Baru-baru ini aku terima Whattsapp daripada seorang rakan
main band, dihantarnya tangkap layar seperti di atas tanpa sepatah kata pun?!
Aku fahamlah, dia nak aku komen. Jadi ada baiknya aku komen di sini maka kawan-kawan
yang lain pun boleh baca apa pandangan aku berkenaan seragam tak kena majlis
ini.
Sewaktu aku rajin turun Jakarta dahulu, memang selalulah aku
nampak orang pakai jubah, serban, rida’, bawa tasbih masuk Hammersonic dan
duduk di front row layan Indo-brutal death grind, layan black metal. Bukannya
fenomena lagi, depa ini tak ramai, adalah seorang dua sahaja tetapi ada sahaja
kelibat mereka. Tidak hanya ada di konsert, aku turut jumpa gaya yang
sebaliknya juga di masjid dan surau di sana. Yap! Benarlah juga kata-kata yang sering kita
dengar, “apa yang hendak dipakainya terpulanglah kepada dia, dia bukan minta
duit kau, bukan kacau kau! Yang kau sibuk, kau nak komplen apasal!?”.
Kita pun selalu dengar orang yang sedemikian, terutamanya
selebritilah akan cakap “Walaupun pakaian aku begini, aku seksi, tetapi aku
masih solat, Allah sahaja yang menilaiku!”.
Betul tak?
Namun benarkah ajaran Islam sedemikian? Kefahaman begini
berkait dengan pemikiran irja’ yang membentuk aliran murji’ah. Secara asasnya,
pemikiran ini beriktikad maksiat dan dosa tidak akan menjejaskan keimanan
seorang insan. Atau ringkasnya, amal perbuatan terkeluar dari cakupan keimanan.
Bagaimanapun, Nabi salallahu ‘alaihi wassalam mengajarkan kita hal yang berbeza. Baginda memberitahu kita bahawa
iman itu daripada hati, ucapan lisan dan anggota badan. Iman bertambah dan
berkurangan. Ringkasnya, iman yang ada dalam hati pasti akan memimpin perbuatan. Cahaya pada batin pasti menyinar pada zahir seseorang. Senang kata,
jika dia lebai kaki masjid, amalnya ikut syariat, pakaiannya patuh syariat,
majlis yang dihadirinya juga seharusnya patuh syariat. Dia pasti elakkan diri
dari syubahat. Secara syariatnya begitulah, lainlah kalau dia munafik!
Kita tak mau bincang hukum keharaman muzik bagi 4 mazhab
muktabar lagi. Kita keluar dulu dari perbahasan hukum, dan fikir secara rasional dan santai macam orang
biasa-biasa sahaja dahulu. Kenapa seseorang berpakaian sedemikian di majlis
pelancaran album black metal yang mungkin ketika remaja dahulu merupakan
karya terhebatnya? Kau bukannya GHOST yang berpakaian seperti pope atau
cardinal untuk mengolok-olok agama menerusi muzik?
"Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentu mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanya bersenda-gurau dan bermain-main saja”. Katakanlah: “Apakah dengan Allah, ayat-ayatNya dan RasulNya, kamu selalu berolok-olok?”. [Quran, at Taubah: 65].
Tetapi jika sama niat mereka.
Case closed laaa..
Kita memang tak dapat mengawal persepsi orang terhadap gaya,
imej dan identiti kita. Namun dalam Islam kita disarankan untuk menutup
prasangka buruk bukannya membiarkan ruang tersebut terbuka agar jadi fitnah ke atas diri
kita dan rakan-rakan (kerana mengumpat). Tamsilannya sebagaimana makanan, kita tibai makan
laksa dan sirap dalam pub (konon reti halal-haram) sedangkan rakan-rakan kita
yang lain makan kacang shandong dan bir. Pelik dak? Baik kau takyah datang dari awal!
Semoga rakan-rakan semua terpelihara dari aib dan dosa.
Ra1m1, 11.9.2024@22:53
P/S: Aku suka band ni, dulu aku pernah beli banyak tape daripada frontman-nya, aku pun pernah temubual mereka. Jadi tulisan ini bukan atas dasar kebencian, tetapi satu pandangan jujur sahaja.