Ahad, 6 Februari 2011

RUMAH TRANSIT SAUDARA BARU


Suatu malam, kira-kira jam 1 pagi saya singgah di sebuah masjid untuk membuang air. Bersebelahan tandas masjid tersebut terdapat sebuah bilik kecil dihuni oleh seorang mualaf berbangsa cina. Kebetulan pada malam tersebut, ada seorang tetamu datang berbual-bual dengan beliau. Dari pemerhatian saya, tetamu berkenaan juga singgah dengan hajat yang sama seperti saya apabila melihat saudara mualaf berkenaan mungkin beliau mengambil kesempatan untuk bertanya khabar.

Dalam keheningan malam itu, walaupun di dalam tandas saya tetap memasang telinga kerana saya berminat untuk mengetahui apa yang sedang dikatakan oleh mualaf yang sentiasa berjubah dan berserban itu. Beliau adalah seorang Kurang Upaya (OKU). Dari apa yang diucapkan bunyinya “rezeki datang dari Allah, Dia yang berikan kita segalanya. Walaupun begini keadaan saya. Rezeki Allah tidak pernah putus. Saya tidak pernah risau..” lebih kurang bunyi ayatnya dalam pelat Cina. Saya tahu mungkin tetamu berkenaan bertanyakan tentang kerjaya atau siapa yang menyara beliau sepanjang tinggal di bilik kecil itu?.

Saya terus berlalu.

Sepanjang dua tahun lalu, setiap kali saya terlihat atau singgah di masjid-masjid di sekitar Perlis sering kali saya bertanya kenapa begitu banyak tanah wakaf terbiar dan mengapa setiap kali masjid baru dibina, masjid lama dibiarkan usang begitu sahaja?

Masjid Abrar

Masjid Muhammadi

Alangkah ruginya bila melihat begitu luas kawasan dan masjid lama yang masih baik boleh digunakan untuk pelbagai tujuan tetapi tidak dimanfaatkan. Mengapa masjid lama tidak dijadikan pusat tuisyen, pusat pengajian al Quran, Taska, Pusat ICT atau ringkasnya pusat aktiviti masyarakat setempat. Jika tidak mahu diserahkan secara percuma untuk tujuan tersebut, apa salahnya disewa? Dapat juga wang berkenaan di jana untuk kegunaan masjid dan amal jariah.

Pada tahun lepas kita dapat lihat pembaharuan telah dibuat yang mana, tanah-tanah wakaf halaman masjid di sekitar Perlis telah didirikan premis-premis perniagaan untuk disewa dan hasilnya disalurkan kepada masjid setempat. Namun masih terdapat kelemahan yang boleh diperbaiki, misalnya masalah politik dalaman masjid harus diatasi. Contohnya seringkali kita lihat Jawatankuasa masjid akan memberikan premis tersebut kepada kariah masjid itu sendiri, atau mereka yang mempunyai hubungan diplomatik dengan masjid tersebut ( contohnya; orang kaya kampung yang sering menyumbang wang ringgit kepada masjid). Ini boleh diterima pakai. Namun, apabila orang ini jugalah yang akan menunda sewa, tidak mengikut peraturan premis, atau cuba mengaut keuntungan dengan cara ‘ali baba’. Adakah sanggup Jawatankuasa masjid untuk membatalkan pemberian hak tersebut? Adakah sanggup Jawatankuasa masjid bertegas dengan peraturan yang ditetapkan?

Jawapanya: TIDAK.

Perkara sebegini tidak boleh berlaku apabila melibatkan pengurusan harta wakaf. Pengurusan harta wakaf yang betul bukan sahaja bakal menjana dana untuk penyelenggaraan masjid bahkan dapat membantu masyarakat setempat memperolehi pendapatan. Adalah tidak wajar ia diambil ringan dan diuruskan dengan lemah.

Seperkara yang sangat saya harapkan dapat dibangunkan oleh Yayasan Wakaf adalah sebuah Rumah Transit Saudara Baru bagi setiap masjid. Apa salahnya jika diperuntukan beberapa buah bilik di masjid lama untuk mualaf diberikan perlindungan disamping dapat memantau dan member tunjuk ajar sepanjang tempoh berkenaan sehingga beliau mampu kembali meneruskan kehidupan bersyariat. Apa salahnya membantu mereka walaupun sekadar menyediakan bilik. Pernahkah anda terfikir bagaimana beratnya ujian seorang mualaf setelah mendapat hidayah terutamanya apabila mendapat tentangan dari keluarga dan tidak mempunyai punca pendapatan?

~`Rammy
1/2/2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...