Isnin, 2 Oktober 2023

PERAYAAN MAWLID NABI

Bagi yang pernah membaca buku tulisan saya yang berjudul Penaney Pek Buleh Tumpang, Benudoh Pek Buleh Hi Ajar, saya ada gambarkan kemeriahan sambutan Maulidurasul ketika tinggal di Gombak, seluruh kampung akan berpakaian cantik, berkawad di jalan raya sambil berqasidah dan memikul bunting dengan bermacam slogan Islamik. Ada masjid memasang khemah lengkap dengan peralatan kugiran (gitar, bass, dram, kibod) untuk acara selawat muzikal. Bagi saya itu bukanlah sesuatu yang sangat ganjil kerana saya sudah pernah merantau dan berkhidmat di Subang Jaya belasan tahun lalu, malah saya sendiri pernah dipaksa oleh Jabatan untuk berkawad mengelilingi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sempena Mawlid Nabi dahulu. Kalau tidak hadir, kami akan dikenakan tindakan oleh ketua Jabatan, namun saya licik dan berjaya loloskan diri selepas berjalan 1 km pertama. Ketika itu biarpun saya tidak tahu sejarah asal usul mawlid ini, saya sudah mempersoalkan perayaan ini kerana semua orang tahu Allah Ta’ala hanya kurniakan umat Islam 2 hari raya iaitu Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Korban, punya banyak lagi peristiwa besar dalam Islam, ia tidak diisytihar sebagai hari raya.

Kita juga tahu kecintaan kepada Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam itu perlu dizahirkan dengan mentaatinya, mengamalkan sunnah baginda, dan termasuk dalam sunnahnya ialah meninggalkan perkara yang dilarang dan ditinggalkannya. Bahkan sudah terbukti cinta kepada Rasul dengan cara yang tidak benar akan membawa ke neraka. Buktinya bukankah antara orang yang paling melindungi dan menyayangi Nabi Muhammad itu Abu Thalib? Manakah tempatnya di akhirat?

Nabi melarang umat Islam mengkultuskan dirinya. Bukankah Nabi salallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Janganlah kalian berlebih-lebihan memujiku sebagaimana orang-orang Kristian berlebih-lebihan memuji Isa putra Maryam. Sesungguhnya aku hanya seorang hamba, maka katakan (panggil aku) ‘Hamba Allah dan RasulNya”. (Hadis riwayat al-Bukhari).

Ketika saya ke Putrajaya untuk urusan kerja baru-baru ini, sewaktu bertemu rakan-rakan sekerja dari seluruh tanahair, mereka berbincang;

“Balik nanti kau kena kawad tak? Dapat baju?”

“Kawad tapi Negeri kami tak dapat baju tahun ini. Korang bawak bunting apa?”

“Negeri kami tahun ini tema hijau, tapi punyalah jauh hendak kena berkawad!”.

Saya dengar sahaja. Mereka pun tak tanya tentang bagaimana sambutan di Perlis, boleh jadi mereka pun sudah tahu. Ada yang mengeluh diarahkan berkawad, ada seronok. Jauh disudut hati, saya bersyukur kerana pemerintah di Perlis menjadikan bulan ini sebagai bulan pendidikan sirah Nabi Muhammad, maka seluruh masjid digesa menganjurkan ceramah, seminar dan kuliah berkisar tentang kelahiran, kenabian dan perjuangannya. Kami tidak merayakan mawlid nabi dengan cara yang aneh-aneh, walaupun ada juga kes-kes terpencil ada penduduk berkawad keliling taman, berqasidah di madrasah dan sebagainya kerana terpesona dengan trend di luar sana.

Jauh di sudut hati, saya berpendapat andainya ketua-ketua jabatan yang mewajibkan kakitangannya berkawad, membawa bunting, memukul gendang dan berqasidah ini, mengantikan dengan mewajibkan kakitangannya pada hari tersebut agar hadir solat Subuh berjemaah, kemudian dilanjutkan mendengar kuliah Subuh. Saya rasa itu lebih baik dan berbaloi dikenakan tindakan jika gagal hadir!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan