Sabtu, 3 Disember 2022

PENCARIAN AIR TERJUN HOG HILL


Apabila tular beberapa video penemuan sebuah kawasan air terjun di Perlis, saya bertanya kepada beberapa orang sahabat kaki camping tentangnya, rata-rata tidak dapat mengesannya, dari video itu kami hanya kenal pasti satu jalan iaitu simpang Masjid Jabal Al-A’la di Gua Kelam. Lalu saya pun bertanyakan kepada kartunis Aku Napie, dia kata ‘macam’ tahu… Lalu hari ini kami pun cuba jejaki tempatnya.

Hujan renyai pagi ini tidak merencatkan rencana kami, operasi jejak dari pukul 10:00 pagi hingga 12:30 tengahari yang kami lancarkan menemui jalan buntu, biarpun entah berapa kampung, ladang getah, ladang sawit di sekitar Gua Kelam, Kampung Kaki Bukit itu kami telah terjah. Semuanya sia-sia belaka, akhirnya setelah berehat melepas lelah sambil menjamah bekal nasi khao mok di sebuah ladang kelapa sawit Aku Napie pun memutuskan untuk pulang.


Saya masih belum puas hati, saya teruskan misi seorang diri. Semua tempat yang Aku Napie bawa, saya dapati air parit dan sungainya keroh dan berlumpur sedangkan dari video yang kami lihat air terjun itu jernih dari kawasan berbatu. Setelah beberapa kilometer menyiasat dari kawasan asal, saya dapati satu kawasan ladang sawit air paritnya jernih dan mengalir laju, saya amati terdapat ikan seluang dan ikan bagoh berenang-renang di dalamnya. Saya pasti inilah kawasannya.

Saya meninjau jauh ke hutan pokok jati dan terus ke sebuah kawasan hutan simpan kekal. Di situ saya lihat air paritnya semakin hijau, ada sebuah kolam tadahan dan sebuah rumah tinggalan yang menyeramkan, saya pasti inilah tempatnya. Saya hubungi Aku Napie suruh dia datang semula, kesian juga dia yang sudah kecewa tadi. Kata Napie dia dah sampai rumah siap bancuh kopi panas dah! Saya keluar semula ke jalan besar untuk tunggu Aku Napie, 30 minit kemudian dia pun sampai. Napie tanya "Camna hang bleh tau?". Yalah, berapa lama saya tinggal di kampung Orang Asli sebelum ini, sedikit sebanyak saya tahulah tentang hutan belukar ini.

Setelah rantaikan motorsikal kami pun berjalan mencari punca air terjun itu mengikut tali air. Maka jumpalah lokasinya. Masya Allah.. cantik sangat dan bertingkat-tingkat. Saya dapati sudah ada beberapa longgok sampah ditinggalkan orang yang lebih awal tahu tentang lokasi ini. Itulah sikap orang kita, lebih dari beruk! Takda kesedaran langsung dalam memelihara dan memulihara alam. Mujurlah lokasi ini masih belum diketahui ramai orang, namun saya pasti lambat laun, Jabatan Perhutanan akan buka air terjun Bukit Babi ini untuk orang awam juga kerana potensi komersil yang ada.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan