Jumaat, 29 Ogos 2014

KENANGAN DI CELEB PUB, HATYAI

Sebaik sahaja kami (WRECKÄR) selesai membuat persembahan sulung kami di tanah Siam, seorang wartawan muzik bertanya kepada kami samada kami berminat jika liputan gig tersebut dimuatkan ke dalam majalah beliau (mainstream), saya bertanya hal ini kepada Chainsore (Vokal dan Bass) kerana saya tahu beliau kurang senang dengan majalah komersil, malah Chainsore turut kurang melayan zine-zine UG sekalipun. Dia membalas ok, sekurang-kurangnya orang-orang di luar sana mendapat idea bagaimana kami memberanikan diri membuat persembahan dengan hanya berdua mengunakan bass dan dram sahaja di gig metal negara seberang. Jadi saya katakan “OK”.

Wartawan berkenaan memaklumkan kepada majikannya (Sang Editor) yang menetapkan liputan tersebut harus saya sendiri tulis dalam format mereka, iaitu berbentuk jurnal. Tiada jumlah perkataan & mukasurat ditetapkan. Tulis dahulu dan serahkan pada dia dahulu untuk sunting. Sebarang ayat berunsur lucah, ganas, kasar dilarang sama sekali. Laporan blog saya mengenai gig tersebut walaupun dalam bahasa Inggeris telah dilarang untuk disiarkan selagi majalah mereka yang memaparkan liputan itu tidak dikeluarkan. Begitu juga foto. Mereka tidak akan menerima sebarang foto dari smartphone atau android. Semuanya harus ber resolusi tinggi dan tidak dibenarkan disiar dalam mana-mana blog, facebook dan majalah lain. Walaupun saya mula geram dengan syarat-syarat tersebut, tetapi bila memikirkan mungkin mereka majalah professional dan komersil. Mereka mempunyai piawaian mereka. Saya turuti.

Saya menyiapkan jurnal itu dalam masa 3 hari dan menghantar fail foto-foto khas untuk mereka sahaja. Selang beberapa minggu Sang Editor meminta lagi foto-foto lain yang katanya tidak menetapi kehendak majalahnya. Saya turuti dan hantar lagi. Dalam masa yang sama majalahnya telah keluar isu baru. Selang beberapa hari beliau meminta saya menyuntingnya semula agar jurnal saya lebih pendek, padahal jurnal itu memang sudah pendek pun kerana kami hanya bermain semalam dan jurnal ditulis mengikut jam sahaja berbanding seperti permintaan beliau mengikut hari. Saya meminta wartawan majalah itu yang menyunting jurnal itu mengikut kehendak mereka kerana dia lebih arif apa yang perlu dan tidak dalam jurnal dan permintaan majikannya. Sehinggalah berbulan-bulan saya dihubungi dan diminta bersabar kerana masih menunggu que. Hahaha! Maka saya dengan tidak teragak-agak meminta jurnal kami tidak disiarkan dalam majalah tersebut. Bagi kami, hanya ada beberapa kemungkinan hal ini berlaku. Pertamanya, Sang Editor tidak melihat WRECKÄR sebagai kumpulan muzik yang layak dimuatkan dalam majalahnya. Kedua, kami tiada nilai komersil dan terlalu ‘kasar’ untuk orang awam. Ketiga, majalah tersebut hanya perasan hebat mereka itu professional walhal etika kerja mereka macam tahi dihujung jubur. Tiada sebarang sesalan atau kecewa dipihak kami. Wartawan tersebut tetap kami hargai usahanya untuk memperkenalkan kami maka kami hadiahkan beliau dengan beberapa cenderahati rasmi dari WRECKÄR. 

Cerita ini sebagai berkongsi perjalanan kumpulan muzik UG yang berbeza dari apa yang kita dengar melalui pemuzik kebudayaan, pemuzik kelab, pemuzik majlis kenduri atau kebudayaan. Budaya kita berbeza, kendiri kita berbeza, nilai duit kita berbeza, seragam kita berbeza, malah muzik kita jauh lebih berbeza dari mereka. 

