Jumaat, 15 Disember 2017

BERMALAM DI SUNGAI TEROI, GUNUNG JERAI

Pulang ke kampung bercuti selama seminggu, kami sekali lagi merancang perkhemahan di Gunung Jerai. Jika dahulu kami hanya hentam keromo mendirikan khemah kerana sampai ketika hari dah gelap gelita tanpa membawa peralatan yang lengkap. (Boleh rujuk Laporan ini) Kali ini kami merancang untuk bermalam di Taman Rekreasi Hutan Lipur Sungai Teroi yang terletak disalah satu lereng gunung berdekatan Muzium Perhutanan.

Gunung Jerai merupakan komposisi bunga gunung batu kapur selebar 8560 hektar dengan 1,380 meter di atas paras laut dan ia boleh dilihat dari Selat Melaka. Maka dengan itu dikatakan pelaut-pelaut Arab dan India menjadikan ia sebagai petunjuk untuk mendarat di Kedah. Gunung Jerai tidak pernah sunyi dari kunjungan pengamal ilmu kedukunan, persilatan, tarekat untuk bersuluk bersandarkan kisah-kisah mistik yang diperturunkan zaman berzaman. Gunung Jerai juga tidak sombong untuk menerima kehadiran pencinta alam dan pengemar sukan lasak yang mendaki dan bermalam untuk menikmati keasyikan nyanyian unggas dan rimba.

Aku dan Mad Duha bertolak dengan motorsikal kira-kira jam 5.30 petang dari Bukit Pinang, Jitra. Kami singgah di Tesco Mergong sebentar untuk solat dan beli ayam yang telah diperap, sosej, roti serat gandum dan kopi sebelum meneruskan perjalanan.







Gunung Jerai terletak kira-kira 2 km dari pekan Gurun atau 14 km dari pekan Guar Chempedak dari arah kami datang. Jam telah menunjukkan 7.20 ketika kami di Guar Chempedak, menunjukan kami sekali lagi akan tiba gelap gelita di puncak Jerai. Maka hajat untuk lepak minum kopi dengan tokey, Marhaen Litera terpaksa kami batalkan.

Kami sampai di kawasan perkhemahan kira-kira jam 8.30 malam. Walaupun keadaan gelap, kami dapat kesan kira-kira 10 buah khemah termasuk 4-5 buah kereta di kawasan parkir. Seperti yang aku jangkakan malam Jumaat di Gunung Jerai pasti rancak dengan pengunjungnya yang datang dengan bermacam-macam niat. Seorang lelaki dan pasangannya cemas ketika kami mahu mendirikan khemah berdekatan mereka.

Kami memilih untuk mendirikan khemah betul betul di penghujung sungai yang mengalir ke gaung. Mungkin dari gaung itulah jadinya Air Terjun Puteri Mandi, Yan di bawah sana.

Mad Duha mendirikan khemah, manakala aku meninjau kawasan untuk mencari pohon kering untuk dijadikan unggun api. Dalam masa meninjau kawasan mencari kayu, aku bertemu beberapa tempat lagenda seperti Perigi Tok Sheikh dan satu kawasan hamparan baru (tidak pasti Batu Kapal atau Padang Tok Sheikh kerana keadaan yang sangat gelap?). Bunyi-bunyi pelik meremangkan bulu tengkuk, mungkin juga budak-budak yang berkhemah disekitar cuba untuk menakut-nakutkan aku. Puas aku mencari namun hampa, boleh dikatakan semua dahan kayu kering bahkan dipokok pun telah dilarikan orang untuk membuat unggun api. Maka aku hanya kutip sampah-sarap (botol mineral, plastik makanan ringan, polestrin) untuk dibakar, mungkin juga itu pilihan yang baik.

Beberapa tompok unggun-ungun api dari kejauhan. Tendengar bacaan ayat suci Al-Quran. Terdengar juga nyanyian dan petikan gitar sayup-sayup mengiringi embun jantan.

Tanpa lengah masa, siap sahaja khemah, kami terus masak, makan dan berbual-bual tentang kisah silam dan masa depan. Kawasan hutan lipur ini mempunyai suhu dingin dan nyaman sekitar 18 – 26 darjah selsius serta mempunyai pemandangan panorama sawah padi mengadap Pulau Telor dan Pulau Bidan dilautan. Dan ketika malam seperti ini, kamu tidak perlu bernasib baik untuk melihat tahi bintang berguguran. Mad Duha dapat 5 kali. Aku 3 kali. Kalau Mat Salleh dah macam-macam dia bermohon pada keajaiban ‘shooting stars’ itu.


Bagi muslim, apabila kita melihat atau mendengar sesuatu keindahan, kecantikan dan kebaikan maka ucaplah ‘Masyaa Allah”. Dan apabila kita melihat atau mendengar sesuatu keburukan, kemaksiatan maka ucapkanlah ‘Subhanallah’. Maha Suci Allah dari segala keburukan. Jangan diterbalikkan ucapan ini.

Makan dah kenyang, sembang pun dah makin melalut. Kami pun masuk khemah untuk rehat. Mana boleh tidur beb. Dalam suasana hening tepat jam 3.00 pagi, terdengar dari kejauhan sebuah kereta mungkin MPV masuk ke kawasan perkhemahan. 4 sosok manusia berjalan ke arah khemah kami dan berkumpul di pondok dipenghujung sungai ke gaung berbincang dan membaca sesuatu. Tidak dapat dipastikan apa menteranya. 2 orang lelaki dan seorang gadis dan seorang lagi kecelaruan jantina. Pondan.

Lokasi ritual


Aku hanya mengintip dari dalam khemah, dari pemerhatian aku pasti 2 orang lelaki terbabit adalah pengamal perubatan kebatinan. Ini berdasarkan peralatan, persiapan dan arahan-arahan yang diberikan kepada gadis berkenaan. Sesekali lelaki berkenaan menyuluh ke arah khemah kami. Kami hanya diam membisu. Setelah beberapa ketika, lelaki berkenaan mengarahkan gadis berkenaan mandi sungai dalam keadaan berbogel. Dia menyuluh gadis itu mandi, itu yang aku tahu bogel. Aku cuba beritahu Mad Duha tetapi talian Digi tidak ada langsung di puncak Jerai. Aku harap dia pun sedang sekodeng juga. Setelah siap mandi dan menyalin baju, Sang Pondan pula mandi. Lucu pula bila dengar Pondan itu bertanya pada lelaki itu samada boleh tak dia lap badan selepas mandi?

Selesai saja ritual aku bingkas keluar khemah konon untuk cari kayu api lagi, Mad Duha juga keluar dari khemahnya. Belum sempat kami lihat rupa paras mereka, gadis dan pondan tadi sepantas kilat beredar ke kereta, dari gaya mereka berbual mungkin India atau anak mami. Dua lelaki itu Melayu. Mad Duha sempat juga menyapa mereka sebelum mereka berlalu pergi.

Kami garu kepala. Aku puas hati kerana dugaan aku akan ada berlaku ritual-ritual khurafat pada malam Jumaat ini ternyata bukan tuduhan rambang sahaja. Ia betul-betul terjadi depan mata!


Kami bangun seawal 5.30 pagi, 5 orang remaja kelihatan berbual-bual di pondok berhampiran kami menunggu waktu solat Subuh dan mendirikan solat jemaah di surau yang disediakan. Bila mentari mula menyinar, barulah nampak kawasan-kawasan sekitar yang cantik. Terdapat pelbagai tumbuhan boleh ditemui di hutan dipterokarpa bukit seperti damar minyak, podo bukit, podo cucur atap serta podo ekor kuda. Kawasan hutan lipur ini juga kaya dengan pelbagai tumbuhan perubatan tradisional seperti pokok cina maki, tongkat ali, kacip fatimah, mata pelanduk, orkid liar dan periuk kera. Dikawasan parkir ada sejenis pohon-pohon kayu berwarna merah (mungkin dijangkiti penyakit atau memang begitu keadaannya?) yang tumbuh dikawasan tanah gambut berlumut.






Siap berkemas kira-kira jam 7.30 pagi kami mendaki lagi ke The Regency Jerai Hill Resort yang terletak di ketinggian 974 meter dari aras laut. Disini, ada juga disediakan tapak perkhemahan untuk anda tidur di luar resort dan dibenarkan untuk mengadakan jamuan BBQ pada waktu malam dengan bayaran berpatutan. Ia memberi jaminan keselamatan dan sedikit eksklusif kerana anda boleh mendapat kemudahan-kemudahan resort yang berdekatan. Dari resort ini juga ada boleh menyusur denai ke air terjun Alur Naga buat mereka yang ingin menikmati ketenangan dan keindahan air terjun. Nama Alur Naga ini berasal dari legenda seekor naga yang dipercayai hidup dalam gua di belakang air terjun dan keluar sesekali untuk mandi disitu.

Kami bercadang untuk berkhemah di Alur Naga pada masa akan datang.




Suasana pagi di The Regency Jerai Hill Resort berkabus tebal dan sangat dingin. Hingga bernafas dan bercakap keluar wap walaupun tidak sesejuk Cameron Highland. Rata-rata pengunjung café adalah peserta kursus dari jabatan-jabatan kerajaan. Pakej buffet sarapan pagi di sini adalah RM25 boleh juga jika mahu ala carte. Kata Mad Duha ia berbaloi kerana kami dah camping percuma, jadi apa salahnya hadiahkan diri dengan sarapan pagi yang lumayan. Lagipun pengalaman bersarapan pagi dipuncak gunung dengan lanskap yang indah ini bukan selalu kita rasa.



Sebaik selesai makan, kami terus bergegas pulang dan sampai dirumah pada jam 10.30 pagi. Yap! Masih awal dan banyak lagi sudut dunia untuk diteroka!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan