Jumaat, 26 Ogos 2011

IMPIETY YANG HEBAT ITU...



Entah mengapa pada jam 3.40 pagi ini, terasa ingin berkongsi cerita mengenai IMPIETY, sebuah band black metal bertaraf antarabangsa atau kumpulan paling berat dari Asia. Sejak 2 bulan yang lalu, aku dihujani message, email, sms dan pertanyaan adakah aku akan pergi melihat gig Impiety di Penang bulan September nanti? Walaupun secara ringkas aku menjawab TIDAK. Tetap ada yang ingin bertanya, malah ada yang bertanya sampai dua kali. Dua minggu lepas dah tanya? Malam ini bertanya lagi. Hadoi!

Jadi biarlah aku nyatakan pendirian di sini agar kawan-kawan jelas semuanya. Aku berhubung dengan Ariffin @ Shyaithan sejak zaman “Asateerul Awaleen” lagi, dan sejak dari itu kami menjadi penpal yang akrab. Beliau sentiasa menyokong segala projek (band atau zine) yang aku terlibat, begitu juga aku yang menyokong setiap kemajuan yang dikecapi mereka. Satu perkara yang aku amat kagum dengan Ariffin adalah kesungguhan beliau dalam memajukan diri, mencari ketulenan muzik dan ketetapan hati dalam berkarya. Impiety bergerak dan berevolusi didalam acuan Black/Death yang sama sejak dari dulu tetapi elemen progresif sebagai pemuzik tidak disisihkan. Jadi ini sifat pemuzik sejati.

Terdapat beberapa zine dan majalah yang mengecam perubahan muzikal Impiety yang ketara bermula dari era “Skullfucking Armageddon” . Itu media, media yang banyak bercakap soal falsafah. Kami sebagai pemuzik lebih faham mengapa kami perlu sentiasa progresif!

Arakian setiap persembahan Impiety di Malaysia, akan aku pergi. Kali pertama berbual bersama Ariffin ketika mereka membuat persembahan bersama SIGH di Kuala Lumpur. Ariffin seorang yang peramah dan baik tutur kata seperti yang aku jangkakan. Malah, beliau yang memberitahu aku drummer SIGH mengasak semua lagu-lagu mereka hanya mengunakan single paddle. Sigh memang hebat.


Impiety mula mencetuskan kontroversi apabila melahirkan album “Formidonis Nex Cultus” yang mana ilustrasi kulit albumnya memaparkan gereja, kuil, tokong dan masjid dibakar. Falsafah-falsafah anti-agama semakin ketara dilaungkan dan dijadikan panji-panji. Memang itulah ideologi Impiety sejak awal penubuhan, cuma pada awal penubuhan mereka mesej ini agak kabur. Album “Paramount Evil” yang merupakan album terakhir yang aku dengar, muzik mereka amat jitu dan sangat teknikal mengambarkan keseriusan mereka dalam berkarya. Begitu juga dengan ideologi ektrim mereka. Album itu banyak memfokuskan keruntuhan dan kemusnahan tamadun manusia disebabkan agama. Impiety meletakkan semua agama setaraf, malah mengeji agama Islam dan memperlekehkan golongan syahid ( seperti yang kita tahu tidak semua pengebom berani mati adalah membunuh diri). Didalam temubual bersama Impiety oleh majalah-majalah metal turut menperlihatkan Ariffin sudah tidak menghormati agama beliau sendiri. Aku tidak kisah semua itu, malah itu hak dia. Cara dia melihat agama sebagai sesuatu yang lemah serta merencatkan kemanusiaan. Ariffin mungkin akan menafikan hal ini bagi mempengaruhi sokongan dalam tour dan penjenamaan Impiety di Malaysia. Tetapi inilah hakikatnya bagi mereka yang mendengar mengunakan akal.

Jadi, tanpa bermusuhan atau membenci Ariffin. Aku mengambil kata putus untuk tidak menyokong Impiety lagi walaupun sehebat mana atau sebesar mana mereka akan jadi. Aku tidak mempunyai masalah dengan muzik bawaan Yahudi. Pemuzik Kristian, Hindu atau sebagainya. Malah memang aku menyukai banyak kumpulan-kumpulan muzik Yahudi. Tetapi untuk menerima sebuah kumpulan yang sebelum ini dianggotai oleh semua pemuzik muslim yang akhirnya mengeji akidah sendiri. Aku memang sukar menerimanya. Aku tidak mahu bertelagah disini. Tidak mahu menghukum. Mungkin pada Tuhan, Ariffin lebih mulia dari aku. Jadi, pada pandangan peribadi aku muzik Impiety tidak sesuai dengan apa yang aku anuti. 

 Foto kredit Alberto Gutierrez

Maka, jika Ariffin terbaca komentar ini aku harap beliau hormati pendirian aku sepertimana aku hormati kepercayaan beliau.

Jujur aku beritahu, semua cd, kaset dan segalanya yang bersangkutan dengan Impiety telah aku jual kepada peminat mereka. Kadang-kadang, ada juga terdengar lagu-lagu baru mereka di dalam portal-portal internet. Aku kagum dengan kemahiran dan kemajuan Impiety hasil kerja keras yang berterusan dilaksanakan oleh Ariffin. Tetapi enuff is enuff

Aku tidak menghalang sesiapa pun untuk menyokong Impiety dan tidak berharap sesiapa pun untuk membenarkan kata-kata aku disini. Cukuplah seperti apa yang telah diwahyukan “Bagimu agama mu dan bagi ku agama ku”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...