Rabu, 23 Februari 2022

NABI KE KANAN, GURU KE KIRI, AMBO IKUT GURU KE KIRI

Saya hairan, bagaimana boleh ada orang boleh lukis begini semata-mata
taksub dengan gurunya? Mengambarkan jika ikut jalan yang dilalui Nabi
pasti jatuh lubang melainkan ikut tok guru. 
 

Baru-baru ini tular satu ceramah seorang guru Sufi membuat kenyataan “Nabi ke kanan, guru ke kiri, ambo ikut guru ke kiri” yang mencetuskan kegemparan satu Malaysia. Ini bukanlah kali pertama dia membawa kenyataan pelik-pelik dalam kuliah agamanya, sebaliknya acapkali dia berceramah pasti ada sahaja dakwaan aneh dan semberono yang menjadi isu. Bagaimanapun disebabkan masih ramai orang Melayu yang rapuh ilmu tauhid dan sukakan kesaktian serta kisah ajaib maka guru Sufi ini mendapat tempat yang agung di hati mereka.

Saya percaya kebanyakan netizen Muslim atau orang awam biarpun kurang berilmu agama pasti akan rasa pelik dengan kenyataan itu kerana seluruh umat Islam setuju Nabi Muhammad ialah sebaik-baik suri teladan buat manusia, bahkan itulah yang disebut dalam Al-Quran “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” [Al-Ahzab:21].

“Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah kamu berdukacita wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutuskanmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan).” [An-Nisa:80]

Seterusnya, Abdullah bin Mas’ud berkata “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam membuat sebuah garis lurus bagi kami, lalu bersabda, ‘Ini adalah jalan Allah’, kemudian beliau membuat garis lain pada sisi kiri dan kanan garis tersebut, lalu bersabda, ‘Ini adalah jalan-jalan (yang banyak). Pada setiap jalan ada syaitan yang mengajak ke arah jalan itu “Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kalian dari jalan-Nya’” Al An’am: 153 [Hadis Riwayat Ahmad].

Seterusnya “Aku telah tinggalkan untuk kalian petunjuk yang terang, malamnya seperti siang. Tidak ada yang berpaling darinya setelahku melainkan ia akan binasa. Barangsiapa di antara kalian hidup, maka ia akan melihat banyaknya perselisihan. Maka kalian wajib berpegang teguh dengan apa yang kalian ketahui dari sunnahku, dan sunnah para Khulafaur Rasyidin yang mendapat petunjuk, gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham”. [Hadis riwayat Ibn Majah dan Ahmad].

Begitulah seterusnya begitu banyak lagi ayat-ayat Quran dan hadis-hadis sahih yang mengarahkan kita teguh mengikut panduan Rasulullah salallahu alaihi wassalam.

Namun, itu belum cukup menenangkan jiwa netizen yang terganggu kerana anak-anak murid dan pengikut guru ini mula membelanya dengan mengemukakan hujah seperti kenapa kita tak ikut Nabi kahwin lebih dari 4 orang? Kenapa kita tidak berpuasa wishal seperti Nabi? Kini orang awam semakin keliru kerana hal itu ada benarnya.

Namun mereka tidak menjelaskan bahawa perkahwinan Nabi itu berlegar pada tiga faktor iaitu kemasyarakatan, pensyariatan dan politik. Selain ia jadi kelebihan buat Rasul, kebenaran dan arahan Allah ini menjadi punca hukum bagi umat Islam. Penetapan untuk TIDAK melakukan sebagaimana Nabi dalam hal itu (Nikah setakat 4 sahaja, tidak boleh puasa takpa berbuka sehari semalam) disebutkan dengan jelas dalam Al-Quran dan hadis. Maka meninggalkan hal tersebut merupakan Sunnah! Allah tak bagi, Nabi pun tak bagi. Maka tidak melakukan hal itu bermakna kita mengikut petunjuk Nabi! Bukannya Nabi pergi kanan, aku pergi kiri sebab itu fatwa guru aku. Itu cara salah dalam memahami dalil.

Bagi memperjelaskan lagi hal itu, izinkan saya bertanya.. Bolehkah kita berbohong? Bolehkah berbohong dalam agama Islam?

Sudah tentu TIDAK BOLEH dan hukumnya haram dan berdosa besar! Dalilnya;

“Sesungguhnya Allah tidak menunjuki (memberi hidayah) orang-orang yang melampaui batas lagi pendusta”. [Al-Mukmin:28]

“Terkutuklah orang-orang yang banyak berdusta, (yaitu) orang-orang yang terbenam dalam kebodohan yang lalai”. [Adz-Dzâriyat: 10]

Sekurang-kurangnya terdapat 17 lagi ayat Quran mengenai penipuan bagi menunjukkan betapa bencinya Allah subhana wa ta’ala terhadap pendusta.

