Jumaat, 31 Julai 2015

SERUAN KEPADA KEMUSNAHAN



Buat kali kedua, saya diminta untuk memberi pandangan mengenai single terbaru dari NILE "Call to Destruction" yang menjadi viral dikalangan peminat muzik lasak yang kurang suka dengan pendekatan mereka yang seolah-olah bersetuju dengan fundementalis Islam.

Ini bukanlah kali pertama NILE, firaun death metal dari USA yang taksub pada Egyptology ini mengetengahkan idea death metal dan mesej Islam yang sebelum ini telah dirakamkan melalui lagu "Kafir!" dalam album "Those Whom The Gods Detest" (2009). NILE dilihat seolah-olah berjaya membawa elemen 'shock rock' yang segar pada era ini untuk menarik perhatian pendengar. Seperti yang pernah dicakapkan oleh Toni Iommi ketika meraikan kejayaan album "Black Sabbath" (1970), pendengar suka ditakutkan dengan elemen ngeri. Kengerian adalah satu bentu hiburan pada hakikatnya. NILE sendiri mengakui sejak lagu "Kafir!" lagi mereka akan terus memanipulasi subjek yang menjadi ketakutan masyarakat dan para remaja Amerika sebagai kejutan. Bagi mereka ia formula yang sangat bertepatan dengan konsep death metal lebih lagi ia melibatkan falsafah yang dianggap ektrim di Barat.

Bagi yang menganggap NILE pro-Islam atau tidak peka dengan umat Islam, keduanya satu pandangan yang mungkin berasas jika dilihat mereka mengambil ilham dari ungkap kata;

“The inspiration for the song itself comes from news reports in 2012 — when radical clerics were calling for the destruction of Egypt’s pyramids. Most of the lyrics to “Call To Destruction” are actual direct quotes from the words of Abd al-Latif al-Mahmoud — whose eloquence and quote-ability are clearly second to none.”

Tetapi pada pandangan saya, mereka hanya berminat pada idea ektrim yang melibatkan apa sahaja subjek dari Timur Tengah. Bagaimanapun, suka saya sebut, NILE telah buat sesuatu yang hebat kerana ia menjadi satu perbahasan rentas bangsa-agama-benua. Moga dengan usaha mereka sama ada dengan sebarang niat itu, ia mencetuskan gerakan mengali hidayah dan menyelidik kebenaran.

Elok jika anda teliti sendiri video berlirik rasmi dari mereka diatas.

NILE = Wahabi. ( hihihi)

Sabtu, 18 Julai 2015

GANGSTER KOLA











  Banyak pakai barang recycle aja untuk renovate rumah.

Tidak pernah terdetik saya akan berpindah ke Kuala Perlis suatu hari nanti. Bagaimanapun, saya tiada pilihan disebabkan harga tanah dan rumah yang mahal di Perlis (lebih mahal dari Kedah) maka saya membuat pinjaman membeli sebuah rumah teres di Kampung Wai, kawasan suburban area yang tidak pernah saya jejaki sebelum ini. Saya membeli atas cadangan Yen @ Dementor, gitaris THE RAVENS kerana harganya yang murah kerana lokasi kurang popular.

Bercakap tentang Kuala Perlis, perkara yang paling sinonim adalah gangster kola dan dadah. Itu yang membuatkan banyak orang tidak suka bergaul dan trauma dengan warga kola. Katanya Kuala Perlis dah banyak berubah? Itu saya olah sebentar lagi.

Saya masih dalam kerja-kerja ubahsuai dan pembaikan rumah ketika ini kerana baru sahaja mengambil alih rumah yang saya telah disewakan kepada Universiti Malaysia Perlis sejak 5 tahun lalu. Sepanjang sebulan saya datang membaiki rumah setiap dua hari sekali, saya boleh dikatakan jarang sekali saya bertemu penunggang motorsikal memakai topi keledar di atas jalanraya. Entah apa alasan, 2 kali longgongkan sampah berulat dan busuk dengan sengaja diletakkan di hadapan rumah saya? Sehinggalah saya bertanyakan hal ini kepada kontraktor sampah, dan dia membantu saya meminta tetangga agar tidak lagi meletakkan sampah di hadapan rumah saya kerana masing-masing dah ada tong sampah. Dan kes yang terkini, perumahan saya mempunyai sebuah gerbang kecil yang menghalang lalu lintas, jadi untuk keluar saya perlu hulur muncung kenderaan lebih sedikit dari lorong saya kerana kereta Volvo 740 agak panjang hadapan. Gerbang itu halang pandangan. Saya ditengking oleh seorang lelaki walaupun saya senyum dan mengangkat tangan padanya. Jelasnya, dia akan menjadi salah seorang tetangga saya nanti. Saya banyak mengelengkan kepala sepanjang tempoh perkenalan di Kuala Perlis ini.

 Tanaman pertama dihadapan rumah saya. Kurma hybrid dari Siam. Sesuai untuk tanah Asia. Genap 4 tahun In Shaa Allah berbuah. Jemputlah datang petik di rumah nanti. Benih kurma ni sepokok RM180.

Baik, ketika saya meminta seorang rakan yang merupakan juruteknik di Unimap sendiri untuk buat pendawaian elektrik, beliau mengeluh panjang. Katanya, ‘aku terkejut hang beli rumah situ. Kalau aku, memang aku tak sanggup, aku fikir panjang kat keluarga dan anak-anak aku. Tak mahu aku bila anak-anak membesar dan bersekolah dengan gangster kola. Rosak anak-anak”. Tambahnya “Kalau nak diikutkan bukanlah ulu sangat kola tu, 12 kilometer ja dari pekan Kangar. Tapi heran aku awat jadi macam tu?”. Katanya menceritakan sebuah kisah rakan sepejabatnya “pernah satu ketika, seorang staff kena kejar dan ditampar oleh orang Taman hang tu sebab bawa kenderaan jabatan laju dihadapan rumahnya. Tapi buku bertemu ruas apabila orang yang ditampar kebetulan adik ipar gangster kola juga, 4 biji kereta kepung rumah dia, tapi dia tak nak keluar rumah, last sekali depa hentam kereta dia remuk”.
 
Kata rakan saya, dia tak boleh bayangkan hari-hari mendatang saya jadi orang Kuala Perlis. Teringat semula kisah sahabat saya, Bain (kini peniaga kambing golek dan pekasam) seorang pengusaha kantin Unimap yang beroperasi dalam taman saya suatu ketika dahulu. Ceritanya, walaupun kantin itu khas untuk pelajar, tetapi pengawal tidak berani halang orang luar datang makan disitu. Suatu malam, kira-kira 20 orang mat rempit kola datang makan dengan menu serba mewah, apabila selesai makan salah seorang mereka bangun dan dengan megah memberi tahu pada rakan saya, mereka semua tidak mahu bayar dan meminta rakan saya anggap makan malam itu sebagai zakat. Walaupun rakan saya merayu kerana perniagaannya kecil, mereka hanya ketawa dan beredar begitu sahaja. Rakan saya yang baru berniaga kerugian besar dan menutup kantin itu beberapa minggu selepas itu.

Saya teringat juga kisah popular KFC kola yang kini diambil alih oleh T-Hotel berhadapan terminal feri itu. Anda tahu bagaimana ia bankrupt? Gangster kola datang hampir setiap hari mengambil ayam family bucket, dah la tak bayar, dibawanya dengan motorsikal sekali ke kaunter jurujual. Tak ke gila? Takkanlah KFC pun perlu polis bantuan? Maka, restoran itu pun tutup sekian lama. Dan akhirnya dibuka semula tidak jauh dari lokasi asal tetapi hanya restoran kecil.

Saya dilahirnya dalam keluarga yang tidak mempunyai apa-apa harta. Malah kami sekeluarga hidup menumpang dengan membina sebuah rumah (selayaknya pondok) diatas tanah milik moyang saya di Kangar. Sayangnya moyang saya mewariskan tanah itu kepada nenek saya, tetapi nenek pula menjual tanah itu kepada orang. Walaupun tiada perundangan yang boleh menghalau kami tinggal disitu, hati sentiasa gusar memikirkan saya hanya menumpang ehsan. Alhamdulilah, baru-baru ini ibu saya memperolehi tanah pusaka dikampungnya, maka berpindahlah ibu dan adik-adik ke sana.

Ironinya, datuk dan nenek sebelah bapa saya orang Kampung Nelayan, Kuala Perlis. Keduanya telah kembali ke rahmatullah. Arwah datuk saya seorang pusher, begitu juga bapa saudara saya yang menghabiskan usianya di penjara Songkhla. Zaman dahulu, bukan seperti sekarang yang mana pemerintah Thailand dah kurang ganas, jika ditangkap di Thailand di era lewat 80-an/awal 90-an walaupun hanya dijatuhkan hukuman beberapa tahun, anda pasti mati diseksa di dalam penjara. Itulah yang terjadi pada bapa saudara saya. Semoga Allah ampunkan dosa arwah datuk, nenek dan bapa saudara saya. Disebabkan kurang mesra, saya tidak tahu dimana letaknya rumah pusaka datuk dan nenek saya sendiri. Katanya diwasiatkan kepada bapa saya, katanya beliau telah jualkannya. Saya sendiri tidak tahu.

Faithcraft yang beroperasi di Kangar juga akan dihentikan operasi dan hanya akan berfungsi sebagai label maya ditalian internet sahaja.

Dikatakan puak ‘urak lawoi’ di Satun yang hidup nomad di lautan berasal dari Tanah Melayu, mungkin dari Kuala Perlis jika diukur dari tahap mentali dan kualiti hygiene mereka. Namun ada juga warga kola yang berjaya dan penyantun. Satu cerita dari kakitangan Unimap, Tuanku Raja Perlis pernah berhajat untuk membangunkan dan membuka minda penduduk kampung Wai dengan mewujudkan kampus di situ supaya mereka bergaul dengan masyarakat luar. Tuanku menitahkan majlis konvo Unimaps dilangsungkan di situ dengan menjemput masyarakat setempat untuk turut serta. Malangnya mereka datang dengan kain pelikat, ada yang tanpa baju, membuang sampah merata tempat dan tidak menjaga adab, membuatkan pentadbiran Unimap tawar hati untuk melibatkan orang awam lagi dalam majlis konvo mereka.

Satu kisah lain, rakan baik saya Azahari peniaga pakaian bundle di pasar malam bercerita dua kes yang menyebabkan dia serik untuk turun berniaga di pasar malam Kuala Perlis lagi. Satu petang  seorang lelaki bersama rakannya datang mencuba jaket, cuba punya cuba setelah sekian lama. Ada yang berkenan dihati. Rakan saya mempunyai seorang pekerja, jadi dia memantau mereka. Akhirnya lelaki tersebut memakai jaket itu dan terus berlalu tanpa membayarnya. Lalu rakan saya mengejar dan memintanya untuk membayar, tetapi dia bertegas mengatakan sudah membayar. Mereka bertengkar besar. Selang beberapa jam dia datang semula dengan beberapa orang rakan lagi ditempat rakan saya berniaga seolah-olah mahu bergaduh. Tetapi rakan saya mengalah dan berdiam sahaja. Kejadian kedua, seorang lelaki datang membeli seluar jean dan membayar dengan not RM50, disebabkan tiada baki mencukupi rakan saya membenarkan dia berbelanja dahulu dan datang membayar kemudian setelah ada wang kecil. Selang beberapa ketika, dia datang semula dan meminta wang baki. Padahal dia langsung tidak membayar lagi seluar yang dibeli. Dia berkeras mengatakan rakan saya telah mengambil wangnya tanpa mengembalikan baki. Padahal rakan saya yang memintanya datang membayar setelah ada wang kecil. Disebabkan dia berkeras dan mahu bergaduh, rakan saya membayar wang tersebut dengan berat hati. Namun pada sebelah malamnya, lelaki tersebut datang memohon maaf setelah sedar wang baki duitnya ada dalam poket. Tetapi rakan saya dah pun trauma.

Undang-undang lanun.
 
Sepekara lagi, saya dimaklumkan dari rakan Kola sendiri bahawa kebanyakan anak jati Kuala Perlis dah banyak berhijrah ke luar. Kuala Perlis kini dipenuhi Rohingya, malah mereka mempunyai pasar basah sendiri. Dan yang menjadi ralat, mereka lebih onar dari warga tempatan. Sesuatu yang menjadi persoalan kenapa mereka diperangi di kampung halaman sendiri di Burma? Namun saya tidak menghukum semuanya. Mungkin ada ingat kes tahun 2008, seorang lelaki Rohingya dipukul sampai mati kerana dituduh mengintai?

Ketika saya meronda dikawasan sekitar (rumah saya hanya beberapa kilometer dari pantai), rupanya sempadan Satun hanya beberapa kilometer sahaja dan projek tambatan banjir yang merupakan sebuah terusan besar ke laut sedang giat dibina. Mungkin kawasan ini akan dibangunkan sebagai sebuah pusat perniagaan dan marina jika muaranya diperdalamkan nanti. Pemancing juga ramai kelihatan disini.

Ikuti kisah apabila saya dah tinggal di kola dan menjadi ‘urak lawoi’ = Orang Laut.

Selasa, 14 Julai 2015

IT FOLLOWS (2014)


Inilah kali pertama saya menonton filem ‘saka’ versi Hollywood yang ditulis dan diarahkan oleh David Robert Mitchell. Tetapi versi mereka agak ringkas, saka diperturunkan melalui seks, jadi talian hayat saka terhenti dan kembali kepada si pembawa asal jika pasangan yang diperturunkan mati sebelum dia sempat mencari pasangan untuk bersetubuh. Jika mangsanya lelaki, pasangan beliau selalunya akan datang dalam bentuk wanita, begitu juga sebaliknya. Seringkali mereka akan mengikut mangsa untuk mencederakannya, namun yang menjadi advantage kepada mangsa, ia bergerak perlahan.

Mitchell bijak mengarap empat kes dan empat watak untuk memberi pemahaman kepada ‘saka’ ini. Mangsa pertama Jeff, mewarisinya melalui one night stand, kemudian dia memberi kepada Jay (watak utama, lakonan Maika Monroe) tetapi dia diperjelaskan oleh Jeff mengenai paranormal tersebut malah menunjukkan saka tersebut kepada Jay sebagai bukti untuk persediaan. Mangsa ketiga, Greg jiran paling glamor dan macho yang sanggup menerima saka kerana langsung tidak mempercayainya. Dia mati dirogol hantu. Dan watak terakhir, Paul, hero nerd yang benar-benar menyintai Jay sejak zaman kanak-kanak dan mahu menanggung beban itu. Selepas bersetubuh dengan Jay, Paul terus mencari pelacur yang tidak difikirkan oleh mangsa-mangsa sebelum ini.

Mereka hidup bahagia selepas itu. Seperkara yang menarik tentang filem ini, David Robert Mitchell merupakan peminat tegar Disasterpeace telah menjejaki untuk meminta beliau menyumbangkan runut bunyi yang sangat bombastik melalui karya elektro dan chiptune nya. Chiptune adalah sebuah genre yang memanipulasikan bunyian dari papan kekunci, komputer vintaj serta video games. 


Tambahan: Saya agak pelik kenapa setiap kali Jay ketakutan, dia lari ke tempat yang secara logiknya tidak selamat! Ada satu ketika dia lari tidur ATAS kereta di dalam hutan berhampiran sebuah tasik. Apabila melihat 3 orang atas sebuah sampan, dia terus buang baju dan berenang kea rah mereka. Babak itu tamat begitu sahaja? Tak faham?

Satu lagi, It Follows untuk tontonan dewasa, banyak sangat aksi panas dan bogel. Batal puasa nanti!

Selasa, 7 Julai 2015

JESSABELLE (2014)



Bagi yang sudah biasa dengan subgenre filem seram bertema voodoo pasti menganggap Jessabelle biasa-biasa sahaja. Ini kerana filem voodoo yang diterbitkan sekali-sekala namun tidak banyak berganjak penceritaannya sejak dari dahulu lagi. Bagi metalheads yang penah mengkaji album King Diamonds “Voodoo” (1998) pasti arif dengan kesenian haluan neraka ini. Begitu juga dengan peminat persona bernama ‘Baron Samedi’ pasti akan menyukai filem ini. Tetapi apa yang difilemkan ini sebenarnya adalah ‘hoodoo’.

Ringkasannya begini, apabila Jessie terlibat dalam satu kemalangan ngeri yang membunuh teman lelakinya, mahu tidak mahu dia terpaksa kembali ke rumah ayahnya kerana beliau perlukan pemulihan untuk kembali berjalan. Jesse hanya terperap diatas kerusi roda. Namun satu persatu misteri menyakatnya apabila Jesse terjumpa pita video rakaman ibunya kononnya diwasiatkan kepadanya. Pada mulanya anda pasti tertanya-tanya kenapa ayah Jesse agak paranoid dan bengis. Situlah twist nya yang mana kita akan menganggap bapa Jesse seorang yang jahat. 


Dipenghujung cerita terbongkarlah ibu Jesse (bukanlah ibu sebenar), malah Jesse hanyalah anak angkat yang sedang dipergunakan untuk menghidupkan semula Jessebelle (yang sebenar) melalui sumpahan hoodoo. Ibu Jesse telah berlaku curang pada ayahnya dengan meniduri seorang paderi yang juga pengamal ilmu hitam bernama Moses hingga melahirkan Jessabelle. Ayah Jesse telah bertindak membunuh Moses dan membunuh anak haram mereka.

Jika anda pernah melihat filem The Skeleton Key, anda tentu tahu kesudahan filem genre begini akan berakhir tragis. Twist dalam filem The Skeleton Key, hoodoo tidak akan mujarab jika mangsa tidak mempercayai kekuasaan ilmu hitam tersebut. Namun motif pengamal ilmu hitam ini sama sahaja. Untuk hidup kekal selama-lamanya.