Rabu, 18 Februari 2015

15 TSHIRT METAL PALING UNGGUL SEPANJANG ZAMAN

Tshirt adalah satu seragam paling unik mengambarkan jatidiri anda sebagai seorang metalhead. Di universiti, di pasar malam atau pun di hospital, takala bertemu dengan seorang remaja, doktor, pensyarah, tukang kebun atau guru, jika benar cecair logam mengalir dalam darah anda. Kita pasti bertegur sapa. Itu persaudaraan metal. Bagi yang tidak tahu. Anda tiada akan faham.

Tajuk kali ini saya pilih adalah berdasarkan pandangan peribadi bukan dipengaruhi mana-mana tulisan berprofil tinggi atau popular. Sekadar memberi pandangan kepada yang melaluinya dan berkongsi pada generasi baru yang mahu mengetahuinya. Apa yang dikatakan t-shirt metal itu seharusnya mempunyai elemen yang berpaksikan jenayah, kegelapan hinggalah kepada unsur syaitan. Imej-imej dari dunia muzik metal ini sangat menakutkan bagi golongan-golongan alim dan kumpulan-kumpulan agama yang menyifatkan kumpulan-kumpulan metal adalah penyembah syaitan. Ada sesetengah kumpulan metal yang begitu mementingkan imej dan penjenamaan hingga melebihi muzik mereka itu sendiri. Malah mereka lebih dikenali dari imej dan kerja seni visual. Pemakaian tradisional seorang metalhead boleh dirujuk dalam posting saya yang sebelum ini, yang mana tshirt satu elemen utama yang harus ada.

Saya memilih 15 tshirt ini berdasarkan kriteria berikut:

- Ia popular sebaik sahaja dikeluarkan walaupun telah diulang cetak.
- Mudah kelihatan di tempat awam (perpustakaan, pasar tani, kolej, bandar, kampung, dsb)
- Sering kelihatan di acara muzik ( gig, konsert, festival, klinik gitar, kedai muzik, rock pub)
- Sering dipakai band lain dalam promo foto (majalah dan zine, lebih utama rujukan zine UG)
- Mempunyai nilai yang tinggi, baik yang baru atau terpakai. (sering diburu dan dicetak rompak)

Memang ada beberapa tshirt lain yang begitu popular seperti BURZUM bersama foto Varg memegang belantan yang begitu ikonik, tshirt album pertama BLASPHEMY yang mempopularkan war metal, DRI dengan logo orang lidi nya, GHOST yang tiba-tiba meletup, begitu juga DISHAMMER yang meletup dengan album “Vintage Addiction” dan terus menjadi klassik, tetapi yang senarai dibawah ini menewaskan mereka dalam beberapa aspek sejarah atau kekuatan muzik itu sendiri.

15. IRON MAIDEN “Number of The Beast” (1982)
Ilustrasi oleh: Derek Riggs
Lukisan paling mengundang kontroversi dan paling jahat pernah dihasilkan oleh Riggs untuk Iron Maiden kerana memaparkan Eddie (maskot Iron Maiden) mengawal marionette setan dengan tali dijemarinya. Banyak kumpulan-kumpulan agama tampil membakar kaset Iron Maiden sebagai tanda protes. Lukisan ini sebenarnya adalah hiasan kulit asal bagi single “Purgatory” tetapi telah disimpan untuk album ke-3 mereka. Cetakan tulen tshirt ini mempunyai senarai tarikh-tarikh jelajah dunia tahun 1982-83.

14. METALLICA “Damage Inc Tour” (1986)
Ilustrasi oleh: Pushead
Ada yang mengatakan lukisan “Metal Up Your Ass” lebih popular. Mungkin benar? Tetapi ini penilaian saya dari kajian secara peribadi. Semua orang tahu, album pertama Metallica sepatutnya berjudul “Metal Up Your Ass” dengan lukisan tangan memegang pisau keluar dari mangkuk jamban oleh Stephen Gorman. Namun pengunaannya dihalang oleh syarikat rakaman mereka, membuatkan Cliff Burton melenting dan berkata “Just fucking kill ‘em all”. Ironinya syarikat Megaforce terus bersetuju dengan judul “Kill ‘em All”. Tetapi kenangan yang mengaitkan Damage Inc dengan kematian tragik bassist fenomena mereka, Cliff Burton pada 28/9/1986 di Sweden, menjadikan tshirt ini sangat-sangat diburu.


