Rabu, 16 November 2011

INNOVATIVE AND CREATIVE CIRCLE (ICC) DI MALAYSIA



Kepada kakitangan kerajaan Malaysia, anda pasti pernah mendengar perkataan I.C.C atau kini telah dipopularkan sebagai Kumpulan Kreatif dan Inovasi (K.I.K). KIK adalah satu perkara yang baru diperkenalkan di Malaysia dan mahu dijadikan sebagai satu budaya di dalam jabatan kerajaan. Adakah perkara ini baik?

Baik saya terangkan disini kenapa saya mahu memperkatakan tentang KIK ini? Pertamanya saya telah diperkenalkan dengan ICC ini pada tahun 2007 di suatu bengkel yang bertempat di Pearl International Hotel. Rasanya saya lebih mengetahui tentang kegiatan ini berbanding anda yang baru mendengarnya hari ini. Dan alasan kedua, disebabkan jabatan saya begitu aktif dengan kegiatan ini. Saya dan beberapa orang rakan lagi adalah antara sisa kakitangan yang tinggal untuk melaksanakan kerja-kerja hakiki setiap kali KIK berlangsung.

Ada baiknya saya ceritakan sedikit sebanyak bagaimana wujudnya ICC atau dikenali di Malaysia sebagai KIK.

Selepas perang dunia ke-II, ekonomi Jepun telah lumpuh sepenuhnya. Namun hanya dalam masa tiga dekad sahaja, Jepun bangun sebagai sebuah negara yang berprestij, mengeluarkan barangan bermutu tinggi dan menguasai bidang elektronik dunia. Mengapa mereka sebegitu hebat?

Idea yang hebat tidak semestinya memerlukan peruntukan yang besar

Telah menjadi suatu keadaan yang janggal apabila si suami pulang awal dari tempat kerja di Jepun. Mereka mempunyai sikap malu dianggap pemalas oleh jiran-jiran atau dianggap individu kurang penting dan tidak berpengaruh di dalam sesuatu organisasi jika mereka pulang awal ke rumah. Disebabkan itu mereka akan menghabiskan masa ditempat kerja sebelum pulang bila menjelang malam. Keadaan ini akhirnya menjana kepada lahirnya idea-idea untuk meningkatkan kemudahan di tempat kerja mereka yang mana segala penyelidikan datang dari usaha sukarela. Merujuk kepada JUSE (Union Of Japanesse Scientist and Engineers), definisi ICC adalah satu kumpulan kecil pekerja dari tempat kerja yang sama berkumpul secara sukarela untuk mengenalpasti masalah, menganalisis dan seterusnya mencadangkan penyelesaian kepada masalah tersebut.

Dr. Kauro Ishikawa adalah individu yang berkerja kuat untuk menjayakan ICC ini di Jepun. Dari rekod JUSE, sejak tahun 1962 hingga 1974 lebih 700 000 kumpulan ini ditubuhkan di Jepun. Mana kala di Malaysia sejak mula diperkenalkan pada tahun 1980-an hingga 2002 terdapat 6851 kumpulan ini yang tidak diketahui keaktifan mereka.

Jika merujuk kepada Ronald Kregoski dan Baverly Scott (1982) pula:

a. Sekumpulan pekerja dari tempat kerja yang sama dan menjalankan tugas sama.
b. Mengadakan perjumpaan secara tetap dan berterusan mengikut jadual.
c. Berbincang mengenai masalah yang berkaitan dengan tugas mereka.
d. Menentukan masalah yang ingin dibincangkan dan diatasi.
e. Setiap anggota diberi latihan secukupnya mengenai semua aspek penting kegiatan ICC.
f. Mengenal pasti masalah, menganalisis dan member cadangan penambahbaikan kepada pihak pengurusan.
g. Melaksanakan tindakan pembetulan dan penambahbaikan terhadap masalah yang dikaji.
h. Mendapat sokongan daripada pihak pengurusan secara tetap dan segala cadangan yang telah dipersembahkan dilaksanakan sekiranya jelas faedah dan keberkesanannya.

Saya rasa mungkin anda telah sedikit sebanyak faham tentang pengertian KIK ini? Mengapa ianya masih kurang berjaya di Malaysia? Mengapa Malaysia masih belum dapat menghasilkan produk berteknologi tinggi? Biar saya ceritakan bagaimana KIK dilaksanakan oleh jabatan saya.

