Isnin, 2 November 2026

BERAPA RAMAI ORANG IKUT DAKWAH SUNNAH DI PEJABAT HANG?

Sebab apa dakwah sunnah dan manhaj salaf kurang berjaya menusuk jabatan-jabatan dan agensi kerajaan di Perlis walaupun kempen dari Jabatan Mufti dan Jabatan Agama Islam agak agresif dan tektikal? 

Kenapa aku kata kurang berjaya jom kita tengok berapa bilangan pegawai / kakitangan Jabatan kerajaan tempatan yang hadir menyokong program seperti Perkampungan Sunnah, Halaqah Ilmu, Convention Sunnah, kuliah harian, forum, seminar dan bermacam lagi majlis ilmu bertali arus dianjurkan oleh Jabatan Mufti dan Jabatan Agama Islam dengan dokongan MAIPs? Paling mudah tengok cuba tinjau berapa orang pegawai kerajaan yang datang solat fardu berjemaah di masjid? 


Perlu diakui, lebih ramai orang luar yang menghargai dan mengambil manfaat dari program atau majlis ilmu tersebut daripada orang di Perlis sendiri. 

Kebanyakan pegawai persekutuan di jabatan-jabatan negeri Perlis dijawat oleh orang luar. Malah merekalah majoriti. Namun kelebihan berhijrah di Perlis tidak membawa apa-apa pengaruh pemikiran dan input ilmu buat anak rantau bahkan ramai yang sudah menetap terus di sini. Mereka kekal dengan kefahaman tradisi dan tertutup. Kenapa? Selain diri sendiri yang tidak mahu kemaskini dan pertingkatkan ilmu, kempen ini tidak mendapat sokongan ketua jabatan itu sendiri. 

Sebagai contoh mudah, apabila diundang secara rasmi ke majlis ilmu mereka akan mencalonkan pegawai-pegawai 'wahabi' itu sahajalah sampai bila-bila. Pegawai yang ulang-alik dari Kedah, berhijrah dah 20-30 tahun dari negeri Sembilan, Johor, Kelantan, dan lain-lain, tidak dicalonkan untuk mendengar perbahasan dan penghujahan baharu dalam hidup mereka. Maka tidak hairanlah majlis yasinan dan tahlilan arwah masih diperuntukan pada waktu kerja setiap pagi Jumaat, ada yang masih pergi berzikir dan menurun di Gunung Jerai, ada yang ikut bermunajat di kuburan, masih cari bomoh bila sakit, masih was-was Allah istiwa di langit. Ramai masih terpesona kisah-kisah seloka dan sakti disulam agama. 

Dan yang paling best masih yang kata Jabatan Mufti aniaya GISB sebab dengki ekonomi Melayu Islam berkembang? 

Khamis, 13 Ogos 2026

ADAB LEBIH PENTING DARI ILMU?

 Beradab sebelum berilmu. Jika berilmu sahaja Iblis lebih berilmu dari malaikat?

Dahulu aku macam hendak bersetuju kata-kata ini. Namun apabila difikirkan mana mungkin orang berilmu tapi menjadi tak beradab, semua orang tahu kejahilan membawa kepada seseorang itu jadi kurang ajar, buruk tingkah laku dan jahat. Ya! dia mungkin berilmu dalam bab tertentu. Akhlak juga menuntut ilmu untuk difahami dan dipraktikkan.

Mempersiapkan diri dengan ilmu Quran dan sunnah merupakan persiapan untuk ke syurga. Mustahil seseorang itu masuk syurga tanpa ilmu. Kebodohan seperti yang difirmankan Allah azz awa jalla dalam Quran adalah maksiat kepada Allah. Wahyu pertama yang diturunkan iqra, “bacalah” ertinya kunci agama berada dalam ilmu. Kunci mendapat redha Allah dalam ilmu. Kunci syurga berada dalam ilmu. Ilmu tentang perkara iman, ilmu tentang pembatalan iman, ilmu untuk mendekatkan diri kepada Allah, ilmu yang menjaga diri dan melindungi diri dari kesesatan hidup dan kemurkaan Allah. Apatah lagi kunci bagi akhlak dan adab pasti dalam ilmu.

Bukankah kita memohon bimbingan Allah setiap kali membaca al-Fatihah dalam solat agar diberikan ilmu untuk mengetahui jalan orang yang mendapat nikmat (petunjuk) dan menghindarkan diri dari jalan orang yang sesat?

Peribahasa Melayu, “bodoh sombong” yang selalu kita ditujukan kepada seseorang bukan bermaksud senda gurau. Melainkan kebodohan orang itu sudah tak bertebing lagi untuk dilayari atau direnangi..

Sekadar pandangan sepuluh sen daripada aku.

Ra1m1, 6/8/2026

Isnin, 27 Julai 2026

FARDU AIN TERBESAR DAN TERPENTING IALAH MENGENAL SYAITAN


"Iqra dan tadababur, bukan menghafal. Takda arahan pun (firman) suruh hafal Quran. Tak salah untuk hafal Quran. Kemudian berbangga setakat itulah. Boleh jadi imam.

Kita mundur kerana tinggal Quran, bukan tinggal teknologi terkini, moden. Quran ini adalah passport, Quran bawa masuk syurga. Tolak Quran membawa ke neraka.

Takda syaitan, takdalah Quran. Fardu ain terbesar yang ditinggalkan sekarang ini ialah: mengenal syaitan. tak kenal syaitan, Maka tak kenal Quran. Tadababur Quran bermaksud; faham, beriman Dan beramal.

Permusuhan syaitan terhadap penghafal Quran lagi dasyat daripada orang biasa. Saya selalu perati budak-budak tahfiz ni. Ngok aja... Letih. Tengok kan? Lain. Sepatutnya mereka tak macam itu. Sepatutnya kalau tadababur Quran, dia jadi aktif, cergas. Lain (lagi hebat) serangan syaitan terhadap ahli Quran daripada yang bukan ahli. Dia serang betul-betul hingga orang itu jadi ngokk dan letih".

Mutiara yang sempat saya catat dari tauziah pagi tadi bersama Syeikh Prof. Dr. Ismail Lutfi, rektor Fathoni University, Pattani. Beliau juga merupakan ahli majlis Rabitah al-Alami al- Islami di Mekah.

Rammy
4/7/2026 @ 08:30am

Isnin, 18 Mei 2026

RINTIHAN RAKYAT PERLIS

Aku hampir tak pernah komen isu politik tetapi kali ini aku rasa nak sembang sedikitlah fasal Program Rintihan Rakyat Perlis ini. Aku tak tahu apa lagi yang nak merintih, selain beberapa ratus orang yang tercicir Bantuan Wang Ihsan bencana banjir tahun lepas, itu pun boleh diperincikan kenapa depa ni boleh tak daftar masa banjir berlaku kecuali beberapa orang tua yang tak tahu guna handphone dan memang tak tahu apa cerita dan berita yang berlaku dalam dunia siber ni?. Jika tentang kemiskinan, rumah buruk, bantuan kewangan bulanan kepada fakir miskin atau yang bekeperluan, hampir semua rumah rakyat yang 'layak' telah dibina dan dibaikpulih oleh MAIPs. YTM Raja Perlis melalui berkayuh basikal masuk kampung dari 60-80 kali setahun kot untuk lihat sendiri keadaan rakyat. Begitu juga bantuan bulanan kewanagan JKM, sehinggakan kes yang sama berulang-kali memohon bantuan biarpun dikenalpasti berkemampuan menyara diri sendiri kecuali beberapa kes yang sememangnya berpunca daripada sikap diri sendiri yang malas berusaha dan suka meminta-minta.

Adakah kes-kes terlepas pandangan? Ada. Itulah gunanya MPKK, JPKK dan Exco kebajikan yang menjadi rujukan rakyat bila ada masalah. Belum sampai darurat seolah satu Perlis merintih dalam musibah. 

YDP Majlis Perbandaran Kangar ini satu sekolah dengan aku, dia tua 3 tahun daripada aku. Seorang yang friendly, kalau jumpa dia mesti tegur dan tanya tentang kawan-kawan. Dia memang mengaji akedemik pandai selain handal bersukan sejak dari dulu lagi. Dia main hoki. Bagi aku geng-geng mualaf ini macam Zamri Vinoth, Firdaus Wong depa memang bergelumang kontroversi dan tough dude la, aku boleh fahamlah bila dia buat keputusan-keputusan tertentu memang dia akan pertahan. Aku suka bila mula-mula dia naik jadi YDP dulu, dia sekat pengunaan straw plastik di Perlis. Bagi aku tindakan itu bagus sangat sebab masalah sisa plastik memang teruklah di Perlis ini. Ini langkah mendidik dan mengekang dari lebih banyak sampah berlonggok merata tempat. Satu Perlis melenting sebab kita dah terbiasa dengan trend minum di kedai perlu guna straw. Pada zaman dulu kita elok ja kita boleh minum air dari gelas. Begitu juga di rumah, kita OK ja minum tak guna straw. Kalau beli air ikat tepi tu memanglah guna straw tapi kuranglah sikit pengunaan plastik tu. Tengoklah sisi positif. YDP buat tu bukan dia dapat untung apa pun, dia dapat maki ja. 

Sama juga isu sistem parkir pintar, aku fikir nak guna peruntukan awam jutaan ringgit untuk buat kemudahan parkir pintar itu bukanlah keputusan bersendiri, tentulah melalui mesyuarat dan persetujuan bersama. Dan aku percaya, tujuannya bukan untuk buat 'duit buta' (maksud aku sahaja tindas rakyat untuk dapat untung), tentulah untuk jana pendapatan untuk dikembalikan kepada rakyat juga. Untuk selenggara dan baik pulih kemudahan dan bina infrastuktur baharu, sebelum ini rakyat asyik merungut Perlis mundur, kolot, kemudahan tercorot, kotor dan rosak. Kalau komplen sahaja, siapa pun tahu!. Titah Raja Perlis pun begitu, dia suruh rakyat berfikiran macam 

Ada yang tak puas hati, depa serang isu YDP kononnya ada isu intergiti? Bagi aku seorang ketua jabatan atau setiap pegawai yang mengawal peruntukan sesuatu jabatan atau agensi yang terkait dengan isu ini sudah jadi lumrah. Jika ada kelemahan pemantauan, ketidakakuran dalam proses pengurusan itu bukan lagi salah laku menyeleweng harta awam selagi pegawai disahkan melaksanakan tugas dengan suci hati.

Baca laporan media di SINI.

Selasa, 3 Mac 2026

KISAH TANAM POKOK KELAPA DAN BINA KUIL ATAS TANAH ORANG

Aku rasa terpanggil untuk berkongsi sedikit mengenai situasi yang berlaku akhir-akhir ini berkisar tentang kuil yang dibina atas tanah orang atau tanah rizab. Bagi yang tahu, pada tahun 2021 semasa PKP berlangsung aku buka sebuah tapak camping di Kampung Wai, Kuala Perlis jauh sebelum ia jadi popular macam sekarang ini. Aku buat atas tanah rizab JPS yang diselenggara BPEN, lokasinya cantik, esotik, ia bersebelahan sempadan Satun dihiasi Banjaran Nakawan dan terusan projek tebatan banjir yang mengalir ke laut. Berdekatan dengan campsite aku ini, kira-kira 800 meter ada sebuah tokong yang sudah mula naik binaan kekal.

Aku ini tak beranilah nak buat binaan kekal, yang ada hanya papan tanda dan oven kayu untuk BBQ. Namun aku bersama kawan-kawan buat penyelenggaraan di sini (potong rumput, susun batu buat tangga, kutip sampah) secara berkala. Malah sejak kami buat campsite itu 3 kali sudah jentolak datang musnahkan semua yang kami buat, mereka jarah habis hingga rata! Memang sedih, tapi aku terimalah sebab ia bukan tanah aku. Namun aku bersama seorang rakan buat kertas kerja, surat permohonan dan atur pertemuan dengan pihak JPS untuk mendapatkan kebenaran jaga tempat itu melalui program Denai Sungai Kebangsaan. Permohonan kami ditolak mentah-mentah atas alasan kawasan itu berbahaya dan tidak sesuai untuk aktiviti rekreasi. Takpalah. Tetapi tokong itu? Tidak pernah diganggu pun…. Sehinggalah isu kuil haram meletus! Pada 3hb Februari lalu barulah tali kuning ditarik oleh PBT. Thanks to Zamri Vinoth and co. lah.

Aku tak anti Hindu, ramai sahaja kawan-kawan aku penganut agama Hindu. Ada yang sempoi dan boleh berfikir dengan rasional. Tetapi dalam isu ini kita dapat lihat ramai kaum India fikiran depa satu macam punya gelong. Depa punya kas-kas dalam kari kali ini sudah silap campur. Satu, bagaimana depa punya pertimbangan dalam tuntutan setelah tibai bina kuil atas tanah milik orang memang tak logik akal langsung dan kalau kita pusing kes ini, orang bina surau atau masjid atas tanah depa pun mesti guna matematik sama sahaja. Depa pun mesti nak robohkan dan halau. Kemudian depa pun nak serang balas, bila ada berita melibatkan tok guru pondok cabul budak, ustaz liwat budak, wanita muslimah kebetulan berpurdah pecah amanah, hangpa tengok macam mana depa komen dan maki. Semua perbuatan buruk itu memang patut pun dikecam. Tapi hangpa baca ayat depa “Ini halal pulak!”, “Ini yang agama diorang suruh”, macam-macam lagilah seperti itulah bawaan ajaran Islam. Padahal tak kira Melayu, Cina, India, agama apa pun kita kecam kejahatan dan penindasan. Kita tak pilih bulu idung!.

Dalam group Whattsapp taman aku, ada pak cik-mak cik ini depa duk maki pasangan suami isteri Rohingya yang kait buah kelapa yang depa tanam atas tanah rizab JPS di penjuru taman kami. Depa punya maki baik punya sebab merasakan buah itu depa yang punya. Depa gelar Rohingya tu pencuri. Namun dalam Islam mana buleh hang mengaku apa yang asalnya bukan milik hang sebagai harta hang. Dalam Islam memang ada bab mengimarahkan tanah, kalau hang tanam pokok atas tanah bukan milik hang, pokok tu berteduhan kepada orang atau binatang, buahnya dimakan orang atau binatang. Hang sudah dapat pahala sedekah.

Inilah yang berlaku sebenarnya, jika kita nak guna atau bina sesuatu atas tanah bukan milik kita sepatutnya mohonlah keizinan dari tuan tanah, pihak kerajaan atau badan-badan yang diamanahkan untuk mengurus tanah itu. Ia penting supaya tidak timbul perselisihan dan pertentangan antara kerajaan atau tuan tanah apabila mereka mahu membangunkan tanah tersebut. Samada disebabkan kebodohan atau memang jahat, kesudahannya, pihak penceroboh pula main isu seolah-olah berlaku penindasan tetapi pada hakikatnya, dari peringkat awal lagi tindakan yang dibuat itu adalah salah!

 

Selasa, 16 Disember 2025

SELEBRITI SUMUD FLOTILLA GUNA IPHONE


Ramai netizen melatah apabila melihat selebriti pujaan mereka yang merupakan ikon pro-Palestine menggunakkan iphone semasa acara hiburan mereka.

Dia yang mendapat liputan meluas, yang bersabung nyawa dalam misi Sumud Flotilla sebelum ini sehinggakan menimbulkan kontroversi tindakannya itu seolah-olah tidak ada hukum dan garis panduan sebagai muslimah untuk melibatkan diri dalam aktiviti kemanusiaan di Gaza. Namun sebagai orang Islam kita diminta untuk berbaik sangka dan menghargai apa sahaja misi membantu rakyat Palestine.

