Isnin, 18 Julai 2011

NILAI SEBIJI MANGGA


Ketika seliaan ditempat kerja tadi, aku terserempak dengan rakan-rakan sekerja yang sedang asyik menyicah mempelam sawa bersama garam belacan. Aku memang kurang berminat dengan mempelam, berbagai-bagai pokok mempelam ditanam oleh biro edible garden, termasuk Harumanis. Hanya beberapa hirisan mempelam sahaja yang singgah ke mulut aku.
Setiap kali aku tengok mempelam, aku teringat seorang rakan lama. Aku ceritakan kisah ini kepada rakan-rakan tadi. Ada baiknya aku kongsikan disini pula. Cerita ini mengimbas kembali ketika aku bekerja di Kilang Gula Felda Chuping, boleh dikatakan hampir semua warga Perlis pernah berkerja atau mempunyai sejarah di Kilang Gula, lebih-lebih lagi orang-orang miskin macam aku. Ayah aku, bapa saudara aku, rakan-rakan sekerja kini, rakan sekolah, jiran, semua pernah mencari rezeki disini.  Cerita ini berlaku kira-kira 13 tahun yang lalu. Aku ada seorang rakan bernama Pian (bukan nama sebenar), boleh dikatakan Pian pun orang susah macam aku juga lah, bezanya masa itu ibu aku sanggup jual rantai emas dia untuk beli motor Honda cup kepada aku untuk berkerja. Manakala Pian hanya ke Kilang dengan menaiki bas. Pian berkerja sebagai office boy bergaji hari sebanyak RM10 sehari, manakala aku RM15 sehari sebagai Pembantu makmal. Gaji hari bermakna, kami tidak layak mendapat cuti tahunan, cuti sakit dan elaun perjalanan. Hadir kerja ada gaji. Ponteng kerja tiada gaji. Pian tidak pernah bercuti sakit sepanjang dia bekerja. Tidak pernah ponteng. Tidak pernah mengular (curi tulang!).
Setiap hari Pian berkerja dengan gigih dan masa rehat kami amat terhad iaitu 45 minit sehari dan cukup waktu kami terus mula bertugas. Peliknya, Pian tidak pernah pergi ke kantin untuk makan setiap kali waktu rehat. Sebaliknya akan ke suatu kawasan yang di panggil tipper, tempat longgokkan tebu. Di situ ada beberapa pohon mempelam masam dan tempat berehat pemandu kren dan traktor. Disitu lah Pain menjamah hidangan tengahari beliau. Iaitu beberapa biji mempelam dan terus ke surau untuk tidur sebentar, bangun solat dan terus berkerja semula hingga 5 petang tanpa makan nasi. Sedih bukan?
Jadi sepanjang tempoh 5-6 bulan Pian tidak penah menyentuh wang gajinya sehinggalah beliau membeli sebuah motor Honda EX-5 yang kekal hingga ke hari ini. Dengan motor itulah juga beliau keluar setiap malam untuk membantu ayahnya menjual sayur-sayuran di pasar malam. Aku pun sering membantu beliau setiap kali pasar malam Kangar dan Kuala Perlis. Dapatlah upah sayur untuk kegunaan dapur ibuku pula.
Bila diingatkan kembali kecewa juga, sebab diwaktu Pian kesusahan dahulu hampir semua rakan-rakan mengelar Pian ‘mempelam’ atau ‘pelam’ oleh kerana tiap-tiap hari beliau terpaksa menjamah mempelam untuk menyimpan wang. Pian tidak pernah marah. Dan tidak pernah menceritakan kesusahan beliau kepada sesiapa. Dia tetap sabar dan sabar dan terus berusaha dengan cara dia. Pian masih memakai motor tersebut hingga ke hari ini malah telah berumah tangga dan beranak-pinak dengan berkat usahanya yang cekal.
Rasanya hampir 7-8 tahun aku tidak bertemu dengan Pian. Semoga beliau bahagia bersama keluarganya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...