Dalam dunia ini, sesiapa pun berlumba-lumba dan berjuang
untuk sesuatu yang dirasakan penting buat dirinya. Ada yang berjuang untuk seni, harta,
pertubuhan, bangsa, negara, dan agama. Bagi umat Islam sudah menjadi kewajipan kita
untuk berdakwah kerana Allah. Dalam kerja-kerja dakwah ini kita akan temui
banyak aliran-aliran dan mereka membawa metodologi tersendiri seiring dengan
zaman dan teknologi. Ada yang terus mengekalkan cara tradisi (berdialog,
penulisan, penerapan imej dan teladan akhlak) dan ada juga yang terbabas hingga tidak
lagi mengira batas-batas yang digariskan Quran dan Sunnah (lagu dan nyanyian,
hadis palsu, perang siber, reality show dan sebagainya). Itu baru perbahasan tentang
metodologi, kemudian kerja dakwah pula terbahagi mengikut fanatism
aliran-aliran yang masing-masing mendakwa berada dilandasan KEBENARAN!
Ada gelaran salafi, ada aswaja, ada quraniyyun, ada tradisionalis (nusantara),
ada sufiyyah, ada tarekat (yang mempunyai lebih banyak sub-genre tasawwuf-nya,
batiniyyah-nya), ada jemaah tabligh, ada Muslim liberal dan macam-macam lagi.
Ada yang mendakwa orang yang semacam saya ini tergolong dalam kategori salafi Wahabi?
Mungkin kerana saya dari Perlis, dan manhaj (cara beragama) kami tidak secocok
dengan pengamalan kebanyakan orang Malaysia, bahkan hampir semua orang Malaysia. Sepatutnya bukan begitu! Sepatutnya kita berdakwah atas apa yang
diperintahkan oleh Allah aza wa jalla dan Rasulullah salallahu alaihi wasallam,
bukan atas nama aliran dan kumpulan. Apatah lagi membawa istilah-istilah dan
pengamalan-pengamalan dan kefahaman-kefahaman yang tidak membawa pada tauhid
dan bukan daripada tunjuk ajar Sang Nabi?
Hari ini bila Lepat, yang popular dalam circle tarekat
batiniyyah memuatkan poster dengan ayat Quran (bermaksud):
“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang ada di
muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak
lain hanyalah mengikuti sangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta
(terhadap Allah)” (Surah Al An’am: 116).
Kemudian dia menyisip pula (Surah Al-Israa’: 84) Katakanlah:
‘Tiap-tiap orang berbuat menurut keadaannya masing-masing.’ Maka Rabbmu lebih
mengetahui siapa yang lebih benar jalannya”.
Jika anda sering mendengar ceramah-ceramah pendakwah yang
tegar dalam parti politik tertentu atau aliran tarekat tertentu, ayat-ayat Quran
tersebut sememangnya sering disebut-sebut apabila mereka patah hati kerana fahaman
mereka dikritik, ditentang atau dipulaukan. Ini memang hujah popular sesiapa
sahaja malah yang terkini turut digunakan oleh golongan anti vaksin. Ayat 16 dari surah An-An'am ini pasti tidak akan keluar dibibir ketika buku tulisan mereka terlajak laris, zikir dan nasyid mereka jadi siulan, kempen mereka mendapat sokongan, atau falsafi mereka dikagumi ramai.
Seolah-olah Allah membela aliran-aliran mereka, padahal
konteks firman Allah itu tidak fahami sepenuhnya. Jika golongan yang minoriti itu kebenaran, tentulah golongan yang digelar Salafi Wahabi Perlis lebih berhak mengunakan poster ini kerana mereka ditomah dan diselisihkan sekian lama oleh majoriti penduduk Malaysia.
“Dan jika kamu
menuruti kebanyakan orang-orang yang ada di muka bumi ini, nescaya mereka akan
menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti sangkaan
belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah)” [Quran, Surah
Al An’am: 116].
Memang benar apa yang dimaksudkan Allah dalam ayat ini ialah tentang prinsip
golongan jahiliyah yang menyesatkan iaitu dengan meletakkan tradisi masyarakat (kebiasaan)
sebagai “kebenaran”. Sedangkan kebenaran itu wajib bertepatan dengan dalil
(al-Qur`an dan hadis sahih) tanpa perlu melihat berapa ramai orang yang
menerima atau sedikit orang yang menolaknya. Reaksi manusia atau penerimaan positif
mereka tidak menunjukkan kebenaran atau penyimpangan sesuatu pendapat. Ayat
di atas juga harus dijadikan saranan agar kita melatih diri untuk memberikan komitmen
yang tinggi terhadap petunjuk Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam, walaupun
banyak orang telah meremehkan, mengabaikan petunjuk baginda dan mengadakan
hal-hal baharu dalam Islam.
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah
sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: “Islam bermula sebagai sesuatu
yang dianggap asing dan ganjil. Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya,
dianggap asing dan ganjil. Maka, beruntunglah orang-orang yang ganjil” [Hadith Muslim no. 145].
Dari hadis popular ini kita dapat memahami dengan jelas, Islam
yang terbaik semestinya sebagaimana yang difahami dan dipraktikkan oleh
golongan terawal, tiada karut marut dan campur aduk falsafah Yunani, kesamian,
kerahiban, kesufian seperti yang dijaja pada hari ini.
Allah mengesahkan tentang hal ini, dakwah Nabi Nuh alaihissalam
sendiri hanya diterima oleh sebilangan kecil umat manusia ketika itu. Bayangkan
Menurut Ibn Abbas, Nabi Nuh yang berusia panjang dan berdakwah selama 950 tahun.
“Dan tidak beriman bersama dengan Nuh itu kecuali sedikit”. [Quran, Surah Hûd:40].
Rasulullah salallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya) “Aku
melihat seorang nabi yang hanya memiliki beberapa pengikut (3 sampai 9 orang).
Ada juga nabi hanya memiliki satu atau dua orang pengikut saja. Bahkan ada nabi
yang tidak memiliki pengikut sama sekali.” [Hadis riwayat Bukhari no. 5752 dan Muslim no.
220].
Pengesahan ini cukup untuk menjadi dalil sememangnya tanda
aras kebenaran bukanlah jumlah pengikut, namun dinilai sejauh mana insan itu
mengikut pedoman Al Qur’an dan Sunnah.
“Dan apabila Kami berikan kesenangan kepada manusia nescaya berpalinglah dia; dan membelakangi dengan sikap yang sombong; dan apabila dia ditimpa kesusahan nescaya dia berputus asa. Katakanlah: ‘Tiap-tiap orang berbuat menurut keadaannya masing-masing.’ Maka Rabbmu lebih mengetahui siapa yang lebih benar jalannya’. [ Quran, Surah Al-Israa’: 83-84]
Firman Allah: (“Katakanlah: ‘Tiap-tiap orang berbuat menurut
keadaannya masing-masing.’) Ibnu `Abbas mengatakan maksudnya ialah: “posisinya (pangkat)”
Sedangkan Qatadah mengungkapkan: “niatnya.” Dan Ibnu Zaid mengatakan: “agamanya.”
Jadi Lepat, saya kira dia memahami dari sudut Ibnu Zaid iaitu bermaksud amalan
agama. Maka dia tidak mahu orang mempertikaikan dan menilai amal ibadahnya
kerana Allah sahaja yang berhak untuk menghukum. Itu benar.
Kita juga perlu jelas Allah memaafkan keadaan seseorang yang
terlupa, dipaksa dan jahil, namun kejahilan boleh dirawat dengan ilmu kerana menjadi
kewajipan bagi Muslim untuk menekuni ilmu. Sememangnya apabila telah sampai hujah dan
dalil-dalil, maka seseorang itu bertanggungjawab untuk melaksanakan syariat
mengikut keputusan hati nuraninya. Dan Allah berhak meniliai ijtihadnya kerana:
“Ketahuilah sesungguhnya kepunyaan Allâh lah apa yang di langit dan di bumi. Sesungguhnya Dia mengetahui keadaan yang kamu berada di dalamnya (sekarang). Dan (mengetahui pula) hari (manusia) dikembalikan kepada-Nya, lalu diterangkan-Nya kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Dan Allâh Maha Mengetahui segala sesuatu”. [Quran, surah An-Nûr: 64]
“Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain.
Dan jika seseorang yang berat dosanya memanggil (orang lain) untuk memikul
dosanya itu tiadalah akan dipikulkan untuknya sedikitpun meskipun (yang
dipanggilnya itu) kaum kerabatnya. Sesungguhnya yang dapat kamu beri peringatan
hanya orang-orang yang takut kepada azab Tuhannya (sekalipun) mereka tidak
melihat-Nya dan mereka mendirikan sembahyang. Dan barangsiapa yang mensucikan
dirinya, sesungguhnya ia mensucikan diri untuk kebaikan dirinya sendiri. Dan
kepada Allahlah kembali(mu)”. [Quran, surah Al-Fatir: 18].
- Ra1m1
Tiada ulasan:
Catat Ulasan