Ahad, 19 September 2021

BERMALAM DI PULAU BATU LAYANG, KUALA PERLIS

 

Sebenarnya saya telah lama memasang niat untuk ke pulau ini, sesiapa yang pernah memandu kereta atau menunggang motor di pesisir pantai Kuala Perlis pasti akan perasan sebuah pulau sedih lagi sunyi yang sekian lama menyaksikan kenangan manis dan pahit di Selat Melaka ini. Inilah satu-satunya pulau milik Negeri Perlis. Menurut sejarah Tanah Melayu, Perlis mempunyai sebuah lagi pulau yang terletak 10 km dari Kuala Perlis iaitu Pulau Brasmana, namun entah macam mana pulau yang dihuni komuniti Orang Laut Muslim yang kebanyakan mereka mempunyai pertalian darah dengan masyarakat Kuala Perlis itu telah jatuh ke tangan pemerintah Thai. Bagaimanapun seperti yang kita ketahui penduduk Pulau Brasmana dan Tamalang, dari daerah Satun sehingga hari ini diberi keistimewaan untuk bermudik ke Kuala Perlis bagi mendapatkan keperluan dapur dan lain-lain. Saudara mara mereka di Perlis masih lagi memberi zakat padi kepada fakir miskin di sana biarpun ringgit sudah jatuh merudum berbanding baht.

Beberapa tahun dahulu orang-orang di pekan tertawa berdekah apabila mendengar cerita kemunculan ikan lumba-lumba bermain-main di Pulau Batu Layang. Sekarang, terbukti kisah itu benar, pada bulan September ini sahaja sudah 5 kes melibatkan ikan lumba-lumba mendapat liputan hangat media sosial. Hari ini satu lagi bangkai ikan lumba-lumba telah ditemui kira-kira 4 KM dari Pulau Batu Layang.

Foto kredit: Perlis Nature and Wildlife

Sekiranya anda menemui bangkai lumba-lumba di sepanjang pantai Kuala Perlis- Kuala Sanglang; 
atau insiden ikan lumba-lumba dan paus terdampar sila hubungi :
Hotline Jabatan Perikanan 03-88885019
MareCet 011 1577 6802
MyKp 011 3549 2771
Inbox page Perlis Nature & Wildlife (PNW)

Seingat saya, dahulu pulau ini dogol tanpa sebarang tumbuhan, atas inisiatif pihak tertentu mereka membawa benih-benih pokok untuk disemai agar jadi teduhan bagi makhluk yang singgah di pulau ini. Menurut sejarah, asalnya daratan Kampung Sungai Berembang mencecah hingga ke Pulau Batu Layang itu, yakni kira-kira 1.3KM dari pantai yang ada sekarang ini. Namun ombak pantai yang menghempas sepanjang kurun telah menghakis dataran itu hingga pihak kerajaan Negeri menambaknya dengan batu-batu. Kesan penempatan lama itu masih boleh dilihat ketika air laut surut, longgokan pelapik tiang rumah, tangga batu, masih berceracak di dalam lumpur menjadi mahligai belangkas, ketam batu dan mentarang. Hikayat orang-orang tua di situ tak kurang menariknya, kononnya dahulu ada sebidang tanah yang sepatutnya diwarisi oleh seorang anak yatim piatu tetapi putar belit kaum kerabatnya telah berhasil menjadikan tanah pusaka itu jatuh kepada mereka. Haloba mereka tidak bertahan lama apabila lautan bertindak menghukum mereka dengan menjarah penempatan itu hingga jadi lumpur semuanya. Itu cerita orang lama… bukan fakta.

Rancangan awal untuk ke sini timbul bulan lepas, apabila saya membawa Mad Duha mengunjungi pusat pemulihan OKU di Kuala Sanglang, apabila melihat pulau itu terus Mad Duha bertempik “Jom kita pi situ minggu depan! Aku pinjam kayak daripada Pak Ku”. Minggu berganti bulan, tapi rancangan itu tetap jadi atas izin Allah, tiba-tiba hari ini Mad Duha muncul dengan sebuah kayak yang entah dari mana dia sapu? Mad Duha datang ke rumah saya jam 3.00 petang, namun disebabkan saya sudah terbiasa dengan tabiat Mad Duha yang selalunya akan datang pada waktu Maghrib, saya pun ralit di belakang rumah dengan kerja-kerja pertukangan. Dia telefon pun saya tak dengar. Maka, aktiviti berkayak kami bertangguh hingga 5.00 petang. Marah Mad Duha kerana dia dah balik ke rumahnya di Katong, kemudian terpaksa datang balik. Tapi takpa.. dia memang gigih bab berkelah ini!


