HANG MENANGIS TAK APABILA MELIHAT KEPADA ANAK HANG?
Kami dari Perlis sudah bertekad, setiap tahun kami akan buat roadtrip ke KL untuk makan angin dan bertemu rakan-rakan lama. Dalam perjalanan roadtrip tahun ini, kami pun berkongsi cerita tentang keluarga masing-masing, tiba-tiba Chen bertanya "Hang menangis tak bila tengok kat anak hang?". Aku jawab, "Ya". Aku tak panjangkan kenapa, boleh jadi kami berdua pula menangis atas kereta jika dibahaskan masa itu. Chen menutup dengan berkata "Definitely worth crying for laaa."
Namun aku rasa hendak berkongsi di sini, setiap ibu bapa pasti pernah mengalami detik di mana hati mereka tiba-tiba sebak dan menitiskan air mata ketika melihat anak kecil mereka. Perasaan ini bukan sekadar emosi biasa, tetapi ia berakar daripada fitrah manusia, saat kita kenal inilah dia 'pure love', atau cinta yang paling tulus. Perasaan cinta itu bertambah, berkurang, hilang dan hadir. Tetapi saat menangis itulah kita dapat rasakan cinta yang paling agung, tercapai oleh naluri kita. Iya! Kita tahu ia hanya satu titis dari lautan cinta Allah yang jauh lebih agung tetapi kita tidak termampu menghitungnya. Dalam Islam, kasih sayang terhadap anak-anak dikaitkan dengan tanggungjawab, amanah, dan kenangan terhadap jasa ibu bapa sendiri. Salah satu ayat yang dapat dikaitkan dengan fenomena ini ialah firman Allah dalam Surah al-Isra: 24:
“Dan rendahkanlah sayapmu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: ‘Wahai Tuhanku! Sayangilah mereka sebagaimana mereka telah mendidikku semasa kecil.” (Surah Al-Isra: 24)
Ayat ini mengandungi tiga aspek utama yang boleh dikaitkan dengan perasaan sebak ketika melihat anak kecil: kenangan terhadap ibu bapa sendiri, rasa tanggungjawab terhadap amanah Allah, dan kasih sayang yang tulus dan suci.
Mengenang Jasa Ibu Bapa
Ketika melihat anak kecil, kita sering terbayang bagaimana suatu ketika dahulu kita juga berada dalam keadaan yang sama. Kita pernah menjadi bayi yang tidak berdaya, bergantung sepenuhnya kepada kasih sayang dan pengorbanan ibu bapa kita. Melalui ayat ini Allah mengajar kita agar sentiasa menghormati dan berdoa untuk mereka, sebagaimana mereka telah menyayangi dan membesarkan kita dengan penuh kesabaran dan kasih sayang. Kesedaran ini boleh membuatkan kita sebak kerana kita menyedari betapa besar jasa mereka yang tidak mungkin dapat kita balas sepenuhnya. Bagaimanapun, dua hari lalu Dr. MAZA membahaskan, bagaimana jika doa ini (al-Isra': 24) diamalkan oleh seorang anak yang ibu atau bapanya melayan dirinya semasa kecil tanpa kasih sayang, bercakap dengan caci maki, berlebihan bila memukul? Awas, kita akan menuai apa yang kita semai...
Rasa Tanggungjawab dan Cinta Murni Sebagai Ibu Bapa
Anak-anak adalah amanah daripada Allah, dan melihat mereka dalam keadaan lemah serta memerlukan perlindungan sering kali mengingatkan kita kepada tanggungjawab besar yang dipikul. Namun, lebih daripada itu, ia membangkitkan perasaan cinta murni yang suci dan tidak bersyarat. Melihat wajah mereka yang polos, mendengar tawa mereka yang tulus, dan menyaksikan pertumbuhan mereka dari hari ke hari menghadirkan perasaan kasih sayang yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Ini adalah cinta yang tidak mengharapkan balasan, tetapi lahir daripada fitrah semula jadi seorang ibu atau ayah. Ayat dalam Surah Al-Isra: 24 mengajar kita tentang kelembutan dalam mendidik, sama seperti ibu bapa kita dahulu bersikap lembut terhadap kita. Perasaan ingin menangis ini muncul kerana kita sedar bahawa suatu hari nanti mereka akan membesar, dan kita akan diuji sama ada kita telah mendidik mereka dengan sebaiknya atau tidak.
Keinsafan Terhadap Masa yang Berlalu
Melihat anak kecil juga sering kali mengingatkan kita tentang betapa cepatnya masa berlalu. Hari ini mereka masih kecil, tetapi dalam sekelip mata mereka akan membesar dan meninggalkan zaman kanak-kanak mereka. Sebagaimana kita dahulu membesar dan mungkin pernah mengabaikan jasa ibu bapa kita, kita juga takut jika suatu hari nanti anak-anak kita akan jauh daripada kita. Ini menjadikan kita lebih menghargai setiap detik bersama mereka dan mendorong kita untuk menjadi ibu bapa yang lebih penyayang serta bertanggungjawab. Perasaan sebak ini juga timbul kerana kita menyedari bahawa fasa ini tidak akan berulang, dan kita ingin memastikan bahawa kasih sayang serta perhatian yang diberikan cukup untuk membentuk mereka menjadi insan yang baik dan berakhlak mulia.
Guru kami selalu berpesan, jika kalian menangis kerana bahagia atau menangis kerana sengsara, cuba sentuh dan rasa air mata yang mengalir pipi... Kalian pasti akan takjub kerana ada bezanya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan