Selasa, 9 Ogos 2011

MAJALAH KARISMA ISU NO. 16 OGOS 2011


Pada bulan lalu saya dihubungi oleh penulis Zulhisham dan berbicara mengenai berita perancangan sebuah label Jerman, Feudal Throne Productions untuk menerbitkan semula album Blackfire “Lahir Dari Api” di dalam format piring hitam. Beliau bertanyakan status perancangan tersebut. Walaupun perbincangan itu singkat, tidak sangka pula ia berakhir dengan sebuah liputan di dalam majalah Karisma ini. Sebagai maklumbalas kepada rakan-rakan yang ingin mengetahui lebih lanjut, rancangan ini telah diusulkan oleh pihak Feudal Throne lebih dari setahun yang lalu, namun diketepikan kerana faktor-faktor tertentu sehinggalah Azmi Bahari bersetuju untuk menerbitkan semula album tersebut memandangkan kesungguhan pihak Feudal Throne yang gigih dan tidak putus-putus menyokong perjuangan Blackfire. Sebagai menghargai usaha mereka, dan memandangkan Feudal Throne bersetuju untuk menerbitkan semula mengikut piawaian serta kehendak kami dari berbagai aspek yang kami tidak perolehi sebelum ini. Feudal Throne Productions diberi kebenaran untuk mencetak kuantiti terhad piring hitam “Lahir Dari Api” sebanyak 500 keping untuk pengumpul piring hitam tegar. Beberapa track rehearsal atau sesi rakaman asal album tersebut di Blackareachamber Studio oleh Ajin Blackrose mungkin akan turut diselitkan sebagai bonus. Untuk maklumat lanjut anda boleh hubungi Feudal Throne Productions sendiri di alamat:

Dave Theisen, P.O.Box 101408, D-41414 Neuss, Germany

Manakala album “Engine Of My Heart” mendapat ulasan yang memberangsangkan dari saudara Azlan di ruangan Review Album/Demo/EP. Kedatangan Loudness pada 24 Julai 2011 lalu telah menjadi cover story untuk isu kali ini, sebuah biografi diolah dari temubual bersama vokalis mereka, Minoru Nihara telah diriwayatkan dengan baik oleh Zulhisham. Saya banyak melangkau mukasurat-mukasurat mengenai laporan gig yang terlalu melalut kecuali laporan dari Uchu Manang mengenai Acara Tugau Warmetal Horde di Mukah, Sarawak yang membuatkan saya kagum! Saya seolah-oleh tidak percaya apabila membaca laporan dan melihat foto-foto Wakil Rakyat DUN Jemoreng, merasmikan gig tersebut bersama pengiring-pengiringnya yang semua memakai t-shirt Tugau Warmetal!?! Membuatkan saya teringat temubual bersama God Dethroned yang saya baca dalam sebuah majalah suatu ketika dulu menceritakan di Netherlands, siri gig-gig mereka turut ditaja oleh kerajaan di sana sebagai salah satu kegiatan remaja! Dan pegawai-pegawai kerajaan turut hadir melihat mereka membuat persembahan dan maklum dengan nama kumpulan mereka. Tiada sebarang sekatan diterima mereka sebaliknya sokongan. Hahaha! Itu cerita di Belanda okay!

Komentari Metal oleh Dr. Ben mengenai jatidiri seorang peminat muzik metal dan nostalgia yang dilalui oleh seorang itu amat menarik. Saya besetuju benar dengan komentar beliau, dan jika saya diberi peluang untuk menulis mengenai kendiri seorang pemuzik dan peminat muzik metal, beginilah pandangan dan pengalaman saya yang anda akan baca. Saya tidak tahu bagaimana pendekatan anda?, tetapi saya sentiasa ingin jujur dengan diri dan kehendak peribadi saya. Sebolehnya saya mahu melakukan sesuatu sepenuh jiwa tanpa dipengaruhi sesuatu atau trend. Sememangnya kita semua terjebak dengan trend pada asalnya, namun kita harus belajar untuk mengenali diri dan menjadi diri sendiri.

Karisma Production, PO BOX 9, 75700 Melaka, Malaysia
Tel: +6013-6363558

Untuk langanan setahun ( 12 isu ) harganya RM90 bagi Semenanjang Malaysia dan RM120 bagi Sabah dan Sarawak.

Pembayaran menerusi CIMB: Karisma Production (0410-0000-3021-09) 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...