Isu Palestine telah dimanipulasi sejak sekian lama, kisah penderitaan saudara kita itu telah dijual bagi menjana keuntungan ramai pihak terutama NGO-NGO yang berselindung dengan berbagai-bagai warna baju sukarelawan. Patutkah kita terkejut jika seseorang sanggup menggunakan sentimen agama untuk popular? Bebaloikah?

Fenomena Sumud Flotilla mencerminkan trend lebih besar dalam budaya pop: aktivisme sebagai aksesori. Di era di mana “likes” dan “views” menjadi sumber kewangan utama, keikhlasan sering dikorbankan demi algoritma. Penglibatan selebriti seperti Sumud tidak lagi dilihat sebagai suara perubahan, tetapi sebagai pelakon yang menjadikan isu-isu serius sebagai pentas lakonan.

Bagi yang hairan atau terkejut. Cuba fikir dalam-dalam bagaimana ada orang bukan muslim boleh menyertai misi Sumud Flotilla dan berbagai-bagai misi lagi untuk membantu orang Islam? Sedangkan mereka TIDAK beriman pun, cukup dengan mereka percaya bahawa berbakti kepada sesama manusia merupakan satu perbuatan yang baik. Atau dorongan ingin mencipta nama, ingin menjadi lagenda pun sudah cukup membuatkan seseorang itu bertekad untuk misi dan visi yang dia julang. 

Anda ingat lagi Rachel Corrie, aktivis USA yang digilis jentolak Israel kerana menghalang pemusnahan rumah penduduk Gaza pada tahun 2023? Anda ingat lagi Aaron Bushnell, seorang tentera USA yang membakar dirinya sendiri di hadapan Kedutaan Israel bagi memprotes pembunuhan rakyat Palestine pada Februari tahun lalu? Ramai lagilah nama kalau nak kumpulkan.

Apa yang mereka perjuangkan hingga terbunuh? Islam? Tentulah tidak.
 

Isnin, 15 Disember 2025

DR. ASRI ZAINUL ABIDIN VS SYEIKH ZAINUL ASRI





Tiga hari lepas Dr. MAZA berkongsi foto kunjungan Syeikh Zainul Asri ke kediamannya di Kampung Bilal Uduh, Bukit Keteri Perlis. Rasanya ini kali kedua beliau ke rumah Mufti Negeri Perlis itu. Satu Malaysia tahu betapa kedua tokoh ini mempunyai manhaj yang berbeza. DR MAZA seringkali mengkritik petua-petua, kisah-kisah yang disampaikan oleh Syeikh Zainul Asri. Dr. MAZA tidak pernah sesekali menyebut nama tokoh yang dikritiknya, namun kita semua sedia maklum kenyataan siapa yang dibidas kerana maklumat hari ini boleh diakses di hujung jari sahaja. Hal ini membuatkan nama DR MAZA agak panas di Kedah dan di kem Sufi. Syeikh Zainul Asri pula sebagai ahli tasawwuf sentiasa 'cool' jarang sekali membalas kritikan terhadapnya membuatkan ramai orang sayang kepadanya.

Bila kawan-kawan bertanya hal ini tak perlulah saya ulas panjang melainkan dengan 3 potong hadis ini yang sepatutnya jadi prinsip kita semua.

1. Daripada Abu Dzaar, dia berkata "Baginda memerintahkan untuk mengatakan yang benar walau itu pahit" (Hadis riwayat Ahmad).

2. Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda “Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam hal saling mengasihi, mencintai, dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga dan panas (turut merasakan sakitnya).” (HR. Bukhari no. 6011 dan Muslim no. 2586)

3. Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda "Barangsiapa mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah, dan menolak kerana Allah, maka sungguh dia telah menyempurnakan iman" (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmidzi).