Selasa, 15 Februari 2011

PERTEMUAN DAN PERPISAHAN YANG ROCK


Seorang teman bertanya kepada aku, minat tak Hillary Ang? Aku menjawab, tidak. Tapi aku tahu beliau seorang gitaris hebat dan tersohor di Malaysia. Aku tahu beliau pernah berkhidmat untuk kumpulan rock gergasi Malaysia, Search tetapi aku tidak tahu album mana yang menampilkan sentuhan beliau? Lalu aku pun bercerita pada teman ini yang sebenarnya aku pernah bertemu dengan Hillary Ang secara personal. Betul? Yerp, pada satu ketika mungkin sekitar tahun 2000 atau 2001 (lupa la?!), waktu itu aku masih bersama dengan kumpulan The Ravens yang memainkan irama black thrash metal ala Sodom, Kreator dan Sepultura lama.

Disebabkan secara kebetulan ada terbaca melalui majalah dan akhbar, aku tahu Hillary Ang sedang membuat persembahan di Alor Setar, Kedah. Hillary Ang pada masa itu juga bermain untuk lagenda thrash metal tanahair, Cromok. Kalau tidak silap aku mereka turut mendapat tajaan pakaian dari jenama sukan antarabangsa.

Aku ke Alor Setar atas tujuan yang aku sendiri sudah terlupa (mungkin rakaman di Time Tunnel Studio), aku singgah sebentar di Star Parade untuk membuang air kecil. Aku gunakan tandas di tingkat 2 kerana lebih lenggang, selesa dan tanpa sebarang bayaran. Sedang aku sedap membuang air kecil datang seorang lelaki cina, bersubang dan kasut berjenama Adidas. Sah, memang beliau Hillary Ang, jadi kami buang air kecil sebelah menyebelah dan sekadar bertegur dengan mengangkat kepala. Hillary keluar dari tandas dan terus ke kedai Muzik Sistem yang terletak berdekatan.

Rakan aku tergelak mendengar cerita ini. Katanya rugi sebab tidak bertegur sapa kerana dapat bertemu Hillary secara peribadi. Hahaha! Entah la, aku pun sekadar mengenali nama beliau, jika tegur susah juga nanti apa yang hendak aku bualkan?

Kisah ini mengingatkan aku kepada sebuah temubual bersama Cronos penyanyi kepada kumpulan muzik paling berat di dunia, VENOM dalam sebuah majalah. Terjemahannya lebih kurang begini “Hang dan Quorthon boleh dikatakan perintis kepada 2 kumpulan black metal tertua di dunia. Hang tubuhkan Venom di England manakala Quorthon di Sweden. Hangpa kawan ka? Hang penah jumpa dia?”

Cronos pun bercerita la “ Aku tak kenai Quorthon ini, tapi suatu ketika dulu masa Venom buat jelajah Eropah aku pernah nak terkencing di suatu tempat. Semasa dalam tandas awam tu aku terserempak la dengan seorang jejaka ni, kami pun lawan senyum aja la. Beliau pun berlalu. Bila aku keluar aja dari tandas, kawan aku bagitau.. tu la Quorthon! Jadi setakat itu aja la pertemuan kami”….

Lawak kan kisah ini? Sebagai maklumat tambahan, Quorthon adalah perintis kumpulan metal ektrim pertama di Sweden yang bermula dengan tema-tema berunsur pemujaan syaitan dan akhirnya beralih kepada tema sejarah Viking yang lebih patriotik. Beliau membuat rakaman di bangsal rumahnya dan album-album (mulai 1983-2004) beliau diterbitkan oleh bapanya yang menubuhkan Black Mark Records semata-mata untuk memberi dorongan kepada beliau. Perjuangan beliau amat dihargai oleh semua pemuzik metal malah beliau dinobatkan sebagai salah seorang muzikal genius dari Sweden dan antara kumpulan metal underground paling berpengaruh di dunia!

Quorthon meninggal dunia di usia 38 tahun pada 3 Jun 2004 disebabkan kegagalan jantung. Beliau diketahui tidak pernah menghisap rokok dan mengambil alkohol.

1 ulasan:

  1. Satu lagi fakta menarik tentang Quorthon - expressed dislike for many influential and popular heavy metal bands at the time, such as Iron Maiden and Judas Priest.[citation needed] He has also stated the band's early work was influenced primarily by Black Sabbath, Motörhead, Discharge, G.B.H. and The Exploited.

    sumber Wikipedia

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...