Ikuti jurnal ini walaupun sudah lama ditulis. Rugi juga kalau tidak dikongsikan;

WRECKÄR: CHAINSORE –BASS/VOKALIS, BARBAROSSA –DRAM
DESTINASI: HATYAI-SONGKHLA, THAILAND.
TARIKH: 26 OKTOBER 2013, SABTU
TEMPAT: CELEB PUB

Pergerakan muzik underground di selatan Thai adalah sesuatu yang amat mengujakan saya. Saya telah lama memerhatikan mereka yang sebelum ini hanya berlandaskan minat dan perjuangan individu sehingga lahirnya komuniti punk/hardcore yang bergerak aktif dan mewujudkan rangkaian aktivis underground bertindak menyokong satu sama lain dari aliran punk hinggalah ke brutal death metal. Saya hanya mengetahui kegiatan mereka pada awal tahun ini. Setelah melakukan ziarah persahabatan dan ke gig yang dianjurkan mereka. Ternyata scene mereka meriah dan masih segar seolah-olah keadaan di Malaysia pada awal 90-an dahulu. Peminat-peminat punk boleh headbang mendengar hentaman buas muzik death metal. Manakala peminat-peminat black / death metal boleh moshing dan dive bersama-sama melayan alunan keras muzik punk rock. Saya merindui keadaan itu. Dan ia sedang berlaku di selatan Thailand!

Sebenarnya kita semua telah maklum, Thailand lebih-lebih lagi di kawasan selatan Thailand yang terkenal dengan pusat fesyen, syurga membeli belah dan hub pelacuran. Bandaraya Hatyai adalah kawasan perdagangan dan ekonomi yang sering pelancong keliru kerana beranggapan ia adalah pusat bandar. Pusat bandar dan pentadbiran sebenarnya adalah di Songkhla. Namun kini jika kita ingin mengunjungi metropolitan Hatyai, kita sudah ada alternatifnya dari menghabiskan duit dengan membeli pakaian dan tekstil cetak rompak atau aktiviti penyundalan yang merosakkan moral. Kita boleh ke gig atau mengunjungi kedai metal di sana. Perlu diingat juga siri keganasan dan pengeboman puak pemisah Islam pernah berlaku di Hatyai. Kali terakhir pada 3 tahun lepas!

Perkenalan saya dengan promoter gig dan pemilik kedai metal New With Tag Shop, iaitu saudara Kittisak Suraksa memberi ruang kepada kami untuk beraksi dalam gig ini. Kittisak seorang yang sangat berbudi bahasa menguruskan kedainya yang terletak di Greenway Market, di situ jugalah seluruh komuniti underground Hatyai-Songkhla akan bersosial dan membuat perjumpaan pada setiap malam Jumaat. 

Tidak susah bagi kami untuk mendapat undangan bagi gig ini, sebaik sahaja Kittisak mendengar cd sulung kami. Beliau terus menjemput kami kerana merasakan kami adalah band yang selarian dengan kumpulan Grind/Crust dari Bangkok BLOOD SOAKED STREET OF SOCIAL DECAY yang merupakan headliner pada malam ini. 


Perkara yang menyedihkan apabila mendapat berita, Melayu, pemain bass kami tidak dapat datang kerana masalah peribadi yang menimpa dirinya. Mahu tidak mahu, kami perlu bermain dengan penuh keganjilan pada malam ini sedangkan Wreckär telah sedia ganjil dengan konsep tanpa gitar. Mungkin kami adalah kumpulan yang pertama dalam sejarah punk/metal Asia Tenggara yang bermain gig hanya dengan dram/vokal dan bass/vokal!! Tetapi itulah yang kami ingin ketengahkan dan perkenalkan dalam industri muzik berat Thailand. Usah gentar berekperimen, usah risau untuk bangkit mahupun di bumi asing dengan pendirian dan jati diri anda sendiri! 

3.30 petang
Berkumpul di Faithcraft Productions, sebuah studio muzik kepunyaan saya. Badril (ex-Editor Thanatopsis Zine, zine UG pertama wujud di Perlis) telah dilantik menjadi krew kami. Saya hanya membawa snare NewSound, satu tom-tom, drum sticks, splash, crash dan satu cymbal stand (perkara asas yang perlu ada kerana Wreckär menekankan bunyi sebu, kuno dan primitif, peralatan di sana pasti lebih moden dan tidak sesuai), manakala Chainsore membawa hanya cable, bass explorer Eikosha (jenama dari China, seperti yang kami sering war-warkan, selepas ini kami hanya akan mengunakan/menyokong produk dari Asia sahaja) dan BOSS Over Drive ODB-3. Kami juga membawa merchandises Wreckär serta berbagai-bagai CD dan kaset imported yang diedar oleh Faithcraft untuk dijual di sana. Kami bergerak dengan Volvo 740. Memandangkan harga petrol seperti emas di Thailand kami mengisi minyak secukupnya. 

4.10 petang 
Kami bertiga sampai di sempadan Padang Besar siap dengan bekalan air mineral, roti Gardenia, Nescafe dan Potato chips kerana masing-masing belum makan tengahari. Perkara pertama sekali adalah membeli insuran kereta Thailand untuk 5 hari (paling minima) dengan harga 180 baht bersamaan RM18. Saya dengan hanya berbekalkan 30 baht (bersamaan RM3, serius tak tipu!), Chainsore membawa 100 baht (RM10), dan Badril mungkin lebih banyak duit dari kami (ha!ha!ha!), kami bertiga bergerak perlahan -lahan menyusuri pintu sempadan Padang Besar-Sadao. Mengapa kami memilih sini berbanding Pintu Sempadan Danok-Bukit Kayu Hitam. Protokol di Padang Besar lebih mesra, kereta kami melepasi sekatan kastam, polis Malaysia, Thailand tanpa sebarang pemeriksaan. Dan saya hanya memberi sekali duit tips RM1 kepada pegawai imigresin Thai. Andainya melalui Danok, kawalan penyeludupan lebih ketat, segalanya wang. Anda mahu mengishtiharkan kenderaan anda pun perlu bayar RM1. Begitulah sistem pentadbiran Thailand. Jika mahu mudah, sila hulur. Harap hal sebegini tidak membiak ke Malaysia. Badril sebagai krew lantikan ditugaskan sebagai pemandu kereta. Inilah kali pertama beliau memandu kereta dari Malaysia ke Hatyai yang jauhnya kira-kira hanya 180 km dari Kangar.


5.00 petang (Thailand)
Waktu Thailand awal sejam dari Malaysia. Jadi kami singgah sebenar di Ban Prik untuk menunaikan solat Asar dan qasar. Cuaca mendung menandakan hari akan hujan.

5.30 petang
Kami sampai di bandar Hatyai melalui Carnival Central, sebuah megamall persis Mid Valley yang sedang dalam pembinaan dan akan dibuka pada tahun hadapan. Saya menghubungi Kittisak bagi memaklumkan ketibaan kami. Kittisak terus mempelawa kami ke Celeb Pub kerana beliau telah pun berada di sana dan sibuk dengan kerja-kerja persiapan tempat dan sistem audio.

5.45 petang
Celeb Pub hanya berada sekitar 4 km dari Greenway Market, sebuah kawasan pinggir bandar Hatyai yang dipenuhi pub, kelab, restoran dan gerai-gerai serta warung milik orang Pattani. Jadi tiada sebarang masalah untuk mencari masakan Thai yang halal. Keluasan pub ini hampir menyamai Penny Lane, di Sunway jika anda pernah ke situ, Cuma keadaannya lebih baik dari segi penghawa dingin, ketertiban orang-orangnya yang tidak merokok, kemudahan tandas dan terdapat bar untuk mereka yang inginkan alcohol.

Kittisak sedang sibuk dengan susun atur gig, manakala di hadapan pub berkenaan telah ada beberapa orang remaja yang menanti acara bermula. Kami minum di restoran Muslim di sebelah pub yang menyediakan roti canai dan susu. Tiada kari dan bukan dipanggil roti canai walaupun hakikatnya ia adalah roti canai. Turut dihidangkan secara percuma teh bunga kekwa sementara menanti roti canai tiba.

Beberapa orang crowd yang hadir menegur kami dan ada yang memberi salam dan memperkenalkan diri. Memang susah bagi kami untuk mengenali orang Siam muslim berbanding wanita mereka yang kental jatidiri menjadikan tudung/hijab sebagai identiti mereka. Inikan pula di tempat gig sebegini. Kami hanya harapkan salam dan bahasa Melayu untuk mengenali mereka. Ada pelajar dari maahad tahfiz turut datang! Majoriti mereka tidak pandai berbahasa Inggeris hanya sebilangan kecil sahaja yang memahaminya. Itupun perkataan yang ringkas dan popular. Ini agak menyukarkan komunikasi. Seperti biasa datang ke Thailand pasti tidak sah jika tidak melawat 7 Eleven. Itu satu kewajipan! Kami bersiar-siar berjalan di kawasan sekitar, mencuba sosej goreng dan pulut ayam sementara menantikan sistem bunyi diselaraskan. 

Hujan lebat mula turun dikawasan sekitar. Sedikit sebanyak menjejaskan kedatangan crowds. Menurut Kittisak, sekitar 80 orang sahaja hadir pada malam ini. Walaupun gig sebelum ini hampir 200 orang hadir menyaksikannya. Ini adalah gig yang ketiga dianjurkan oleh Kittisak dan boleh dikatakan sambutan tetap mengalakkan walaupun hujan lebat!

6.00 petang

Keadaan telah gelap seperti malam di Hatyai waktu ini. Sekembalinya ke Celeb Pub, saya dapati gig masih belum bermula. Saya agak hairan kenapa Kittisak tidak punctual pada hari ini? Saya cuba bertanya tetapi beliau minta saya agar bersabar dan kelihatan band tempatan PSYCHOPATHY sedang melakukan soundcheck. T-shirt Wreckär yang dibawa saya licin disambar crowds ada juga yang hilang begitu sahaja termasuk beberapa keping patch BLACKFIRE. Lesap ntah ke mana? Saya kasihan melihat Ning Patchanat, isteri kepada Kittisak yang banyak membantu saya menjual t-shirt dan CDs saya. Hanya 2 CD Wreckär terjual, begitu juga CD-CD dan kaset-kaset import yang dibawa langsung tidak terusik. Saya lihat booth rasmi Blood Soaked Street of Social Decay juga begitu. Langsung tidak terusik CD-CD mereka, hanya t-shirt mereka laris bagai pisang goreng. Pendapat saya, bagi scene yang mentah dan mula bertunas seperti di Hatyai ini, trend dan fesyen lebih memainkan peranan penting dari muzik. Oleh sebab itulah kedai Metal seperti New With Tag Shop boleh hidup dan berkembang hanya dengan menjual assesori tetapi hanya beberapa keping CD dijual di kedainya.

7.30 malam
Acara bermula dengan pembukaan kemas dari tuan rumah, sebuah band Hardcore bernama GIVE ME FIGHT. Saya telah melihat persembahan mereka sebelum ini. Band yang ketat dan menghiburkan dengan lagu-lagu yang aggresif. Crowds yang sudah mula bosan tadi kerana menjangkakan gig akan bermula pada jam 6.00 petang mula melompat kembali. 

8.00 malam
KAAB mengambil alih pentas dan memberikan persembahan punk rock yang bersahaja dan sing-a-long. Kebanyakan penonton yang hadir telah serasi dengan mereka. Mereka benar-benar berhibur dan berparti. Perkara yang saya dapat lihat dalam pub ini, pengambilan alcohol mereka adalah bebas. Tetapi mereka tertib, tidak minum merata-rata dan tidak pula menganggu orang lain. Mereka minum alcohol untuk berhibur. Bukan untuk tunjuk hebat, tunjuk samseng atau perasan bagus. Alkohol adalah minuman ruji masyarakat Siam. 

8.30 malam
Kami pula mengambil alih pentas. Dengan hanya Badril membantu, kami patut berterima kasih banyak kepada teman-teman dari GIVE ME FIGHT, NO IDEA, Krew-krew New With Tag Shop, yang banyak membantu kami berdua menyiapkan perkakas dan peralatan untuk berjuang di tanah Siam. Malah isteri kepada pemain bass No Idea sendiri tampil membantu menterjemahkan bahasa kepada soundmen dan krew bagi menyelaras tetapan bunyi kami. Kami sangat terharu. 

 
 
 

Set dram juga terpaksa diubah sedikit ke hadapan kerana saya seorang yang gemuk berbanding pemain-pemain dram Thai. Jika tidak diubah. Saya seolah-olah terperangkap dalam satu ruang yang sangat sempit hingga menggangu permainan saya. Saya dan Chainsore sangat berpuas hati dengan reaksi crowds. Mereka berani berinterasi, mengikut arahan dan mengila sebuas-buasnya. Persembahan kami terhenti sebanyak 4 kali kerana masalah teknikal. Dua kali disebabkan kebuasan crowds yang menyepak dan memijak cable bass Chainsore dan yang terakhirnya disebabkan tali bass Chainsore yang putus. Terhibur saya melihat 2 orang ahli NO IDEA menahan bass dram dan cymbal stand gar tidak jatuh pelanting. Saya langsung tidak dapat mendengar permainan sendiri dan hanya memukul sekuat hati melayan kacau-bilau yang berlaku di hadapan kami. Paling kecoh bila kami memainkan lagu “Faggots may Rot”, yang saya jelaskan kami pernah dibenci dan dikritik oleh aktivis hak asasi manusia di Malaysia kerana lagu ini. Saya menjelaskan lagu ini dicipta juga atas kebebasan hak kami untuk bersuara yang kami tidak percayakan seorang lelaki dijadikan oleh Tuhan dengan fitrah pondan melainkan proses pembesaran lelaki itu terganggu. Dan kami juga menafikan sebarang tanggapan pondan lebih bijak, lebih kreatif dari lelaki biasa kerana ia langsung tidak dibuktikan secara saintifik. Semua mengaum pada waktu itu dan kami mulakan lagu tersebut dengan aura penuh kejantanan. Saat yang hebat!

Kami sudahi dengan lagu “Born Bizarro” sekali lagi saya tekankan lagu itu bermaksud semua orang hakikatnya dilahirkan original dan pelik bukan bermaksud kalah kepada dunia serta tanggapan orang awam. Ia sebuah lagu yang memupuk keyakinan diri. 

8.50 malam 
Rata-rata crowds dan krew New With Tag Shop sendiri mengatakan Wreckär membawakan sesuatu yang lain dan ganas pada malam ini. Sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mereka. Kami turut berpuas hati. Chainsore sedikit kecewa kerana tali bass nya putus ditengah persembahan. Sedikit sebanyak memberi pengajaran agar tidak lagi lalai lagi mengantikan tali bass baru setiap kali bermain gig!

9.15 malam 
Kumpulan ASSTRAFIC siap bersedia di atas pentas dengan custom yang lucu dan lucah. Vokalisnya seorang remaja gemok hanya memakai seluar dalam, begitu juga beberapa orang crowds yang turut menanggalkan baju dan seluar mengikut beliau. ASSTRAFIC berdasarkan imej dan lagu-lagu mereka adalah sebuah kumpulan Goregrind. Mereka menyelitkan jenaka lucah dan sadis dalam persembahan mereka. Saya sempat melihat beberapa lagu yang mereka mainkan dan bergerak ke keluar pub sambil mengangkut peralatan-peralatan kami.


Terdapat sedikit salah faham berlaku antara saya dengan drummer PSYCHOPATHY ketika memindahkan peralatan-peralatan kami oleh kerana masalah komunikasi. Beliau langsung tidak dapat berbahasa Inggeris dan tidak mampu memahami apa yang saya katakan. Bahaya begini! Saya hampir bengang dan melenting bila saya menganggap beliau cuba menuduh saya cuba mencuri cymbal stand dari pub. Nasib baik Kittisak ada memberi penjelasan. Rupanya beliau mahu meminjam cymbal stand tersebut, tetapi cara dan intonasinya seolah-olah tidak membenarkan saya membawa cymbal stand itu keluar. Nasib baik ia tidak berlarutan hanya kerana salah faham. Jika tidak, dua negara pasti bergolak lagi!


9.35 malam
Setelah sesi fotografi bersama krew New With Tag Shop dan bertukar cenderahati dengan Blood Soaked Street of Social Decay kami bergerak pulang. Saya agak terkilan kerana tidak sempat untuk melihat persembahan mereka dan NO IDEA yang pasti hebat kerana terpaksa berkejaran ke pintu sempadan. Pintu sempadan Padang Besar yang ditutup jam 9.00 malam (waktu Thailand) sudah semestinya tidak sempat lagi. Kami memecut ke pekan Dannok dengan perut yang lapar namun puas kerana menconteng suatu sejarah dan kenangan yang pahit pada scene punk/metal Hatyai. Semestinya mereka bingung untuk melabelkan kami, punk tetapi seperti metal, metal tetapi lebih kepada punk, rock & roll pun bukan kerana terlalu Wreckär bising!?

11.10 malam 
kami tiba di pintu pagar sempadan Dannok dan berbaris panjang bersama-sama kenderaan-kenderaan lain dari Malaysia yang mencari hiburan malam di sini. Sudah menjadi lumrah setiap tengah malam Sabtu dan Ahad, beginilah sambutan pekan Dannok yang hanya dipenuhi hotel, pusat urut dan karaoke. 

Kami berhenti solat di pejabat Immigresin Bukit Kayu Hitam sebelum terus memecut ke Kangar dan tiba semula di Faithcraft Productions dengan seribu satu kenangan menghias perjalanan muzik kami. Vile Crust & Roll tanpa had!

Baca REPOT GIG asal di blog Faithcraft Productions

2 ulasan:

  1. Aku suka lagu "faggots may rot" tu bro..baca journal ni pun enjoy,mcm aku ada skali kat sana..hehe

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...