Rabu, 13 Julai 2016

PERLIS ZINE FEST & STREET ART DAY 2016


Saya dan rakan-rakan bercadang untuk menganjurkan Perlis Zine Fest 2016 di Kangar pada 15 Oktober 2016 ini. Setelah berbincang dengan beberapa orang rakan, seorang rakan (bukan dari dalam UG scene) memberi cadangan untuk saya membuat ‘Kertas Cadangan’ ke Jabatan XXX untuk sumbangan dana. Katanya in shaa Allah boleh dapat. Saya gembira. Namun setelah dinyatakan terma dan syaratnya. Saya mula rasa ralat. Begini:

KEBAIKAN
Saya mempunyai label sendiri, oleh itu lebih mudah untuk urusan Kerajaan untuk membuat pembiayaan. Dan saya dikatakan boleh mendapat geran dari RM1K hingga ke RM5K. ( Dengan dana tersebut, kami dapat buat banting yang grand, menyediakan token-token makanan, cenderahati mungkin t-shirt, buttons, stickers, patches atau sebagainya kepada yang hadir menyokong, kami mampu menyediakan tiket flight bagi cadangan klinik dram/atau gitar kepada sifu dram/gitar, kami boleh membiayai sewa PA sistem untuk deklamasi puisi, persembahan muzik, baiyai krews, cetakan flyers dan banyak lagi), kami juga tidak perlu gusar tentang sewa dewan sebab mereka bagi guna fasiliti kerajaan, bekalan elektrik, tandas percuma. Kerusi & meja percuma boleh buat sesi bedah buku. Dengan penganjuran ditempat sebegitu, mungkin editor/penulis boleh untung. Ada prestij.

KEBURUKAN
Dalam dunia Melayu yang penuh korupsi ini, saya difahamkan perlu memberi saguhati (rasuah) separuh atau lebih dari geran yang diperolehi. Mengikut rakan saya, jika RM1K saya perlu bagi RM500, jika RM5K saya perlu bagi mereka RM3K. Jadinya saya akan ada RM500 atau RM2K untuk beroperasi. Kelebihan apabila dah beli maruah mereka ini walaupun mendapat dana duit kerajaan, saya tidak perlu mengaitkan jabatan XXX dalam program ini, mereka tak kisah untuk datang lihat atau cetak logo jabatan pada banting dan sebagainya. Cukup dengan laporan program itu berjaya dan gambar (barangkali). Keburukan yang lainnya, kita sebagai pendokong kerja-kerja DIY dengan etika-etika jalanan dan bebas telah menjebakkan diri dengan korupsi yang kita kecam selama ini. Yang kononnya tidak diperlukan oleh Ugders seperti kita. Kalau tak rebel kita tak terbitkanlah zine... kita buat magazine!

Bagi orang yang bukan berlaluan bawah tanah, mereka menganggap ini perkara biasa. Urusan menjual beli maruah adalah lumrah kehidupan. Semua orang korup dan asal dapat wang dah kira cukup bagus. Tiada apa yang penting, duit adalah pemangkin segalanya bagi mereka.

ALTERNATIF
Kami anjurkan PERLIS ZINE FEST dalam skala kecil, sebagai beginner dan sebagai aktivis underground orthodox ditempat rekreasi secara bebas dan percuma. Tiada bekalan elektrik, nak masuk tandas bayar sendiri, open-air busking, dan tak dapat nak buat klinik gitar atau bedah buku. Walaubagaimanapun kalau diikutkan rekod, team KUKOQ NYOK, telah berjaya mengadakan program buku jalanan mereka mencecah ke 3 siri rasanya. Siap ada persembahan didgeridoo, deklamasi sajak dan busking. Sesuatu yang mengkagumkan. Saya turut ikut serta dan jualannya cukup memberangsangkan juga. Tempat berpotensi yang dipelopori mereka adalah di Denai Larian Pengkalan Assam dan di Gua Cenderawasih (sebelah kompleks ADUN). Mungkin boleh belajar dari mereka. 

Saya minta tolong rakan-rakan bagi pandangan? Terima kasih.

Rabu, 6 Julai 2016

VIRUS


VIRUS
Ahmad Ra1m1, 10 September 2014

Kenangan membuatkan aku ingin terus mencintaimu,
Kenangan yang membahagiakan,
Ingatan akan aku pernah bahagia,
Di suatu ketika aku pernah bahagia.

Aku tidak perlukanmu,
Aku telah membunuhmu,
Tetapi ingatanku terhadapmu tidak pernah padam,
Ia virus dalam sistemku
Menganggu gugat perjalanan nadiku

Pepijat saraf yang belum ada imunisasi,
Belum ada imunisasi.


Selasa, 5 Julai 2016

SELAMAT MENYAMBUT EID FITR

Sempena hari raya eid fitri ini, saya ingin memohon maaf jika ada sebarang kesilapan atau kekasaran bahasa dan blog ini. Sedikit kaedah ucapan para salaf dalam menyambut hari lebaran:

Dan disebutkan dalam kitab Fathul Bari (2/446) : Diriwayatkan kepada kami dalam Al-Muhamiliyat dengan sanad yang baik dari Jubair bin Nufair berkata : Dahulu para sahabat Rasulullah shallallahu alaihi wasallam apabila mereka bertemu pada hari raya sebahagian mereka mengucapkan kepada sebahagian yang lain "Taqabbalawahu minna waminkum".

Manakala, Syeikh Utsaimin rahimahullah pernah ditanya: Apa hukum ucapan selamat hari raya? Dan apakah ada ucapan tertentu?

Maka beliau menjawab: “Ucapan selamat hari raya dibolehkan, dan tidak ada ucapan selamat yang khusus, tetapi apa yang biasa diucapkan oleh manusia dibolehkan selama bukan merupakan ucapan dosa”.

Dan beliau juga berkata: “Ucapan selamat hari raya telah diamalkan sebahagian sahabat radhiallahu anhum, seandainya hal tersebut tidak pernah dilakukan oleh sahabat, namun hal tersebut kini telah menjadi perkara tradisi yang biasa dilakukan manusia, dimana sebahagian mengucapkan selamat kepada yang lain apabila tibanya hari raya dan sempurnanya puasa dan qiyamul lail”.

Dan beliau rahimahullah juga ditanya: Apa hukum berjabat tangan, berpelukan dan ucapan selamat hari raya setelah solat Ied?

Beliau menjawab: Perkara-perkara ini tidak mengapa dilakukan, karena manusia tidak menjadikannya bentuk ibadah dan taqarrub kepada Allah Azza wa Jalla, namun hanya menjadikannya sebagai tradisi, memuliakan dan menghormati, selama tradisi tersebut tidak ada larangannya secara syarie maka dasarnya adalah boleh”. Majmu Fatawa Ibnu Utsaimin (16/208-210)

Isnin, 4 Julai 2016

ARUS TAJDID (KARYA BESTARI)


Buku terbitkan Karya Bestari ini dicetak pada tahun 2007 dijual dengan harga RM2 dan saya bertuah memperolehinya dari Marhaen Litera, Guar Cempedak Kedah. Buku ini sebenarnya adalah teks ucapan Dr. Maza sempena Forum Tajdid II, di UIA pada tahun 2006. 

Bagi yang masih ketinggalan, seruan tajdid telah berlaku sejak sekian lama moga-moga anda membuka mata dengan gerakan yang semakin mendapat tempat dihati golongan muda mutakhir ini. Gerakan mengembalikan agama kepada ajaran al-Quran dan sunnah walaubagaimanapun mendapat tentangan hebat dari golongan yang mendaftarkan diri mereka sebagai Aswaja. Sesuatu yang pelik, namun dilihat sebagai wira bagi Islam acuan nustantara. Bagi mereka yang sedar akan perlunya mengekalkan 'ketulenan' agama sepertimana yang dibawa Rasulullah SAW hingga ke zaman salaf, mereka sedar ancaman pada agama bermula dari hal bida'ah yang dianggap kecil dan diabaikan. 

Hujah-hujah dari imam yang agung seperti Ibn Jauzi, An-Nawawi, Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim dikemukan dengan terjemahan tepat oleh Dr Maza di dalam buku ini. Buku untuk pendokong wahabi, kata geng Aswaja. hahaha!

* At-tajdid menurut bahasa, bermaksud menghidupkan, membangkitkan dan mengembalikan. Makna-makna ini memberikan gambaran tentang tiga unsur iaitu keberadaan sesuatu kemudian hancur atau hilang kemudian dihidupkan atau dikembalikan. Kata "Tajdid" diambil dari bahasa Arab yang berkata dasar "Jaddada-Yujaddidu-Tajdiidan" yang ertinya memperbarui. Kata ini kemudian dijadikan istilah kepada gerakan pembaruan Islam agar terlepas dari bid'ah, tahayyul dan khurafat.

Ahad, 3 Julai 2016

HADIS PALSU DAN KESAN NEGATIFNYA (MAIPS)


Dr. Maza, Mufti Kerajaan Negeri Perlis konsisten dalam usahanya mengekalkan manhaj salafi di Perlis dengan berbagai-bagai kaedah, antaranya program kampung sunnah, penerbitan risalah dan buku-buku ilmiah. Dan ini adalah diantara usaha gigihnya, dan buku cetakan berkualiti tinggi ini diedarkan secara percuma. Jadi menjelang syawal yang mulia ini, saya cadangkan anak-anak Perlis yang pulang ke kampung ambil peluang dapatkan buku ini dari Jabatan Mufti Negeri Perlis. Ini baru yahanana... kita untung!

Buku yang bertajuk penuhnya 'Hadis Palsu dan Kesan Negatifnya Terhadap Imej Islam' setebal 50 muka surat ini padat dengan pengenalan erti hadis maudu', nas-nas larangan hadis palsu, hukum menyebarkan hadis maudu', kepentingan sanad dan kesan-kesan negatifnya iaitu:

- merosakkan akidah yang murni
-menjatuhkan nilai kewibawaan Islam
-menjadikan nas-nas Islam bercanggah
-menjadikan hadis bercanggah dengan realiti dan akal yang waras
-punca percambahan pemikiran sesat
-memundurkan dan menyusahkan urusan umat
-menjatuhkan imej tokoh-tokoh umat
-memalingkan manusia dari sunnah yang sahih
-menghilangkan ketulenan agama

Bagi yang pernah membaca penulisan Dr Maza pasti arif bagaimana beliau menyusun fakta, dalil dan hujah. Turut disenaraikan seluruh rujukan fatwa di penutup buku ini. Moga semua mufti rajin seperti ini dalam memberi kefahaman kepada masyarakat. Jika Dr Maza baca ini, terima kasih tuan. Kami sayang kamu.

MENCARI SUCI (ITBM)


Karya ini dinobatkan sebagai novel Anti-Syiah yang pertama di Malaysia. Namun ia bukanlah idea yang tulen kerana Pitri al-Fateh terlambat beberapa tahun untuk mencabar Marco Ferrasse melalui novelnya ‘Nazi Goreng’. Jika dalam Nazi Goreng, Marco menceritakan tentang anak muda dari Kedah bernama Asrul dari latarbelakang agama yang akhirnya terjebak dengan haluan “Malay Power” dan neo-Nazi serta bergelumang dengan jenayah, Pitri pula menceritakan tentang anak muda dari Kedah, bernama Fazrul yang sedang berada dikemuncak bersama kumpulan punk rock nya, Parasite, namun musibah melanda ketika mereka dalam siri gig menjelajah Malaysia menyebabkan semua anggota kumpulannya terbunuh. Fazrul kembali mendekati agama setelah peristiwa itu namun didekati oleh pendokong fahaman syiah dan dia terbelit. 

Bezanya tulisan Marco adalah fiksyen dan digarap melalui penceritaan rakan-rakan punk di Malaysia. Tetapi tulisan Pitri jika dibaca oleh mereka-mereka dari dalam scene, kita setuju ia benar-benar terjadi dan sering berlaku pada undergrounders yang ingin kembali kepada jalan tauhid. Disebabkan kejahilan dan keinginan untuk bertaubat yang merodong kuat, mereka terbabas apabila didampingi orang yang salah, menjadi ghuluw, dan memusuhi ahlus sunnah tanpa sebab yang konkrit.

Di dalam novel ini, Pitri benar-benar mempamerkan penguasaan bahasa yang baik, dan juga kefahaman beliau tentang aliran sesat itu. Dua kualiti yang membuatkan novel ini perlu dibaca dan perlu dinilai sisi ilmiahnya. Guar Cempedak sekali lagi menjadi lokasi cerekarama, digambarkan dengan baik malah diperincikan lanskapnya membuatkan anda mampu melihat panorama yang sedang diceritakan ketika itu. Paling saya suka, Pitri berjaya mengarap novelnya menjadi hujah dengan mendedahkan modus operandi syiah satu per satu, seperti tidak menamakan aliran mereka sebagai ‘syiah’ sebelum mereka benar-benar kuat dalam sesuatu komuniti, mengkultuskan habib yang mana agama hanya diterima jika diambil dari ahlul bait, memainkan fitnah keluarga Rasulullah saw dianiaya para sahabat, atau lebih tepat lagi mereka hadir dengan jenama tarekat-tarekat yang memberi haluan istimewa untuk bertaubat, bertemu Tuhan dan nabi. Konsep pentaksuban imamiyyah dan pentadbiran revolusi Iran turut didedahkan oleh Pitri ketika Fazrul sudah mula menerima konsep serta riwayat yang dipetik dari kitab-kitab Syiah. Kepakaran Pitri dalam menyelit anekdot-anekdot supaya pembaca memahami senario yang sedang berlaku dalam proses dakyah syiah.

Ada kebenaran juga apabila, Naim yang membawa Fazrul ke ‘mahzab ahlul bait’ mendakwa masjid-masjid kampung dan negeri kebanyakan hanya menumpukan pada hal furuk. Manakala tarekat-tarekat menawarkan sesuatu yang lebih ajaib dan dirasakan penuh aura ‘ketuhanan’. Jika tidak masakan perniagaan agama seperti air 30 juzuk, ayam sunnah, kopi sunnah, capal nabi, meraikan kubur mendapat tempat di hati masyarakat. Ini kerana mereka dikaburkan dengan kempen taksub. Masyarakat akhirnya lupa Rasulullah saw datang dengan kempen akhlak, ibadah dan syariat.

Pitri al-Fateh Zainon kembali dengan karya yang serius melalui novel ‘Mencari Suci’ yang juga terdapat sedikit drama-drama romantis dan lucu didalamnya. Anda perlu dapatkan novel ini, cumanya kenapa bila sebut karya punk, Dr. Martens perlu menjadi hiasan kulit?

FACEBOOK MARHAEN LITERA

Dipetik dari Pedal To The Metal Zine isu # 3