Khamis, 13 Ogos 2026

ADAB LEBIH PENTING DARI ILMU?

 Beradab sebelum berilmu. Jika berilmu sahaja Iblis lebih berilmu dari malaikat?

Dahulu aku macam hendak bersetuju kata-kata ini. Namun apabila difikirkan mana mungkin orang berilmu tapi menjadi tak beradab, semua orang tahu kejahilan membawa kepada seseorang itu jadi kurang ajar, buruk tingkah laku dan jahat. Ya! dia mungkin berilmu dalam bab tertentu. Akhlak juga menuntut ilmu untuk difahami dan dipraktikkan.

Mempersiapkan diri dengan ilmu Quran dan sunnah merupakan persiapan untuk ke syurga. Mustahil seseorang itu masuk syurga tanpa ilmu. Kebodohan seperti yang difirmankan Allah azz awa jalla dalam Quran adalah maksiat kepada Allah. Wahyu pertama yang diturunkan iqra, “bacalah” ertinya kunci agama berada dalam ilmu. Kunci mendapat redha Allah dalam ilmu. Kunci syurga berada dalam ilmu. Ilmu tentang perkara iman, ilmu tentang pembatalan iman, ilmu untuk mendekatkan diri kepada Allah, ilmu yang menjaga diri dan melindungi diri dari kesesatan hidup dan kemurkaan Allah. Apatah lagi kunci bagi akhlak dan adab pasti dalam ilmu.

Bukankah kita memohon bimbingan Allah setiap kali membaca al-Fatihah dalam solat agar diberikan ilmu untuk mengetahui jalan orang yang mendapat nikmat (petunjuk) dan menghindarkan diri dari jalan orang yang sesat?

Peribahasa Melayu, “bodoh sombong” yang selalu kita ditujukan kepada seseorang bukan bermaksud senda gurau. Melainkan kebodohan orang itu sudah tak bertebing lagi untuk dilayari atau direnangi..

Sekadar pandangan sepuluh sen daripada aku.

Ra1m1, 6/8/2026

Tiada ulasan:

Catat Ulasan