Banyak kenangan selama mereput di Lobong Custom Workshop selama 3 hari. Kawan-kawan di Kuching memang terbaik, bahkan mereka bagaikan saudara melayan saya dengan begitu baik.
Saya diberikan sebuah custom chopper (enjin Honda Shadow kalau tak salah) untuk ditunggang ke Tasik Biru bersama-sama KHEROW, kami semua menaiki custom chopper kecuali Pyan (drummer SENSELESS) yang berkhidmat untuk KHEROW pada hari itu. Saya rasa bertuah kerana diberi peluang untuk bertemu dengan beliau yang boleh dikatakan dari angkatan veteran death metalheads di Bumi Kenyalang. Suatu ketika dahulu saya sempat juga bertemu dan melepak bersama Andy (guitarist SENSELESS) di sebuah kedai muzik, itu pun dibawa oleh Zizie Row. Dialah yang begitu beria-ia mahu saya bertandang ke sana atas kapasiti pengurus Faithcraft Productions. Kami sampai di The Liar: Welsh Tavern, Biru lewat petang, keadaan si situ begitu meriah, Pemilik bar itu katanya kacukan Cina Mat salleh, dia pun peminat muzik berat. Varaheim dari kugiran IMMOLATE menghadiahkan saya kalung pentagram, manakala kenalan-kenalan yang lain minta saya cuba laksa Sarawak yang terkenal di situ. Ia dimasak oleh seorang metalheads.
Hidangan wajib setiap kali mendarat di Kuching.
Turun flight terus cuba chopper Zizie Row. Mantap!
Matthew menceritakan kepada saya nama tempat ini bersempena sebuah lombong terbiar
yang jernih airnya.
Persembahan KHEROW berjalan lancar, itulah pertama kali saya melihat barisan anggota-anggota terbaharu mereka. Muzik dan penampilan mereka berubah hampir sepenuhnya, Zizie Row kini lebih menumpukan pada struktur lagu, kurang solo, manakala haluan penyanyi mereka lebih kepada Nu Metal dan tribal seperti SEPULTURA dan SOULFLY. Kami kembali ke Kuching dalam hujan lebat, saya dan Zizie Row menunggang motor tanpa baju hingga ke Kuching. Terasa seperti di Thailand!
Kata Lobong dan Zizie kalau datang Kuching tapi tak cuba naik perahu susur Sungai Sarawak umpama tak pernah datang Kuchinglah. Jadi saya pun petang ini sementara tunggu Zizie Row habis kerja, cubalah naik perahu tambang tu. Memang best! Yang tak bestnya, api tak selisih buaya! Jambatan Darul Hana sudah pun siap dibini. Ia menelan kos RM35 juta itu, berbentuk bengkok ‘S’ dengan lantai sepanjang 335 meter, disokong oleh dua kabel setinggi 45 meter dari menara keluli dengan kecondongan 48 darjah merentangi Sungai Sarawak. Malangnya, ia akan dirasmikan dan dibuka kepada pengunjung pada minggu hadapan! Maka tak dapatlah saya cuba.
Banyak yang kami kongsikan ketika bersama, antaranya kata Bob (vokalis baharu KHEROW) masyarakat Sarawak adalah komuniti paling toleransi di Malaysia, kita tak pernah gaduh-gaduh walaupun berbeza suku dan agama. Saya mengatakan kurang setuju dengan pendapat itu, kerana apa yang saya faham sebagai toleransi ialah sesiapa pun bebas mengamalkan apa yang dia percaya dengan selesa, bukannya penganut semua dan suku harus menjalani cara hidup yang serupa barulah dia dianggap sebahagian dari komuniti itu. Contoh mudahnya, kenapa muslim yang bertatoo dan minum alkohol dianggap biasa di sana? Dan jika tidak sedemikian, dia pula dianggap aneh. Lobong sendiri mengatakan kepada saya ketika melihat saya pulang dari surau berdekatan bengkelnya, "Aku punya ramai kawan-kawan dari semenanjung ketika baru datang ke Sarawak, mereka sembahyang, mereka tak minum... aku bagi masa kau 6 bulan! hahaha! tahulah!".
Tak tahulah saya, tetapi bagi saya itu bukan toleransi tetapi proses normalisasi. Membiasakan seseorang dengan budaya atau uruf setempat, sesiapa pun kau jika kau mahu harmoni, ikut cara ini.
Hari terakhir Lobong siap buat BBQ di belakang bengkel. Saya senang sekali dengan mereka, Zizie Row berkali-kali pujuk agar saya berpindah ke Kuching. Dia pun tahu, Faithcraft Studio saya di Perlis sudah tidak beroperasi lagi, kini berkelana pula di KL, hidup tak menentu. Namun semuanya masih dalam perancangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan