Isnin, 25 Oktober 2010

MEMBUNUH KELUARGA DAN YANG TERSAYANG

Malam yang sunyi ini mengingatkan aku kepada kedamaian di Langkawi sewaktu berada di sana minggu lepas. Teringat aku kepada seseorang bernama En. Zaki ( bukan nama sebenar ), yang berumur 42 tahun seorang pegawai kerajaan yang berkhidmat di Seremban. Kami terbabit di dalam Kursus kaunseling dan beliau duduk disebelah aku. En. Zaki orangnya peramah, mungkin terlalu peramah sehinggakan sesiapa sahaja yang beliau bersua, terus beliau berbual dan bergurau senda tanpa mengirau orang itu menyukainya atau sebaliknya. Beliau tetap berceloteh tanpa henti. Beliau mempunyai ijazah di dalam bidang Sains Sosial dari Uitm dan tidak henti-henti menceritakan segala macam pengalaman dan betapa ilmuan nya beliau dari segi rohaniah dan akedemik. Berniat atau tidak, adakalanya En. Zaki bergurau dengan menyindir orang lain.

Ketika di dalam kelas, En. Zaki sering tampil memberikan hujah-hujah yang tajam berlandaskan pengalaman beliau sendiri. Seringkali En. Zaki menyatakan dari mana beliau perolehi fakta berkenaan, siapa gurunya, dari didikan tabligh yang beliau belajar, segala macam falsafah sehingga ke hadis serta ayat-ayat Al Quran diselitkan bagi menguatkan hujahnya. Samada untuk menjelaskan sesuatu pandangan beliau atau menyangkal pandangan rakan-rakan peserta yang lain. Pernah suatu ketika En. Zaki bangun berhujah tanpa henti sehingga penceramah sendiri terkebil-kebil melihat gelagat En. Zaki yang kurang berbahasa Melayu. Semuanya di dalam bahasa Inggeris. Maka banyaklah juga gadis-gadis dan mak cik- mak cik yang kagum dengan kepetahan En. Zaki berkata-kata.

Perkara yang amat menjengkelkan aku tentang En. Zaki adalah betapa bangganya beliau dalam sesuatu perkara yang beliau pelajari dan sering membuat lawak tentang hal yang sama secara berulangan selagi tidak mendapat respon yang beliau ingini. Maka beliau akan teruskan dengan lawak tersebut sehingga berhari-hari lamanya!


Pada suatu hari, penceramah mengajak kami membincangkan tentang masalah psikologi dengan mengambil kes En. Rashidi yang membunuh hampir keseluruhan ahli keluarganya beberapa bulan yang lalu. Tiba-tiba En. Zaki tampil berdiri dan memberi penjelasan, menurutnya beliau berada di tempat kejadian pada hari pembunuhan berkenaan. Maka diceritakanlah kepada kami semua, bahawa ayah kepada En. Rashidi adalah klien-nya, (kemudian beralih kepada klien salah seorang dari rakan sepejabatnya pula). Menurutnya En. Rashidi tidak gila ( kemudian beralih kepada gila pula?) dan melakukan pembunuhan tersebut kerana suruhan ibunya. Difahamkan En. Rashidi mengalami masalah tekanan perasaan sebelum ini, putus tunang dan dibuang pekerjaan. En. Rashidi telah dibawa untuk berubat dan antara syarat oleh bomoh untuk menyembuhkan penyakitnya adalah kepala manusia. Disebabkan dendam atas masalah yang dihadapi yang berpunca dari perselisihan faham antara ibu dan ayahnya. Mendorong En. Rashidi melakukan perbuatan yang kejam tersebut.

Penceritaan En. Zaki sangat bersemangat dan tegas. Manakala bagi aku pula, aku hanya tersenyum seolah-oleh membaca karangan sebuah akhbar tabloid yang cuba mencari publisiti. Suasana di dalam kelas pula hening. Masing-masing terlopong dan terkejut mempercayai kisah En. Zaki.

Habis tampil menceritakan kisah itu dihadapan umum, En. Zaki yang duduk di sebelah aku memaki hamun pula En. Rashidi, menghina ibunya, mengelar dengan kata-kata yang amat kesat, malah memaki hakim yang mengendalikan kes tersebut. Pada hematnya, En. Rashidi hanya layak dipancung.

Aku sedih dan hairan mengapa orang seperti En. Zaki yang menganggap dirinya sangat terpelajar dan warak sanggup berdiri menceritakan kisah yang dia sendiri cetek ilmunya dan semestinya tidak terjangkau apa sebaliknya yang berlaku? Jangan hanya kerana beliau melawat tempat kejadian dan pejabatnya memberikan Bantuan Am kepada keluarga tertuduh, dan beliau mendengar cerita-cerita buah mulut orang sekeliling, membolehkan beliau menuduh dan mengeji seseorang sesuka hati.


Membunuh ayah kandung, datuk, nenek dan adik serta memenggal kepala salah seorang dari mereka memang merupakan perkara paling kejam pernah kita dengar. Setiap insan yang normal pasti berasa marah bila mengetahuinya. Tetapi janganlah kita terlalu cepat menghukum dan mencemuh tanpa sebarang alasan yang konkrit. Jika benar En. Rashidi mengalami gangguan mental pada ketika itu, bagaimana? Bukan keinginan beliau untuk melakukan keganasan melampau itu.

Sebagai pengetahuan, kes sebegini boleh dirujuk kepada satu sisi undang-undang yang disebut ‘exception to general rule’. Penghujahan bahawa tertuduh tidak siuman, mengalami halusinasi, sakit jiwa atau mengidap skizoferenia boleh dibuat mengikut Seksyen 84 kanun keseksaan. Selalunya proses ini memakan masa yang lama, biasanya jika tertuduh dibebaskan, hakim akan menyatakan bahawa beliau berpuas hati bahawa tertuduh ‘tidak mengetahui’ bahawa dia telah melakukan kesalahan di sisi undang-undang. Walaupun terlepas dari tali gantung, dia diperintahkan menjalankan rawatan di hospital pesakit mental.

Berdasarkan ini adakah kita lebih layak menghukum En. Rashidi dengan cuma berpandukan emosi marah kita dan rasional kita sendiri? Adakah logik sampai kita memikirkan En. Roshidi yang menganggur dan keluarganya penerima Bantuan Am merasuah hakim dan sebagainya? Sedar atau tidak pemikiran dan akhlak anda semua lebih kotor dari pembunuh!

Mungkin anda menganggap aku juga gila tetapi jujur aku katakan, aku tidak mempunyai masalah dengan seseorang yang membunuh seorang atau seluruh keluarganya. Mungkin disebabkan lumrah hidupku, kerjaku dan pengalaman membuatkan aku faham dengan insan sebegini. Aku bersimpati bagi kedua-dua pihak di dalam kes seperti ini (si mati dan pembunuh).

Dan aku benci orang yang mereka-reka cerita dan mensensasikan fitnah demi memuliakan dirinya sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...