Khamis, 17 April 2014

HAL MUAMALAT DALAM PERGERAKAN MUZIK BAWAH TANAH: RIP-OFF


Rip~Off (sl.) tipu [ merujuk pada Kamus Oxford ]

Rip-off adalah satu perkara atau perilaku yang tiada kesudahan dan telah berlarutan sejak sekian lama. Saya menganggapnya sebahagian dari rencah hidup dan ada baiknya fikiran ini ditumpukan kepada perkara yang lebih penting. Hakikatnya kita melalui penipuan dalam urus-niaga hampir dimana sahaja. Namun, atas permintaan seorang rakan dan pembaca blog ini, yang mungkin buat kali pertamanya beliau di rip-off sejak berkecimpung dalam sindiket muzik bawah tanah ini. Hati yang telah hancur luluh itu ingin ditenangkan. OK! Saya tunaikan permintaan beliau yang meminta saya mengulas mengenai senario rip-off dalam dunia muzik haluan kiri.

Menoleh jauh kebelakang tentang isu rip-off ini, rasanya semua aktivis-aktivis UG pasti pernah di rip-off. Kali pertama saya di rip-off ketika menyunting Kemenyan Zine suatu ketika dahulu, pada zaman itu zine editor hanya menulis surat-surat untuk menemubual kumpulan-kumpulan tempatan atau luar negara. Dan dari temubual yang dibalas melalui surat itu lah sang editor akan menyuntingnya untuk dijadikan zine. Suatu tempoh yang panjang, memenatkan dan penuh kesabaran diperlukan dalam menghasilkan sesebuah naskah atau isu. Jadi sebagai imbuhan agar tidak membebankan kumpulan-kumpulan atau individu-individu yang ditemubual, zine editor akan membekalkan setem kepada kumpulan/band tempatan, dan seringkali kumpulan muzik antarabangsa terutamanya yang popular dan mempunyai rangkaian peminat yang ramai, mereka menetapkan zine editor atau peminat menyertakan IRC bagi memudahkan mereka untuk membalas setiap surat. IRC (International Reply Coupon) ini berharga RM3.50 (jika tidak silap-saya ingat-ingat lupa?!) dan boleh dibeli menerusi setiap pejabat pos ketika itu. Rasanya, kini ia sudah pupus ditelan zaman. Beruntunglah kepada sesiapa yang pernah melalui zaman itu.

Maka paling banyak saya di rip-off adalah IRC ini. Siapa tidak sedih jika antara syarat yang ditetapkan oleh kumpulan tersebut adalah 2 hingga 3 IRC. Duit yang digunakan adalah dari wang saku sekolah, kumpulan yang ditemubual merupakan idola. Temubual punyalah cantik dikarang. Akhirnya diam dan lenyap begitu sahaja. Ini adalah kejadian rip-off pertama yang saya lalui. Selalunya saya akan berhenti dari menyokong kumpulan tersebut. Ia lebih mudah untuk memboikot kumpulan tempatan. Jika anda masih ingat dipertengahan 90-an kumpulan-kumpulan dari Norway khasnya seperti DARKTHRONE, EMPEROR, SATYRICON pernah jadi ego tak tentu pasal dengan menyatakan mereka tidak mahu membalas sebarang surat peminat dan temubual lagi kerana ia membuang masa dan lebih baik masa menulis surat yang berkoyon-koyon itu digunakan untuk menulis lagu baru dan praktis. Ada betulnya juga? Tetapi tidak adil juga bagi zine-zine dan peminat-peminat mereka serata dunia yang menulis kepada mereka demi untuk menyokong karier mereka.


Band-band dari Norway terlalu kuat untuk diboikot dan muzik mereka terlalu hebat untuk diabaikan menyebabkan mereka terus disokong dan digilai. Namun pada awal millennium, sikap mereka berubah menjadi lebih mesra dan kembali melayan peminat-peminat. Kumpulan-kumpulan dari USA atau negara Scandinavia jarang sekali me-rip-off surat-surat dari Asia kerana mereka perlukan sokongan dari sini waktu itu disamping mahu melebarkan sayap mereka disini.

Saya jarang sekali membeli barang-barang dari kumpulan luar negara pada tahun 90-an kerana masih bersekolah, malah prosesnya panjang. Kumpul wang saku sekolah, tukar wang di money changer, hantar surat, dan tunggu berbulan-bulan. Bahasa Inggeris saya juga teruk. Selalunya saya beli dari distro-distro tempatan. Di rip-off memang perkara biasa memandangkan pada zaman itu hampir semua kumpulan-kumpulan tempatan mahu ‘well hidden cash’ , tentu anda pernah baca pada flyer-flyer lama kan? . Sesuatu yang amat sukar dibuktikan bila barang tak diterima manakala band pula menafikan mereka menerima wang. Selalunya alasan mereka jika sampul yang dihantar adalah ‘berdaftar’. Kami terima envelop kosong!

Halalkan aja lah.

Begitu juga aktiviti tape-trading, atau zine-trading. Selepas mencapai kata sepakat, masing-masing hantarlah produk masing-masing. Tetapi rupanya hanya sebelah pihak yang hantar. Pihak satu lagi terus diam membisu. Atau bila sampul sampai aja, lain yang dipersetujui, lain barang yang sampai. Dan ia menguntungkan hanya sebelah pihak. Itu rip-off. Kalau dalam hal muamalat Islam, sah urus niaga itu haram!

Sesekali sekala band pun boleh kena rip-off dengan zine editor. Contohnya ada makhluk pemalas dan mahukan stuff-stuff percuma. Sebagai taktik, dia menerbitkan satu isu zine ‘cakar-ayam’ sebagai dummy dan bukti kewujudan. Seterusnya beliau cetakkan ratusan flyers mengatakan sebarang band-band yang mahukan promosi dan ulasan/temubual perlu hantar material percuma kepadanya. Maka semua itu diperolehi secara percuma dan terus ke peti surat rumahnya. Tanggungjawab beliau? Kosong. Kini di zaman facebook dan berbagai media sosial, turut wujud individu-individu yang aktif menipu seperti ini. Mereka akan membuka sebuah akaun dengan menyamar mereka editor majalah/zine dan menghantar mesej peribadi berangkai kepada band dan label muzik meminta material-material percuma untuk kegunaan majalah mereka. Tetapi mereka hanyalah scam yang ingin album-album percuma. Individu-individu dari Peru, Philippine, Brazil, China, Sri Langka dan Malaysia. Ya Malaysia!

Tindak balas yang diambil oleh mereka-mereka yang kena rip-off sebegini jika zaman dahulu, mereka pula membuat flyers atau surat berangkai mendedahkan nama dan alamat kaki rip-off dan menyebarkan pada kenalan-kenalan agar tidak berurusan dengannya. Begitu juga dilaman sosial kini, mereka-mereka yang pernah dianiaya dan prihatin agar orang lain tidak menjadi mangsa mewujudkan page atau group yang menyenaraikan nama-nama dan alamat kaki rip-off seluruh dunia.


Pernah baca dalam majalah-majalah seperti Metal Hammer yang mengulas muzik sesuatu band seperti is a total METALLICA-rip-off band, SODOM rip-off band, HELLOWEEN-rip-off dan sebagainya? Itu perihal meng-rip off harta intelek. Selalunya ia melibatkan band-band yang kurang idea, tidak kreatif, suka meniru idola mereka atau lebih tepat dah dasar kaki rip-off! Selalunya band-band yang berani bertindak begini bila ada benda yang mahu ciplak atau curi itu melibatkan band berpotensi tetapi kurang dikenali. Jadi bagi peminat-peminat yang kurang ilmu mereka tidak tahu ketulenan itu milik siapa? Dan keliru siapa pencetus idea asal dan yang benar-benar genius. Si peniru pula apabila kantoi, mereka akan mendakwa mereka melakukannya atas dasar memberi penghormatan pada mentor mereka. Karut kan? Ada juga yang rip-off idea-idea band yang popular dan menjadi terkenal. Itu startegi pemasaran, mereka bijak rebut peluang tetapi siapa ingin mendengar 1000 band klon kan? Ia hanya trend semasa.
 

Saya teringat suatu kisah hampir 6 tahun lalu sebuah band ini asyik meminta lirik-lirik BLACKFIRE kerana ingin memainkan lagu-lagu tersebut untuk sesi jamming. BLACKFIRE memang tidak mau lirik-lirik mereka didedah kerana khuatir disalah tafsir dan banyak lirik-lirik yang telah Azmi sunting dipendekkan dari asal yang lebih panjang untuk lagu-lagu rakaman studio. Setelah sekian lama dan tidak berputus asa memohon lirik dari Azmi, kami pun memberi beberapa lirik penuh lagu-lagu pilihan mereka supaya mereka gembira. Dan selang beberapa bulan, tanpa sebarang maklum dan tanpa sebarang izin. Band itu merakamkan sebuah lagu dan terus dimuatkan dalam laman sosial dengan lirik-lirik BLACKFIRE yang telah disunting sebelum itu! Mereka kantoi apabila BLACKFIRE mendapat aduan dari rakan-rakan.

Apa motif band-band rip-off begini? Mereka mahu dikaitkan dengan status lagenda secara mudah atau bodoh? Ia jelas bukan dilakukan atas dasar penghormatan.

Sampai suatu ketika, saya sedikit maju dengan mempunyai produk-produk sendiri seperti t-shirt, patch, cd dan kaset. Saya mendapat sokongan dari distro-distro atau kedai-kedai metal tempatan yang berminat untuk mengedar barangan saya. Saya gembira. Sebagai kapitalis, mereka menjerut leher saya hinggakan oleh kerana kasihan dan berfikiran positif dengan menggangap rakan dan sokongan peminat lebih penting dari wang ringgit. Saya relakan untuk memberikan mereka harga yang tidak masuk akal malah rendah dari harga modal. Semuanya demi persahabatan dan menghargai sokongan mereka. Tetapi saya amat sedih dan marah bila mendapat tahu, harga produk-produk yang diambil dari saya dengan harga yang rendah, bukan sahaja tidak dijual mengikut harga rasmi sebaliknya tinggi 2x ganda! Bukan sahaja saya di rip-off tetapi penyokong-penyokong saya turut disembelih. Saya biarkan. Bukan boleh kaya pun… tak kemana.

Kini kita lihat banyak produk-produk atau album-album luar negara yang diterbitkan semula dipasaran tempatan. Bagaimana kita tahu ia bukan bootleg atau produk rip-off? Selalunya kita rujuk semula album tersebut. Kita sebagai peminat harus ada ilmu dalam apa yang kita minat. Kita perlu tahu sekiranya band A memainkan irama black metal dari Greek contohnya dan syarikat B menerbitkan album tersebut. Adakah syarikat B tersebut sebuah label mega yang berstatus seperti Sony, BMG, Road Runner, Def Jam? Jika berstatus seperti berkenaan semestinya mereka sebuah syarikat professional yang mempunyai kontrak perjanjian. Tetapi jika syarikat B tersebut hanya sebuah label UG dan merupakan rakan-rakan kepada kumpulan tersebut. Malah di dalam kulit album jelas dinyatakan produksi album tersebut ditanggung bersama-sama (kumpulan dan label). Kita tahu, album itu adalah produk UG yang diterbitkan melalui perundingan sahabat taulan dan tiada kontrak dimeterai. Selalunya bagi produk seperti ini, band A hanya akan menerima royalti berbentuk free copy produk itu atau mungkin bayaran tunai bergantung pada budi bicara. Dan disebabkan tiada kontrak perjanjian dan proses penerbitan tanggungan bersama inilah yang memberikan hak kuasa kepada ketua band tersebut untuk memberi kebenaran kepada label-label lain untuk menerbitkan semula album tersebut untuk pasaran tempatan atau versi dan format yang baru. Selalunya band A akan mula membuat kontrak dengan label tempatan ini kerana mula sedar akan potensi produknya dipasaran luar atau mereka akan kekal dengan ‘rundingan persahabatan’ dengan mempercayai label tempatan tersebut hanya melalui lisan. Itu terserlah pada mereka.

Itulah ringkasnya apabila kita melihat produk-produk terbitan semula dipasaran tempatan. Jika itu produk label mega dan popular yang jelas terpampang proses penerbitan ditanggung sepenuhnya syarikat tersebut. Pasti ia melibatkan kontrak bertulis dan apa yang diterbitkan oleh label ‘cikai’ tempatan ini hanyalah cetak rompak. Mereka telah rip-off syarikat mega tersebut dengan alasan syarikat itu telah kaya demi menghalalkan cara.

Rip-off yeah fuck off!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...