Ahad, 24 Januari 2016

MENJEJAKI TOK ADAM DI GUNUNG JERAI

Sebaik melawat kedai buku Marhaen Litera, kemudian bersolat di masjid pondok Ghairru Jamek dan minum petang bersama Pitri al-Fateh Zainon, saya terus bergerak ke Bedong. Harapan saya untuk menikmati nasi kandar Naina dan melawat rakan-rakan di Rumah Seri Kenangan Bedong musnah apabila gear motorsikal saya mengalami kerosakan di pekan Gurun. Saya terpaksa ke kedai besi dan membuat sedikit modifikasi pada gear untuk terus bergerak.



Masa habis dengan sia-sia di Gurun dan saya terus bergerak kembali ke kaki Gunung Jerai untuk bertemu Mad Duha yang datang dari Bukit Pinang, Kepala Batas. Seperti yang dijanjikan tepat jam7.30 malam kami bertemu di surau di kaki Gunung Jerai, dan terus mendaki dengan jentera kami sebaik menunaikan solat Magrib. Mad Duha terus melakukan solat jamak dan qasar, tetapi saya masih ragu-ragu dengan jarak musafir kali ini.

Kami terus ke puncak dan berlegar-legar mencari kawasan yang sesuai untuk didirikan khemah, manakala saya ditugaskan untuk menyalakan unggun api bagi menakutkan binatang liar. Pembakaran terbuka memang dilarang, tetapi itu sahaja harapan kami untuk mendapat kepanasan dan menghindar ganguan binatang. Bagi mengelak api merebak, saya nyalakan unggun api didalam lubang. Risau juga apabila Pitri al-Fateh berpesan supaya berhati-hati jika berkhemah di camping site Jabatan Perhutanan kerana ramai yang melihat ada Pak Belang sering beradu disitu. Maka dengan sebab itu juga kami memutuskan untuk terus berkhemah dipuncak walaupun angin begitu kuat. Paling ralat kami berdua tidak membawa lampu suluh. Dalam kegelapan malam dengan hanya mengunakan lampu motorsikal Mad Duha dirikan khemah, saya pun dengan mengunakan lampu android pergi mengutip kayu-kayu kering untuk dibakar. Ya! Memang benar begitu banyak kisah lisan khurafat mengenai hantu-hantu Jerai, demi Allah kami langsung tidak memikirkan karut –marut tersebut, pada Allah segala daya dan upaya. Dan memang ada sedikit perasaan untuk mendokumentasikan perkhemahan ini bagi membuang andaian karut pada rakan-rakan yang mempercayainya.







Kira-kira jam 10.00 malam, kami siap mendirikan khemah dan membuat unggun api, saya turut sempat membuat secawan kopi putih mengunakan unggun api tersebut. Kole stainless steel, kopi murah, kamera dan kain pelekat sahaja yang mampu saya bawa, manakala Mad Duha hanya membawa khemah, 2 botol air mineral dan pemetik api. Ringkas. Memandangkan bateri android dah tinggal satu bar, Mad Duha yang mengunakan Digi pula langsung tiada isyarat diatas puncak ini. Kami tutup telefon dan menikmati deruan angin yang begitu kencang dan dingin sekali. Boleh dikatakan setiap satu jam, Mad Duha gesa saya untuk cari kayu agar unggun api tidak padam. Pembahagian tugas yang kurang adil nampak gayanya!

Puncak gunung Jerai adalah setinggi 1,217 meter, boleh jadi kami berkhemah pada ketinggian 950 meter berdasarkan batu tanda aras tidak jauh dari kami. Menurut lagenda, Gunung Jerai adalah sebuah kawasan pulau yang ditemui Merong Mahawangsa, iaitu pemerintah agung yang pertama negara Kedah atau dikenali pada zamannya sebagai Langkasuka. Kerajaan Langkasuka  yang disebut “Anda- Kataha” turut disebut dalam kitab Hindu purba ‘Agni Purana’ .

Terdapat satu bentuk hamparan batu yang dipanggil ‘Batu Kapal’ yang dikaitkan dengan kapal Merong Mahawangsa ketika berlabuh disitu setelah terpisah dari angkatan lautnya ketika berperang dengan garuda. Kapal itu dipercayai penduduk telah disumpah Sang Gedembai atau Sang Kelembai menjadi batu. Kebanyakan bentuk-bentuk batu yang pelik disekitarnya, turut dipercayai asalnya haiwan yang telah disumpah menjadi batu. Hikayat yang mirip kepada Medusa atau Gorgon dari negara Greek.

Gunung Jerai dan Kedah umum nya tidak dapat dipisahkan dari kesaktian, keramat tok syeikh, bunian, naga, Sang Kelembai dan Bani Tamim. Maka, tidak hairan jika ada ulama besar yang sanggup menghikayatkan kepada orang ramai cerita-cerita tanpa hujah dan dalil seperti Nabi Adam a.s diturunkan dari syurga ke Gunung Jerai, Kapal armada perang Toriq yang menawan Sepanyol ditukangkan di Kedah, kapur barus mengawet Firaun diimport dari Kedah dan sebagainya.

Istana milik Ku Din (seorang pembesar Kedah yang dihantar ke Satun) di Alor Setar yang telah dikaji-selidik dan disahkan oleh pihak muzium dan istana, masih dianggap oleh masyarakat setempat sebagai istana Raja Bersiong.

Kisah panglipur lara mengenai lokasi pertama manusia dari Syurga, Tok Adam dihantar ke dunia tidaklah penting melebihi peristiwa yang Allah swt wahyukan melalui al-Quran. Hadis riwayat Ibn Assakir dalam Tarikh Dimashq yang mengatakan Adam turun ke dunia di India telah disahkan statusnya sebagai doif dan sanad yang sangat lemah. Ada juga hikayat tanpa dalil dari sumber lain yang menyatakan Nabi Adam turun di Jeddah, di Dahna, di al-Safa, dan di Sri Lanka. Semuanya teori belaka. Bagi kita ahlus sunnah ada baiknya kita mengikut pendapat golongan salaf dengan mendiamkan diri dan mengabaikan sebarang teori tanpa bukti sebegini. Allah maha Mengetahui kenapa kita tidak perlu tahu lokasinya dari al-Quran yang dianugerahkan sebagai pedoman.

Satu lagi tempat yang menjadi karamah penduduk setempat adalah Telaga Tok Syeikh yang digali sendiri oleh ulama tersohor Sheikh Abdullah Ahmad Ja’afar al Qaumiri. Sebelum saya ceritakan lebih panjang, tahukah anda orang Kedah turut percaya Syeikh Abdullah Ahmad Ja’afar al Qaumiri adalah murid wali Allah paling popular di dunia Melayu, Syeikh Abdul Qadir al Jailani dan turut mempercayai beliau jugalah yang pertama mengajar orang Melayu seni beladiri “Silat”. 

Sheikh Abdullah Ahmad Ja’afar al Qaumiri dicoretkan belayar dari pondok pengajiannya ke Tanah Melayu bersama beberapa pendakwah yang lain antaranya Syed Thanauddin Jammadi Qubra dan Syeikh Ismail Zaffi. Selain membawa Islam ke Kedah, mereka turut mengislamkan Acheh dan kerajaan-kerajaan Melayu-Tua yang lain. Setelah mengembara ke serata pelosok alam Melayu, Syed Thanauddin Jammadi Qubra dipercayai ke Gunung Ledang menetap disana, beliau dikenali penduduk tempatan sebagai pendita Adi Putra, Syeikh Ismail Zaffri menetap di Gunung Wirana sebagai Sang Persata Nala dan Sheikh Abdullah Ahmad Ja’afar al Qaumiri kembali ke Kedah dan menetap di Gunung Jerai memperturunkan ilmu silat kepada keluarga diraja . Dari situlah bermulanya warisan ‘ibu silat’. Maka dengan itulah, kawasan ini menjadi popular dengan pertapaan, dan pentaksub ilmu silat kebatinan.

Jika anda datang pada siang hari jangan hairan jika sekitarnya dipenuhi dengan perkara khurafat dan individu-individu yang mengaku dari keturunan di raja atau dari ilmu tarekat pimpinan Syeikh Abdul Qadir al Jailani.

Baiklah, sepanjang malam kami disini, hanya deruan angin dingin menemani. Tiada sebarang peninggalan Nabi Adam atau artifak dari tamadun awal dunia atau tamadun Andalusia (sebab kayu dari Kedah buat kapal perang di sana) diketemui kecuali batu kapal dan telaga seorang ulama. Tiada rasa misteri atau seram sejuk dek kegilaan khurafat. Beberapa kenderaan juga kedengaran sesekali naik dan turun sehingga 3 jam 3 pagi. 

Kehairanan Mad Duha melihat saya hanya mendirikan solat Isyak di atas tanah. Saya pegang hadis “Seluruh bumi ini adalah masjid, kecuali kuburan dan tandas” (hadis riwayat Tirmidzi no 317) walaupun dibahaskan sebagai riwayat mursal (terputus), namun boleh juga dikatkan dengan habis “Seluruh bumi dijadikan sebagai tempat solat dan untuk bersuci. Siapa saja umatku yang mendapati waktu solat maka solatlah ditempat tersebut” (hadis riwayat al Bukhari no 438). Oleh itu ertinya tetap membawa pada kesamaan. Dan seharusnya kita tahu masjid nabi dahulu hanyalah berlantaikan tanah. 

“Bahawasanya Abu Bakar sujud atau solat diatas tanah" (Kanzul Ummal juz 4 bab 22, Sunan al Kubro lil Baihaqi)

“Umar bin Abd Aziz salah seorang Khalifah bani Umayyah ketika sujud tidak hanya dengan memakai tikar sebesar wajah yang dibuat dari ranting pohon kurma, bahkan dia menaruh di atasnya tanah dan dia sujud diatasnya” (syarah al-Ahwadzi juz 1 bab 272, Fatul Bari juz 1 bab 410)

Oleh itu tiadalah alasan untuk tidak bersolat hanya kerana tiada lantai yang licin dan mewah. Bahkan bersolat diatas gunung, bertemankan bulan mengambang dan embun dingin memberikan satu nikmat yang tidak dapat dicoretkan dengan bahasa. Saya terlelap sekitar jam 3 pagi sebaik sahaja unggun api terpadam, dimaklumkan Mad Duha yang tidak tidur semalaman. Kami bangun bersolat pada sekita jam 6 pagi. Matahari begitu cepat menyinar walaupun kabus tebal. Helmet saya basah didalamnya petanda awan tebal menyisir dicelah-celah kami semalam. Siap mengemas khemah dalam hanya 5 minit kami bergerak ke The Regency Hill Jerai Resort sekitar 7 pagi. Pengawal keselamatan memburu kami kehairanan, setelah dimaklumkan kami hanya mahu mengunakan tandas. Dengan budi bicaranya, kami dibenarkan ke tandas dan meninjau keadaan sekitar. Cafeteria hotel telah mula beroperasi seawal 7.00 pagi, kelihatan rata-rata penginap hotel ini bangun awal untuk merasa kedinginan dan kesegaran pagi di puncak Jerai. Kami terus menuruni Gunung Jerai tanpa perlu menghidupkan enjin motor dengan kelajuan 60-70KMph.





















Boleh dikatakan sepanjang jalan menuruni Gunung jerai walaupun pada hari berkerja, Isnin ini, kami menemui hampir 100 orang yang berbasikal atau hiking ke puncak. Kebanyakan mereka adalah orang Cina. Andaian saya, Gunung Jerai lebih hidup dengan aktiviti rekreasi dan kecergasan pada waktu siang. Ia sesuatu yang bagus dari mempromosi hal khurafat.

Kami ke pekan Gurun untuk bersarapan nasi Kandar Hussein dan terus bergerak mengunakan lebuhraya untuk kembali ke Kangar dan tiba pada jam 10.00 pagi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan