Jumaat, 5 September 2014

DEATH “Scream Bloody Gore” (COMBAT RECORDS/VSP) –USA


Apabila terjumpa kaset ini, air mata seperti mahu menitis. hehe. Malam ini saya ingin ceritakan sedikit sebanyak latarbelakang muzikal saya. Percaya atau tidak DEATH dan CANCER adalah antara album metal terawal yang saya dengar. Mungkin sukar hendak dipercayai banyak lagi kumpulan yang wajib saya dengar dahulu, mungkin seperti BULLDOZER, OBITUARY, KING DIAMOND, CELTIC FROST namun telah suratan takdir, saya berkenalan dengan DEATH dahulu. Kalau zaman remaja dahulu mungkin malu mahu bercerita, takut member cakap ‘tak true’ tetapi sekarang ini, ‘true/poser’ itu semua duniawi aja. Haha!

Saya dapat kaset “Scream Bloody Gore” ini pada tahun 1994 (itu pun terlewat 3 tahun dari tahun ia diterbitkan oleh syarikat tempatan VSP; pernah anda bertanya kaset-kaset VSP ni bootleg atau dibawah lesen syarikat asal? Ya lah masa tu manada internet apa semua ni.?) dari Jamal, sepupu dari seorang rakan saya, Komaq. Bercerita tentang Jamal, dia dah 6-7 tahun lebih tua dari kami waktu itu. Dia pun boleh main gitar lagu “Fade to Black” dari mula sampai habis siap semua solo-solo nya sekali. Wow! Dengan koleksi kasetnya dan skill permainan gitarnya, dia hero kami.

Ceritanya, Komaq curi kaset ini dari Jamal dan pinjamkan kepada saya tanpa kulit. Jadi saya tiada maklumat langsung mengenai lirik, siapa ahli DEATH, mujurlah ada cetakan tajuk-tajuk lagu pada kaset berkenaan. Tahu tak apa yang paling saya ingati dari lagu-lagu death metal dari era awal 90-an? Jeritan “Die!”, boleh dikatakan hampir semua kumpulan death metal akan menjeritnya. Tetapi pada ketika itu, ia kedengaran begitu releven, maksud saya ia memberi kesan pada komposisi lagu mereka. Ia begitu menakutkan! “Diiiieeeee!!! Walaupun tidak pernah diberitahu ketika itu, saya amat pasti DEATH banyak dipengaruhi oleh filem seram. Ya la, saya membesar bersama ibu yang meminati filem seram 80-an. Ternyata lagu-lagu seperti Reguritated Guts, The Gates of Hell, Beyond the Unholy Grave dan Zombie Ritual berinspirasikan filem-filem seram arahan Lucio Fulci. (rujuk sini)

Saya bukanlah seorang pemuzik yang hebat, saya sendiri merasakan saya tidak layak untuk menulis lagu-lagu technical death metal. Tetapi anda jangan sesekali mengatakan saya BUKAN peminat death metal. DEATH dikenali generasi kini sebagai kumpulan technical death metal, walaupun Chuck Schuldiner (Pengasas & ketua & diktator) sebelum meninggal dunia menjelaskan apa yang mereka mainkan dalam album terakhir “The Sound of Perseverance” bukanlah death metal lagi tetapi banyak olahan dan peremajaan kembali muzik rock dan heavy metal. Bagi yang tidak mengetahui, Chuck menubuhkan DEATH kerana dipengaruhi muzik VENOM maka tertubuhlah MANTAS yang seterusnya menjadi DEATH. Banyak kajian oleh pentaksub death metal, cuba untuk mencari siapa yang paling layak untuk dinobatkan sebagai Raja Death Metal. Banyak yang mengatakan batu asas death metal dibenamkan oleh lagenda POSSESSED melalui album “Seven Churches” dan mereka mempunyai lagu berjudul “Death Metal”, tetapi banyak juga yang mengatakan Chuck yang mengariskan intipati lirik, susun lagu serta tetapan bunyi yang lebih ampuh untuk jenama death metal. Manakala Kam Lee, penyanyi asal DEATH dipercayai orang pertama yang memperkenalkan nyanyian gaya growl. Demo kaset DEATH “Infernal Death” juga telah mengangkat gaya permainan gitar Chuck bersama B.C Rich nya dan nyanyian Kam Lee pada tahun 1985. Saya masih kencing dalam seluar di tadika ketika itu. Hahaha! Jaie dah main death metal kot. Hahaha! Ya lah tu, dia dapat mana demo DEATH?

Saya tergolong dalam kumpulan yang mengatakan DEATH adalah pelopor death metal oleh kerana saya menjumpai “Scream Bloody Gore” terlebih dahulu dari “Seven Churches”. Ini tanda aras death metal saya, manakala “Seven Churches” adalah deathrash metal, bagi saya. Tetapi siapa boleh nafikan keagungan mereka, kan? Ini sekadar pendapat peribadi. Saya dah bias. Hehehe!

DEATH sebenarnya adalah Chuck Shuldiner sejak dari awal lagi walaupun Chuck menafikan sekeras-kerasnya dan tetap memberi penghargaan pada ahli-ahlinya. Tanpa Chuck, tiada DEATH. Album ini sebenarnya dirakamkan dua kali. Pertama di Florida dan kali kedua di Los Angeles. Combat Records berpuas hati rakaman yang kali kedua. “Scream Bloody Gore” boleh dikatakan himpunan susunan baru lagu-lagu dari demo “Infernal Death”(1985) dan “Mutilation”(1986) dan ia dilakukan oleh Chuck Schuldiner yang memainkan semua alat muzik kecuali dram yang dikerjakan oleh Chris Reifert. Cetakan pada kulit album yang mengatakan John Hand memainkan rhythm gitar sekadar ‘memeriahkan majlis’. Padahal John Hand hanya pernah ‘jamming’ bersama DEATH. Boleh dikatakan album ini adalah rakaman semula demo-demo tersebut dalam keadaan sempurna yang lebih berat dan moden. Moden untuk tahun 1987!

Saya tidak memiliki semua album DEATH. Betul! Namun antara pemuzik yang saya gemar baca temubual dan kisah-kisahnya adalah Chuck Schuldiner. Saya hormati dia. Dia mungkin satu-satunya pemuzik Yahudi yang tenang dalam banyak hal. Saya suka bagaimana dia menjelaskan sesuatu perkara baik berkaitan muzik atau falsafah kehidupannya. Bila ditanya mengenai album ini, Chuck jujur mengatakan ia sesuatu yang dia telah jauh tinggalkan. Falsafah jahat, kesyaitanan dan kebencian sesuatu yang dia tidak mahu dikaitkan lagi. Selepas album “Leprosy”(1988), Chuck lebih suka menulis tentang konflik jiwa manusia dan hal-hal peribadi. Chuck turut meminta huruf ‘T” pada logo DEATH tidak lagi dijadikan ‘salib terbalik’ pada album terakhirnya kerana dia tidak mahu dikaitkan dengan gerakan anti-Kristianisasi dan anti agama-agama lain. Chuck benar-benar berubarh menjadi insan yang sangat positif diakhir usianya namun tetap teguh pada jati diri rock/heavy metal. Dia langsung tidak tunduk pada penyakitnya!

Eh?! Anda tahu bagaimana saya mendengar technical death metal? Mungkin anda juga sama, entah la? Saya pernah berbincang dengan seorang rakan. Dia pun setuju. Technical death metal ini sejenis muzik yang misterius! Ia beri satu macam hormon testosterone pada pendengar macam saya, saya akan dengar berulang kali setiap hari setiap masa, pendengaran yang serius (tak bleh dengar sambil memandu, sambil nak lelap mata, sambil borak) mesti mau tumpu, stressful dan jitu. Secara automatic, mesti hafal riffs, pukulan dram dan jeritan yang paling kejam pada lirik paling berbisa. Pastu datang bosan! Bukan bosan main-main. Bosan tahap nak lempar kaset punya bosan. Ok, biar dia terperap dalam peti arkib 5-6 bulan. Pasang balik. Wooaahh! Muka bersinar, mata cerah, senyum macam dapat awek baru cik!!! Pelik kan? Teori member aku, mungkin sebab kita layan death metal terlalu serius sampai hafal bunyi segala macam yang rumit tu, jadi bila dah tahu semua teka-teki dalam album tu, mula datang bosan. Kononnya dah buleh selesai masalah berat. Hahaha. Jadi kena tinggal dulu sekejap. Cukup tempoh perap. Dengar semula. Hahaha! Adakah anda layan macam tu technical death metal?

Yerp! “Scream Bloody Gore” adalah death metal Florida yang telah mencapai status evergreen bagi generasi kini, tetapi disaat pertama kali saya mendengarnya ia begitu teknikal dan sukar dimainkan. Ia masih sukar dimainkan walaupun sekarang bagi pemuzik amatur macam saya. Haha!

Bercerita tentang apa lagi yang memberi impak bagi penjenamaan muzik DEATH semestinya dari segi visual. Chuck telah memilih orang yang tepat untuk tampil dengan konsep “Scream Bloody Gore”. kesinambungan karya lukisan tersebut dapat dilihat dalam album “Leprosy”. Ed Repka pelukis kulit album ini adalah Raja ilustrasi metal dunia!!! Lukisannya bagai muzik dari DEATH, mempunyai personaliti yang tersendiri. Kita lihat sahaja lukisan kulit album MEGADETH, ATHEIST, MASSACRE, terus tahu ia hasil kerja tangan Ed Repka.

Chuck Schuldiner kini dinobatkan sebagai bapa death metal yang dihormati oleh pemuzik-pemuzik berbagai genre malah dihormati oleh mentor beliau sendiri, VENOM misalnya menulis lagu “Lest We Forget” sebagai ingatan kepada Chuck dalam album “Fallen Angels” (2011).

Selamat tinggal Chuck dan semoga aman disana.

Ikuti ulasan-ulasan muzik dari saya di SINI. >> FAITHCRAFT PRODUCTIONS

4 ulasan:

  1. moga aman di sana Chuck Schuldiner, bapa death metal sejati.

    BalasPadam
  2. kali pertama dengar Death adalah album Leprosy...sekitar tahun 89 atau 90...masa tu lah aku dikenalkan dengan terma "Death Metal"...sebelum tu yang heavy sikit dari heavy metal orang panggil thrash....

    BalasPadam
  3. hail death walaupun aku belum dgr lagunya lagi haha

    BalasPadam
  4. Pada saya inilah album DEATH yang paling saya minati. Say beli album ini pun secara kebetulan sebab terlihat ada seorang pekerja gerai roti canai memakai baju ini pada tahun 1995.
    Banyak lgu lagu fav saya seperti Evil Dead,Beyond the unholy grave dlll....
    Tremolo riffing Chuck mempunyai Identiti @trademark yang tersendiri...Pada Pendapat saya, kewujudan death metal ini adalah hasil kerja pelbagai band yang muncul di scene underground metal
    Dari
    Slayer-Haunting the chapel,
    Sodom-outbreak of Evil
    Kreator-Pleasure to kill
    Sepultura-Bestial devastation
    Nihilist-demos
    Slaughter-strappado
    Genocide/Repulsion
    Morbid Angel-abominations
    dan mungkin banyak lagi yang telah menyumbangkan idea kepada genre death metal...

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...