Ahad, 31 Januari 2010

ANTARA YA' GHAFFAR DAN YA' AFUWN


Semalam aku bernasib baik lagi sempat mendengar tazkirah yang diberikan oleh Ustaz Azhar di masjid kampung aku sewaktu berehat sebentar diantara solat sunat tarawikh. Antara isi kandungan tazkirah beliau adalah tentang sebuah hadis yang agak mahsyur mengenai malam Lailatul Qadar.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a, bertanya akan beliau kepada Baginda Rasullulah saw, “Jika aku bertemu dengan malam Lailatul Qadar, apakah yang harus aku lakukan?”. Maka, Rasullulah saw bersabda, bacalah ;

“ Allahumma in naka a’fuwn, tuhibul ‘afwa, fa’fu ‘anni”

yang membawa maksud “ Ya Allah, Tuhan yang Maha Pemaaf, Tuhan yang cintakan kemaafan. Ampunilah dosaku”.

Disebabkan malam Lailatul Qadar yang lebih baik dari seribu bulan itu ( membawa maksud kita mendapat kebaikannya seolah-olah anda beribadat selama 83 tahun!) adalah sangat rahsia dan misteri, maka disarankan supaya kita membaca doa yang diajarkan oleh nabi saw setiap detik mulai malam ke sepuluh terakhir Ramadan.

Kehebatan doa yang diajarkan dengan mengunakan asma husna, Ya A’fuwn ini adalah berlainan dengan Ya Ghaffar ( Yang Maha Pengampun). Menurut Ustaz Azhar sendiri, beliau pun pada mulanya tidak mengenali perbezaan kedua nama-nama Allah ini sehinggalah beliau menemui keterangan mengenainya. Apabila seseorang manusia itu berdoa dengan memohon kemaafan kepada Allah swt, dengan mengunakan Ya’ Afuwn pada malam Lailatul Qadar ini, maka dihapuskan oleh Allah segala dosa-dosanya secara mutlak sehinggakan ianya luput termasuk dari ingatan malaikat yang menulis segala dosa-dosanya itu.

Manakala dihari-hari biasa yang mana kita memohon keampunan pada Ya Ghaffar, diampunkan oleh Allah swt, namun di hari Kiamat kelak apa bila kita dibangkitkan untuk menghitung baik buruk amalan kita. Dosa yang kita lakukan itu akan tetap berada didalam catatan malaikat. Ditunjukan kepada kita dosa itu, dan Allah berfirman “Hari ini Aku ampunkan dosamu”.

Begitulah kehebatan Ya A’Fuwn. Jadi kesempatan yang ada sedikit sahaja lagi ini. Insya Allah kita cuba beramal dengan hadis Rasulullah saw tersebut, moga-moga kita beroleh malam yang penuh kerahmatan itu dan terhapus dosa-dosa kita selama ini.