Jumaat, 29 Oktober 2021

MEMBUAT HIASAN, PAMERAN DAN REKOD-REKOD DUNIA BERKAITAN AL-QURAN


Rakan saya memanjangkan satu mesej dan bertanyakan pendapat tentang satu iklan digital memohon infaq kepada seorang individu sebagai dana untuk dia membuat lukisan mushaf al-Quran air zamzam pertama di dunia. Dia memohon sedekah minimum RM20 setiap bulan dan dijangka proses ini mengambil masa selama 4 tahun. Nilai wakaf juga diletakkan harga dari RM1,000 hingga RM100 bagi yang mengharapkan pahala dalam usaha menghasilkan karya seni ini. Pengiklan juga berjanji akan menghasilkan mushaf Al-Quran ini dengan displin-displin tertentu.

Saya pernah menulis tentang hal ini dalam buku Penaney Pek Buleh Tumpang, Benudoh Pek Buleh Hi Ajar bab “Merantau Ke Palembang” (mukasurat 141) ketika saya pergi melihat Bait al-Quran Al-Akbar di wilayah Gundus, Palembang yang merupakan mushaf ukiran kayu terbesar di dunia. Saya telah menulis dengan terperinci tentang sejarah pembukuan Quran dan sikap yang patut diambil oleh seorang Muslim terhadap Quran. Kita sepatutnya mentadabbur Al-Quran bukan memikirkan berbagai-bagai cara untuk mencipta rekod dunia atau menghiasnya lebih lagi mengaut untung atas satu-satunya mukjizat nabi yang masih ada hingga hari ini. Rasul salallahu alaihi wasallam didatangkan kepada manusia oleh Allah subhana wa ta’ala untuk kempen ibadah dan akhlak, tetapi kebanyakan kita hari ini lebih gemar berkempen tentang makanan, pakaian dan assesori nabi yang akhirnya dimanipulasi dan dijadikan modal untuk mengaut duit. Kita lebih pentingkan jasad daripada roh agama itu sendiri, sedangkan jasad tiada fungsinya tanpa roh.

Ketika di Bait Al-Quran Al-Akbar, pengunjung dikenakan bayaran tiket untuk melihatnya, selain itu kita boleh juga menyumbangkan wang dalam satu balang kaca kepada muzium peribadi itu. Kebanyakan orang yang hadir kagum melihat mushaf Al-Quran yang diukir ke atas bongkah kayu gergasi. Masing-masing berswafoto dengan bongkah kayu itu, memuji pengukirnya dan berlalu pergi. Aktiviti ini digelar oleh mereka sebagai wisata religi atau bermaksud ‘rekreasi agama’.

Persoalannya adakah membuat Quran gergasi dan mencipta hiasan-hiasan menakjubkan pada Quran itu di suruh dalam agama? Untuk apa? Malah ia memerlukan peruntukan wang yang luar biasa, air zamzam itu lebih patut digunakan untuk minum atau rawatan, sedangkan kudrat yang ada sepatutnya digunakan untuk usaha seperti membangunkan ummah atau mencari rezeki dengan cara yang berkat. Saya bukan mahu menilai niat suci seseorang tetapi wajar kita lihat pendirian sahabat-sahabat Nabi salallahu alaihi wasallam ketika hasrat pembukuan Quran pertama kali dicadangkan selepas kewafatan baginda. Apabila Umar al-Khattab mengetengahkan hal ini kepada Abu Bakr kerana bimbang Quran hilang setelah banyak penghafal Quran yang mati dan terkorban ketika perang, para sahabat nabi gusar, serabut dan berbeza pendapat, namun Abu Bakr setuju untuk menghasilkan beberapa naskah Quran untuk simpanan khalifah. Hal ini dilanjutkan pula di zaman Uthman Ibn Affan yang memutuskan untuk mengekalkan satu versi asli dan muktamad apabila berbagai versi al-Quran mula tersebar. Dari sejarah itu sendiri pun kita sudah tahu Quran ini dijadikan kitab bertulis semata-mata untuk mengekalkan keaslian wahyu yang menjadi panduan hidup manusia. Satu kitab istimewa dari kalam Tuhan yang jika kita ingin memuliakannya seharusnya kita membaca, menghafal dan mengaplikasikannya dalam hidup, bukan jadi pameran di almari rumah sahaja…

Saya nasihatkan kepada yang ingin infaq wang dan harta, utamakan ahli keluarga yang memerlukan, berikan kepada orang-orang fakir, sumbangkan kepada mangsa bencana, wakafkan kepada penuntut ilmu Quran dan bina kemudahan untuk manfaat orang ramai.


لَيْسَ الْبِرَّ أَنْ تُوَلُّوا وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَالْمَلَائِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّائِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَالْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَاهَدُوا وَالصَّابِرِينَ فِي الْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ وَحِينَ الْبَأْسِ أُولَئِكَ الَّذِينَ صَدَقُوا وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ

"Kebajikan itu bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan ke barat, tetapi kebajikan itu ialah (kebajikan) orang yang beriman kepada Allah, hari akhir, malaikat-malaikat, kitab-kitab, dan nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabat, anak yatim, orang-orang miskin, orang-orang yang dalam perjalanan (musafir), peminta-minta, dan untuk memerdekakan hamba sahaya, yang melaksanakan shalat dan menunaikan zakat, orang-orang yang menepati janji apabila berjanji, dan orang yang sabar dalam kesusahan, penderitaan dan pada masa peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar, dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa". – (Q.S Al-Baqarah: 177)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan