Isnin, 25 Jun 2018

TUN M


Saya bukanlah peminat Tun M. Sebagai orang Perlis, disepanjang pemerintahan Tun, tahap kemajuan negeri kami boleh dikira amat perlahan sekali. Bahkan seperti dilupakan terus oleh kerajaan Persekutuan. Kata orang politik, rakyat Perlis selesa hidup cara kampung tanpa pembangunan yang terlalu pesat. Otak terlalu kehadapan nanti pandai melawan pula. Lebuhraya Utara-Selatan yang sepatutnya menjadi pemangkin ekonomi telah dilencongkan dari Padang Besar ke Bukit Kayu Hitam. Amat menyedihkan.

Walaupun kedudukan Perlis yang bersebelahan Thailand (berkongsi sempadan darat dan laut), bersebelahan pula dengan Pulau Langkawi, serta keluasan yang kecil seperti Singapura namun tidaklah mempunyai kepadatan seperti negara itu, tetap gagal dimanfaatkan menjadi hub perdagangan dan perindustrian. Bagi saya, tadbir urus Perlis dalam mengekalkan keluasan mazhab lebih cemerlang berbanding pembangunan infra struktur dan perdagangan.

Dalam kehebatan Tun M itu, kita boleh lihat ada juga ilmu yang dapat difahami oleh orang awam namun gagal dikuasainya. Hanya Allah yang tahu kenapa? 

Bagaimanapun kelantangan beliau dalam memperjuangkan hak seperti yang kita sedia ketahui dalam isu pelampau agama, isu kekebalan raja-raja Melayu yang melakukan jenayah, isu petualangan Yahudi melalui monopoli ekonomi dunia, penindasan terhadap Palestin telah memberi impak yang besar kepada politik nasional dan dunia.

Tun M adalah simbol displin kepada penjawat awam. Kecintaan beliau pada ilmu juga membuatkan orang muda seperti kita tunduk malu.

Rabu, 13 Jun 2018

“TAQABBALALLAHU MINNA WA MINKUM”


Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah ditanya tentang ucapan selamat pada hari raya maka beliau menjawab [Majmu Al-Fatawa 24/253] :

“Ucapan pada hari raya, di mana sebahagian orang mengatakan kepada yang lain jika bertemu setelah solat Eid :

Taqabbalallahu minnaa wa minkum

“Artinya : Semoga Allah menerima dari kalangan kami dan kamu”.

Dan (Ahaalallahu ‘alaika), dan sejenisnya, ini telah diriwayatkan dari salafusoleh bahawa mereka mengerjakannya. Dan para imam memberi rukhshah untuk melakukannya seperti Imam Ahmad dan selainnya.

Akan tetapi Imam Ahmad rahimahullah berkata :

“Aku tidak pernah memulai mengucapkan selamat kepada seorang pun, namun bila ada orang yang mendahuluiku mengucapkannya maka aku menjawabnya. Yang demikian itu kerana menjawab ucapan selamat bukanlah sunnah yang diperintahkan dan tidak pula dilarang. Barangsiapa mengerjakannya maka baginya ada contoh dan siapa yang meninggalkannya baginya juga ada contoh, wallahu a’lam.” [Lihat Al Jauharun Naqi 3/320. Berkata Suyuthi dalam ‘Al-Hawi: (1/81) : Isnadnya hasan]


Namun ucapan-ucapan masyarakat nusantara seperti "Selamat Hari Raya" dan seumpamanya ketika menyambut Eid tidaklah menjadi kesalahan kerana ia membawa pengertian dan harapan yang baik kepada saudaranya.

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا

Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”. [al-Nisa’:86]

Abdullah bin Umar radhiyallahu ‘anhuma berkata: “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang meminta perlindungan dengan menyebut nama Allah maka lindunglah ia, barangsiapa yang meminta dengan menyebut nama Allah maka berilah ia, barangsiapa yang mengundang kalian maka hadirilah (undangannya), dan barangsiapa yang berbuat kepada kalian kebaikan maka balaslah, jika ia tidak mendapati sesuatu untuk membalasnya, maka doakanlah ia, sampai kalian melihat bahawa kalian sudah membalasnya.’ Hadis riwayat Abu Dawud.

Sabtu, 9 Jun 2018

ZAKAT FITRAH ONLINE


Kini tiada lagi alasan untuk berlengah-lengah atau terlupa. Begitu mudah pembayaran zakat melalui sistem online sekarang ini. Jangan sampai ada mangkok kata ini bid'ah pulak!

MAKNA ZAKAT FITRI
Banyak orang menyebutnya dengan zakat fitrah. Yang lebih tepat adalah zakat fitri atau sedekah fitri, sebagaimana disebutkan di dalam hadits-hadits. Makna zakat fitri atau sedekah fitri adalah sedekah yang wajib ditunaikan dengan sebab fitri (berbuka) dari puasa Ramadhan. 
- Shahih Fiqhis Sunnah 2/79

SIAPA YANG WAJIB MENGELUARKAN ZAKAT FITRI?
Zakat fitri wajib bagi setiap muslim, baik orang merdeka atau budak, laki-laki atau perempuan, anak-anak atau dewasa, kaya atau miskin, bagi yang mampu menunaikannya. Sehingga syarat wajib zakat fitri ada dua: 

(1) Islam.
(2) Mampu.

“Dari Ibnu ‘Abbas, dia berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam telah mewajibkan zakat fitri untuk menyucikan orang yang berpuasa dari perkara sia-sia dan perkataan keji, dan sebagai makanan bagi orang-orang miskin. Barangsiapa menunaikannya sebelum shalat (Eid), maka itu adalah zakat yang diterima. Dan barangsiapa menunaikannya setelah shalat (Eid), maka itu adalah satu sedekah dari sedekah-sedekah”.- [Riwayat Abu Dawud dan Ibn Majah]

“Sedekah itu akan memadamkan dosa sebagaimana air dapat memadamkan api". - [Riwayat Tirmidzi no. 614]