Jumaat, 24 Julai 2015

EDUL FITR & RIFLE




Hari Raya Edul Fitr tahun ini terasa agak lopong buat saya kerana tiada sesiapa untuk meraikannya bersama, selesai solat sunat edul fitr saya menziarahi ibu, adik-adik dan melawat satu-satunya nenek yang sudah uzur dan perlu diperkenalkan diri setiap kali kami bertemu. Datuk dan nenek yang lain telah lama pergi ke rahmatullah. Sudah dua tahun saya memakai baju Melayu untuk menyambut hari kemenangan ini, itu pun hadiah dari ‘si dia’. Sebelum ini saya hanya memakai t-shirt, rasanya kali terakhir ayah saya beli baju Melayu baru sempena hari raya ketika darjah enam dahulu. Selepas itu saya hanya memakai baju Melayu terpakai pemberian sanak saudara kerana ayah tidak mampu beli pakaian kepada kami kecuali pakaian bundle. Walaupun ada sedikit perasaan sedih bila melihat ibu dan adik-adik dengan pakaian lama setiap tahun. Kami adik beradik tidak pernah kecil hati.

Edul fitr buat saya tamat sebaik masuk waktu solat Jumaat. Saya hanya memikirkan bilakah waktu untuk masuk berkerja semula. Saya ke rumah baru sedang dalam pembaikan di Kuala Perlis, bertukang hingga senja dan malamnya saya keluar minum di kedai Arai. Lebih teruk dari saya, gypsy laut seperti Arai langsung tidak raya, yang dia tahu hanya memancing dan goreng koteaw pada sebelah malamnya. Arai orang Kola.

Saya terkenang seseorang sempena hari raya ini, walaupun saya tidak mengenali beliau secara peribadi. Saya mengenali beliau dari anak saudaranya. Saya namakan beliau H. Beliau seorang lelaki yang telah lanjut usia, semasa mudanya beliau seorang yang obsess kepada wanita-wanita jelita dan suci. Jika mengikut ungkapan hipster barangkali: Wanita Melayu Terakhir. Ditakdirkan beliau jatuh hati pada seorang wanita yang sangat rupawan, dan akhirnya membawa ke jinjang pelamin. Betapa luluh dan hancur hati beliau apabila setelah berkahwin dan mendapat tahu wanita pujaannya sudah pun dinodai orang lain. Setelah menceraikan wanita itu, H putus harapan dengan wanita. Walaupun tidak bersumpah, dia enggan berkahwin lagi dan terus menjadi pessimist. H tidak mesra dengan adik-beradiknya disebabkan mereka telah berumah tangga dan mempunyai keluarga masing-masing, membuatkan dia kekok dikelilingi anak-anak saudaranya. Manakala kedua orang tuanya telah lama meninggal dunia. Tradisi H setiap kali Edul Fitr adalah memburu di hutan. Maka, setiap kali tiba hari raya, sebaik sahaja selesai solat sunat Edul Fitr H membawa senapang patahnya dan terus ke hutan. Ada kalanya, H sampai berhari-hari tidur di hutan tanpa peduli dunia manusia. Pernah orang-orang kampung risau tentang keadaannya setelah melihat kereta H beberapa hari terdampar dipinggir hutan. Begitulah perayaan Edul Fitr setiap tahun buat H dikala masyarakat luar kalut dengan khilaf ziarah kubur pagi raya, berselawat bising semasa solat tarawikh dan kalimah berdalil sunnah untuk takbir raya. H sibuk meredah rimba dan menari picu senapang mensasarkan rusa. Mungkin kita menganggap H kurang siuman, gila memburu dan anti-sosial. Mungkin pada hakikatnya H bertahajud setiap malam di hutan belantara dan lebih dekat pada Yang Esa dari manusia sombong dan riak di luar sana. Wallahu’alam.

Sempena hari raya ini saya ingin memohon maaf zahir dan batin jika ada salah silap dalam penulisan mahupun pandangan di dalam blog ini.

~ Ahmad “Barbarossa” Ra1m1

2 ulasan:

  1. Sama bro.maaf zahir batin andai ada tersilap komen dlm blog ini..

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...