Daripada Abdurrahman bin Abi Bakrah, daripada ayahnya radhiyallahu anhu, dia berkata, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Perhatikanlah (wahai para sahabat), mahukah aku tunjukkan kepada kalian dosa-dosa yang paling besar?” Baginda Shallallahu ‘alaihi wa sallam mengatakannya tiga kali. Kemudian para sahabat mengatakan, “Tentu wahai Rasûlullâh.” Baginda Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Syirik kepada Allâh, derhaka kepada kedua orang tua.”  Sebelumnya baginda bersandar, lalu baginda duduk dan bersabda, “Perhatikanlah! dan perkataan palsu (perkataan dusta)”, Baginda selalu mengulanginya sampai kami berkata, “Seandainya baginda berhenti”. [Hadis riwayat al-Bukhari no. 2654, 5976, dan Muslim, no. 143/87].

Banyak lagi hadis-hadis sahih yang menunjukkan betapa baginda Rasulullah cukup benci dan melaknat pendusta. Namun dalam pada itu terdapat hadis bermaksud;

Ibnu Syihab berkata, “Aku tidaklah mendengar sesuatu yang diberi keringanan untuk berdusta di dalamnya kecuali pada tiga perkara, “Peperangan, mendamaikan yang berselisih, dan perkataan suami kepada isteri atau isteri kepada suami (dengan tujuan untuk membawa kebaikan rumah tangga).” [Hadis riwayat Bukhari no. 2692 dan Muslim no. 2605, lafazh Muslim].

Maka ini bermaksud terdapat keringanan dan dibolehkan berbohong dalam 3 hal tersebut. Nabi tidak pernah berbohong, namun kita sudah pasti pernah berbohong dan dibenarkan pula dalam tiga hal seperti yang dinyatakan. Wajarkah kita kata, “Nabi tak cakap bohong, kita boleh cakap bohong?” TIDAK. Kita akan tetap kata berbohong itu akhlak yang buruk, dosa besar, menyelisih agama dan dilaknat kecuali 3 hal yang diberi rukhsah!

Untuk mendapat gambaran jelas lagi. Saya ingin bertanya, pernahkah Nabi memerintahkan penjarakkan saf ketika solat berjemaah seperti yang kita lakukan sekarang ini? Tentu sekali TIDAK, bahkan  Rasulullah bersabda, “Dirikanlah saf (tiga kali). Demi Allah SWT, dirikanlah saf atau Allah SWT akan membuat perselisihan diantara hati kalian”. Lalu An-Nu’man bin Basyir berkata: “Aku melihat seorang lelaki menempelkan kakinya dengan kaki orang disebelahnya, lutut dengan lutut dan bahu dengan bahu”. [Hadis riwayat Abu Dawud 1/178].

Rasulullah juga bersabda “Luruskanlah saf kerana lurusnya saf merupakan sebahagian dari kesempurnaan solat” [hadis riwayat al-Bukhari 723 dan Muslim 443].

Jadi wajarkah kita kata ini satu contoh fatwa membuktikan Nabi ke kanan, guru ke kiri, kita ikut guru ke kiri? Secara literalnya mungkin benar, tetapi kita tidak akan melakukan demikian jika tidak kerana pandemik, darurat dan arahan pemerintah! Maka, kita tidak akan sesekali membelakangi petunjuk dan arahan Rasul jika tidak kerana ancaman wabak ini. Itulah sahaja kaedah mengekang penularan virus selain vaksin dan pelitup muka menurut pakar perubatan. Fatwa yang dikeluarkan juga bukanlah tangkap muat, tetapi melalui kajian dan dalil Quran tentang rahmat Allah memberi keringanan apabila darurat dan ilmu fiqh apabila munculnya penyakit berjangkit. Ringkasnya, merapatkan saf itu ialah syariat agama dan kita TIDAK BOLEH saja-saja tolak semata-mata ikut padangan guru sebaliknya itulah juga keizinan Allah dan petunjuk Rasul. Maka merenggangkan saf ketika wabak itu sunnah kerana ia menepati maqasid syariah. Jika sudah tiada nyawa bagaimana mahu menjaga agama lagi?

"Setiap umatku masuk syurga selain yang enggan" Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, lantas siapa yang enggan?" Nabi menjawab, "Siapa yang taat kepadaku masuk syurga dan siapa yang membangkang aku bererti dia enggan." [Hadis riwayat al-Bukhari].

Andainya petunjuk Rasul itu bukan indikator kebenaran yang hakiki, sudah tentu tidak wujud sekolah-sekolah mazhab yang berbeza walaupun pendiri-pendirinya menuntut dari guru yang sama. Tentulah semuanya menjadi berbiri menurut dan menjamah sahaja apa yang diberikan guru mereka. Imam al-Syafie berkata bahawa ulama telah sepakat mengatakan: "Sesiapa yang telah jelas baginya sunnah Rasulullah SAW maka tidak halal baginya untuk meninggalkannya kerana pandangan seseorang” (Ibn al-Qayyim, I'lam al-Muwaqqi'in).

Maka dasar, prinsip dan slogan Islam yang benar dan wajib ditegakkan ialah “Ikut Nabi… ikut Nabi..Ikut Nabi biarpun ia bertentangan dengan tokoh yang diagungkannya”!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan