Selasa, 24 April 2012

ISLAMOPHOBIA DALAM MUZIK METAL NUSANTARA

Nusantara membawa erti kepulauan Melayu, bangsa yang menerima Islam tanpa ada peperangan. Bangsa yang mendapat hidayah dengan mudah dan menyedari tuhan telah menganugerahkan mereka satu cara hidup yang mulia.

Satu benda yang aku takut suatu ketika dahulu apabila IMPIETY bertindak menyerang Islam terang-terangan telah membuahkan hasil. Ternyata ketakutan (ya.. aku takut..) aku berasas. Kini lebih banyak kumpulan-kumpulan telah berani mendabik dada mencaci maki dan menghina Islam secara terbuka di nusantara ini. Jika kita lihat di Barat topik ini (Islamophobia) sudah lama diketengahkan tanpa selindung oleh kumpulan-kumpulan seperti AT WAR, THE GREAT KAT, INTERNAL BLEEDING, DARK FUNERAL (gig mereka dapat sambutan hebat di Singapura) , tetapi ia sekadar berceloteh tentang sesuatu yang mereka sendiri tidak faham dan hanya mengambil inspirasi dari media massa yang banyak memutarbelit kenyataan tentang wahyu tuhan. Tetapi apabila perkara sebegini terjadi di sini, di suatu benua yang keterangan tentang ayat Allah s.w.t telah lama disampaikan dengan jelas. Ia sesuatu yang sangat menyedihkan.

Album Internal Bleeding dengan mesej untuk menyerang Mekah, anda beli album ni?
Yang terkini aku dapat lihat kumpulan INFERNAL EXECRATION dan IMPERIAL TYRANTS dari Singapura telah melangkah satu batas lagi. Tidak diketahui apa agama mereka sebelum ini. Apa yang aku tahu, secara sedar atau tidak jika mereka muslim sebelum ini. Iman mereka telah terbatal. Termasuklah mereka yang menyokongnya. Hukumnya harus bertaubat!


Kita dapat lihat sebelum ini, ada kumpulan-kumpulan politik dan badan-badan agama tertentu begitu kalut apabila isu murtad diketengahkan. Ada yang sampai mengingatkan kita semua bahawa hukum murtad itu adalah bunuh. Amboi! Mereka yang papa kedana itu, hidup merempat mengharap ehsan untuk hidup dari gereja dan akhirnya murtad kerana tiada saudara seagama sudi membantu itu hendak sangat kita hukum. Padahal apa yang nabi katakan yang sebenarnya adalah golongan pencaci dan duri dalam daging ini, sesudah mereka murtad. Mereka memerangi Islam pula dengan berbagai-bagai cara. Ini yang perlu ditangani.

Bila aku teliti, produk dari kumpulan ini ternyata mereka berjaya dalam 2 aspek. Pertama berjaya menakutkan dan mencetus kegusaran dalam hati orang yang lemah seperti aku. Ya, bagi mereka semestinya orang macam aku ini lemah kerana masih terikat dengan agama. Dan yang kedua mereka berjaya dalam muzik mereka. Memang bagus permainan dan susunannya, mengingatkan aku kepada IMPIETY di zaman Skullfucking Armageddon tetapi dengan kualiti rakaman dan adunan yang lebih teliti. Jika bukan kerana perkara ini sudah pasti aku akan meminati Infernal Execrator ini. Infernal Execrator dan Imperial Tyrants berjaya menundukkan metalheads nusantara ini walaupun pada hakikatnya mereka masih beriman tetapi menghalalkan perbuatan ini kerana minat. Kecintaan terhadap muzik mengatasi iman. Jadi ini tugas kita sebagai seorang yang masih mempercayai agama, masih beriman kepada Allah dan Rasul. Kita kena beritahu rakan-rakan, benda ini salah dan boleh merosakkan syahadah.



Kita orang yang percayakan agama, manakala kumpulan-kumpulan seperti mereka tidak percaya dengan agama. Tugas mereka adalah menyedarkan anda semua tanpa agama hidup anda akan lebih bebas, lebih keyakinan diri, tiada kongkongan dan sebagainya. Mereka telah lakukan dengan baik. Mereka telah dianggap sangat ‘cool’ dengan imej tersebut. Tugas kita pula adalah islah kan rakan-rakan yang mengucapkan syahadah tetapi masih hidup dalam kekafiran. Mempunyai agama dalam masa yang sama anda adalah seorang metalhead memang tidak ‘cool’. Tetapi fitrah sebagai manusia pula anda perlu mempunyai agama untuk hidup.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...