Suatu ketika dahulu kita dapati amalan khurafat dan fahaman syirik sudah semakin luntur di Malaysia lantaran kebangkitan gerakan tajdid yang dibawa oleh golongan muda. Walaupun terdapat kawasan-kawasan di nusantara yang masyarakatnya masih utuh dengan amalan karut marut dan masih takjub dengan orang sakti, mereka sudah patah hujah dan bergerak secara bawah tanah. Suatu ketika dahulu kita tidak perlu tahu cakap Arab, hafal seluruh Al-Quran atau khatam Al-Ulmm untuk seseorang itu dapat menentukan kegilaan dan kebatilan yang ada dalam ritual buang bala seperti puja pantai dan mandi safar, mohon keselamatan seperti pemberian sesaji dan sembelihan pada pokok dan sungai, atau mohon hajat di kuburan dan dukun. Aqidah yang murni sudah diterapkan sejak kita dibangku sekolah. Kita sudah faham, biarpun entah apa etimologinya, kita tahu beribadat selain kepada Allah, ibadat bukan untuk Allah, ibadat tidak ikut cara yang Allah suruh, ini aqidah yang rosak. Percaya Allah namun percaya juga makhluk lain boleh memberi kebaikan dan keburukan sama seperti Allah, bahkan menghadkan kuasa Allah, ini juga aqidah yang rosak. Kita tahu ini!
“Tajdid bermakna kembali semula kepada bentuknya yang asal dan bersifat anjal terhadap suasana yang baru. Sekiranya Imam-Imam terdahulu mampu membuat penyelidikan yang bebas, dan memutuskan sesuatu perkara berdasarkan kepada sumbernya yang asal, bergantung kepada kehendak masa dan keadaan, maka tidak ada sebab kenapa mereka yang berkelayakan pada masa hari ini tidak mampu untuk melakukan perkara yang sama” - Pendita Za’ba [terjemahan dari Radio Talk on Islam; 1961].
Suatu ketika dahulu ramai yang tahu tentang sihir biarpun ramai yang keliru dengan karamah dan bermudah-mudah memberi gelaran wali Allah kepada orang yang gila isim dek kerana menuntut ilmu agama. Masih terngiang-ngiang di telinga saya ucapan orang-orang tua apabila melihat orang gila yang pernah menuntut ilmu agama “Itulah jangan mengaji agama dalam sangat, nanti gila. Itulah sebab bila terlalu alim sangat.. gila jadinya”. Padahal jika seseorang itu mengaji ilmu agama semakin mendalam sudah tentu dia semakin bijak dan semakin tawaduk, semakin bermanfaat dia jadinya kepada umat ini. Melainkan apa yang dia belajar itu bukan agama, sebaliknya mendalami sufi batiniyah dan makrifat yang bukan diajar oleh Rasulullah sallahu alaihi wasallam.
Suatu ketika dahulu saya rasa begitu kagum membaca perjuangan kaum muda yang mengorak langkah dalam gerakan tajdid agar agama kembali pada yang asal seperti yang dilakukan oleh Muhammad Abduh, Birgivi Mehmed Efendi, Sayyid Muhammad Rasyid Redha, Kiyai Ahmad Dahlan, Za’ba, Prof. Hamka, Sheikh Abu Bakar Ashaari dan ramai lagi. Timbul rasa ingin membela mereka jika diberi peluang, siapa yang tidak mahu membela agama Allah, memurnikan ajaran Rasul dari khurafat dan tokok tambah. Tentangan yang mereka hadapi amatlah dahsyat.. jika tidak kerana keyakinan kepada Allah dan janjiNya, susah tentu gerakan tajdid ini telah lama berkubur.
Perjuangan mereka yang terdahulu telah pun membuahkan hasil tetapi…
Ladang yang subur itu tidak akan terus berkekalan kerana haiwan perosak masih hidup malah membiak dan kembali dengan gagasan baharu yang lebih kuat. Jika dahulu hujah mereka patah dan main tikam belakang sahaja, kini mereka sudah punya hujah, sudah punya tokoh bergelar habib, dan sudah punya suara menerusi teknologi maklumat yang memancing minat generasi era ini.
Dah tu, gerakan tajdid tak guna teknologi maklumat? Ya! Guna. Malah itulah medium utama yang ada sekarang ini kerana golongan tradisional dan sufi batiniyyah sudah punya majoriti hak bersuara di arus perdana akibat kepimpinan yang culas dalam hak agama. Pemimpin bermanhaj politikal dan celaru.
“Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran)” - [Quran, ali’Imran:140].
Hari ini mereka benar-benar mahu membawa kembali kekarutan dalam beragama sebagaimana yang telah kaum muda basmi dahulu. Seruan tajdid telah dilaungkan. Mungkin Allah memberi peluang untuk saya buktikan apa yang saya kata. Saya tidak mahu berbalah jika ia hanya melibatkan khilaf hukum fikah yang luas asalkan mempunyai nas yang sahih. Namun malangnya ia bukan setakat itu, ia sudah melibatkan aqidah.
Saya mula aktif dengan kerja-kerja islah pada tahun ini. Saya mahu Allah subhana wa ta’ala ingat apa yang saya lakukan demi memurnikan Islam ketika berjuang bersama golongan yang kecil dan terasing di bumi Perlis ini.
Ayuhlah kawan-kawan, bantulah orang yang berjuang untuk Allah dan RasulNya.
- Ra1m1
Tiada ulasan:
Catat Ulasan