Sabtu, 1 Januari 2011

MUSLIM SAYANG JESUS CHRIST

Kebelakangan ini aku sering dihujani persoalan-persoalan mengenai akidah dan tauhid oleh rakan dan taulan. Aku senang dengan soalan-soalan yang diajukan, malah jauh didalam hati aku inilah cara aku memperaktikan Islah itu sendiri. Namun timbul pula persoalan di dalam lubuk hati aku, adakah rakan-rakan aku mula merujuk kepada aku akan sesuatu kesangsian agama kerana mereka menganggap aku ‘ustaz rock’? ( aku sangat alergik terma –ustaz rock ni dari dahulu lagi!). Aku bukan seorang ustaz, apatah lagi seorang ustazah! Malah pengetahuan aku tentang ilmu Allah sangat cetek sekali. Sebarang pertanyaan yang diluar batasan ilmu yang aku ketahui, akan tetap tidak berjawab. Sekadar berkongsi fakta dan data yang telah diperakui, aku minta dijauhi dari sifat-sifat cuba menunjuk pandai dengan berbohong apatah lagi memfitnah.

Pernahkah anda tahu wujud sebuah non profit social organization yang berfungsi memperbetulkan tanggapan salah terhadap Islam dan seterusnya menyebarkan kebenaran Islam kepada bukan Muslim dan Muslim itu sendiri?

Badan ini secara konsisten berjuang menyebarkan da’wah dengan program-program idealistik berteraskan konsep Islam yang multi-racial dan cross-cultural way of life. Biarlah nama badan ini aku rahsiakan dahulu. Namun apa yang menarik ingin aku perkatakan disini, antara idea yang sangat menarik perhatian dan begitu unik adalah pengusulan mereka untuk mencetak sticker-sticker dan beg-beg berslogan – Muslims Love Jesus Christ. Adakah anda berani melekatkan sticker ini di kereta anda dan mengalas beg-beg ini? Jika anda bertanya kepada saya. Sudah pasti saya akan melekatkannya!

Bagi sesiapa yang musykil dengan apa motif sebenar idea ini biar saya cuba menjawabnya. Sebabnya mudah sahaja, ia adalah sebahagian dari kerja da’wah. Menyebarkan kebenaran adalah da’wah, seperti yang diwasiatkan oleh Rasulullah sendiri, berdakwahlah dengan cara yang berhemah dan bijaksana. Seperti kebanyakan orang Nasrani juga, kita sering membabi buta menyalahkan pihak lain tanpa memahami apa masalah sebenar orang itu. Sejak dari kecil dahulu, kita ditanamkan sifat membenci orang Nasrani tanpa kita ketahui kenapa kita berbuat demikian. Begitu juga orang Nasrani yang membenci Muslim kerana kita menolak ketuhanan Jesus Christ tanpa mereka ketahui apa hujah dan dalil yang diguna pakai oleh Islam untuk penolakan berkenaan.

Biar saya tegaskan disini, Yohanes atau Isa yang kemudiannya digelar Jesus Christ (a.s) adalah insan yang sama. Diturunkan Allah kepada bangsa Yahudi, namun tolak oleh bangsanya sendiri. Jesus Christ hanya berdakwah kepada bangsanya sendiri di kuil (bukan gereja), bukan kepada bangsa Rom, Greek, Arab yang turut berada di Jerusalem ketika itu. Apabila baginda wafat ( menurut penganut Kristian, namun bagi Muslim kita percaya Jesus tidak mati disalib) St. Paul yang telah mengembangkan Kristian dan mewujudkan institusi gereja walaupun pada asalnya St. Paul adalah insan yang membenci dan tidak pernah bertemu Jesus semasa hayatnya.

Apa yang ingin saya cakapkan disini, walaupun orang-orang Nasrani menolak Islam, menafikan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w, namun setiap Muslim seluruh dunia tanpa ragu-ragu mengakui kenabian Yohanes dan menyayanginya seperti pesuruh-pesuruh Allah yang lain kerana ia adalah sebahagian dari Rukun Iman.

