Isnin, 12 Disember 2011

25 PAHLAWAN ISLAM


Buku karangan Shafie Abdul Rahman ini diterbitkan oleh MustRead dan boleh didapati di semua kedai buku Popular diseluruh negara dengan harga RM20. Saya terus tertarik untuk membeli buku ini dengan sekali pandang apabila melihat kualiti cetakan, reka letak dan saiz teks 12 yang selesa mata memandang, kandungannya sesuai untuk seluruh lapisan masyarakat. Ini adalah cetakan pertama. Terdapat sedikit kesilapan ejaan di beberapa perkara dan nama. Mungkin boleh diperbaiki jika cetakan kedua menyusul. Saya khatam buku ini dalam tempoh 2 hari dengan membacanya sebelum tidur.

Sememangnya terlalu ramai pahlawan Islam jika kita hendak rungkaikan sejarah mereka kesemuanya. 25 orang pahlawan yang dipilih oleh Shafie Abdul Rahman untuk dibukukan ini mengikut kronologi sejak Rasullulah s.a.w diturunkan wahyu oleh Allah untuk berperang menentang kaum musyrikin yang menindas orang Islam. Bermula dari Hamzah Bin Abdul Mutalib yang mati syahid dan jenazahnya dicacatkan hingga menyebabkan Rasullulah amat marah, sabda baginda: “Malaikat Jibrail datang menemuiku dan memaklumkan bahawa nama Hamzah bin Abdul Mutalib adalah warga langit ke tujuh. Hamzah bin Abdul Mutalib adalah singa Allah dan singa Rasul Nya. Tidak ada yang membuatkan aku begitu marah selain daripada apa yang berlaku hari ini”. Diriwayatkan pembunuh Hamzah memeluk Islam selepas itu dan dinasihatkan supaya tidak bertemu Rasullulah s.a.w agar baginda tidak mengingatkan peristiwa sedih itu. 

Kisah kepahlawanan di era Rasullulah s.a.w memerintah sehingga 4 khalifah pertama adalah kisah pengorbanan sejati yang dipamerkan oleh pahlawan-pahlawan ulung. Diantara mereka terdiri dari golongan bangsawan, pemuda-pemuda yang ternama, saudara-saudara nabi, dan juga golongan hamba, yang memilih jalan jihad dan meninggalkan kesenangan dunia. Antaraya seperi Qaqa bin Amru yang sangat disayangi oleh Khalifah Abu Bakar dan Khalifah Umar yang diumpama kekuatan Qaqa bersamaan seribu orang. Ini dibuktikan kerana pada setiap kali peperangan tentera Islam hanya diwakili beberapa ribu orang untuk menentang musuh yang berjumlah puluh ribu orang. Misalnya, Qaqa pernah memimpin 5000 tentera untuk menentang 60 000 orang tentera Rom. Qaqa berjaya menewaskan kerajaan Rom, Mesir dan kerajaan Parsi, di Iraq. Begitu juga Saad bin Waqqas yang bertanggungjawab menyebar Islam ke wilayah-wilayah yang sukar untuk dicapai ketika itu dan antara yang bertanggungjawab mengasas kerajaan Islam di China. Manakala pahlawan ulung seperti Khalid Al-Walid yang digelar ‘pedang Allah’ adalah satu-satunya panglima perang yang tidak pernah tewas dalam beratus-ratus perang yang disertainya. Diceritakan Khalifah Umar memanggilnya kembali pulang kerana bimbang puji-pujian terlalu melambung tinggi terhadap Khalid menjurus kepada pendewaan kepada beliau. Khalid dilucutkan jawatan panglima besar. Beliau gagal mendapat mati syahid yang diidamkan walaupun seluruh tubuhnya penuh dengan parut tikaman pedang, panah dan tombak. Khalid mati ditempat tidurnya. Khalifah Umar sebelum meninggal dunia dikatakan menyesali kesilapan beliau memecat Khalid dan memuji Khalifah Abu Bakar yang lebih pandai menilai kelebihan manusia berbanding dirinya. Begitu juga kisah pahlawan agung yang lain di era tersebut yang terselindung disebalik kehebatan Khalid Al-Walid seperti Amru Al-Aas dan Abu Ubaidah.

Era yang menyaksikan kepincangan umat Islam apabila empayar-empayar Islam mula diwarisi oleh khalifah-khalifah yang gagal menyokong satu sama lain. Lebih menumpukan kuasa dan pangkat dari menyokong perjuangan pembebasan umat Islam dan penyebaran agama Allah. Pada era ini kelihatan hanya panglima perang yang berjuang bermati-matian untuk membela nasib orang Islam. Manakala pejuang-pejuang Kristian telah bangun untuk kempen Perang Salib. 

