Selasa, 14 Januari 2014

ANTARA PERARAKAN JALANAN DAN DAKWAH JALANAN



Tidak layak seorang yang berakal bertanya, "Mengapa kalian memperingatinya(Mawlid)?" Kerana, seolah-olah ia bertanya, "Mengapa kalian bergembira dengan kelahiran Nabi SAW?".- Prof. DR. As Sayyid Muhammad bin Alawi Al-Maliki


Seawal pagi tadi laman sosial Majlis Belia Negeri Perlis menyiarkan kenyataan pembatalan programnya di atas arahan Mufti Perlis dan Jawatankuasa Masjid Alwi, yakni Masjid Negeri utama selain Masjid Putra.

Tidak disiarkan pula apakah tentatif program mereka dan kenapa program itu dibantah? Hampir 100% komen balas menghentam dan mengkritik mufti dan jawatankuasa masjid. Paling popular tuduhan ‘wahabi’ dan turut mengaitkan dengan acara-acara mungkar yang lain serta melibatkan sesuatu yang lebih meluas dan luar kuasa sang mufti. Jangan begitu. Kuasa mufti kecil sahaja. Jika tanpa sokongan Raja sebagai ketua agama dan pemerintah. Bagaimana beliau boleh menguatkuasa fatwanya?. Sebagai contoh, walau dicanang oleh media-media bahawa Perlis begitu regim dalam fatwanya. Shisha yang diharamkan oleh mufti tetap dihisap dan dijual terbuka di restoran 3 kilometer dari pejabat Mufti.

Saya cuba provokasi dengan komen menyokong mufti dan pihak masjid Alwi. Saya provokasi dengan komen-komen kononnya mungkin mufti dan pihak masjid risau dengan sambutan perarakan dan berkawad dijalanan akan menyebabkan pihak gereja mempertikaikan upacara tersebut yang datang dan ditiru dari cara mereka memperingati hari kelahiran Jesus. Namun, orang Islam Malaysia tiada toleransi membenarkan mereka mengunakan ‘Allah’ sebagai nama Tuhan mereka.

Ya! Bertalu-talu komen mengentam saya. Ada yang mengatakan saya cuba menegakkan benang basah, iaitu cuba mempertahankan pihak mufti dan Masjid Alwi yang salah dimata mereka. Ada yang minta saya kemukan bukti-bukti dan sebagainya.

Saya membisu. Mereka-mereka yang bijaksana dan warak ini, bukan sahaja tahu mengunakan enjin pencari Google. Malah melalui pendidikan asas Islam di sekolah rendah lagi kita dah tahu Nabi SAW tidak mewarisi sebarang perarakan jalanan bagi memperingati hari lahirnya. Sesuatu yang saya tidak faham sejak dari dulu.

Arawi Akustika
Dan mereka mengatakan untuk menzahirkan kecintaan kepada Rasul perlu dijalankan upacara sedemikian? Maka saya bukan orang yang cintakan rasul kerana enggan berkawad dan menjunjung segala macam binaan dan panji. Jangan salah faham, bila dikata demikian, mereka yang bodoh dan dungu akan mengaitkan pula; takkan berselawat? menganjurkan kuliah dan ceramah agama pun salah? Siapa yang kata salah pula? Berselawatlah seberapa banyak setiap saat dan detik pun. Bernasihatlah, islah sepanjang hari pun. Selagi ia tidak bercanggah dengan syarak maka lakukanlah. Saya sendiri mempunyai rakan-rakan yang menubuhkan kumpulan yang berzanji, bermahaban disetiap hari kebesaran Islam atau setiap masa yang mereka suka. Saya sokong penuh. Berhiburlah dengan gaya Islam.

Saya tidak berpihak kepada mana-mana institusi agama. Malah saya sendiri tidak bersetuju bila ada institusi agama menghalang orang bukan Islam mengunakan Allah sebagai tuhan mereka. Saya ada hujahnya bukan marah tanpa sebab seperti seorang pak cik pada suatu pagi yang terus duduk di meja saya ketika sedang sarapan dan menonton berita di sebuah restoran. Pak cik tersebut memakin hamun Father Lawrence dan berharap Father ditembak dan dibunuh. Disamping berkali-kali menyatakan orang Kristian tidak boleh mengunakan kalimah Allah. Kenapa? Tiada hujah. Saya menunggu sahaja hujah darinya. Tetapi tiada.

Bagi saya, dia seorang tua. Dan ilmunya terhadap tauhid dan dakwah setakat itu. Hormati dia. saya diam sahaja.

Begitu jugalah kes Majlis Belia Negeri Perlis ini. Adalah lebih baik sekiranya mereka menghormati dua entiti keagamaan paling besar di Perlis dan mempunyai jemaah dalam mengeluarkan sesuatu fatwa. Lebih afdal dibincangkan apa khilafnya program mereka bersama imam-imam dan tuan mufti sendiri dari meluah rasa tidak puashati kepada harut marut di facebook?

Saya berbincang hal ini dengan seorang rakan sepejabat. Kebetulan dia baru berpindah dari Sabah. Dia mengulas ‘ disini OK lah dimansuhkan perarakan dan berkawad dijalan-jalan sempena maulid. Semua orang dah tahu apa itu maulid. Macam aku di Sabah tahun lepas, di daerah **** yang majoritinya Kristian eloklah dibuat. Dia jadi macam dakwah la’.

Nah! Dakwah? Kalau berselawat dan kawad. Aku boleh faham lagi, mungkin ada mereka yang ikhlas hati berselawat sambil berkawad. Tetapi dakwah disampaikan dalam perarakan dan kawad. Ini salah tafsir dakwah bagi aku. Bagaimana ia sesuatu dakwah bila tiada ‘keterangan hakiki’ itu disampaikan pada orang bukan Islam? Dengan selawat? Terjemahan dan erti selawat pun tiada siapa terangkan pada bukan Islam dan langsung mereka tidak faham? Bagaimana pula dakwah ini sampai? Saya sangat faham hidayah itu berjalan dengan izin Tuhan. Tetapi ini bukan kaedah berdakwah yang Nabi SAW warisi. Ia syok sendiri.

Mungkin benar apa yang dikatakan oleh seorang cendiakawan Islam, orang Melayu lebih tumpukan tuntutan agama yang kearah ceremonial melebihi penekanan akidah dalam agama itu sendiri. Mereka suka sesuatu ibadat yang kearah ‘majlis, keramaian, pemujaan’ dari menekankan akidah suci agama Islam yang lebih hebat impaknya terhadap kehidupan sendiri dan masyarakat sekeliling.

Jika ditanya kepada saya. Bagi anda apa aktiviti paling sesuai selain berselawat dalam meraikan kelahiran junjungan Nabi Muhammad SAW?

Bagi saya. Street Dakwah.

Sunnah terbesar, menyambung dan mewarisi usaha Baginda dalam mendaulahkan Islam. Malah ia tuntutan Baginda supaya umatnya berdakwah dan tabligh, yakni menyampaikan. Jika beberapa tahun lalu saya hanya tahu SABA Media dan IIS dari Kuala Lumpur yang giat dengan pengkajian Bible (walaupun banyak orang salah faham dan mengkritik, malah mengeji mereka), berbahas dengan pihak gereja dan aktif dalam dakwah jalanan. Kini lebih ramai yang muncul dari Ipoh, Penang, atau luar negara seperti Australia, Norway, Sweden, Amerika yang giat dalam ‘dakwah jalanan’. Ia kelihatan seperti sesuatu yang baru, hakikatnya ia adalah warisan Baginda.

Apa salahnya sempena Maulid Nabi, kita dirikan sebuah booth disetiap kawasan tumpuan orang bukan Islam. Kita berkumpul disitu bersama seorang ustaz atau pendakwah. Kita hadiahkan buku-buku mengenai tauhid dan Islam, kita beri ruang kepada orang ramai untuk bertanya mengenai kemusykilan mereka dalam hal-hal berkaitan Islam dan kita perjelaskan dengan penuh hikmah. Atau kita sendiri mengajak orang-orang bukan Islam untuk mendengar sekejap wahyu-wahyu yang diturunkan kepada mereka dan mengenai siapa Tuhan yang satu. Apa salahnya?


 
Saya teringat kata-kata seorang pendakwah mualaf ketika menjawap satu pertanyaan dari seorang pelancong England mengenai pemakaian orang Islam yang aneh baginya. Beliau menjawab ‘ anda perlu mengetahui siapa mereka sebenarnya. Jangan disebabkan anda melihat begitu anda menghukum agama Islam dan pemakaian seluruh orang Islam. Bercakap tentang Islam ada 2 jenis penganutnya; satunya, mereka yang mengaku seorang Islam dan beramal dengannya. Kedua, mereka yang mengaku Islam, tetapi tidak endah atau tidak mengikut syariatnya. Tetapi kalau boleh saya tambah sebagai bonus, yang ketiganya, mereka yang mengaku Islam, tetapi mencampur aduk syariat dan adat, dan menganggapnya AGAMA”.

Tepat sekali. Anda kategori yang mana?

18 ribu orang belarak disepanjang jalan Putrajaya pagi tadi mungkin mengambarkan perpaduan umah bagi pemerintah. Diwaktu yang sama 5 orang pendakwah jalanan disebuah kota metropolitan in shaa Allah menawan hati puluhan manusia yang tidak penah mendengar keterangan hakiki sebelum ini.

Jalan mana yang lebih mulia? Wallahualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...