Rabu, 16 Jun 2021

MENJEJAK BUKIT KODIANG

Ekspedisi ini berlaku pada 12 September 2019 lalu, saya buat ‘lontar belakang’ ini kerana tak ada apa buat setelah 16 hari terperap di rumah memandangkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan 3.0) masih berlanjutan. Cadangan untuk menjejak dan ‘meranggaih’ Bukit Kodiang ini disuarakan oleh Tarabaz (pemain dram HEREAFTER, GORESLUTS dan IRON MOTH) sejak sekian lama, tetapi kami masing-masing ada kekangan lain sehinggalah pada hari tersebut dia balik kampung (Anak Bukit, Alor Setar) bersama isterinya, maka rancangan ini pun berjalan.

Bukit Kodiang terletak di Kampung Kodiang Lama, berdekatan dengan stesen KTM Kodiang, jadi jika ada sesiapa yang ingin datang ke sini dengan cara yang mudah dan jimat, bolehlah naik LRT atau ETS kemudian jalan kaki sahaja dari stesen ke Bukit Kodiang sambil menikmati pemandangan sawah padi yang terbentang luas. Saya dan isteri bertolak dari Kuala Perlis sebaik sahaja selesai solat Subuh, dan sampai di pekan Kodiang pada jam 6.45 pagi. Saya pun guna Google Maps aja untuk cari lokasi Bukit Kodiang ini, berhampiran jalan besar aja, mudah! Tunggu punya tunggu, Tarabaz dan isterinya tak kunjung tiba, setiap kali kami telefon, dia kata dah dekat, dah dekat. Akhirnya jam dah pun pukul 8.30 pagi, jenuh juga kami tunggu kat parkir di kaki Bukit Kodiang.


Bukit Kodiang kini lebih dikenali sebagai Bukit Mok Cun, bersempena watak dalam satu drama popular mengisahkan seorang peniaga bedak sejuk dari Kodiang yang dibintangi oleh Erma Fatima. Logiknya lekeh sangatlah sebuah bukit diberikan nama selebriti, ntah-ntah Erma Fatima pun tak pernah daki Bukit Kodiang ini? Aku ada baca beberapa catatan blogger tempatan, depa pun kurang setuju nama Bukit Kodiang ditukar ke Bukit Mok Cun.

Ada orang kampung berdekatan datang mengutip RM2 untuk parkir kenderaan, mereka membersihkan kawasan itu. Bagusnya mereka turut menyediakan tandas percuma di kawasan rumah mereka. Isteri saya yang nak terkucil setelah letih menunggu Tarabaz dibonceng oleh Mak Cik yang jaga parkir ke tandas tersebut. Daripada kereta saya seorang, kini dah bersusun-susun kereta parkir di situ. Sampai sahaja Tarabaz kami pun terus bergerak mendaki ke atas, jalannya tidaklah sukar seperti yang digambarkan dalam banyak blog dan laporan di media sosial itu. Bukit Mok ini mempunyai ketinggian 170 meter sahaja, dalam 20 – 30 minit anda dah boleh sampai ke puncaknya. Ada beberapa bahagian yang agak sukar dan menegak 90 darjah, tetapi tali dan tangga keselamatan telah pun disediakan, cuma yang jadi kalutnya kerana banyak orang berhimpun menunggu giliran untuk panjat. Itulah yang makan masa sedikit, bukanlah kerana tahap kesukaran mendakinya. Bayangkan saya yang gemuk dan masih dalam rawatan kecederaan ACL pun boleh naik dalam keadaan senget dan perlahan-lahan, inikan anda semua yang sihat dan kurus. Jangan buat dramalah!

Ernie dan Tarabaz membuat tinjauan gua batu kapur. Tiada fosil dinosaur ditemui.

Selepas mendaki tangga di kawasan batu yang menegak itu, kita akan sampai tempat yang dipanggil ‘Beranda Kodiang”, di situ pun jenuh juga nak berebut view untuk berswafoto kerana kawasannya yang terhad manakala orang pula ramai. Kemudian jika mahu nikmati pemandangan lama-lama pun tak boleh, sebab member lain dah masam muka tunggu giliran kat bawah tu. Seterusnya kami naik lagi ke atas hingga habis jalan. Ada beberapa tempat yang cantik dan menarik untuk meninjau kampung-kampung di bawahnya.


Kami pun turun sekitar jam 11 pagi dan bertolak untuk makan tengahari di Restoran Haji Ghani, di Arked Semarak. Apa lagi jika tidak makan pasembor Kodiang. Orang KL panggil rojak. Apa yang istimewa pada pasembor ini? Tentulah kerana biskut Marie yang dihancurkan di dalam kuahnya. Aku tak pasti resipi Haji Ghani macamana… tetapi secara tradisional itulah rahsia kuahnya.

Bagi yang tidak pernah lagi ke sini untuk mendaki Bukit Kodiang, saya cadangankan ada baiknya anda terus ke Bukit Gua Kerbau pula yang terletak kira-kira 2 km sahaja dari situ kerana ketinggiannya pun lebih kurang sama. Jadi, dapatlah anda tawan 2 puncak bukit serentak pada pagi yang sama. Barulah berbaloi makan mee rebus dan pasembor selepas itu! Khabarnya kini ada aktiviti 'dropzone' diperkenalkan oleh Persatuan Mendaki Negeri Kedah (HACCK) bagi merancakkan lagi kegiatan riadah sukan lasak di Bukit Kodiang. Pergilah cuba!

3 ulasan: