun selepas itu TV3 ada menjemput Mustafa untuk bertakbir sempena Hari Raya Aidilfitri kemudian mereka menyepi di Malaysia.


Aku sangat-sangat kepingin untuk melihat persembahan Debu. Yang kini merupakan salah satu inspirasi muzik jiwa bagi aku. Aku tahu Debu memperjuangkan seni aliran Sufi yang aku sendiri masih curiga fatwa mengenainya. Tetapi aku tidak dapat menolak bahawa kesenian sufi amat indah dan syair sufi begitu memberi kesan yang mendalam. Umum sendiri mengetahui, ahli sufi seperti Jelaluddin Rumi sendiri dinobatkan sebagai penyair paling popular serta berpengaruh di Amerika Syarikat oleh BBC News mengalahkan Shakespear! Ini tidak boleh dipertikaikan lagi.

Pernah aku terbaca artikel yang mengatakan Jelaluddin Rumi bukan Islam lagi, malah puisinya dijadikan rujukan oleh penganut Kristian, Buddha, Hindu malah orang Yahudi. Tetapi Jelaluddin menegaskan sendiri melalui kata-katanya:

Man banda-ye qur'ānam, agar jān dāram
man khāk-e rah-e muhammad-e mukhtāram
gar naql konad joz īn kas az goftāram
bēzāram azō waz-īn sokhan bēzāram.

I am the servant of the Qur'an as long as I have life.
I am the dust on the path of Muhammad, the Chosen One.
If anyone quotes anything except this from my sayings,
I am quit of him and outraged by these words.

Kembali kepada Debu, apabila trend Myspace mula berkembang, akulah orang pertama yang menubuhkan laman Debu di myspace.com sebagai sokongan dan mahu Debu lebih mendapat liputan ramai. Aku maklumkan kepada pengurusan Debu, maka Najib Ali menghubungi aku meminta aku delete kan laman tersebut kerana beliau akan membina laman Debu sendiri di Myspace dan akan menyelianya sendiri. Aku turuti dan selepas itu boleh dikatakan semua ahli Debu mempunyai laman Myspace sendiri dan aku sering mengikuti perkembangan muzik Mustafa dilaman peribadinya. Mustafa adalah seorang pemuzik yang handal, merendah diri, baik budi bicaranya. Aku pula sering memintanya agar mengadakan persembahan di Malaysia yang pastinya menjadi kenangan paling indah bagi ku jika terjadi.


Satu lagi perkara menarik yang berlaku adalah antara rakan Myspace aku adalah Deadly Kristin, penyanyi kumpulan Black Metal lagenda dari Sweden, ANCIENT telah memeluk Islam. Namanya kini adalah Nur Hayam. Jadi kami sering berbual mengenai keislamannya dan antara yang muzik alternatif yang aku perkenalkan kepadanya adalah Debu. Ternyata beliau sangat meminatinya dan kagum dengan Debu. Dan kini aku mendapat tahu Hayam adalah orang kuat bagi Debu (legasi Europe) yang mempromosi pegerakan Debu di sana. Aku turut mendapat makluman Hayam akan menyumbangkan suaranya didalam muzik Debu yang akan datang.

Sehingga kini aku mempunyai 2 cd tulen dari Debu, dan amat berharap untuk mendapatkan muzik-muzik dari mereka seterusnya. Semoga berjaya Mustafa dan rakan-rakannya. Insya Allah.

Jumaat, 11 Disember 2009

THE SPICES OF INDIA


Dua hari lepas, aku makan kat kedai Nasi Kandar Gany seorang diri dengan penuh nostalgia. Hari pun hujan renyai-renyai menambahkan lagi keheningan pada petang itu. Aku mulakan cerita dengan pengenalan aku kepada nasi kandar mungkin bermula disekitar 1997. Maknanya selepas sekolah, masa itu aku berkerja buruh sana sini. Jadi adalah duit sedikit hendak makan nasi kandar.

Bukan aku tidak penah makan nasi kandar, maklumlah aku bukannya ada duit sangat. Masa sekolah rendah dulu pun, dalam 2-3 bulan sekali adalah ayah aku beli nasi kandar ( masa itu nasi ganja) 2 bungkus tetapi kena kongsi ramai-ramai satu keluarga. Bagi yang tidak tahu, zaman dahulu mamak memasak nasi kandar dengan air rebusan daun ganja. Jadi rasanya sedap lain macam serta khayal. Kalau makan sambil dengar lagu Moonspell “Opium” memang layanlah!


GG dengan gaya sleeping Buddha

Haha! Cerita kami semua metalheads di Perlis dengan nasi kandar bermula dalam tahun 1994, bila dalam sekolah aku ada seorang India muslim di kelas peralihan yang merupakan anak tokey nasi Kandar. Memang samseng hangit India ini, nama dia Khalid. Seluar bell-bottom, rambut macam Rajanikath, yang unik-nya dia bercakap melayu loghat ‘Abi’. Tidak pernah ada didalam dunia ini kita boleh jumpa India boleh bercakap loghat ‘Abi’ ni!! Bagi yang tidak tahu macamana loghat Abi ni. Mari aku bagi hint. Contohnya “ Ce kar pesah bagi emtas skit, deja betoi!”. Maknanya “Cuba kamu usahakan dengan pantas sikit, dajal betul!”. Hahaha! Begitulah lebih kurangnya. Kami yang orang jati Perlis pun kagum dengat kepekatan loghat Khalid ni.

Jadi lepas PMR, orang yang mula-mula kerja dengan Khalid ini adalah GG dan Ijan Buraksa. Penahlah aku sekali sekala pergi minum teh O ais sebab hendak makan tidak berduit. Jadi aku saksikan lah, pada masa itu Ijan dengan GG diperkuda oleh Pak Gany dengan menolak beca dari rumah mereka ke tempat perniagaan mereka. Pada zaman itu, Pak Gany hanya berniaga diatas beca di tapak kosong kawasan Majlis Perbandaran Kangar.

Ijan dan GG yang terpaksa tolak beca pergi dan balik, diberi makan nasi berlaukkan gulai ikan hanya diberi gaji RM8 sehari. Kemudian GG berhenti diganti pula dengan Diken (2nd Editor Thanatopsis zine). Kemudian Anas (2nd Editor Kemenyan Fanzine). Walaupun gaji sedikit macam itu, setelah dikumpul-kumpul berpeluanglah mereka bergaya dengan barangan import dan original, kasut All Stars, T-Shirt Sonic Youth, Sepultura, Napalm Death, Cradle Of Filth dan sebagainya. Kami yang tidak berkerja ini hanya cemburu sahaja melihat mereka melaram.

Pada 1997 Gany Nasi Kandar berpindah ke tapak baru bersebelahan round-about kecil Kangar. Disitu customers mereka agak berkurangan. Namun tenaga kerja masih diperlukan. Perkara yang tidak menyenangkan dikedai Gany ini adalah sikap Pak Gany sendiri yang perongos. Suka memarahi orang ramai yang menumpang letak kereta hadapan kedainya, walaupun tempat parking itu bukanlah miliknya, Pak Gany juga sering maki-maki yang membuatkan kami meluat dengan sikapnya.Mula dari tahun ini, kami silih ganti berkerja di Kedai ini. Aku, Diken, Madi DOSA dan Ijan. Namun Ijanlah pekerja yang paling setia dengan Pak Gany. Tetapi gandingan paling berbisa semestinya aku dan Ijan sebab kami memang tidak heran dengan Pak Gany dan Khalid. Kami datang selalunya selepas Asar walaupun pak Gany suruh datang pukul 3. Dan kami tutup kedai tanpa arahan Khalid selalunya jam 10.30 malam.

Aku dengan Diken di tahun 1998


Hahaha!Khalid pening kepala dengan kami. Tetapi dalam masa yang sama dia terhibur dengan gelagat kami. Selalunya dalam masa 30 minit kami boleh settle-kan semuanya kalau hendak balik. Kemas meja dan kerusi, simpan lauk. Tidak susah susah basuh pinggan mangkuk sebab esoknya Pak Gany akan upah orang lain untuk basuh pinggan mangguk. Kadang-kadang rasa macam Pak Gany sayang kami jugak sebenarnya. Sebabnya aku tengok kini, pekerja Pak Gany kena masuk berkerja pukul 3 petang. Balik jam 11.30 malam. Kena basuh pinggan mangkok. Kena buat air. Sedangkan aku tidak penah bancuh air. Khalid atau Ijan yang akan bancuh. Aku hanya layan tetamu, bungkus nasi, bubuh nasi. Yep! Khalid bagi kami kebebasan dalam mencampur kari dan gulai kepada customers. Jadi ada yang minat aku campur, ada minat Ijan campur, ada yang minat Khalid campur. Apa pun kalau aku dan Ijan memang customer akan rasa worth their money. Sebab kami tidak berkira.

Aku dengan Ijan


Yang seronoknya bila datang bulan Ramadan, Pak Gany akan buka kedainya di pasar Ramadhan. Jadi aku dan Ijan akan diletakkan di Pasar Ramadan. Memang syoklah menjamu mata tengok awek.Tapi kami belajar sesuatu. Memang benarlah apa yang dikatakan orang, yang orang India ini yang nampak alim macamana pun kuat gelora nafsunya... ..... .....

Ditempat bertugas aku sekarang ini, banyak rakan-rakan kakitangan yang mengadu. Aku berbahasa kasar dan terlalu aggresif. Bila aku kenang-kenangkan, semua ini bermula dari sini. Khalid memanggil kami ‘menatang daje’ (binatang dajal) atau ‘celaka anjing’ setiap kali bertanya atau menyuruh sesuatu. Tidak kira dihadapan orang atau sesama kami. Itulah bahasanya. Dan sebagai balasan, itulah juga yang kami panggil kepadanya. Sehingga sekarang pun kalau sekali sekala aku dan rakan-rakan yang lain singgah makan dikedainya. Itulah bahasanya. Teringat lagi Khalid sering mengajak aku temaninya ke gym di Pens Travelonge pada waktu pagi. Bagi yang tidak tahu, wajah dan perangai Khalid sebijik macam pengusti Booker-T. Bagaimana aku tergelak sampai hendak mati bila aku cuba bancuh kopi masa Ijan pergi sembahyang Asar. Aku tidak guna penapis untuk bancuh jadi kopi berketul-ketul dalam gelas. untuk cover line yang aku ini tidak tahu bancuh air, maka terpaksalah aku berlakon sibuk dekat dapur tunggu Ijan balik ke kedai. Sampai di kedai, bila tengok gelas. Semua gelak kat aku ramai-ramai. Celaka betul!

Lukisan tangan Khalid sendiri

Macam-macam lagi perkara pahit manis yang berlaku sepanjang tempoh Pak Gany menjadi majikan kami dengan gaji RM12 ketika itu. Rasanya sehingga sekarang. Peristiwa menjijikan, melucukan, mengairahkan, menakutkan dan menginsafkan. Jika ada kesempatan, aku akan ceritakan dimasa akan datang.