Lalu kami dengan pengalaman yang tak seberapa ini, berkayuhlah ke Pulau Batu Layang itu, saya pernah 2 kali berkayak di lautan, saya tak tahu tentang Mad Duha? Namun kami sampai ke destinasi tanpa sebarang masalah. Dengan lafaz “A'udhu bi kalimatil lahit-tammati min sharri ma khalaq” kami pun menjejak kaki ke atas pulau ini. Tiada apa lagi yang hendak ditakutkan kerana kami berserah diri kepada Sang Pelindung. Seperti yang telah kami jangkakan, sampah memenuhi pulau sekangkang kera ini. Terdapat sebatang pohon kelapa, sepohon ketapang, sepohon mengkudu, Aloe Vera dan beberapa pokok renek yang lain. Sebuah papan tanda gergasi “Pulau Batu Layang” didirikan entah apa tujuannya? Bahlol mana lagi yang tak tahu nama pulau tunggal di Perlis ini? Bagi saya ia pembaziran duit rakyat, lebih baik didirikan pelantar, diratakan beberapa batu untuk tujuan rekreasi atau dijadikan musolla.



Permandangan senja merah di atas lautan merupakan satu pengalaman yang mahal sekali. Masya Allah, visual 30 minit terakhir sebelum mentari berlabuh itu sudah cukup untuk membayar semua masa dan usaha yang kami himpunkan untuk ke sini. Sungguh indah! Kami berjaya membersihkan kira-kira 80% sampah dengan menjadinya bahan bakar malam ini. Kami tiada pilihan lagi kerana tiada kayu untuk dijadikan unggun api. Mad Duha berpandangan, sampah-sampah yang bertimbun di Kuala Perlis (13 tan sampah dikutip dipersisir pantai Kuala Perlis – rujuk laporan Mingguan Malaysia, 19 Sept. 2021) dibuang oleh orang awam, atau poser campers/hikers/cyclists bukan pengemar outdoor yang tulen kerana hanya orang awam Malaysia yang masih bermentaliti begitu, mereka rasa ada orang lain yang bertanggungjawab mengutip sampah mereka dan sikap “take in, take out” masih asing bagi mereka.

Kami minum kopi dan sup untuk memanaskan badan, cuaca begitu dingin sekali, risau juga kalau-kalau ribut melanda. Ketika tidur dalam sleeping bag menatap rembulan, entah beberapa kali langit dan laut berubah-ubah, sekali mereka kelihatan bersatu, kemudian mereka bercerai pula. Mad Duha nampaknya terperdaya dengan lautan, beberapa light bouy yang statik di satu tempat dikatanya nelayan mencadat sotong dan bergerak ke sana-sini. Dia marah saya menafikannya. Ha!ha!

Pada jam 12.00 malam, Mad Duha kata dia terdengar ombak memukul kayak, kami pun bergegas memikul kayak ke satu tingkatan batu lagi kerana air pasang pagi. Kalau leka, berenanglah kami ke pantai esok hari. Mad Duha kemudian mengatakan bintang terang yang mempunyai lingkaran merah itu Musytari, saya tertawakan dia. Saya menyangkanya dia masih dalam kinetosis. Namun apabila dia suruh saya membaca laporan berita di Google, barulah saya percaya. Maka bonus kedua pada malam ini dapat merenung keanehan Jupiter yang bersuluk di buruj Aquarius. Terima kasih Allah kerana memperlihatkan hambaMu tanda-tanda keagunganMu.

Esok ketika kami terdengar azan Subuh yang jelas dibawa Sang Bayu, Mad Duha mengakui cahaya-cahaya hijau berkerdipan di laut itu ialah light bouy. Sayup dari kejauhan terlihat Perlis Power Plant yang bagaikan Gotham City tanpa Batman. Kami sebenarnya hanya dapat tidur beberapa detik sahaja kerana pulau ini dipenuh lipas-lipas dan nyamuk. Mujurlah serangan lipas yang bermula pada awal senja berhenti pada tengah malam, tetapi tentera nyamuk nampaknya bertugas sepanjang malam! Jadi kepada yang ingin bertandang, bawalah senjata kimia untuk berhadapan serangga ini.

Kami hanya mengambil masa 13 minit untuk sampai ke pantai. Mad Duha tersenyum kepuasan, kami menanam azam untuk mengayuh kayak ke Pulau Langkawi pula selepas ini. Sarapan pagi nasi khao mok tidak dilupakan sebagai pelengkap siri pengembaraan kali ini.

3 ulasan:

  1. Berkayak di laut lebih mudah dari berkayak di sungai...berat dan meletihkan...
    Apa2 pun seronok la kembara macam ni...best!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul tu! ringan kerana kapasiti garam yang tinggi, cuma takut ombak ja la.. hehe.

      Padam
  2. tak sangka banyak juga pulau menarik di sana ya

    BalasPadam