Rabu, 22 Oktober 2014

ANJING SALAK BUKIT



Ramai yang meminta untuk aku mengulas isu ‘ I want to touch a dog’ ni, aku mendiamkan diri kerana memilkirkan aku bukanlah ahli dalam hukum-hakam ini. Lagipun ia bagi aku hal fekah, tidak menyentuh intipati kerukunan Islam seluruhnya. Namun, bila melihat kawan-kawan rocker yang tidak tahu menahu turut mengiakan segala macam yang pandangan orang ‘bukan Islam’ yang tidak arif malah ‘kafir’ (bermaksud non-believer), aku rasa pelik. Padahal kita patut berlapang dada sahaja, kerana yang tidak setuju pun tampil dengan hujah yang hebat, begitu juga yang menganjurkan. Bagi aku kedua-dua pihak betul.

aku pihak yang TIDAK bersetuju. Tetapi aku ok aja.

aku bukanlah ahli agama. aku mahu coretkan sedikit kisah aku bersama ‘man best friend’ si anjing. Sewaktu aku kecil, mungkin bawah 5 tahun, (kalau ibu aku tahu mungkin dia terkejut bagaimana aku masih ingat?) jauh di dalam hard disk otak, masih aku ingat datuk dan nenek aku ada membela anjing. Mungkin untuk menjaga rumah dari pencuri ataupun kebiasaan orang kampung ketika itu. Datuk dan nenek aku hanya petani biasa jadi aku berpendapat ia kebiasaan kampung tu. Aku ingat lagi anjing tersebut tidak pernah masuk ke dalam rumah dan hanya tidur dibawah pokok asam tua dihadapan rumah. Setiap kali kami tergesel atau tersentuh dengan anjing tersebut, ibu akan bawa aku ke sebuah lopak air atas tanah dan membasuh dengan air tanah, sebelum membasuhnya dengan air perigi. Ketika itu masih tiada air paip. Ok, habis cerita tu.

Bertanya kepada ibu aku tentang isu ‘touch a dog’ ni, dia cakap ‘dulu ya la, banyak orang jahil lagi. Ramai bela anjing, biasa la’.

Tahun 2009 aku berpindah dari KL ke Gurun, Kedah dan tinggal di bawah kaki Gunung Jerai. Rumah sewa aku dan sebuah rumah lagi adalah yang terakhir merapat ke kaki gunung. Rumah sebelah dihuni oleh seekor anjing aku namakan ‘Blackie Lawless”, tuan dia hanya datang sehari sekali bagi makan dan tinggalkan dia sendirian di situ. Rumah tersebut tiada penghuni. Jadi akulah rakan baik Blackie Lawless. Dari garang, dia girang setiap kali melihat aku pulang berkerja. Dia melompat dan membuat aksi lincah untuk mendapat upah makanan. Dia penghibur lara hati aku yang hidup kesorangan di situ. Pada malam hari Blackie turut membuatkan aku seram apabila menyalak garang dan mengamuk marahkan sesuatu dibelakang aku setiap kali pulang berkerja malam. Bila aku toleh hanya gelap pekat dan hutan tebal kaki gunung. aku anggap Blackie mahu melindungi rakannya dari entiti yang tidak dapat dilihat. Nota penting: aku tidak pernah menyentuh Blackie hinggalah berpindah dari situ!

Tahun 2013, seorang individu tidak bertanggungjawab telah membuang seekor anjing yang baru melahirkan anaknya berdekatan kawasan masjid kampung aku. Suatu hari aku lihat anjing tersebut telah mati dilanggar kereta meninggalkan anak-anaknya hidup dalam longkang. Mereka comel tapi takutkan manusia. Suatu hari pulang dari kerja, seekor anaknya sedang tidur di tepi studio. Disebabkan terlalu comel, dan tahu dia anak yatim (hehe). aku biarkan. Sejak dari hari itu dia tinggal di sekitar studio dan kami mula memberi dia makan. Dia mula mengganggap rumah dan studio aku itu juga rumahnya juga. Tetapi aku tidak sesekali menyentuh atau mengosoknya walaupun kadang-kadang ketika pulang dari kerja dia menyerbu seolah-olah mahu menyambut kepulangan aku. aku tidak menyentuhnya kerana, aku faham benar naluri haiwan seperti anjing dan kucing bila manusia mula mengosok dan membelai mereka, maka wujudlah hubungan kekeluargaan yang mesra. Mereka mahu disentuh setiap hari untuk bermanja. Maka aku mahu hadkan ‘perhubungan’ itu.

Sepekara yang wujud ketika itu, jiran-jiran dan pelanggan studio mula keberatan untuk datang jamming dan tidak selesa kerana sering disergah oleh anjing tersebut. Kedua, si anjing juga memerlukan permainan jadi perkara yang sangat aku marah apabila dia selalu mencuri selipar diluar studio. Entah berapa banyak selipar baru yang aku beli kerana hilang setiap pagi. Suatu hari Chainsore datang untuk rehearse lagu-lagu WRECKÄR (kami dalam proses untuk merakamkan demo pertama ketika itu), selipar beliau pun dicurinya untuk main baham-baham. Ketika itu aku agak peka dalam soal samak kerana terpaksa ambil tahu dah ada anjing kat studio, jadi selipar itu hanya perlu dibasuh sebersihnya tidak perlu air tanah. Sama seperti kenderaan terlanggar anjing. Memadai dengan dibasuh dengan air secukupnya. Tak payah beli tanah selori lumur kereta pastu basuh. Hahaha. Ketiga, aku bangun lebih awal dari anjing, tiap kali hendak ke pejabat apabila shift pagi aku perlu kejutkan anjing tidur diatas skuter pula. Pernah aku hilang sabar dan libas anjing tersebut kerana hilang kasut kerja dan bangun lewat. Hahaha. Keempat, paling aku geram, dia mula mencuri kain baju di ampaian pula. Susahlah begini. Dan kelima, dia seronok pun dia menyalak, dia takut pun dia menyalak. Tidur aku sudah tidak seaman dulu. Begitu juga jiran-jiran. Begitulah kehidupan Blackie II yang akhirnya aku temui mati dijalan raya kena langgar kereta. Kesian.

Aku dah nyatakan mengapa aku tidak sentuh anjing tadi. Itu ja? Nak hujah lagi?, kerana aku orang yang menyakini agama Islam dan menyakini perkara itu salah satu larangan dari Allah. Mudah saja. Banyak ‘orang bukan Islam’ membangkitkan isu aurat, duit rasuah, arak dan segala macam perkara haram. Adakah mereka orang yang percaya dengan hukum-hakam Allah? Adakah mereka beriman? Bagi saudara-saudara yang ikut serta bersetuju tu, aku sendiri pun hairan? Di mana keimanan kita dalam mengakui segala yang terbaik itu rencana Allah. Halnya seperti babi, ia larangan dimakan oleh Allah SWT. Bukan sebab hal kuman, kotor, jijik, itu hikmahnya sahaja. Tetapi ia adalah larangan dari Allah. Muktamad.

Tapi kenapa? Cukuplah saya katakan kerana Dia Allah. Penguasa alam ini.

Ia agama kami, orang-orang Islam. Yang lain jika tidak mempercayainya, tolong belajar. Bukan mengajar.

Aku seorang pekerja sosial yang setiap hari tugas aku memberi perlindungan dan penjagaan pada orang papa dan tersisih masyarakat. Antara tugas aku menguruskan hal pemakanan mereka, aku pasti ada suatu ketika aku pernah terlalai dalam menguruskan malah mungkin ada ketika aku pula yang mengambil hak dan bahagian mereka tanpa sedar. Begitu juga dalam sehari-hari telah jadi lumrah aku terlihat wanita-wanita yang mendedah aurat dengan cara yang tidak disengajakan. Sesuatu yang berbeza, saja-saja mahu bercumbu dengan anjing dan tidak sengaja melakukan perkara haram. Kenapa pencinta anjing ini membangkitkan isu-isu ini? Einstein sendiri berkata, masakan seseorang itu boleh memahami perkara yang besar jika hal yang kecil pun dia tak reti.

Pasal isu basah kering. Jilat. Bulu jatuh. Bulu basah. Itu orang kafir pun dah faham. Kita tinggalkan. (rujuk fatwa)

Aku bukanlah ahli agama. Tetapi beberapa tahun kebelakangan ini, aku mula membuang poster-poster, gambar-gambar penyanyi, band pujaan aku di studio kerana aku percaya ia haram dan amat dibenci agama. Aku berhenti melukis manusia dan wajah-wajah kerana aku percaya ia haram dan amat dibenci agama. Aku berhenti membeli baju-baju metal yang mempunyai foto-foto ahli band, malah aku mengecam tshirt jihad dengan wajah-wajah tokoh Islam atau baju pilihanraya dengan wajah tokoh-tokoh ulama. Aku orang yang percaya itu adalah larangan agama dan sangat dibenci. (rujuk kisah kemasukan nabi ke Kota Mekah dan lukisan wajah nabi Ibrahim). Sia-sia usaha aku selama ini untuk mengikis perkara yang menjauhkan aku dari malaikat jika aku tergolong dalam mereka yang setuju hal itu. Mengapa?

Aku orang yang ada sedikit iman ni, mempercayai membela anjing dihukumkan najis itu menjauhkan kita dari malaikat rahmat. (cari sendiri kisah nabi SAW dan Jibrail mengenai seekor anjing yang tidur di rumah nabi)

Ada yang membangkitkan anjing juga makhluk Tuhan. Ada orang benci dan suka anjing sama seperti kucing, tikus, ular. Aku BENCI katak walaupun begitu aku tidak layak menghinanya. Aku percaya kebanyakan muslim hari ini benci anjing bukan kerana niat untuk menghina anjing. Tetapi lebih kepada soal najis, kerana  suci adalah hal yang dituntut dalam perlakuan ibadah Islam. Setiap orang Islam yang warak (warak bermaksud orang yang menitikberat hukum agama) tidak mahu solatnya terbatal. Atau lebih tepat, tidak disah.

Ada yang menjawab program itu dianjurkan untuk membuang stigma takutkan anjing dikalangan orang Islam. Menangkis tomahan, mereka berhujah duit rasuah, aurat, arak yang lebih berat haramnya boleh ja sentuh. Anjing kenapa tak leh? Beginilah hujahnya pula kepada penganjur, kenapa tak anjur ‘Program sentuh Bible tak akan murtad’, ‘Program Bukan Islam pun Boleh ke Masjid’, ‘Program Jom Cuba Berhijab Sehari Pada Non Muslim’, ‘Program Sentuh dan Peluk Bapuk’…. Ce tengok, apa puak sebelah sana nak hentam. Hahaha.

Ada ‘orang bukan Islam’ kata dia tidak suka anjing dilabel najis. Apa kami boleh buat? itu hukum agama dari Tuhan. Ini antara perkara yang membuatkan aku tidak mahu memberi ulasan sebelum ini. Mereka tidak dapat terima ia adalah suatu hukum agama. Bukan rekaan yang boleh diubah-ubah.

Sesuatu yang anda perlu sentiasa faham. Inilah diantara perkara-perkara yang membezakan kami dan kamu.

Ada yang mengunakan hujah kisah yang diceritakan Nabi SAW mengenai ahli maksiat yang masuk syurga kerana memberi makan seekor anjing kelaparan. Tahukah mereka wanita itu hidup sebelum turunnya syariat solat lima waktu? Ada yang bahalul, solat pun tak pernah. nak jaga stray dog pula dengan harapan sebab boleh masuk syurga kerana exploit kisah tersebut.

Aku difahamkan pihak penganjur adalah seorang aktivis kebajikan yang hebat dan bukan calang-calang pengetahuan agamanya. Beliau seorang yang sistematik, ada pengikut dan individu yang banyak jasanya dalam masyarakat. Itu bukan penentu segala yang dibuatnya itu betul. Dan juga kalis teguran nasihat. Kerana yang menegurnya juga bukanlah ulama-ulama yang Allah SWT umpamakan seperti anjing. (rujuk al-‘Araf 175-176)

Namun saya percaya apa yang dilakukan mereka adalah dengan niat murni begitu juga yang menegurnya.

Sebuah soalan untuk menutup isu ini saya ingin tanyakan pada semua; Jika Rasulullah SAW masih hidup adakah dia restu dengan program seumpama ini? Atau jika keempat imam yang benar masih hidup adakah mereka redha program sentuh anjing ini dalam banyak-banyak program kebajikan?

4 ulasan:

  1. "Program Sentuh dan Peluk Bapuk" - kalau lelaki sentuh memang tak haram..tapi kesian pulak kat bapuk tu takut dapat penampar nanti..hahah..
    btw,nice artikel bro..masalahnya sekarang ni cuma satu je..kita dah kembali ke zaman jahiliyah yang sebenar nya..

    BalasPadam
  2. pasti tak restu dgn program ni.. itu jawapannya.
    tak dinafikan anak2 anjing memang comel,
    tapi mmg menarik ni, Program Sentuh dan Peluk Bapuk’ wakakakakaaka

    BalasPadam
  3. sedihnya ramai antara kita bila berbicara hal2 kebendaan akan membandingkan dengan yang lebih tinggi...kawan beli kapcai...kita nak beli superbike....tetapi bab agama...bab iman....lebih suka membandingkan dengan perkara yang lebih rendah...hasilnya muncullah ayat-ayat seperti sentuh anjing lagi elok dari sentuh bukan muhrim...

    btw...nice post bro...padat dan jitu...kalau ada yang masih tak paham...memang tak tahu la nak cakap macamana lagi...


    .

    BalasPadam
  4. Antara hikmah dalam program ini, kita dah tahu mahzab Maliki boleh sentuh anjing. Jadi pengikut mahzab Maliki mungkin kata yang bangkang tu taksub. Bukan begitu, semperti juga foto-foto famili dan sebagainya yang digantung dirumah. Banyak hujah-hujah membenarkan dan melarang. Kita terima semuanya. Dosa atau tidak bergantung pada niat masing-masing yang akan dinilai Allah. Cuma perkara yang merisaukan kita, (tak kira mahzab) adakah malaikat akan masuk ke rumah kita apabila anjing atau gambar-gambar manusia digantungkan di kediaman?

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...