KIK telah dijadikan sebuah pertandingan tahunan. Maka, setiap awal tahun ahli KIK akan mula bersidang atas arahan ketua jabatan atau institusi. Itu yang pastinya. Tiada lagi soal sukarela. Namun, tidak perlu risau kerana keahlian pasti menunjukkan angka yang memberangsangkan. Jika di Jepun sebuah KIK dianggota oleh 3 -9 orang. Di jabatan saya, jangan risau anda boleh mendapatkan 10 – 15 orang ahli dengan mudah.

KIK ditempat saya tidak perlu memikirkan masalah yang perlu diatasi di jabatan atau kemudahan yang boleh diperolehi dari penyelesaian mereka. Ini kerana, mereka hanya perlu mencipta sebuah masalah dan memikirkan penyelesaian yang termampu.

Tiada idea yang dianggap remeh oleh Jepun!

Disebabkan KIK ini ditubuhkan untuk menyertai pertandingan. Maka, masalah yang dipilih langsung tidak berdasarkan merit di jabatan kami. Jadi setiap ciptaan, inovasi, penyelesaian tidak boleh diguna pakai dalam kerja seharian di institusi. Malah tiada satu pun inovasi dipraktikkan di jabatan saya sebenarnya. Sekadar untuk tujuan pertandingan.

Perkara yang paling menarik perhatian kakitangan jabatan ini untuk menyertai KIK semestinya, setiap ahli akan mendapat keistemewaan tertentu. Ahli KIK jika bekerja shift pun akan berkerja normal shift, mereka akan berkumpul di dalam sebuah bilik khas dan tidak perlu lagi memikirkan kerja-kerja hakiki selama beberapa ketika ( 1-2 bulan) sebelum tarikh pertandingan. Mendapat keistemewaan makanan khas (minum pagi, makan tengahari, minum petang) dan semestinya yang begitu mengembirakan hati ahli KIK adalah mendapat baju korporat dengan potongan baru setiap tahun.

Rungutan yang sering di terima sesama KIK adalah kerjasama dan latihan. Seringkali kita dapat lihat KIK hanya diterajui oleh beberapa individu sahaja sebenarnya. Cuba kita lihat berapa orang sebenarnya yang boleh melaksanakan tugasan? Malah yang boleh mengunakan Microsoft Excel pun hanya 2 orang dari berbelas-belas ahli! Ahli yang lain sekadar mahu mendapat keistemewaan yang diberikan oleh pihak pengurusan.

Sekarang mari kita lihat matlamat KIK ini adalah untuk melahirkan tenaga kerja berkualiti dan dalam masa yang sama memberi kesan langsung kepada prestasi organisasi. Antara lain, berusaha memberi sumbangan dari segi idea bagi penambahbaikan proses kerja.

Apa yang terjadi apabila menjelangnya tarikh Pertandingan KIK selama 2-3 hari ini. Pengurusan organisasi tergangu kerana kekurangan kakitangan malah hanya 4 -6 orang kakitangan menguruskan organisasi dari 10 – 17 orang pada keadaan biasa. Kenderaan jabatan digunakan semuanya untuk tujuan pertandingan, malah pemandu pun tidak terkecuali. Organisasi asal bukan sahaja menderita, malah berkeceramuk gara-gara KIK ini.

Jika kita memenangi anugerah KIK ini, semestinya pihak pentadbiran dan pengurusan akan beroleh hadiah dan puji-pujian dari Ketua Pengarah serta organisasi-organisasi lain. Maka tersohorlah organisasi kami sebagai bergerak aktif dalam menjana idea-idea inovasi. Anda mula merasakan kakitangan lain mencemburi kebijaksanaan KIK, namun tidak langsung memahami dan menghargai susah payah rakan-rakan anda yang lain terpaksa berkhidmat mengantikan anda yang kalut dengan program-program ‘bijak’ anda.

Jika anda tewas, tidak mengapa. Anda turut bergembira kerana dapat menjadi pegawai khas buat beberapa ketika kerana hanya perlu bermesyuarat dan memberi buah fikiran di bilik khas. Mendapat tajaan makanan. Mendapat pakaian seragam yang menawan serta berpeluang berjalan-jalan ke serata negeri untuk menyertai pertandingan. Lebih hebat jika nasib anda baik, anda dijanjikan makan malam ditempat eksklusif oleh pihak pentadbiran yang kagum dengan motivasi yang ditunjukan oleh ahli KIK.

Sekarang anda tahu bagaimana orang Jepun berbangga mencipta motorsikal Honda Cub pada tahun 1951 dan bagaimana kita orang Malaysia berbangga apabila memandu kereta Honda City kini.

~Rammy

15/1/2011



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...