Khamis, 21 Januari 2016

8 NASI AYAM UNIK YANG PERLU ANDA CUBA DI PERLIS

Okay, sini saya cadangkan 7 jenis nasi ayam (berlaukkan ayam) jika anda berada di Perlis. Moga dapat mencuba kesemuanya;



1) Nasi Kumok (ejaan betul Khao Mok). Yang ini memang lagenda. Ada orang memanggilnya nasi ganja, tetapi mereka tersilap ini adalah resipi nasi kuning dan ayam goreng dari Selatan Thailand. Kuahnya dibuat dari lemak kulit ayam dan lauknya adalah ayam digoreng dengan rempah ranggup. Gerai ini terletak sebelum Sungai Repoh jka menghala ke Kangar, berhadapan RPA Taman Seri Pilihan. Bagi gen X Kangar, pasti anda boleh ingat kembali yang mereka ini telah berniaga sejak zaman 80-an lagi di Stesen Bas Kangar, berhadapan Kelab Hokkien, kini dah jadi bangunan Anak ku atau Agro Bank tu. 

Rasa sekali pasti datang lagi kerana harganya yang berbaloi. RM4.50 sebungkus. Tetapi kalau tiap hari makan, mual pula rasanya. Jika bernasib baik, mereka ada juga menjual murtabak pada hari-hari tertentu.Andainya ada murtabak, baik anda mencubanya sekali. Sedap dan amat berpadanan dengan harga. Bagi yang tidak suka nasi lembik dan bergam. Mungkin citarasa anda tidak sesuai makan nasi kumok ini. Ayam percik juga mula diperkenalkan beberapa tahun lalu. Ada 2 gerai nasi Kumok di Kampung Repoh. Jika anda menghala ke Arau boleh cuba yang bersebelahan stesen Petron. 




2) Nasi Ayam Panggang (Manok Tunok) ini memang kegemaran saya sejak diperkenalkan oleh Chainsore (vocal WRECKÄR) beberapa tahun lalu. Terletak disempadan Kedah-Perlis, dibawah fly-over highway Pauh-Bukit Kayu Hitam dan berhadapan Kampung Penyamun (nama sebenar Kampung Titi Kerbau, Mat Duha @ Pekëtum yang cerita dahulu kala orang ramai takut melalui jalan kampung ini pada malam hari kerana akan ditahan penyamun, saya sendiri pernah melalui pengalaman aneh sewaktu pulang menonton wayang bersama girlfriend dahulu apabila seorang perempuan tua dengan rambut mengerbang tiba-tiba melompat keluar dari belukar ke jalanraya. Ketika itu jam hampir 2.00 pagi, hampir saya mengilis wanita itu dengan kereta, girlfriend saya tidak dapat tidur sepanjang malam itu katanya!) Kedai ini diusahakan oleh orang Sarawak dan memasak mengunakan resipi tradisi mereka. Saya juga sukakan sup ayam yang dimasak dalam buluh. Kicap buatan sendiri yang disajikan bersama nasi itu barangkali pembangkit selera kerana saya mampu meratah seekor ayam tanpa nasi seorang diri! Ayamnya tidak basah, tidak juga terlalu kering. Sempurna dan boleh menyebabkan ketagihan! Wajib anda cuba dijika anda berada sekitar Pauh atau kampus utama Unimap.




3) Nasi Ayam Panggang Mek Siam. Ini adalah warung tanpa nama dan diusahakan oleh orang Pattani yang bertutur Bahasa Melayu pun suam-suam kuku aja. Apa yang saya hairan bagaimana mereka boleh membuka warung tenggek berhadapan Makmal Bioproses Unimap, Kawasan Perindustrian Jejawi (area JPJ) di tepi kedai membaiki kasut ini. Mereka juga mampu menjual ayam panggang dengan murah mengalahkan peniaga tempatan. Bayangkan dengan ayam yang boleh dipilih sendiri, harga sepinggan nasi tidak pernah mencecah RM5. Harga yang begitu mesra pelajar. Oleh itu tidak hairan, ramai pelajar, pemandu lori, posmen dan pekerja kilang datang makan di gerai ini. Namun saya tidak suka sup mereka yang dibuat dengan perisa dan stok ayam semata-mata. Ayam panggang di sini memang sedap tetapi saya pasti kandungan MSG yang digunakan mereka boleh tahan juga. Mereka turut mengedarkan minuman indie Pop the Soda.



4) Nasi Kandar Pak Daud. Apa yang saya ingat inilah rasa nasi ganja yang masih boleh ditemui hingga hari ini walaupun kebanyakan pengusaha nasi kandar tidak lagi mengunakan air rebusan daun ganja untuk memasak nasi kandar. Namun kas-kas (benih bunga poppy) masih terjual dirata-rata pasaraya sebagai rempah ratus wajib resipi nasi kandar. Apa yang kekal dalam ingatan saya, ayah saya akan menyebut nasi ganja setiap kali membeli nasi arwah Pak Daud dahulu. Sebenarnya, restoran Pak Daud turut menyediakan lauk, ikan, daging dan telur. Namun saya sukakan ayam goreng kunyit bersama nasi berkuah kari pedas dan campuran kuah dhal. Ia mempunyai citarasa yang tulen. Pedas dan mengkhayalkan. Kedai Pak Daud ini hanya terletak bersebelahan koeteaw Pak Nan (lihat post mengenai koeteaw di Perlis). Dan tempoh jualan nasi ini sekitar jam 6.30 pagi – 10.00 pagi sahaja. Sangat laris! Mereka bercuti pada hari Khamis. Kedai Nasi Kandar Pak Daud turut menjual roti canai.


5) Nasi Ayam Sri Ketapang ini adalah hidangan standard nasi ayam Hainan, cuma disebut Ketapang disebabkan gerai mereka terletak dibawah pokok Ketapang. Walaupun nampak hidangan sepinggan nasi ayam mereka kelihatan seperti direstoran-restoran yang lain. Percayalah nasi ayam Hainan disini ada kelainan dan rasanya kekal serupa setelah lebih sedekad mempertahankan kualitinya. Lokasi mereka adalah di Kampung Paya berhampiran kedai char kueteaw Tok Wi, dan jika anda ke Wang Kelian atau Padang Besar untuk membeli belah, ada baiknya ada singgah menjamu selera disini kerana saya pasti sudah lama anda tidak menikmati nasi ayam Hainan yang menyelerakan.




6) Nasi Kandar Yasmeen. Restoran yang terletak di Kompleks Tok Arau, (C-Mart) ini agak popular dan seringkali anda terpaksa berbaris untuk membuat pilihan lauk. Bermacam aneka pilihan lauk dari resipi kari India Muslim disini. Tetapi yang menjadi pilihan saya tetap ayam goreng panas berempah mereka yang diakui oleh sesiapa sahaja memang KICK ASS! Mencapai piawaian restoran mamak yang cemerlang, khidmat pelanggan yang laju, tandas yang cantik, surau yang cantik, baju koporat yang lawa, harga sendiri mau ingat!


7) Saya akui, saya bias untuk pilihan terakhir ini kerana Gany adalah bekas majikan saya. Semua metalheads Kangar pernah menjadi buruh yang digajikan beliau. Cakap saja, Azil Upanishad zine, Diken Thanatopsis zine, GG Bunthai, Madi DOSA, Ciwi, Ah Cuan, Muhazly, banyak lagi.. semuanya ada kisah suka duka di gerai ini. Malah gerai ini bermula dari perniagaan atas beca, kini beroperasi di bulatan Bukit Lagi (berhadapan stesen bas ekspress Kangar) Apa yang ingin perkenalkan, Khalid anak kepada arwah Pak Gany telah membawa satu menu baru ‘Chicken Tika’ sejenis sajian Arab untuk dimakan bersama nasi atau roti. Saya dah cubanya, memang sedap. Lembut dan pedas mirip tandoori. Kedai Gany adalah pilihan pak Arab dan nigga disekitar Kangar. Bila tanya, Arab mana ajar resipi ni? Khalid jawab "Aku tibai saja. Ni bidang aku, sekali rasa aku dah tau nak tarok apa. Macam hang dengar lagu tresh, terus boh double pedal. Aku pun sama!"


8) Bagi yang berada di Kuala Perlis, mungkin anda tidak berkesempatan untuk rasa 'nasi kumok' di Repoh yang tular tu. Anda boleh ke warung pulut ayam Aminah di Jalan Sarawak, berdekatan simpang 3 ke pasar malam Kuala Perlis, berdekatan Pasaraya Seri Utama. Diusahakan oleh orang Satun, mereka fasih berbahasa Melayu walaupun cakap Siam sesama mereka. Yang ini nasi kumok original sebab mereka guna sos cili homemade sebagai kuah, begitu juga dengan pulut ayam.  Warung beroperasi seawal 7 pagi hingga petang (hingga habis ayam).

8 ulasan:

  1. tgk gambar pun dah berselera.. yummy

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahaha! semua yang tip top nih!

      Padam
    2. Pak daud tak terlepas jugak noh.haha

      Padam
  2. Tq...Bagus info ni....next time tersesat ke Perlis memang aku cari la satu2 ni...haha...

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...