Inilah misconception yang perlu diketengahkan disini. Kebanyakan orang Nasrani, malah hampir semua orang Nasrani tidak mengetahui bahawa kita turut menyayangi Jesus Christ, kita percaya kepada kerasulan beliau. Namun nabi akhir zaman telah diturunkan Allah kepada umat akhir zaman. Dan beliau adalah penghulu dan pewaris kepada nabi-nabi sebelumnya, Moses, Solomon, John, Jonah dan yang lainnya termasuk Jesus Christ sendiri.

Kesilapan kita adalah malas untuk mengkaji, malas untuk memahami orang lain. Kita takut dengan berbagai anasir-anasir luar walaupun kita percaya segala yang lain adalah batil. Kita tidak penah mengambil tahu bagaimana kerja-kerja missionary dilakukan. Kita tidak penah tahu antara cara berdakwah orang Nasrani adalah memenangi hati orang lain dengan memahami adat budaya masyarakat setempat. Jika tidak masakan, nama para nabi semuanya ditukar mengikut negara. Padahal nama seseorang tidak boleh ditukar. Cuba lihat apa yang terjadi kepada Isa sendiri! Atau contoh paling mudah, Panglima Awang, laksamana Melayu, orang pertama mengelilingi dunia diubah oleh Inggeris kepada Henry The Black.

Kita takut dengan Holy Water yang tidak membawa mudarat langsung sesiapa. Kita percaya dengan sms, surat berangkai dari saudara Muslim kita sendiri yang memfitnah pihak gereja mengatakan Holy Water boleh memurtadkan orang. Kes sebegini sama sepeti kes risalah syafaat dan ganjaran solat tarawikh yang diboleh lihat dimana-mana sahaja setiap bulan Ramadan dahulu. Motifnya hanya untuk memberi kesedaran kepada saudara-saudaranya supaya rajin beribadat atau peka dengan kerja-kerja Missionary. Namun memfitnah agama orang lain adalah satu larangan yang besar dari Allah s.w.t.

Jika kita menafikan bahawa kita, Muslim tidak menyanyangi Jesus Christ atau Isa a.s bagaimana pula kita hendak menerangkan bahawa apa yang diajarkan Jesus itu adalah kesinambungan kepada ajaran Musa, Sulaiman, Ibrahim malah Adam a.s. Bagaimana pula kita nak membuktikan Nabi Muhammad adalah kesinambungan kepada kepada para anbia berkenaan. Bagaimana kita hendak menerangkan kekuasaan Allah dalam menjadikan sesuatu padahal keterangan tentang kenabian Isa didalam Al Quran?

Bagi aku, dengan terlekatnya sticker ini walaupun dikereta. Mungkin kesannya akan berbekas dihati orang Nasrani. Mengapa Muslim sayangkan Jesus ni?Mereka pun percaya Jesus ke? Kalau sayang mengapa mereka tidak anggap Jesus adalah Tuhan?

Sekurangnya ia memberi kesedaran kepada mereka apa status Jesus Christ di dalam Islam. Hidayah adalah hak Allah. Manakala dakwah adalah tugas kita.

Pasti akan ada golongan yang akan mempersoalkan idea ini. Mengatakan kita tidak memuliakan Nabi Muhammad s.aw. Mengagungkan Nabi yang diturunkan kepada bangsa lain. Malah tuduhan murtad pun ada. Hahaha! Siapa kata dengan berbuat demikian kita telah menghina Nabi Muhammad, mencela Islam? Pada hakikatnya kita telah menghidupkan sunnahnya. Seperti yang aku katakan sebelum ini, da’wah adalah seni. Gunalah pendekatan yang disenangi oleh orang lain namun lakukan dengan berhemah dan bijaksana.

Dari apa yang aku fahami, idea ini akan cuba diketengahkan di bandar-bandar Amerika dahulu. Dan seterusnya di negara ini. Sekurang-kurangnya anda tidak terkejut bila menjumpainya nanti setelah membaca blog ini.

Rasullulah s.aw bersabda “Sesungguhnya kamu akan mendatangi satu kaum dari ahli kitab, maka hendaklah yang pertama kamu serukan kepada mereka adalah (agar mereka) bersaksi bahwasanya tiada Tuhan yang berhak untuk disembah melainkan Allah.” (Diriwayatkan oleh imam Al-Bukhari dan Imam Muslim)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...