Saya bawa anak angkat saya menonton filem ini sempena cuti sekolah yang lalu. Dia sendiri yang memilihnya. Selesai menonton filem ini saya lihat wajahnya girang, puas hati dengan pilihannya. Lebih lagi watak budak hero dalam filem ini rapat dengan jiwanya. Seorang yang sering dibuli di sekolah, anak kepada ibu tunggal yang ada masalah kewangan, gemar video games dan semestinya sering impikan keadaan akan berubah menjadi baik suatu hari nanti. Filem ini bukan sahaja hiburan, tapi fantasi yang diangankan oleh kanak-kanak sepertinya.
Filem kanak-kanak persis Disney yang diterbitkan sempena cuti sekolah ini adalah terbitan EuropaCorp, dengan jalan cerita dan skrip oleh Luc Besson (pengarah tersohor genre sci-fi) adalah menghiburkan dengan dialog-dialog yang lucu dan selamber. Mengisahkan seorang remaja, Jack (Uriah Shelton) yang merupakan penggila games pertarungan dan juga pekerja sambilan sebuah kedai antik. Suatu malam, melalui bakul purba pemberian taukey nya, seorang lelaki dengan pakaian panglima (Mark Chao) tiba-tiba muncul bersama seorang gadis ala diva (Ni Ni) meminta pertolongan. Panglima itu mendakwa gadis itu adalah puteri China yang sedang dilindunginya dari pemberontak yang diketuai oleh Arun the Cruel ( Bautista). Maka jadilah kisah romantis, Jack menjaga si puteri tanpa pengetahuan ibunya namun pihak pemberontak berjaya menculiknya di dibawa kembali ke dinasti purba untuk menjadi maharani Arun. Jack mempertaruhkan dirinya dengan turut terjun ke dalam bakul ajaib bagi bergabung dengan satu-satunya pahlawan maharaja dan seorang dukun (Francis Ng) untuk menyelamatkan Puteri Su Lin. Pengembaraan pun bermula. Jack berjaya menyelamatkan Su Lin bahkan dapat membunuh Arun dengan tangannya sendiri setelah belajar beberapa langkah kung fu semalaman. (ini memang tak logik tapi yalah fantasi kanak-kanak kan? Layan ja laa).
Dengan bantuan dukun, Jack berjaya kembali ke tahun 2016, walaupun sedih kerana terpaksa meninggalkan puteri yang jelita, Jack akhirnya mengabadikan pengembaraannya dengan memprogramkan sebuah video game berjudul Warrior’s Gate dan berjaya menjualnya kepada sebuah syarikat besar disaat-saat rumah mereka hampir dilelong. Ibu Jack sangat gembira, tapi Jack lagilah gembira bila suatu hari tuan Puteri Su Lin datang dari jauh semata-mata mahu makan ais krim bersamanya.
And they live happily ever after…
Boleh bagi anak-anak tonton. Lucu dan GCI kira pun OK lah… Jalan cerita ringkas dan tipikal.
wow menarik ni
BalasPadam