Ahad, 5 Mac 2017

GELAP, HITAM, KELAM DAN YANG SE-RONA DENGANNYA


Isu perkauman atau sering disebut ‘racism’ membawa kepada dua kefahaman. Pertamanya, perkauman bermaksud “sesuatu bangsa memiliki perbezaan karektor dan kemampuan dengan yang lain menjadikan ada kaum yang berkuasa ke atas kaum yang lain”. Kedua, perkauman adalah “sikap prejudis dan diskriminasi disebabkan bangsa”.

Contoh isu perkauman; Ketika Amerika Syarikat masih mengamalkan sistem hamba, orang kulit hitam bukan sekadar dianggap kaum bawahan malah mereka dianggap harta bagaikan mereka bukan manusia. Pada tahun 1787 Konvensyen Philadelphia telah bersetuju untuk mengisytiharkan hamba sebagai 3/5 manusia bagi tujuan penetapan kiraan harta dan cukai. 

Secara umumnya, warna kulit sering dijadikan sentimen untuk menafikan tahap intelek sesuatu bangsa. - Dipetik dari Pedal To The Metal Zine, Isu # 5 (Disember 2016)

Apabila saya dilarang untuk melukis watak berwarna hitam, saya menjadi pelik dengan sudut pandangan yang dirasakan oleh sesuatu kaum, jika mereka sendiri beranggapan warna kulit merendahkan martabat mereka? Sedangkan komik itu bertujuan untuk kritikal sosial agar semua kaum mampu hidup harmoni dengan toleransi. 

Padahal lukisan itu bukanlah berwarna sebaliknya ia satu kaedah standard komik kontemporari bagi mengambarkan watak sampingan dan watak yang berada jauh pada babak sebenar. 

Warna kulit bukan satu yang kita dapat pilih. Ia pengenalan diri yang dikurniakan Tuhan. 

Penulisan ini bukan bersifat perkauman lebih lagi untuk menghina, ia sekadar perkongsian pengalaman. Enam tahun lalu, saya mengikuti Kursus Asas Kaunseling di Institut Sosial Negara (ISM). Fasilitator kami saya nama Encik B, beliau adalah seorang pegawai kaunseling yang sebelum itu pernah berkhidmat di Sekolah Tunas Bakti (STB), Sungai Besi dan kini berkhidmat di ibu pejabat dan tenaga pengajar di ISM. Saya tidak pasti sama ada beliau telah pun berpencen atau masih bertugas?

Dalam proses membantu klien menurut Encik B, pekerja sosial seharusnya mempunyai set kemahiran tertentu antaranya termasuklah mengenal pasti akar umbi masalah dan jenis bantuan yang diperlukan oleh klien. Encik B adalah seorang India penganut agama Hindu. Oleh kerana dia lebih mengetahui tabiat dan mudah untuk berkomunikasi, dia banyak mengatur program-program bagi membantu penjenayah juvana dari kaum India.

Encik B berkongsi kajian yang menunjukan setiap bangsa akan merealilasikan kekurangan dan rasa rendah diri mereka melalui berbagai-bagai perilaku, lukisan, binaan, yang merangkumi hasil seni hinggalah ke pengubalan undang-undang. Beliau memberi contoh orang-orang Jepun, katanya:

“percaya atau tidak orang-orang Jepun yang serba maju itu pun kurang jatiditi dalam aspek-aspek tertentu. Oleh kerana mereka rasa rendah diri dengan mata yang kuyu, payudara yang kecil dan tubuh yang rendah, mereka menzahirkan watak-watak anime yang konon orang Jepun itu mempunyai bentuk fizikal yang berbeza. Mereka mahu dunia mengenali mereka seperti anime itu..”

Begitu juga masyarakat India kini yang suatu ketika dahulu bangga dengan warna kulit yang gelap. Pada masa dahulu semakin hitam semakin hebat seseorang itu, begitu juga patung dewa-dewa. Encik B menerangkan lagi:

“Kini jarang sekali patung-patung dewa di kuil sendiri pun berwarna hitam legam berkilat. Orang India sendiri pun malu jika berkulit hitam. Kalau kamu semua pernah lihat filem Tamil atau Telegu, kamu akan lihat walaupun hero dan penjahat berkulit hitam tetapi heroin dalam filem itu berkulit cerah. Padahal dia seorang pelakon Hindustan dan tidak tahu pun cakap Tamil! Jika anda tidak percaya, anda lihat mimik mulut dia semasa bercakap… mereka dubbing suara orang lain. Filem-filem itu menzahirkan hasrat orang India, mereka mahu putih, mereka rasa rendah diri jika heroin berkulit hitam..” 

Sambungnya lagi:
“Dalam satu sesi kaunseling untuk mengenal pasti masalah. Saya buat satu ujikaji pada sekumpulan remaja India di STB, saya maklumkan pada hari ini saya mahu setiap pelajar buat patung dewa masing-masing, setelah siap saya bawa mereka semua ke kedai hardware untuk beli cat mengikut pilihan sendiri. Anda tahu tak? TIADA seorang pelajar pun memilih warna hitam lagi, mereka hanya mahu warna putih dan yang warna-warna lain yang cerah…. Dari sini saya tahu mereka ada masalah rendah diri dan perlu bantuan..”

Warna kulit adalah warisan dari keturunan, pemberian Ilahi. Tiada bukti saintifik ia dapat mempengaruhi perilaku jenayah atau merencatkan kemampuan berfikir. Ia hanyalah satu tanda aras kecantikan yang sentiasa berubah mengikut perkembangan masa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...