Sabtu, 3 Disember 2022

APAKAH UPACARA MEMBACA YASIN DAN MAKAN ITU AMALAN SUNNAH?

Golongan kapitalis antara opportunis yang mempopularkan majlis yasinan 
 dalam masyarakat untuk kelangsungan bisnes cetakan mereka dengan memainkan 
emosi dalam mengingati memori kematian orang tersayang, kiriman pahala 
dan upacara tolak bala.
 
Ketika mendapat satu kiriman e-poster majlis rasmi jabatan iaitu upacara bacaan yasin dan doa selamat sempena keberangkatan Pengarah kami menunaikan umrah, rakan sepejabat saya bertanya “betul ke perlu buat upacara begini?. Kami juga dikehendaki membayar seorang RM10 untuk membeli makanan tambahan bagi jamuan khas selepas upacara tersebut.

Ini bukanlah sesuatu yang baharu, saya difahamkan sebelum ini majlis bacaan yasin dan jamuan makan sesudahnya telah lama diamalkan pada setiap pagi Jumaat namun terhenti kerana tekongnya kecundang setelah didapati terlibat dalam kes salah urus. Beliau pun resigned. Kes ini boleh jadi renungan, baca yasin tiap kali Jumaat pun belum tentu dapat cuci hati.

Saya serba salah untuk menjawabnya kerana pertama sekali, saya bukan orang agama, kedua saya bimbang juga jika tidak menjawabnya saya berlaku khianat pada ilmu, kerana boleh dikatakan saya hadir pengajian kitab Mufti Negeri Perlis pada setiap minggu dan terdedah dengan banyak fatwa negeri. Untuk menjawabnya kita kembali semula pada kaedah yang diguna pakai dalam Islam iaitu "Segala urusan dunia HALAL dilakukan selagi tiada dalil yang melarangnya, manakala segala urusan ibadah HARAM dilakukan melainkan ada dalil yang membenarkannya". Kena reti asas ini dulu.

Dalil tentang kaedah ini sila rujuk:
1) Quran, al-Baqarah:29
2) Quran, al-Jathiah: 13
3) Quran, Maryam: 64
4) Quran, al- An'am: 119

dan banyakkkk lagi... Hadis sahih pun banyak, antaranya:

الْحَلاَلُ بَيِّنٌ وَالْحَرَامُ بَيِّنٌ وَبَيْنَ ذَلِكَ أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَدْرِي كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ أَمِنَ الْحَلاَلِ هِيَ أَمْ مِنَ الْحَرَامِ فَمَنْ تَرَكَهَا اسْتِبْرَاءً لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ
"Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Diantara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhat bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan". (Hadis riwayat Tirmizi, No.1205).

Contohnya dalam hal kehidupan harian, dihalalkan memakan bangkai dari segala hasil laut. Namun ulama khilaf dalam pandangan tentang hidupan dua alam kerana adanya hadis larangan membunuh katak lalu diqiaskan kepada semua haiwan dua alam. Dihalalkan memakai segala jenis pakaian. Namun agama menyuruh kita menutup aurat dan tidak meniru identiti kaum kafir. Begitulah seadanya.

Manakala di dalam tatacara ibadah, paling mudah kita semua tahu semua kaum ada kaedah sembahyang atau ibadat. Maka kita asalnya tidak menjalankan beribadat atau memandai-mandai solat dengan cara yang tidak disuruh Allah dan bukan daripada tunjuk ajar oleh Rasul. Kita tidak menari atau melompat untuk berzikir. Kita tak solat atas kubur atau mengadap kubur. Mudahnya... Kita tak buat, tak buat, TAK buat... Melainkan ianya telah diwahyukan ke atas Nabi, maka mahu tak mahu, kita perlu menurutinya.

Sebelum kita pergi pada perbahasan mengumpul orang untuk membaca surah Yasin dan beramai-ramai berdoa selamat untuk seseorang yang akan pergi menunaikan ibadah haji atau umrah, ingin saya bertanya, Nabi salallahu alaihi wassalam pernah atau tak mengerjakan haji dan umrah? Daripada siapa tatacara ibadah ini kita ambil?

Sudah tentu Nabi kita PERNAH mengerjakan haji dan umrah. Dan sudah tentu kita mempelajarinya daripada Nabi dan kaedah para sahabatnya yang didik sendiri oleh baginda. Semua termaktub dalam hadis-hadis sahih. Baiklah, pernah Nabi dan sahabatnya membuat upacara iringan sebegini untuk mengerjakan haji dan umrah? Jawapannya TAK PERNAH.

Kalau Nabi tak pernah. Tak bolehkah dibuat? Baca Quran dan jamu orang makan. Bukankah itu semulia-mulia amalan? Saya pernah mendengar hujah seorang ustaz yang membenarkan satu amalan sihir sorang kiyai di Indonesia yang melakukan ritual korban untuk syaitan dengan menanam kepala kerbau di tapak tiang jambatan untuk keselamatan. Ustaz itu berhujah, “sembelih kerbau baca bismillah, kepala kerbau upah jin jaga jambatan, daging kerbau buat kenduri untuk orang ramai, maka apa salahnya?”.

Jika kaedah ini yang ada pakai maka rosaklah agama. Majlis mengumpul orang membaca Yasin untuk upacara mengiringi pemergian seseorang ke Makkah ini sebenarnya dirintis oleh orang yang merasakan mereka mahu mencantikkan lagi ibadah haji dan umrah mereka. Secara tidak langsung, mereka tidak sedar, amalan mereka itu seolah-olah ibadah yang dibuat Nabi dan sahabatnya dahulu masih belum cukup, belum lengkap, belum sempurna. Ada lagi yang boleh dihiasi dan ditambah nilai, sedangkan:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِيْ رَسُوْلِ اللّٰهِ اُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَنْ كَانَ يَرْجُوا اللّٰهَ وَالْيَوْمَ الْاٰخِرَ وَذَكَرَ اللّٰهَ كَثِيْرًاۗ
“Sungguh, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat dan yang banyak mengingat Allah”. (Quran, Al-Ahzab: 21).

Kemudian, kenapa surah Yasin? Siapa yang menentukan pilihan surah ini dan menetapkan kelebihan-kelebihannya? Ia bukan isu melarang orang membaca al-Quran tetapi tentang penetapannya? Membaca apa-apa surah malah setiap ayat al-Quran itu berpahala, tetapi menentukan kaedah membaca dan fadilat sesuatu surah memerlukan dalil sahih.

‘Setelah kami melihat terhadap hadith-hadith yang menceritakan akan kelebihan surah Yasin ini, maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa kebanyakan hadith yang menceritakan akan kelebihan surah Yasin adalah dhaif (lemah) atau palsu. Walaupun begitu, kita sangat digalakkan dan dituntut untuk sentiasa melazimi dan membaca al-Quran tidak kira masa atau tempat, berdasarkan dalil umum yang terdapat di dalam al-Quran dan juga di dalam al-Sunnah al-Sahihah.’ - IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-58.

Orang kebanyakan biasanya akan melenting kerana sel otak yang tidak berhubung dalam bab urusan agama ini. Mereka sudah terbiasa dengan amalan-amalan mengikut tradisi, majoriti dan populariti kerana beranggapan itu juga termasuk dalam prinsip fleksibel dalam beragama yang diterima iaitu uruf (tradisi setempat). Contoh uruf yang diterima pakai dalam Islam seperti keharaman seseorang lelaki memakai pakaian menyerupai wanita. Tetapi di negeri-negeri Pantai Timur misalnya, lelaki yang memakai kain batik tidak dianggap pondan kerana ia sudah jadi kebiasaan mereka maka Islam menerima adat tersebut. Apa yang mereka tidak faham, biarpun Islam menerima adat setempat, adat tidak boleh mencengkam agama kerana agama wajib ditegakkan mengikut hukum Al-Quran dan teladan Nabi. Bermudah-mudah dalam bab inilah yang membuatkan ada masyarakat yang membuat upacara semah pantai, mandi safar, atau beri sesaji kepada penjaga sungai yang mana semuanya ritual ini  dihalalkan dengan hiasan bacaan ayat Quran dan jamuan makan juga.

Ahh! Itu contoh keras sangat, baik saya beri contoh mudah. Mengucapkan basmallah sewaktu hendak makan ialah perkara sunnah, banyak hadis sahih yang mengajar kita bahawa Nabi mengucapkan dan mengarahkan kita membaca “bismillah” dan mengunakan tangan kanan untuk makan. Namun kebanyakan masyarakat melenting apabila diberitahu membaca “bismillah” itu yang tepat bukannya berdoa. Bukan kerana salah jika kita berdoa untuk makan, tetapi yang sahihnya membaca “bismillah” manakala hadis doa makan itu statusnya daif. Daif di sini bermaksud, kita sendiri tidak akan mempercayai dan berhujah dengan sesuatu dakwaan seseorang yang tidak dikenali! Maka bagaimana kita hendak beramal sesuatu doa kononnya diucapkan oleh Nabi salallahu alaihi wassalam tetapi diriwayatkan oleh seorang yang tidak dikenali oleh ulama-ulama hadis?. Bahkan Ibn Hibban mengatakan perawi itu dajjal (pendusta)!. Namun doa ialah satu keluasan, maka doa makan itu diterima oleh sebahagian ulama namun tidak boleh mengatakan ia tsabit daripada Nabi disebabkan status 2 orang perawi bermasalah iaitu Muhammad bin Abi Zu’ayziah dan al-Qasim ibn Sami’.

Kita tidak berhujah dengan hadis-hadis daif begini untuk amalan masyarakat setempat, apa lagi untuk majlis rasmi jabatan melainkan untuk amalan peribadi kerana kita menyakini kesahihannya secara peribadi. Mari kita teliti hadis ini untuk lebih kefahaman:

وَعَنْ عَلِيٍّ – رضي الله عنه – قَالَ: – لَوْ كَانَ اَلدِّينُ بِالرَّأْيِ لَكَانَ أَسْفَلُ اَلْخُفِّ أَوْلَى بِالْمَسْحِ مِنْ أَعْلَاهُ, وَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اَللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – يَمْسَحُ عَلَى ظَاهِرِ خُفَّيْهِ – أَخْرَجَهُ أَبُو دَاوُدَ بِإِسْنَادٍ حَسَن
“Seandainya agama itu dengan akal, maka bahagian bawah khuf lebih layak disapu dari bahagian atasnya. Namun sungguh aku sendiri telah melihat Rasulullah Salallahu alaihi wasallam menyapu bahagian atas kedua khufnya.” (hadis riwayat Abu Dawud no. 162. Status sahih).

Hadis ini menunjukkan bahawa agama bukanlah menurut apa yang logik, apabila terbatalnya wuduk ketika memakai sarung kaki, Nabi menyuruh kita mengusap air di atasnya bukan ditapak kaki. Sesiapa yang mengusap bahagian bawah termasuk golongan yang berlebihan, pengubah, dan pelaku bid’ah. Hadis ini ialah perkataan Ali ibn Abi Thalib r.a untuk menempelak golongan mu’tazilah.

Ibn Abbas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah salallahu alaihi wasallam bersabda :

إِنِّي نُهِيتُ أَنْ أَقْرَأَ الْقُرْآنَ رَاكِعًا أَوْ سَاجِدًا فَأَمَّا الرُّكُوعُ فَعَظِّمُوا فِيهِ الرَّبَّ عَزَّ وَجَلَّ وَأَمَّا السُّجُودُ فَاجْتَهِدُوا فِي الدُّعَاءِ
"Ketahuilah sesungguhnya aku dilarang untuk membaca al-Quran dalam keadaan rukuk dan juga sujud. Adapun sewaktu rukuk maka agungkanlah Tuhan dan sewaktu sujud maka bersungguhlah dalam berdoa dengan penuh harapan doamu akan dimakbulkan” (Hadis riwayat Muslim 479).

Kita semua tahu membaca al-Quran itu satu ibadah yang mulia, solat juga satu ibadah yang mulia. Jika difikirkan secara logik pasti kita akan mengatakan dua perbuatan ibadah ini pasti bagus jika digabungkan. Namun dengan adanya dalil yang sahih ini, ulama sepakat MELARANG membaca al-Quran ketika rukuk dan sujud dalam solat. Mereka berkhilaf, dengan ada yang mengatakan perbuatan itu haram dan berdosa, dan ada yang mengatakan ia makruh.

Saya lebih setuju jika pentadbiran sesuatu jabatan menguatkuasakan sesuatu amalan agama, seperti arahan solat berjemaah setiap waktu atau haramkan merokok di pejabat, ia tuntutan yang lebih utama manakala amalan yang lebih bersifat peribadi seperti solat duha, puasa hari putih, berzikir, baca Quran kekalkan ia sebagai amalan peribadi. 

Kadang-kadang saya hairan juga melihat kebanyakan jemaah haji dan umrah seperti mahu pergi ke satu tempat yang penuh mara bahaya, penuh ujian getir seolah-olah hendak bertemu musuh atau pergi berperang sehingga mahu mengumpulkan orang sebanyak-banyaknya untuk baca Quran, untuk mohon perlindungan sedangkan dia hendak pergi ke Makkah, ke Madinah, menjadi tetamu Allah yang Maha Agung, Masjidil haram, Masjid Nabawi tempat yang penuh barakah, mustajab doanya, berganda pahala ibadahnya... hairan saya!

Jadi apa pandangan anda tentang majlis yasinan?

-- Ra1m1

Untuk penjelasan lanjut sila TONTON

Tiada ulasan:

Catat Ulasan