Selasa, 1 Mac 2022

AUTHORITI SEORANG RASUL


“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah, dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya”. [Surah Al-Hasyr : 7].

Dalam minggu ini tamatlah tempoh perjanjian bagi peruntukan tahun 2021 berjumlah RM 1,926,693.40 sebagai bantuan kepada 10 pusat pemulihan OKU di Negeri Perlis, maka saya perlu membuat pemantauan dan semakan dokumen-dokumen berkaitan buat kali terakhir sebelum juru audit bertauliah menjalankan tugasnya. Saya dikehendaki membuat semakan dokumen-dokumen seperti yang digariskan Jabatan Pembangunan OKU di setiap pusat pemulihan berkenaan dan seterusnya memberi markah (0 – tiada, 1 – ada namun tidak betul, 2- tidak lengkap, dan 3 – lengkap dan betul), saya perlu membimbing mereka dan memperbetulkan jika terdapat kesilapan dalam urusan pengurusan bantuan kewangan kerajaan itu. Ia melibatkan 30 item yang terdapat dalam Borang Pemantauan Bantuan Kewangan disediakan dan diselenggara dengan tepat seperti Garis Panduan JKM.

Ketika memeriksa satu demi satu pusat pemulihan ini, terjadi satu hujahan di sebuah pusat pemulihan di Arau yang saya amat gembira ia terjadi! Kenapa? Kerana dari kejadian itu dapatlah saya melakukan islah dan memperkenalkan method memahami agama kepada rakan-rakan guru dan penyelia melalui analogi yang mudah dan tepat pada masanya.

“Bagi markah kami 3 Encik, tu tengok! Bukan takda, lengkap! Siap ada tandatangan dan maklumat depa semua pun complete!”. Kata cikgu A, mereka semua mendesak saya kerana merasakan dokumen yang disediakan terbaik malah lebih baik dari sepatutnya.

“Tetapi ini bukan Borang Pembayaran Elaun Khas OKU yang diminta? Tak sama, cuba hangpa tengok contoh Borang ini?” Kata saya sambil menunjukkan buku Garis Panduan JKM.

“Bolehlah tu Encik, sama aja cuma ada beberapa tambahan sikit aja. Maklumat yang mereka mahu kan ada?” Kata cikgu B menyokong cikgu A.

“Sekurang-kurangnya ada! Bukan kami tak buat” Kata Cikgu C.

“Masalahnya, format pun tak betul. Semudah-mudah layout portrait pun hangpa dah pandai-pandai ubah jadi landscape dah? Macamana saya hendak nilai ni?” Kata saya.

“Alah! Benda kecik je Encik, lagi pun format kami buat lagi detail” Kata cikgu D.

………….. Ha… benda kecik?

“Allah Ta’ala melalui utusanNya memberitahu dirikan solat Subuh” Baamm! Saya menepuk buku Garis Panduan sambil menunjukkan format Borang Pembayaran Elaun Khas OKU. “Solat Subuh dilaksanakan bila terbit fajar, setelah azan berkumandang, berwuduk, 2 raka’at, dengan bacaan, pergerakan dan zikir-zikir khusus untuk waktu Subuh. Betul?”.

“Hangpa telah melakukan Solat Subuh sebelum timbul fajar, 4 raka’at dengan tambahan takbir 12 kali, bacaan Al-Fatihah 4 kali, dan tambahan rukuk 8 kali ”. Kata saya sambil menunjukkan borang yang mereka sediakan.

“Faham sekarang?”.

Semua cikgu-cikgu diam dan mengangguk-angguk setuju.

“Bagaimana saya nak bagi markah sedangkan apa yang hangpa buat tidak seperti dalam Garis Panduan yang diminta oleh majikan saya, yang melantik saya untuk memeriksanya?. Ini juga arahan Kerajaan yang membayar gaji kita dan membiayai pengurusan pusat ini?”. Kata saya lagi.

“Betul-betul, kami akan ubah buat seperti yang Encik nak tu”. Kata cikgu B.

“Saya bagi perumpamaan ini supaya hangpa semua nampak apa yang netizen asyik berbalah tentang urusan agama di sosial media itu. Hal ini sama dengan kerja kita ini, setelah bersetuju menerima bantuan kewangan kerajaan, kita bertanggungjawab untuk mematuhi tatacara kewangan seperti yang dimahukan oleh majikan.  Maka begitulah jua dalam urusan agama, jika kita mengaku beriman, kita seharusnya ikut petunjuk Nabi. Kita tak boleh memandai ubah sesuatu yang telah disyariatkan sebegitu rupa. Nabi dilantik Allah untuk beritahu kita tatacara ibadah, seperti mana saya ini dilantik kerajaan untuk menerangkan kepada hangpa tentang bagaimana dan apa yang perlu dilakukan jika mahu bantuan kewangan daripada kerajaan”.

“Betul-betul. Dah tu takkan tak dapat 2 kot?” Kata cikgu A.

“Ini puasa Ramadan… itu puasa Rejab. Faham?”. Kata saya, sekali lagi saya menepuk buku Garis Panduan, kebetulan kita masih berada di bulan Rejab, maka eloklah kaitkan sekali.

“Puasa Ramadan ini memang wajib, malah berdosa jika kita ditinggalkan tanpa uzur. Namun tiada ibadah puasa khusus untuk bulan Rejab, tidak pernah diarahkan dan diajarkan oleh Nabi, melainkan ia amalan berpuasa sunat di bulan-bulan haram. Faham?”

“Apabila saya teliti borang pembayaran yang hangpa buat ini, jujur saya katakan menurut pandangan sayalah…. ia mungkin lebih baik dari format kerajaan mahu, ada ciri keselamatan dan lebih terperinci, tetapi masalahnya menurut pandangan boss kita lain. Dia nak simple saja, kerana apa yang hangpa buat ini mungkin lebih kepada lampiran untuk dikepilkan bersama baucar pembayaran. Ia lebih kepada akuan penerimaan”. Saya cuba menerangkan dengan lebih jelas.

“Ya betul. Kami dah faham sekarang. Bagi kami satu tempoh untuk perbaiki semua ini, kami call Encik untuk semak bila sudah siap nanti ya?” Kata cikgu C.

“Ok boleh”.

“Berapa markah kami dapat?” Tanya cikgu D.

“Ada tapi salah. Saya bagi 1 OK, saya anggap kerja ini dilaksanakan tanpa kefahamanlah. Hari ini sudah faham maka kenalah perbetulkan”.

“OK”. Semua setuju.


Ra1m1, 11:45pm
“…Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa fitnah atau ditimpa adzab yang pedih.” [An-Nur: 63]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan