Daripada Ali bin Abi Thalib radhiallahu anhu, bahawa Nabi SAW bersabda (Maksudnya): “Tidak ada jiwa yang bernyawa melainkan telah ditulis (atau ditentukan) akan tempatnya di syurga atau neraka dan telah ditulis (atau ditentukan) juga bahawa dia akan menderita atau bahagia.”
[Riwayat al-Bukhari 1362].
Boleh dikatakan setiap hari khabar mengenai kematian insan-insan yang kita kenal menjengah peti mesej dan mendering di peti notis di media sosial kita. Saya melihat banyak orang takjub dengan kematian orang yang mereka rasakan mulia, suatu pemergian yang ditabal sebagai istilah husnul khatimah. Terngiang-ngiang berita ada yang mati ketika sujud dalam solat, ada yang mati ketika menyampaikan kuliah di masjid, ada jawatankuasa surau yang semuanya meninggal dunia kerana dijangkiti virus Corona kerana menjalankan amanah untuk terus bertugas menjaga syiar agama, ada yang mati melahirkan anak, dan banyak lagi yang akan menjadi sebutan zaman berzaman.
Kadang-kadang kita berlebihan bila si mati itu orang yang mereka kenali atau sanjungi. Pemergiannya berbekas di sanubari dan membuatkan mereka kurang rasional lebih-lebih lagi bagi mereka sudah sedia jahil.
Kita memang dituntut untuk bersikap husnuzon (bersangka baik) terhadap hal-hal yang zahir (dapat dilihat) termasuklah peristiwa yang telah direncanakan oleh Allah azza wa jalla sebagai penamat ajal seorang insan, kita menyatakan harapan moga dia termasuk dalam golongan orang yang beriman dan berdoa kepada Allah agar diampuni segala dosa-dosanya. Syurga bukannya dihitung dengan banyaknya amal si mati, sebaliknya adalah kerana rahmat Allah azza wa jalla. Namun Allah menjanjikan keadilan buat hambaNya yang bertaqwa dan juga pendosa, bukankah keampunanNya yang paling utama dan paling diperlukan si mati ketika itu? Jika kita jelas dalam bab ini, maka tahulah kita betapa besar dan hebatnya kiriman doa.
Allah berfirman (maksudnya) “Dan Dialah Allah (yang disembah dan diakui kekuasaanNya) di langit dan di bumi; Dia mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan dan Dia juga mengetahui apa yang kamu usahakan”. [Quran, Surah Al An'aam: 3]
"Yang mengetahui semua yang ghaib dan yang nampak; Yang Maha Besar lagi Maha Tinggi. Sama sahaja (bagi Tuhan), siapa di antaramu yang merahsiakan ucapannya, dan siapa yang berterus-terang dengan ucapan itu, dan siapa yang bersembunyi di malam hari dan yang berjalan (menampakkan diri) di siang hari". [Quran, Surah Ar-Ra’d: 9-10]
“(Ingatkanlah) masa Allah menghimpunkan kamu pada hari perhimpunan (untuk menerima balasan), itulah hari masing-masing nampak kerugiannya dan (ingatlah), sesiapa yang beriman kepada Allah serta mengerjakan amal soleh, nescaya Allah mengampunkan dosa-dosanya dan memasukkannya ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; yang demikian itulah kemenangan yang besar”. [Quran, surah At Taghabun: 9]
Kedua, jangan pantas mengesahkan tiket masuk syurga kepada si mati! Jangan tentukan balasan syurga kerana jasadnya tidak rosak ketika banjir atau wajahnya tersenyum ketika dikafan atau mati dalam sujud, lalu kau pun mula membuat andaian yang bukan-bukan. Boleh bersangka baik terhadap si mati tetapi kau harus berhenti pada tempatnya kerana yang memutuskan pemberian syurga atau neraka ialah Allah azza wa jalla.
Ayuh kita lihat satu hadis yang menjelaskan tentang keikhlasan dan taqwa bukan sesuatu yang dapat dinilai manusia melainkan apa yang terzahir sahaja.
Daripada Abu Hurairah radiallahu anhu, dia berkata, aku mendengar Rasulullah salallahu alaihi wasallam bersabda yang bermaksud;
“Orang yang akan diadili paling awal ialah seorang yang mati syahid. Allah memperlihatkan kurniaan yang diberikan kepadanya.
Allah bertanya: ‘Apakah yang kau lakukan dengan nikmat tersebut?’
‘Aku berperang di jalan-Mu sehingga aku gugur sebagai syahid.’
‘Kau tipu! Kau berperang supaya dipanggil sebagai seorang perwira (berani). Dan gelaran itu telah diberikan.’
Lalu Allah memerintahkan dia dibawa pergi dengan wajahnya terseret sampailah dia dilemparkan ke dalam neraka.
Kemudiannya, seorang yang menuntut ilmu dan mengajarkannya serta membaca al-Quran. Allah memperlihatkan kurniaan yang pernah diberikan kepadanya.
‘Apakah yang kau lakukan dengan nikmat tersebut?’
‘Aku belajar ilmu dan mengajarkannya serta membaca al-Quran keranaMu.’
‘Kau tipu! Kau belajar ilmu supaya dipanggil orang alim dan kau membaca a-Quran kerana ingin dipanggil qari. Dan gelaran itu telah diberikan.’
Lalu Allah perintahkan dia dibawa pergi dengan wajahnya terseret sampailah dia dilemparkan ke dalam neraka.
Selepas itu, datanglah pula seorang yang Allah berikan kemewahan. Allah memperlihatkan kurniaan yang pernah diberikan kepadanya.
‘Apakah yang kamu lakukan dengan nikmat itu?’
‘Tidak ada satu jalan (kebaikan) pun yang Engkau sukai melainkan aku sedekahkan harta pada jalan tersebut.’
‘Kau penipu! Kau melakukannya kerana mahu dipanggil dermawan. Dan gelaran itu sudah diberikan.’
Lalu Allah memerintahkan dia dibawa pergi dengan wajahnya terseret hingga sampai ke dalam neraka.”
(Hadis riwayat Imam Muslim) dalam matan riwayat lain turut diriwayatkan Rasulullah menepuk lutut Abu Hurairah lalu bersabda “mereka bertiga ialah makhluk Allah yang pertama merasakan api neraka pada hari kiamat nanti”.
Abu Hurairah menangis hingga pengsan ketika menyampai hadis ini kepada penduduk Syam kerana takut kalau-kalau dia termasuk dalam golongan itu.
- Ra1m1
Allahu bagus hadith ni tuan. terkesan di hati.
BalasPadamIktibar buat kita semua...
Padam