Memaparkan catatan dengan label Rakan & Kenangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rakan & Kenangan. Papar semua catatan

Sabtu, 9 November 2024

LEBAI LUNCUR ALBUM BLACK METAL REISSUE

Baru-baru ini aku terima Whattsapp daripada seorang rakan main band, dihantarnya tangkap layar seperti di atas tanpa sepatah kata pun?! Aku fahamlah, dia nak aku komen. Jadi ada baiknya aku komen di sini maka kawan-kawan yang lain pun boleh baca apa pandangan aku berkenaan seragam tak kena majlis ini.

Sewaktu aku rajin turun Jakarta dahulu, memang selalulah aku nampak orang pakai jubah, serban, rida’, bawa tasbih masuk Hammersonic dan duduk di front row layan Indo-brutal death grind, layan black metal. Bukannya fenomena lagi, depa ini tak ramai, adalah seorang dua sahaja tetapi ada sahaja kelibat mereka. Tidak hanya ada di konsert, aku turut jumpa gaya yang sebaliknya juga di masjid dan surau di sana. Yap! Benarlah juga kata-kata yang sering kita dengar, “apa yang hendak dipakainya terpulanglah kepada dia, dia bukan minta duit kau, bukan kacau kau! Yang kau sibuk, kau nak komplen apasal!?”.

Baju band Gehenna, dalam bahasa Ibrani bermaksud "neraka"

Kita pun selalu dengar orang yang sedemikian, terutamanya selebritilah akan cakap “Walaupun pakaian aku begini, aku seksi, tetapi aku masih solat, Allah sahaja yang menilaiku!”.

Betul tak?

Namun benarkah ajaran Islam sedemikian? Kefahaman begini berkait dengan pemikiran irja’ yang membentuk aliran murji’ah. Secara asasnya, pemikiran ini beriktikad maksiat dan dosa tidak akan menjejaskan keimanan seorang insan. Atau ringkasnya, amal perbuatan terkeluar dari cakupan keimanan.

Bagaimanapun, Nabi salallahu ‘alaihi wassalam mengajarkan kita hal yang berbeza. Baginda memberitahu kita bahawa iman itu daripada hati, ucapan lisan dan anggota badan. Iman bertambah dan berkurangan. Ringkasnya, iman yang ada dalam hati pasti akan memimpin perbuatan. Cahaya pada batin pasti menyinar pada zahir seseorang. Senang kata, jika dia lebai kaki masjid, amalnya ikut syariat, pakaiannya patuh syariat, majlis yang dihadirinya juga seharusnya patuh syariat. Dia pasti elakkan diri dari syubahat. Secara syariatnya begitulah, lainlah kalau dia munafik!

Kita tak mau bincang hukum keharaman muzik bagi 4 mazhab muktabar lagi. Kita keluar dulu dari perbahasan hukum, dan fikir secara rasional dan santai macam orang biasa-biasa sahaja dahulu. Kenapa seseorang berpakaian sedemikian di majlis pelancaran album black metal yang mungkin ketika remaja dahulu merupakan karya terhebatnya? Kau bukannya GHOST yang berpakaian seperti pope atau cardinal untuk mengolok-olok agama menerusi muzik?

"Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentu mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanya bersenda-gurau dan bermain-main saja”. Katakanlah: “Apakah dengan Allah, ayat-ayatNya dan RasulNya, kamu selalu berolok-olok?”. [Quran, at Taubah: 65].

Tetapi jika sama niat mereka.

Case closed laaa..

Kita memang tak dapat mengawal persepsi orang terhadap gaya, imej dan identiti kita. Namun dalam Islam kita disarankan untuk menutup prasangka buruk bukannya membiarkan ruang tersebut terbuka agar jadi fitnah ke atas diri kita dan rakan-rakan (kerana mengumpat). Tamsilannya sebagaimana makanan, kita tibai makan laksa dan sirap dalam pub (konon reti halal-haram) sedangkan rakan-rakan kita yang lain makan kacang shandong dan bir. Pelik dak? Baik kau takyah datang dari awal!

Semoga rakan-rakan semua terpelihara dari aib dan dosa. 

Ra1m1, 11.9.2024@22:53

P/S: Aku suka band ni, dulu aku pernah beli banyak tape daripada frontman-nya, aku pun pernah temubual mereka. Jadi tulisan ini bukan atas dasar kebencian, tetapi satu pandangan jujur sahaja.

Ahad, 23 Jun 2024

SELAMAT TINGGAL ABI SUFFIAN @ NAYYIR AL-FAKKA

 

Pemergian Abi Suffian bin Mohamad Azim atau Abichimaera atau Ras al-Ghul atau Nayyir al-Fakka pada 23 Jun 2024 begitu mengejutkan aku, begitu juga rakan-rakan yang lain. Sifat beliau yang budiman, pemalu dan unik membuatkan dia disenangi ramai. Hanya kenangan dan doa yang baik-baik meniti di bibir kami semua apabila mendapat berita sedih tersebut.

Aku secara peribadi mengenali beliau begitu lama sekali, kalaulah benar ingatan aku ini kali pertama aku mengenali beliau ketika dia menulis surat sewaktu AU REVOIR menerbitkan “Su’ul Khatimah” pada tahun 2010 atau mungkin juga lebih awal lagi. Ya, beliau asalnya seorang penpal yang rajin menulis bertanyakan khabar berita hinggakan saban bulan aku tertunggu-tunggu utusan Ras al-Ghul dari Kuala Lipis itu. Dia meminati dan menyokong apa sahaja yang aku buat, tak kiralah menyunting zine, menulis lirik, mengubah lagu dan melukis, pasti dia akan membeli dan menyokong kesemuanya. Malah buku resipi masakan yang aku sunting pun dia terlibat menyumbangkan resipi Ungkep Daging Waras Kabare. Dia sebagai pengemar anime, sering juga mencadangkan kepada aku komik dan filem-filem anime yang pelik dan seram agar penulisan dan lukisan aku lebih gelap dan gila. Kemudian kami mula berutusan melalui WhattApp dan Facebook, beliau semakin rancak berkongsi cerita dengan aku apabila beliau berjaya merakamkan demo sulung “Taste my Blade” bersama kumpulan thrash metal yang diterajuinya iaitu HIDING FEAR. Kami berbual tentang segala-galanya sehinggalah aku merasakan dialah peminat no.1 aku ketika itu. Citarasanya unik, dia lebih gemar kumpulan old school death dan doom death yang tepu prinsip UG-nya dan kurang terkenal seperti DECEASED, OPPROBRIUM, AUTOPSY, ASPHYX, GREY SKIES FALLEN, MODAR, dan seangkatannya.

Kami bertemu beberapa kali, dia pasti menyokong dalam apa jua projek yang aku bangunkan termasuklah WRECKÄR. Ketika kami diundang ke Raub oleh arwah Fendi aka Jorn untuk gig Bertukang Malam-Malam pada tahun 2014, dia tak jemu-jemu melayan karenah kami, dan bersama kami setiap saat. Kami pergi mandi air terjun Chamang bersama kawan-kawan dari kumpulan ATOMIC DEATH, HEREAFTER lepas gig itu. Kenangan manis juga kerana dapat makan nangka madu beramai-ramai pada hari itu.

Kemudian ketika kami diundang ke Johor oleh Eddie TFHM untuk 2 siri gig, di Stopzone dan The Wall pada tahun 2012, dia juga antara rakan yang setia melayan karenah kami dan merakamkan kenangan manis yang kami sentiasa bualkan hingga hari ini.

Antara yang bagus tentangnya lagi, dia tidak pernah expose hal rumah tangganya di media sosial dan kekalkan ruang itu sebagai platform aktiviti muzikal dan persahabatannya sahaja.

Apabila aku mula meminimalkan aktiviti muzik dan mula giat dalam kegiatan dakwah, aku dapat merasakan hubungan kami mula merenggang, entah bagaimana Abi memilih untuk bersetuju aliran agama mainstream dan gusar dengan pendekatan salafi yang merupakan ‘cara beragama’ bagi aku. Mungkin ustaz-ustaznya menasihatinya agar tidak terpengaruh dengan puak yang pentingkan nas dan dalil seperti aku. Sejak itu dia pun tidak berminat dengan aktiviti aku lagi. Tetapi aku OK sahaja, dan tetap berinteraksi dan menyapa beliau setiap kali cicipan menarik tentang beliau melintas di dinding media sosial aku. Bagi aku, dia selamanya rakan baikku. Aku sentiasa mendoakan segala kebaikan buat Abi Suffian dan keluarganya.   

Itulah sahaja yang dapat aku kongsikan tentang sahabatku ini. Innalillahi waina ilayhi roji’un.

اَللهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ

Ahad, 16 Julai 2023

SELAMAT TINGGAL MOHD AZIZI @ CIWI BIN ABU BAKAR

Foto Azizi @ Ciwi paling lama yang ada dalam arkib. Kami berhenti tunggu hujan reda di Simpang Empat, Sanglang sewaktu dalam perjalanan naik motorsikal Honda C70
ke Shahab Perdana, Alor Setar untuk ke gig di Penang. Mungkin tahun 1999  atau 2000?

Dalam minggu ini aku kehilangan 2 orang sahabat baik iaitu Bain dan Ciwi, tak banyak yang aku dapat himpunkan tentang Bain (37 tahun) kerana perbezaan jarak umur kami namun kalau dikenangkan banyak juga kisah suka duka Bain yang dikongsikan kepada aku kerana sudah menjadi kelaziman beliau suka bertanya itu dan ini tak kira tentang agama atau kehidupan. Bain apabila kedai makan dan perusahaan kambing bakarnya mula laris dan berkembang, dia menjadi sangat dermawan. Dia menyokong acara Perlis Zine Fest yang aku anjurkan melalui sumbangan kudrat dan wang ringgit, dia aturkan majlis iftar untuk pusat pemulihan kanak-kanak OKU di bawah penyelarasan aku selama 2 tahun berturut-turut, dia juga memberi sokongan apabila isteri aku berjinak-jinak dalam perniagaan nasi lemak dan roti. Teringat pula suatu malam, Zamri Vinoth minta cadangan untuk bawa Mufti Perlis, Dr. MAZA makan malam, aku cadangkan Ehem-Ehem, bila sampai aja terus Dr. MAZA tanya Bain, "Ehem-Ehem? Apa dia Ehem-Ehem?". Bain gelak tanpa jawapan, tapi sejak malam itu Dr. Maza sering datang makan malam di situ, maknanya sedaplah tu..

Namun Ciwi (44 tahun) ini lain, kami sebaya, yang membesar dengan minat yang hampir sama biarpun dari kasta yang berbeza. Ciwi bukanlah orang susah, dia tidak pernah mengalami masalah kewangan, jika dia kata takda duit itu bukanlah bermakna dalam poket tinggal 3 kupang macam aku, tapi takda duit Ciwi tu bermaksud duit belum diterima aja, tunggu sekejap! Tetapi imej dia memang crusty, dan dahulu dia memang jalan kaki sahaja untuk mana-mana. Aku ingat lagi, tahun 90an dahulu nama dia memang top di balai Kangar kerana sering kena tangkap melilau jalan kaki jam 3:00 -4:00 pagi, zaman itu hanya penyamun sahaja yang hidup nocturnal macam beliau. Akhirnya polis pun tak kacau lagi kalau jumpa dia sebab sudah rutin dia macam itu, polis pun dah kenal dengan arwah mak dia. Zaman itu kami tak kerja, mengaji pun sangkut, kami reckless masa itu, ada sahaja yang tak kena. Ciwi dia fighter… dia tak takut apa pun, siapa pun. Kalau dia beritahu dia takut, itu bermakna dia menipulah tu untuk layan kawan-kawan pengecut ni. Dia punya brotherhood memang tak boleh lawan, dia sanggup mati kerana kawan tapi belum tentu kawan sanggup mati untuk dia. Dia ini pesilatlah, namun bila tengok aku main muay, dia tak kisah ikut kami berlatih muay. Dan dia orang paling teruja bila aku set up gym muay thai bawah pokok putat di Kampung Repoh dahulu. Biarpun kami hanya guna pelita minyak tanah, dia dan Diken giat turun berlatih 2 kali seminggu. Aku penah tengok dia lawan dalam ring dan jalanan, bagi aku, dia bukan fighter yang lincah. Tetapi dia punya lasak dan azam tu yang buat lawan gerun dekat dia. Dia ini jenis tak akan undur punya orang. Kalau 10 orang nak belasah dia, biar pun dia tahu dia akan kena lanyak, dia pasti pergi punya! Dia peduli apa. Ciwi gelak bila dengar orang cerita fasal sakti, makrifat dan hantu. Karut belaka tu. Dia orang yang faham tauhid.

Selain seni beladiri, Ciwi meminati muzik, dahulu asalnya dia minat Nirvana, masa itu dia memang kacak orangnya, baju, seluar, rambut memang macam Kurt Cobain. Apabila dia mula rapat dengan kami citarasa dia mula menjadi berat, Ciwi punya tabiat dia akan mendengar Walkman dengan kekuatan maksima tanpa henti hingga bateri habis. Penah satu ketika, dia dengar kaset Slayer hingga telinga sakit dan bernanah sampai doktor nasihat dia supaya jangan dera telinga begitu. Sejak itu dia tak dengar Walkman lagi. Citarasa Ciwi unik, dia meminati Meshuggah, Machine Head, Soulfly, Carcass, Skid Row, Within Temptation manakala kalau band tempatan dia meminati Koffin Kanser, Nemesis, Athotorgh, Spermblast, Mandatory, Ossuary, Demisor dan Braindead. Oleh kerana ekonomi Ciwi yang kukuh, dulu kami akan cadangkan kepada dia untuk beli kaset itu dan ini jika teringin hendak dengar album baharu kugiran underground, jadi bolehlah kami pinjam.

Ciwi, dia kawan susah akulah, tetapi bila aku dah mula berkerjaya, dah berkeluarga, kami semakin renggang. Dahulu dialah satu-satunya kawan yang akan sokong apa sahaja yang aku buat, aku lukis hodoh, dia kata cantik! Aku kata hendak sunting zine, dia beli sebelum terbit pun lagi! Aku hendak buat band, dia kata lagu aku tulis sedap walaupun tak dengar pun lagi. Aku ingat lagi dia bayar studio untuk aku dan Chot jamming, semata-mata untuk tengok kami main. Dia akan duduk di barisan paling hadapan jika kami main gig. Dia akan benci, siapa yang aku benci. Aku tak pernah jumpa lagi seorang pun sahabat yang ada kualiti macam dia.

Ciwi, dia produk keluarga yang bercerai berai, dia takda seorang lelaki untuk jadi mentor untuk membimbing haluan hidupnya, seperti kebanyakan kami yang hidup dijalanan ketika itu, kami takda mentor. Hebatnya dia, walaupun kami masih solat tak menentu, puasa tak terjaga waktu itu, namun dia sejak dari dahulu lagi telah menjaga solat 5 waktu, dia berpuasa penuh di bulan Ramadan kecuali ada keuzuran. Dia tak terjebak dengan karut-marut ilmu batin persilatan, selamat dari khurafat dan syirik serta berkemampuan saring maklumat-maklumat usul dalam agama yang aku percaya hasil daripada didikan ibunya. Dia tak suka mengata orang dan tak pula ambil pusing hal siapa rumah besar, pangkat besar, kereta besar, makan mewah, baju mahal. Dia kira dia sahaja.

Ketika aku tinggal bersama Syed dan Tarabaz di Wangsa Maju, sewaktu kali pertama berhijrah ke ibu kota. Dia sering mengunjungi kami, bermalam di rumah kami. Lucunya dia seorang yang hidup tanpa dokumen pengenalan diri dan tak penah takut. Menjadi satu kenangan yang tak dapat aku lupa bila dia mencabar seorang polis menangkapnya dalam satu sekatan jalanraya kerana tiada kad pengenalan. Jenuh kami kawan-kawan pula merayu agar polis itu tidak menangkapnya atas budi bicara. Kadang-kadang aku rasa hiba bila mengenangkan ibu aku memberitahu Ciwi ada datang melawatnya sewaktu aku berhijrah ke ibu kota dan jarang-jarang balik ke kampung. Manalah hendak cari kawan yang tetap ziarah ibu rakannya biarpun rakannya takda di kampung? Ibu antara orang paling sedih bila dapat tahu pemergiannya. Dia, satu dalam seribu.

Kalau hendak kira kebaikan dia terhadap aku banyaklah. Dahulu sewaktu tinggal di Repoh, rumah akulah yang pertama akan tenggelam jika Perlis dilanda banjir. Rasanya tahun 2005, antara banjir terburuk pernah berlaku di Perlis masa itu rumah aku tenggelam terus, hingga aku terpaksa tidur di pondok bas di hadapan Masjid Alwi, Ciwilah yang datang berjalan kaki pukul 1:00 pagi ajak aku tidur di rumahnya setelah ada orang beritahu dia nampak aku merempat di pondok bas itu. Masa itu aku guna Honda C70, kerja takda. Ciwilah yang baiki motor tu kalau rosak, kata dia, "aku pun selalu tumpang motor tu". Jasa baik Ciwi aku tak akan sesekali lupa.

Aku sentiasa menganggap dia kawan baik aku di dunia dan akhirat. Semoga kita dapat bertemu nanti. Aku harap Allah mengampuni segala dosa-dosa Ciwi, merahmati rohnya dan menempatkannya bersama roh orang-orang soleh.

Sabtu, 4 November 2017

PIYAN SENSELES


5 tahun lalu saya sempat lepak dengan Andy (guitarist Senseless) berborak mengenai penamat hayat kumpulan death metal lagenda Malaysia ini yang mengiringi pemergian perintisnya arwah Zul atau The Abyss.  Ketika awal penubuhan pada tahun 1989 mereka dikenali sebagai Senseless Death. "Epidemic Mentality Equilibrium" merupakan album pertama mereka yang diterbitkan pada 1994 oleh Valentine Sound Productions (VSP) dalam format kaset. Ia dirakamkan di King Studio. Saya bersekolah di tingkatan 3 ketika itu. Kami begitu teruja dengan scene death metal tempatan. Oleh kerana masih bersekolah dan tak berwang. Kaset ini kami kongsi ramai-ramai, kerana kawan yang lain perlu beli album yang lain pula untuk catch-up ug music scene yang begitu aktif.

Saya abaikan album keluaran mereka selepas itu kerana tidak serasi dengan citarasa.

Valentine Sound Productions bagaimana pun telah tutup kedai akibat kegawatan jualan. Setelah 20 tahun pihak Thrashing Fist Productions telah mengambil inisiatif untuk mencetak semula album ini dengan pembungkusan baru dalam format CD. Selain memuatkan album pertama itu, CD ini turut memuatkan Terminal of Death (Demo 1990) serta Profanation Horror (Demo 1991). Semalam saya sempat berkongsi cerita, pengalaman bersama Piyan, pemain dram lagenda Senseless yang kini berkhidmat untuk Kherow setelah 18 tahun tidak mendendangkan lagi lagu-lagu metal. Bagaimanapun permainan beliau tetap dinamik kerana tugasnya sebagai pemuzik di Jabatan Penerangan Sarawak.

Sabtu, 28 Januari 2017

JUMPA ANITA YUSOF


Kebetulan semasa nak belok ke rumah nampak seorang wanita menunggang superbike HONDA yang kelihatan familiar, bila nampak ja ada sticker ANITA di tangki motor dia. Terus saya kejar dan himpit dia dengan Volvo aku. Punya marah dia.. hahaha! Bila turun barulah kami berkenalan walaupun sebelum ini pernah berutus email berberapa kali dan isu # 1 Pedal to The Metal zine juga memuatkan wawancara bersama beliau. BACA DI SINI.

Anita Yusof dalam perjalanan untuk camping sorang diri di Kho Muk. Walaupun saya seorang yang berpendirian wanita tidak boleh bermusafir seorang diri berdasarkan larangan hadis. Tetapi siapalah saya untuk menghukum dan berfatwa kepada wanita sehebat Anita. Kita boleh berbeza pendapat tapi jangan mencaci. Bagi yang belum tahu siapa dia, sini petikan dari akhbar Berita Harian September 2016.

Pengembara solo bermotosikal, Anita Yusof tiba di sini, tepat jam 11 pagi ini, sekali gus berjaya memenuhi impian menjadi wanita Islam Malaysia pertama mengelilingi dunia. Ketibaan Pensyarah Sains Sukan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh di Balai Polis Bukit Kayu Hitam, di sini, itu disambut kedua-dua anak lelakinya, Emiershah Iskandar dan Rudy Iskandar dan lebih 30 penunggang motosikal berkuasa besar. Anita, 49, berjaya membuktikan dengan hanya mengembara menggunakan motosikal jenis Yamaha FZ150i, beliau berjaya menunggang lebih 65,000 kilometer apabila merentasi empat benua dan 40 negara sejak meninggalkan tanah air pada 10 September tahun lalu. Antara negara berkenaan ialah Amerika Syarikat, Kanada, Mexico, Guatemala, El Salvador, Honduras, Nicaragua, Costa Rica, Panama, Columbia, Equador, Peru, Bolivia, Chile, Argentina, United Kingdom, Perancis, Sepanyol, Portugal, Monaco, Itali, Croatia, Bosnia, Montenegro, Albania, Greece, Turki, Iran, Turkmenistan, Uzbekistan, Kazakhstan, Russia, Mongolia dan Thailand. Kejayaan kembara Global Dream Ride (GDR) itu dikongsi dalam majlis yang dianjur GIVI Asia.

Semoga ketemu apa yang anda cari, Anita.