Pejuang hebat dan zuhud pada era itu adalah Musa Bin Nusair yang menakluk Afrika Utara, menjatuhkan empayar Raja Roderick di Sepanyol. Namun Khalifah Sulaiman yang berang dengan Musa bin Nusair yang engkar dengan beberapa arahan Khalifah Al-Walid sebelumnya, telah melucutkan semua jawatan Musa bin Nusair. Dikatakan beliau mengemis untuk hidup dan meninggal dunia di Madinah. Begitu juga kesudahan menyedihkan seperti panglima ulung Tariq bin Ziyad, Abdul Rahman Al-Ghafiqi, manakala panglima dan Khalifah seperti Yusuf Ibn Tashfin berjaya menubuhkan dan mempertahankan kerajaan Islam semasa hayatnya namun gagal mewarisi dan mendidik anak-anaknya menjadi pemerintah yang baik. Sehinggalah kemunculan seorang pahlawan dan sultan yang agung dan digeruni serta dihormati seluruh dunia bernama Salahuddin Al-Ayyubi. Beliau bukan sahaja adil memerintah tetapi gagah dan warak. Antara seteru yang mengagumi Salahuddin adalah Raja England, Richard The Lionheart. Sultan Salahuddin meninggal dunia tanpa harta, malah beliau tidak pernah membayar zakat kerana hartanya tidak cukup nisab. Kain kafannya sendiri didermakan oleh menteri nya.

Salahuddin digambarkan melalui filem Kingdom Of Heaven
Perebutan kuasa telah menenggelamkan segala-galanya yang sebelum ini dianggap perjuangan yang suci. Segalanya berubah apabila penakluk-penakluk dunia seperti Sultan Bayazid I, Timurlane yang digelar ‘penjinak dunia’ dari keturunan Genghis Khan mula berkempen. Ketaksuban Timur (Bermaksud ‘Besi”) menakluk dunia dan memusnahkan empayar-empayar Islam hampir membuatkan beliau dikatakan bukan Islam, padahal beliau penganut Islam bermahzab Hanafi. Dengan hanya digelar ‘anjing’ oleh Sultan Bayazid I, Timur menganas dan menakluk semua yang berada dihadapannya. Malah Timur pernah membunuh 70 000 orang dalam sebuah wilayah yang memberontak dan gagal membayar cukai.

Kemunculan laksmana armada perang Islam bernama Khairuddin Barbarossa asalnya hanya kerana menuntut bela kerana kapal dagangnya diserang oleh tentera salib yang dikenali ‘Knight Of Rhodes’. Barang dagangan dirampas, puteranya dibunuh dan abangnya ditangkap. Dalam waktu yang sama, umat Islam di Sepanyol sedang diusir, ditindas dan dibunuh dalam kempen perang salib oleh Raja Ferdinand. Khariddun menuntut bela, membebaskan abangnya dan akhirnya memimpin armada perang bagi menyelamatkan umat Islam di Sepanyol. Nama Khairuddin yang sebenar adalah Hizir, nama Khairuddin dikurniakan oleh Sultan Turki kepadanya yang bermaksud ‘Yang memiliki keperibadian dan agama yang baik’. Armada pimpinan Barbarossa sangat digeruni oleh tentera Salib, dalam 1509 hingga 1545 beliau telah berjaya meyerang selatan Itali, menawan Jaijil, mengusir tentera Sepanyol dari Bougie, menawan kota Elba, menawan Tilmisan, menewaskan gabungan armada Sepanyol dan Itali, Mengusir Knight of St. John dari pulau Rhodes, selain menewaskan armada Pope Paul III dan menawan beberapa pulau penting di laut Mediterranean. Kejayaan dan kehebatan Barbarossa ini membuatkan Eropah membuat propaganda mengatakan Khairuddin Barbarossa adalah seorang lanun. Watak beliau yang telah ‘dilanunkan’ turut dipaparkan dalam filem popular yang dibintangi Johnny Dep ‘Pirates Of Carribean’. Khairuddin Barbarossa pernah berkata:

“Jika yang dimaksudkan dengan lanun adalah seorang yang berjuang membela negara-negara Islam, menyelamatkan kaum Muslimin yang tertindas, serta memerangi orang yang memusuhi agama Allah, biarlah seluruh dunia mengetahui bahawa aku seorang lanun”.

Bendera Barbarossa
Begitu juga apabila kuasa-kuasa Eropah yang mula datang ke timur untuk menakluki kawasan-kawasan perdangagan rempah disamping menyebarkan ajaran Kristian. Pejuang-pejuang seperti Syeikh Yussuf Makassar, Sultan Hassanuddin Makkasar, dan Raja Haji muncul mempertahankan tanahair dan negara Islam yang lain (termasuk Kedah, Melaka, Johor, Selangor) demi agama. Kejatuhan mereka hanya disebabkan saudara seagama yang menjadi duri dalam daging dan berkomplot dengan tentera dari Eropah.

Akhir sekali penulis bijak mengambil Syeikh Ahmad Yasin untuk turut dijadikan ikon pahlawan Islam kerana keberaniannya dalam mempertahankan Palestin dari dijajah Israel dan sama sekali tidak mengiktiraf kenegaraan Yahudi tersebut. Syeikh Ahmad Yasin terbunuh dalam satu serangan roket bernama “Hellfire” oleh tentera Zionis hanya kerana gerun dengan kata-katanya. Syeikh Ahmad Yasin adalah seorang yang cacat dan tidak pernah berjuang secara fizikal. Namun beliau bangun dan berani membela nasib warga Palestin dengan pidato-pidato dan fatwanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...