13. DISSECTION “Storm of the Light’s Bane” (1995)
Ilustrasi oleh: Kristian Wåhlin atau dikenali sebagai Necrolord
DISSECTION pernah menjadi suatu kuasa besar black metal Sweden suatu ketika dahulu dan pernah menjadi sebahagian dari pergerakan penganas muzik black metal diketuai oleh mendiang Euronymous. DISSECTION adalah diantara band yang membuktikan apa yang mereka nyanyikan dilakukan dalam dunia nyata. “Storm of the Light’s Bane” adalah album terakhir sebelum penyanyi dan gitaris mereka Jon Nödtveidt disumbatkan ke dalam penjara kerana membunuh pada tahun 1997. Suatu ketika dahulu tshirt “Storm of the Light’s Bane” dengan lukisan serampang berkaki salib songsang pada belakang sering kelihatan memenuhi gig-gig black metal serata tempat.


12. CELTIC FROST “Morbid Tales” (1984)
Ilustrasi oleh: Thomas Gabriel Fischer
Morbid Tales album sulung dari kumpulan metal lasak dari Swiss ini mempengaruhi begitu ramai artis black/death metal. Antara tshirt kegemaran otai-otai muzik yang kejam dan maha berat. Lebih hebat ia dilukis oleh Tom sendiri. Kebanyakan tshirt ini yang boleh diperolehi dari banyak distro adalah bootleg.


11. CANNIBAL CORPSE “Butchered at Birth” (1992)
Ilustrasi oleh: Vincent Locke
Antara kumpulan teknikal death metal yang paling berjaya menakutkan dunia dengan imej serta lirik mereka. Malah mereka dikecam di negara kelahiran mereka sendiri. Mereka mula menjadi perhatian apabila kumpulan-kumpulan agama dan ahli politik terkejut pada lukisan tshirt mereka yang digemari para remaja, seterusnya menjadikan Cannibal Corpse sebagai sasaran kempen mereka. Isu itu juga membuatkan album-album mereka digam di Jerman, Russia dan Australia. Namun kontroversi tersebut membuatkan album mereka diburu dan terjual jutaan unit.


10. DEATH “Leprosy” (1988)
Ilustrasi oleh: Edward Repka
Dinobatkan sebagai album paling penting dalam genre death metal, Lukisan dan muzik “Leprosy” adalah kesinambungan dari album sulung mereka “Scream Bloody Gore” (1987). Tshirt DEATH dengan ilustrasi ngeri dari Repka lebih diminati dari konsep abstrak yang dicetak selepas itu. Namun itu pilihan mendiang Chuck Schuldiner sendiri kerana berpendapat mereka bukan lagi band death metal selepas album ketiga.


9. CRADLE OF FILTH “Vestal Masturbation” (1997)
Ilustrasi oleh: tidak diketahui
CRADLE OF FILTH pernah popular dalam pergerakan black metal suatu ketika dahulu kerana memperkenalkan tema Pontianak dengan penuh gaya. Apabila mereka bertindak menghalakan muzik mereka kearah yang lebih komersil dengan memperbanyakan elemen gothic dan symphonic. Mereka mula dikecam. Seperti CANNIBAL CORPSE mereka sangat menekankan kerja visual, bezanya jika CANNIBAL mengunakan lukisan, CRADLE mengunakan foto sebenar. Tidak kira dimana sahaja, di Asia atau Barat, tshirt mereka sangat keterlaluan untuk ditonton umum. Tshirt ini memaparkan seorang biarawati melakukan onani dan pada belakang tshirt ini terpampang ayat ‘Jesus is a cunt”. Tetapi ia masih kelihatan dipakai sesekali dalam gig-gig hingga kini.



8. MORBID ANGEL “Altar of Madness” (1989)
Ilustrasi oleh: Dan Seagrave
Mengambarkan sebuah plat dari fosil memerangkap roh dan entiti purba yang jahat. Kadang-kadang jika di amati ia kelihatan seperti animasi Ghostbuster pun ada. Bagaimanapun seperti muziknya, “Altars of Madness” seperti memulakan sesuatu terma death metal yang sempurna dan agung tepat pada masanya. Robban Becirovic, dari majalah Close-Up berpendapat album ini merubah wajah muzik metal Sweden secara keseluruhan ketika ia diterbitkan. Yang mana pada penghujung 80-an Speed, Thrash dan Death Metal seperti tiada perbezaan yang jelas. “Altars of Madness” memberi suatu yang baru. Semua orang memilikinya. Seluruh empayar thrash Sweden telah dihukum dan lenyap sama sekali kerananya! Baju ini asalnya dicetak dengan perkataan “Masters of Chaos” dibelakang. Mempunyai dua versi dan masih diulang cetak hingga sekarang.


7. SEPULTURA “Beneath the Remains” (1989)
Ilustrasi oleh: Michael Whelan
Tshirt ini cantik dan ada nilai seni halus yang tidak mungkin dikaitkan dengan death/thrash metal. Jika seseorang tidak tahu kegilaan pemuzik Brazil ini, pasti mereka akan sedikit bingung dengan karya ini. Tajuk lukisan ini adalah “Nightmare in Red”, manakala album “Beneath the Remains” ini dirakam oleh Scott Burns dan diadun oleh Tom Morris. Dua nama besar dalam rakaman muzik heavy metal. SEPULTURA adalah kumpulan muzik berat paling hebat pernah wujud di Brazil.


6. DIO “Holy Diver” (1983)
Ilustrasi oleh: Randy Barrett
“Holy Diver” adalah album paling agung pernah dikerjakan oleh mendiang Ronnie bersama rakan-rakan walaupun pernah mengetuai ELF pada awal 70-an, seterusnya bersama RAINBOW dan BLACK SABBATH. Tidak dapat dinafikan ‘suara emas heavy metal’ ini tiada lagi pengantinya. Logo DIO dikatakan jika diterbalikkan akan membawa bacaan “Die” atau “Devil” manakala lukisan Holy Diver memaparkan Murray (maskot DIO) memegang rantai seperti melontarkan seorang paderi ke dalam laut. Sebuah visual yang penuh tanda tanya?

5. DARKTHRONE logo
Ilustrasi oleh: Tassilo Förg, Fenriz dan Tompa (AT THE GATES)
Tidak dapat dipastikan bila sebenarnya tshirt ini mula dicetak? Apa yang saya tahu, kali pertama ia dicetak terdapat lukisan Baphomet dibelakangnya. Kalau yang tulen mestilah keluaran Peaceville. Bagaimanapun disebabkan terlalu laris. Banyak juga edisi bootleg yang boleh dibeli dengan kualiti setanding yang tulen. Tetapi Darkthrone langsung tak kisah.

 
4. SODOM “Agent Orange” (1989)
Ilustrasi oleh: Andreas Marschall
Saya berpendapat hampir setiap orang yang pernah menjadi atau masih thrasher pasti memiliki tshirt ini. Album yang menyaksikan SODOM akhirnya berjaya menembus pasaran komersil setelah beralih dari muzik black metal atas saranan gitaris Frank Blackfire. Tshirt ini boleh dikatakan pelengkap kepada seragam thrash metal dengan haluan militan. Lukisan yang diinspirasikan oleh pengunaan Agent Orange di perang Vietnam. Pada bahagian belakang tshirt ini dicetak asap berbentuk tengkorak yang dikeluarkan oleh pesawat AC-47. “Agent Orange” turut dicetak pada tshirt hitam dan celoreng. Tetapi yang paling popular berwarna putih.


3. BATHORY “Bathory” (1984)
Ilustrasi oleh: Joseph A. Smith
Gambar kepala kambing itu, Ace Spunky Black dan Quorthon sunting dari kulit buku berjudul Witches (1981) ada asalnya lukisan ini mahu dicetak dengan warna emas pada kulit album tetapi disebabkan budget yang kecil, Quorthon meminda ke warna kuning. Quorthon tidak menyukai warna kuning tersebut, namun 1000 cetakan pertama itu laris dalam masa dua minggu dan popular sebagai “Gula Geten” (Kambing Kuning). Cetakan pertama album tersebut sangat sangat diburu oleh peminat. Bagi cetakan seterusnya, Quorthon memilih untuk hitam putih sahaja. Jadi tidak hairanlah jika tshirt ini ada kambing versi kuning dan putih. Bagi yang tidak tahu album ini mulanya mahu dinamakan “Pentagrammaton” dan dirakamkan Heavenshore Studio (sebenarnya hanya sebuah garaj) mengunakan perakam analog 8 channel. Album terpenting kepada genre black metal ini mempengaruhi ribuan kumpulan metal seluruh dunia. Lawaknya, Quorthon menyatakan dia tidak pernah dengar muzik VENOM ketika proses menulis dan merakamkan album ini. Namun pemain dram mereka mengakui BATHORY terpengaruh dengan keganasan muzik VENOM. Apa pun tahta muzik hitam di Sweden tetap dikuasai BATHORY walaupun mendiang Quarthron telah lama terbang ke Valhalla.


2. MOTÖRHEAD “England” (1977)
Ilustrasi oleh: Joe Petagno
Siapa tak kenal logo ‘babi perang’ yang berstatus klasik ini mungkin tidak tahu menahu langsung apa yang dikatakan punk atau rock & roll atau permulaan thrash metal? Nama MOTÖRHEAD ini sebenarnya merujuk kepada penguna dadah Amphetamin. Cetakan terkini bertulis ‘Everything Louder Than Everything Else”. Kini MOTÖRHEAD mampu menjual album mereka hingga 15 juta unit seluruh dunia. Jadi, pasti banyak versi bootleg tshirt ini bersepah-sepah.


1. VENOM “Black Metal” (1982)
Ilustrasi oleh: Conrad “Cronos” Lant
Lars Ulrich ada tshirt ini. Varg Vikerness ada tshirt ini. Dani Filth ada tshirt ini. Mirai ada tshirt ini. Nergal ada tshirt ini. Dave Grohl ada. Wan As Sahar ada. Apa mau tanya lagi? Tshirt tulen VENOM diberi hak cetakan kepada Razamataz dan versi bootleg nya boleh didapati serta dunia dengan mudah namun tetap kekal nilai anti komersilnya. VENOM menghentam dunia muzik perdana melalui album ini hingga memberi syaitan satu imej baru. Iaitu…. Menjelma sebagai ‘bintang rock’! VENOM memulakan segalanya yang dilakukan dengan lebih ekstrim oleh pemuzik di Florida, di Brazil, di Sweden dan di Norway. Seorang metalhead memakai tshirt VENOM umpama mereka memberi penghormatan kepada raja kepada segala raja muzik black metal.

8 ulasan:

  1. aku semua baju kat atas ni tiada, bagi aku no 15, 5, 3, dan 1 mantap..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kena ada bro.. salah satu tshirt aku rekomen ni.. hehehe

      Padam
  2. aku pernah ada no 15 dan no 7 ajer...poser betul....sekarang ni pakai baju2 hantu ni rasa segan la pulak...hahaha...

    BalasPadam
    Balasan
    1. dok pakai "Agent Orange" aja la ni... fave tshirt. tp yang x best bila selisih dgn org lain yg pakai sama.

      Padam
  3. Yg ada sampai sekarang yg di pakai ialah "dio holy diver", " sodom agent orange" dan "iron maiden number of the beast" tu..heheh..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Holy Diver macam wajib kan?... hehehe

      Padam
  4. no 10, 8 dan 4 memang tshirt kegemaran...dsbbkan peratusan org yg pakai sama dan selisih sgt tinggi, smp skrg aku x beli2 lg...hehehe

    BalasPadam
  5. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...