Ketika sedang mencari dvd Rocky III, Harry dengan tidak sengaja bertanya ‘Hang dah tengok filem Indon Merantau?'. Dia memberitahu itu adalah filem aksi yang menyamai filem Ong Bak. Maka dengan tidak membuang masa saya membelinya kerana kebetulan filem itu ada di kedai yang sedang kami selongkar ini. Speedy Video merupakan pengedar sah filem ini di Malaysia.
Dari ilustrasi kulit dvd sudah terpapar pengaruh Ong Bak dalam filem ini. Kisahnya, kononnya di Minangkabau, barat Sumatera setiap anak muda yang telah lengkap ilmu di dada perlu melalui satu proses ‘merantau’ menanam ‘modal insan’ dalam kehidupan. Hehehe! Maka pelajar Silat Harimau,( kalau di Perlis ada pengamal Silat Cekak Harimau, mungkin aliran yang sama) yang bernama Yuda ini memilih Jakarta untuk merantau mencari pengalaman dan memasang angan-angan untuk mengajar Silat di sana. Sampai di Jakarta, Yuda tiada tempat tinggal dan pekerjaan kerana rakannya telah berpindah dan nombor telefon yang diberikan sudah tidak digunakan lagi. Yuda tinggal di stor barang binaan sahaja, sehinggalah akhirnya ketika sedang makan dompet beliau dicuri seorang budak bernama Adit. Ketika mengejar Adit, Yuda bertemu pula kakak Adit, Astri yang sedang bergaduh dengan pemilik sebuah pub dan akhirnya mengheret Yuda ke dalam konflik perdagangan manusia. Pemilik pub tersebut merupakan pembekal gadis-gadis Indonesia kepada ketua sindikit pelacuran Eropah yang bernama Ratger.
Dan apabila mereka turut mahukan Astri untuk diperdagangkan, Yuda tampil membantu. Klimaks cerita ini Yuda dibunuh oleh Ratger begitu juga Yuda yang sempat membunuh Ratger sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Kehebatan cerita ini adalah sinematografi yang menawan, terutama plot-plot di kampung dan guna aksi kejar mengejar yang persis Ong Bak yang mana kamera juga turut berlari dari atas dan sisi. Seterusnya menampilkan kareografi dari team Silat Harimau sendiri, dapat dilihat gerak-gerak Silat banyak dipamerkan terutama diawal filem. Lainnya, menjadi seperti Ong Bak juga yang mana hanya sebahagian gerak Tomoi sahaja dipamerkan selebihnya di cedok dari pelbagai gerak dari seni mempertahankan diri yang lain agar kareografi nampak lebih cantik dan lasak.
Sedikit logikal diterapkan dalam filem ini apabila Yuda tewas apabila bertarung dengan penjahat melebihi 4 orang. Namun diakhir filem, beliau lawan penjahat satu dozen juga seperti Rajnikanth. Peliknya, setiap kali pertarungan seperti ini (tak kira filem apa pun!) penjahat pasti datang menyerang membabi buta seolah-olah menyerah diri untuk ditaboh. Dan bila kena taboh terus K.O. Jika sedar semula, boleh bangun pukul curi semasa hero bercinta diakhir babak? Hehehe.
Kelemahan filem ini, tidak langsung mempamerkan aspek spiritual silat. Dalam erti kata lain, gagal. Yuda tidak pernah solat semasa merantau, Ibu Yuda turut memberikan tangkal syirik kepada Yuda agar tangkal itu menjaganya diperantauan, Yuda pun tidak sempat melafazkan syahadah sebelum mati. Namun memandangkan filem ini ditulis oleh G.H. Evans memang releven dia tidak tekankan aspek tersebut.
Penjahat tiada pistol. Hanya dua orang dalam satu dozen yang ada pistol. Itu pun sia-siakan peluru. Ketua penjahat pun tiada pistol, malah dia memilih untuk berlawan silat. Memanglah ketua jahat mat salleh tu pun hebat. Tetapi beliau lihat sendiri Yuda belasah semua orang kanan dia dihadapan mata sendiri. Baik tembak aja?! Lakonan ketua penjahat boleh disifatkan agak memberangsangkan.
Eh, ada juga penjahat naik motor!. Namun tewas dengan sehelai kain tuala seorang penduduk setinggan hendak ke tandas. Agak original.
Pengaruh sinetron juga tidak ketinggalan diakhir babak yang mana setelah ketika Yuda berjaya menewaskan Ratger dan membuka pintu kontena. Semua gadis-gadis berlari keluar meninggalkan kontena itu, manakala Astri kononnya trauma, tetapi seperti hendak bercinta pun ada. Terlalu lama Astri duduk dalam kontena entah apa yang dia teringatkan? Mungkin saat indah dirogol Ratger sebelum dibawa ke dalam kontena agaknya? Dan akhirnya Ratger bangun semula dan menikam Yuda.
Tiada polis di Jakarta. Astri pun apabila Yuda minta ditinggalkan dan bawa pulang tangkal syiriknya kembali ke kampung. Astri pun berlalu begitu sahaja. Kenapa dia tidak hubungi ambulans atau polis? Mungkin Yuda masih boleh diselamatkan?
Astri dan adiknya ke Sumatera dan tinggal bersama keluarga Yuda. Filem ini tidak begitu tulen dan mencabar seperti Ong Bak, namun membawa sedikit perubahan dalam industri perfileman Indonesia kerana mengetengahkan seni Silat Harimau, ( beg sandang Yuda siap dijahit patch logo Minang Silat Harimau), wiranya mati ditangan penjahat, dan pesilatnya tidak lagi bertarung dengan jin atau penunggu atau mak lampir.
Bintang: 2.5/5
Bintang: 2.5/5
Tiada ulasan:
Catat Ulasan