Rabu, 8 Julai 2020

MENGIMANI TAKDIR (KARYA PIS)



Kuih raya dah nak habis tetapi ilmu tak akan habis.

Mengimani Takdir adalah terjermahan surat tulisan Amir al Mukminin, Umar al-Khattab yang dihantar kepada Abu Musa al-Ash'ari setelah dia mengadu tentang kemunculan puak yang membahas dengan mendalam mengenai al-qadar (takdir) di Kota Basrah. Umar menulis surat ini bagi menjelaskan tentang takdir dan melarang daripada mendalami perbahasan urusan takdir secara batil.

Sabtu, 13 Jun 2020

TUNDUK KEPADA SYAITAN


”Hai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelum kamu, agar kamu bertakwa. Dialah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu. Kerana itu, janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui.” (Quran, Surah Al-Baqarah: 21-22)


Kami meraikan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dengan keluar berkhemah di Gunung Jerai. Walaupun sudah masuk kali ke-4 saya telah bermalam di Gunung Jerai, kali ini suasananya lain macam kerana dua hari lalu rakyat Malaysia telah dibenarkan melakukan perjalanan rentas sempadan negeri setelah 3 bulan terkurung di negeri sendiri biarpun Negeri Perlis berada dalam zon hijau sejak 20 Mei lalu. 

Saya difahamkan aktiviti riadah dan berkhemah (camping) telah dibenarkan oleh Perdana Menteri melalui kenyataan rasminya. Ada beberapa orang rakan mendakwa aktiviti berkhemah hanya dibenarkan pada waktu siang sahaja, maknanya TIDAK dibenarkan bermalam di hutan. Apa yang saya lihat kenyataan itu hanya disiarkan oleh blog-blog picisan, bukan web rasmi Jabatan Perhutanan atau yang berkaitan. Maka kami abaikan. 

Seperti yang dijangka, kami tetap tiba pada malam hari di Sungai Teroi walaupun telah sedaya upaya untuk bertolak sebaik sahaja tamat bekerja. Malangnya, mereka telah menyita tempat itu dan benarlah dakwaan rakan-rakan sebelum ini yang mengatakan pihak kerajaan masih melarang aktiviti bermalam di hutan. Alang-alang sudah sampai di Gunung Jerai kami pun terus ke The Jerai Hills Resort untuk meninjau camp side milik resort di Alor Naga. Bayaran yang dikenakan adalah RM100.00 untuk satu tapak khemah. Manalah kami semua mampu. Lagipun kami tidak jangka perkara ini akan berlaku. Lalu kami pun keluar semua dan cari kawasan yang sesuai untuk berkhemah. Biarlah tidak bersebelahan air terjun, janji kami dapat berkhemah juga malam ini. Alang-alang dah beli ayam, sosej, untuk dipanggang, jangan sampai balik singgah KFC. 






Sebelum ini, selalunya hanya kami berdua berkhemah di hutan dan gunung, kali ini alhamdulilah ada beberapa orang rakan ikut serta membawa anak-anak remaja mereka untuk diajar supaya kenal alam. Katanya untuk melihat keindahan ciptaan Allah subhana wa ta’ala. Yang celakanya, mereka tidak bersolat. Dari petang bertolak bersama-sama hingga ke malam seterusnya sampai pagi esok, saya perhatikan sahaja si ayah dan anak-anak tidak bersolat. 

Ketika mengambil wuduk dengan menyapu air di atas kasut but untuk solat jamak dan qasar, Maghrib dan Isyak, saya menyindir mereka dengan harapan mereka akan ikut bersolat: 

“Korang jangan plak hairan aku ambik wuduk begini. Kau tau tak boleh wuduk begini?”. Tanya kami kepada anak lelaki seorang rakan. Anak lelakinya itu sudah pun berusia 17 tahun. 

Ayah: “Dia tahulah. Takkan tak tahu?” 

“Kalau tahu, wuduk begini orang panggil apa? Bagitau aku?” Tanya kami kepada kedua-duanya. Manakala seorang lagi budak dan bapanya telah masuk berdiam diri dalam khemah. 

Mereka berdua, anak dan ayah tersengih-sengih tidak dapat menjawab. “Inilah yang dipanggil menyapu atas khuf”, Lalu kami pun mendirikan solat berdekatan unggun api tempat mereka sedang sibuk menyiapkan BBQ. 

Begitulah seterusnya pada esok pagi, tiada siapa pun bangun mendirikan solat Subuh melainkan saya dan Mad Duha. Biarpun saya bancuh dan hidangkan kopi kepada setiap orang. Saya kecewa. Kecewa kerana ketika kami semua sedang bergambar di satu lokasi yang agak sunyi dan menyeramkan, si ayah tadi berpesan: 

“Datang sini jangan buat perangai pelik-pelik. Jaga tutur kata, kalau dah kena dengan penunggu atau jin nanti baru tahu!”. 

Inilah kata-kata yang merosakkan akidah kita. Bayangkan, dia boleh masuk hutan kononnya untuk melihat ciptaan Allah, namun tidak solat, tidak menyembah Tuhan yang Agung. Sebaliknya dia jaga pula budi bahasa dan tunduk hormat kepada syaitan supaya selamat ketika berada di hutan. Sedangkan hutan, gunung, sungai, bumi ini kepunyaan Allah subhana wa ta’ala. Allah lebih berhak dia takut dan hormat mengatasi apa sahaja di dunia ini.

Moga Allah memberi hidayah kepada semua rakan-rakan saya.

Ahad, 24 Mei 2020

SEMOGA ALLAH MENERIMA AMALANKU DAN KAMU



Banyak orang merasakan Ramadan tahun ini paling buruk pernah terjadi pada diri mereka, dengan tiba-tiba virus Covid-19 muncul di China seterusnya menjadi wabak mengancam kehidupan kita tak kira batas sempadan negara, bangsa, usia, fahaman politik atau pegangan agama. Virus Novel Corona tak peduli itu semua. Tahap intelek pun ia tak kira. Kita boleh lihat bagaimana agama telah dipersalahkan apabila pandemik terjadi akibat tindakan ahli ibadah di negara-negara seperti Italy, India, Indonesia, Malaysia mentakwil agama dengan cara salah. Mereka berserah bulat-bulat pada Tuhan dalam aspek keselamatan tanpa usaha untuk mengekangnya terlebih dahulu. Mereka membahayakan diri sendiri bahkan membahayakan orang lain tanpa rasa bersalah dan yakin ia suatu bentu keimanan yang paling tinggi.

Daripada Umar bin al-Khattab R.A, Nabi SAW bersabda “Seandainya kamu semua benar-benar bertawakkal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.” Riwayat Ahmad (1/30), al-Tirmizi (2344), Ibn Majah (4164),
Ibn Hibban (730) dan al-Hakim (7894)

“Seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w: Aku lepaskan unta aku dan aku bertawakkal? Baginda menjawab: Ikatlah unta itu dan bertawakkallah.” Sahih Ibn Hibban (no: 731). Shaikh Syu'aib al-Arnaouth menyatakan bahawa hadis ini hasan.

Terdapat banyak lagi hadis yang menceritakan tentang konsep tawakkal yang sebenar manakala ayat-ayat al-Quran pula menerangkan hakikat tawakkal. Dua hadis di atas sudah cukup untuk memberi makna bahawa usaha perlu dilakukan sebelum menyandarkan hati kepada Allah Ta’ala untuk memperoleh pelbagai kemaslahatan dan menghilangkan bahaya dalam urusan dunia mahupun akhirat.

Imam al-Ghazali menyatakan "tawakal dalam Islam bukanlah suatu sikap eskapisme bagi orang-orang yang tidak mahu berusaha atau gagal usahanya, tetapi tawakal itu ialah tempat kembalinya segala usaha." (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 2/65).

Apabila pemerintah Perlis mengeluarkan fatwa menutup masjid, mengubah lafaz azan, mengugurkan solat berjemaah masjid dan digantikan dengan solat berjemaah di rumah. Ramai melenting, mendakwa ia sebagai fatwa terburu-buru, namun Majlis Fatwa Negeri Perlis telah memikirkan semua aspek secara holistik sesuai dengan kaedah fekah iatu “menolak kerosakan lebih utama daripada menarik kebaikan”. Perintah ini dikuatkuasakan di negeri Perlis kerana melibatkan maqasid nyawa dan maqasid harta yang terancam demi menjamin maqasid agama. Apabila penularan wabak semakin meruncing, dan satu demi satu negeri mengikut tindakan Perlis, barulah rakyat mula faham tentang situasi yang berlaku kecuali berberapa golongan terlebih warak terutamanya kaum hawa. Seperti yang sering terjadi, mereka beremosi tak kena tempat dan menukilkan kejahilan sendiri di media sosial. Nampaknya Allah subhana wa ta’ala mahu mengajar kita melalui ancaman wabak Covid-19 ini, bahawa ada perbezaan antara ahli ibadah dan ahli ilmu. Betapa jauh takwilan dua golongan ini terhadap situasi yang terjadi dan cara menghadapinya.

Diriwayatkan dari Abu Umamah, dia berkata: Disebutkan kepada Rasulullah salallahu alaihi wasallam tentang dua orang, iaitu seorang ahli ibadah dan seorang ahli ilmu. Kemudian Rasulullah SAW bersabda, "Keutamaan ahli ilmu atas ahli ibadah adalah seperti keutamaanku atas orang yang paling rendah di antara kalian." Setelah itu beliau melanjutkan, "Sesungguhnya Allah, para malaikat, para penduduk langit dan bumi, bahkan semut di lubangnya, dan para ikan mendoakan pengajar kebaikan pada manusia." (Hadis riwayat At-Tirmidzi).

“Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Quran surah Al Mujaadilah : 11)

Apabila Malaysia mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP2020) kita dapati ramai rakyat yang menyokongnya, tidak kurang juga yang melanggarnya. Mereka dengan tergesa-gesa merentas negeri, lari pulang ke kampung, padahal mereka telah melakukan kezaliman kepada orang lain jika menjadi penyebar virus tersebut. Ada kes seorang anak telah pulang ke kampung membawa Covid-19 hingga menjadi penyebab kematian orang tuanya. Malah ada orang yang lari balik ke kampung meninggalkan ternakan dan binatang peliharaan dalam kelaparan. Di Barat bangkit golongan-golongan liberal membantah tindakan pemimpin negara mereka menyekat aktiviti sosial dan ekonomi yang dikenal pasti akan meningkatkan risiko penyebaran wabak,  bagi mereka  tindakan itu telah melanggar hak asasi manusia. Mereka tidak peduli biarpun angka kematian di negara mereka telah mencecah jutaan orang. Mereka tetap mahu bebas kecuali yang menjadi mangsa adalah kaum kerabat mereka sendiri.  Ketika itu barulah mereka terjerit terlolong, tetap mahu menyalahkan orang lain. Sebagai Muslim kita sepatutnya tahu, Islam telah mengariskan cara untuk mengekang penularan wabak. Jangan emosi, jangan melenting, jangan beribadah secara membuta tuli.

Diriwayatkan oleh Sa’d Ibn Abi Waqqash R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda “Apabila kamu mendengar bahawa taun menimpa sesuatu tempat maka janganlah kamu masuk ke dalam kawasan tersebut. Dan apabila kamu berada di dalam kawasan yang terdapat padanya taun, janganlah kamu keluar daripadanya.” - Riwayat Al-Bukhari (5728).

Dahulu kita sering tertanya-tanya mengenai kisah seorang raja hebat yang mendirikan kerajaan pertama di dunia (2275 SM-1943 Sebelum Masihi) bernama Namrud bin Kan’aan. Dia berani mengisytihar perang terhadap Allah setelah gagal membakar Nabi Ibrahim alaihisalam. Raja Namrud dan bala tenteranya yang mempunyai persenjataan paling canggih ketika itu tewas menghadapi serangan tentera nyamuk. Walaupun genius, gagah dan mempelajari sihir, Raja Namrod akhirnya maut setelah beberapa hari menderita akibat serangan seekor nyamuk yang masuk menerusi telinganya. Hari ini kita menghadapi serangan virus Covid-19 yang bukan sahaja kecil, bahkan tidak dapat dilihat oleh mata, ia bukan hanya membunuh orang China, sebaliknya ia telah mengubah wajah dunia kepada suatu lumrah yang baharu (new norm). Persoalannya, siapakah yang mewarisi watak Namrud di dalam dirinya sekarang?

Ramadan yang disangka buruk, bagi saya adalah yang terbaik pernah berlaku, mungkin dalam hayat ini. Wallahu ‘alam. Allah Ta’ala mengantikan dengan sesuatu yang lebih jika kau tahu menilainya, jika dahulu saya keletihan bekerja, berkejaran ke pasar dan pulang untuk berbuka. Kini saya bertugas dari rumah (BDR), walaupun banyak kali juga pekerja sosial seperti kami ini dikerahkan untuk bersiap sedia di bilik gerakan yang beroperasi 24 jam setiap hari untuk membantu orang ramai yang terputus bekalan makalan. Kami redha dan gembira untuk membantu. Bayangkan di zaman yang begitu sukar untuk menjaga pandangan mata, di zaman wanita muslimah pun berpakaian seksi, Allah hadkan radius pandangan mata, perbualan, perbuatan yang lagha. Kita diberi kesempatan untuk bertadarus bersama keluarga, diberi nikmat untuk mendirikan solat berjemaah di rumah ( sesungguhnya ada tersimpan hikmah dan keberkatan mendirikan solat di rumah), tidak lagi terlalu menurut nafsu dengan membeli juadah berlebihan di pasar Ramadan, setiap hari diberi kesempatan untuk bersahur dan iftar bersama keluarga, seterusnya membuat persiapan Eid Fitr dengan kadar yang sederhana. Sungguhpun ada kekurangan dalam amal ibadah kita. Moga-moga dosa-dosa kita mendapat keampunan-Nya. Itulah yang paling utama.

Daripada Shuhaib RA berkata, Rasulullah SAW bersabda : “Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” -Hadis riwayat Muslim (No. 2999).

Hari ini Allah memberi kesempatan lagi untuk kita merayakan Eid Fitr walaupun dalam suasana yang berbeza. Seperti orang lain, saya pun perlu menjadi imam dan menyampaikan khutbah buat pertama kali dalam hidup. Ia lebih bermakna lagi apabila tahun ini merupakan tahun pertama saya merayakan Eid Fitr sebagai seorang suami dan diminta oleh keluarga mertua untuk mengimamkan solat raya. Saya memilih pandangan Ibn Taimiyyah dengan menyampaikan satu khutbah sahaja selepas 9 kali takbir.

Keadaan ini tidak pernah berlaku pada zaman Nabi atau sahabat. Maka pandangan yang ambil untuk panduan solat hari raya dalam menghadapi pandemik ini adalah merujuk kepada situasi yang telah berlaku di negara-negara Islam akibat konflik atau penjajahan yang mencetuskan darurat. Kaedah peribadatan yang menjadi syiar Islam terpaksa dijalankan di dalam rumah ketika Soviet Union mengharamkan amalan agama setelah menguasai negara-negara Islam. Begitu juga yang dilakukan oleh Muslim Uighur setelah China mengharamkan amalan agama di Xinjiang, masjid-masjid bukan sahaja  disita dan dirobohkan malah mereka turut dilarang menunaikan ibadah puasa. Dan kini ancaman wabak penyakit berlaku di seluruh dunia, bukan sahaja kepada orang Islam, tetapi seluruh umat manusia, kita akan hadapinya dengan sabar dan tawakkal yang benar.

-          Rammy Azmi

-          24/5/2020


Selasa, 5 Mei 2020

COFFEE & KAREEM


Sudah lama rasanya saya tidak menonton filem baharu. PKP 2020 yang berkuatkuasa sejak April lalu telah memberi saya sedikit ruang untuk riadah bersama keluarga lalu saya memilih untuk menonton filem Netflix ini disebabkan tajuknya yang unik. Itu saja alasannya!

Filem aksi komedi ini mengisahkan seorang pegawai polis bernama James Coffee yang sedang bercinta dengan seorang wanita kulit hitam bernama Vanessa Manning. Dia mempunyai seorang anak lelaki berusia 12 tahun bernama Kareem (mulanya aku ingat budak tu perempuan!). Suatu hari Coffee dan Vanessa kantoi melakukan seks di rumah setelah merasakan Kareem berada sekolah, padahal dia balik sekodeng maknya. Sejak hari itu dia bertekad mahu memutuskan hubungan mereka. Lalu dia pergi mendapatkan Orlando Johnson dan memfitnah James mencabulnya. Dia cuba mengupah mereka agar membelasah James namun pertemuan itu telah mencetuskan kekacauan dan mendedahkan pakatan jahat antara mereka dan pegawai polis di balai tempat Coffee bertugas. Maka bermulalah kerjasama Coffee dan Kareem untuk menyelamatkan diri, menyelamatkan Vanessa dan membongkar sindiket pengedaran dadah yang melibatkan ketua balai dan rakan sepejabatnya. Insta famous, King Bach berjaya memberi nilai tambahan pada filem ini dengan melakonkan watak penjahat yang melucukan. Babak-babak aksi yang digarap tidaklah terlalu kaku dan kartun. 

4/10

KITAB TUMIS METALHEAD



KITAB TUMIS METALHEAD
#1 (Istimewa Ramadan)
Ayoh ke dapur pemuzik-pemuzik punk/metal tanah air di mana mereka akan berkongsi resipi juadah-juadah sempena Ramadan ini. Jom cuba masakan yang dimasak oleh metalheads dari kugiran SICK SOCIETY, ATOMICDEATH, AJAL, KATHGOR, IRON MOTH, DOSA, THRASHIT, WRECKÄR dan editor THANATOPSIS ZINE.

Penyunting: Rammy Azmi
Terbitan: Faithcraft Productions
Asal: Malaysia
Bahasa: Bahasa Melayu
Tarikh keluar: 5 Mei 2020
Harga: RM15
Untuk tempahan hubungi sila KLIK


Isnin, 4 Mei 2020

MENGUKIR NADA DARI BESI

MENGUKIR NADA DARI BESI
Penulis: Rammy Azmi
Penerbit: Karya Raya Publishing
Edaran: Faithcraft Productions
Asal: Maaysia
Bahasa: Bahasa Melayu
Tarikh Pelancaran: 9 Disember 2017
Tempat: Kuala Lumpur Zine Festival, Petaling Jaya
Harga: RM20
Hubungi: 

Untuk tempahan sila KLIK

Isnin, 29 April 2019

PERKAMPUNGAN SUNNAH SIRI 6 (2019)


Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Dr Maza mengumumkan Perkampungan Sunnah selepas ini akan diteruskan sekali setahun daripada asalnya 2 kali setahun untuk memberi laluan program ilmu baharu, "Perkhemahan Mualaf" yang bakal dianjurkan buat pertama kali pada 16 - 18 Ogos 2019 di Masjid Terapung, Kuala Perlis.

Tema Perkampungan Sunnah tahun ini adalah: Maqasid Syariah Dalam Kehidupan Ummah.

Perkara-perkara  yang mendesak dan utama bagi kehidupan manusia (daruriyat), keperluan-keperluan penting tetapi bukan utama (hajîyat), serta perkara-perkara penunjang (tahsinîyat/kamâlîyat) adalah tiga landasan yang menjadi pokok bagi ilmu maqasid syariah (tujuan-tujuan dan maksud-maksud syariah). Pemeliharaan terhadap perkara daruriyat, hajîyat dan tahsinîyat/kamâlîyat merupakan perkara yang menjadi tujuan dan maksud dari ditetapkannya syari’at oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Semua itu telah dijelaskan dalam Al-Qur`an dan Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam. 5 prinsip maqasid syariah adalah:

1. Pemeliharaan agama (hifz al-din)
2. Pemeliharaan jiwa (hifz al-nafs)
3. Pemeliharaan akal (hifz al-a’ql)
4. Pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl)
5. Pemeliharaan harta (hifz al-mal)
Ada ulama yang memasukkan "Hak Kebebasan Diri" sebagai yang ke.6.

Ath-Thahir bin ‘Asyur, salah seorang ulama mu’ashirin (zaman kini) yang pertama menulis tentang maqasid (tujuan-tujuan/maksud-maksud) syariah hingga seakan-akan beliau adalah seorang mujaddid (pembaharu) dalam masalah ilmu maqasid syariah sesudah habisnya masa penulisan tentang ilmu ini, mengatakan: “Penelitian terhadap syariah menunjukkan bahawa kemudahan dan kelonggaran merupakan salah satu tujuan syariat”.

Terima Kasih TeaRex Bite Rooftop Cafe kerana belanja kami semua nasi goreng meatball. Moga dimurahkan rezeki.

Kickstart oleh Dato Dr. Danial Zainal Abidin


Sempat juga ke Ladang Nira Kipli di Kuala Sanglang.

Dari buku Fiqh Taysir karya Menteri Pelajaran Malaysia, Dr. Maszlee Malik terbitan Jabatan Mufti Negeri Perlis, Fiqh Taysir ni maknanya pengambilan hukum yang memudahkan dengan pemikiran yang progresif. Fiqh Taysir dipopularkan oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi dengan hujah-hujah tuntas yang berdiri di atas firman Allah swt "Allah tidak hendak menyulitkan kamu tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat Nya bagimu, supaya kamu bersyukur" (Al-Maidah:6), nasihat Nabi saw "Permudahkanlah dan jangan persulitkan. Berikan berita gembira dan jangan menyebabkan orang lari" (h.r Bukhari dan Muslim), pilihan kecenderungan para sahabat dan juga kaedah salafus soleh. Kata Sufyan Ats- Thauwry r.a "Sesungguhnya fiqh yang mendalam ialah memberi rukhsah oleh seseorang yang thiqah. Adapun berkeras (tegas), semua orang boleh melakukannya" (riwayat Abu Nu'aim, An-Nawawi Al Majmuk Syarh al-Muhazzab).

Buku ini seperti penulisnya, ia kecil tetapi padat dengan inti ilmiah. Negeri Perlis adalah pelopor dalam berfatwa melalui landasan ini. Fatwa bagi mencapai objektif maqasid syariah.Buku ini dicetak kali pertama pada 2015 dan yang anda dapat di PS6 itu adalah cetakan kali keempat.

 Sempat bersarapan di market Kangar usai kuliah Dr. Danial

Pitri membuat kayuhan epik dari Guar Chempedak ke Perlis

Kemudahan dan kelonggaran  dari tujuan syari’at ini merupakan diantara perintah-perintah Rabbul ‘Alamin. Tetapi, bermaksud mengambil mudah dan longgar untuk mencukur janggut, berjabat tangan dan bergaul mesra lelaki dengan perempuan misalnya, dengan alasan, “yang penting niatnya baik”.  Ia bukan selonggar dan semudah itu. Pemahaman seperti ini termasuk talbis Iblis (belitan Iblis). Ini semua merupakan perangkap syaitan yang terkutuk. Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا ۚ إِنَّمَا يَدْعُو حِزْبَهُ لِيَكُونُوا مِنْ أَصْحَابِ السَّعِيرِ

Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu, maka jadikanlah ia musuh(mu), kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala. [Fathir/35:6]

Allah Subhanahu wa Ta’ala juga telah berfirman:


وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ

Janganlah kamu menuruti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. [Al-Baqarah/2:208].

Langkah-langkah syaitan adalah melalui kaedah-kadeah umum ini. Iaitu langkah-langkah yang sekarang paling banyak dimasuki oleh sebahagian orang yang arif dalam ilmu fiqih, orang-orang yang suka memudah-mudahkan dan meremehkan urusan atas nama maqasid syariah, atas nama dasar syariat, dan atas kalimah “memberi kemudahan dan bukan mempersulit”.

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. [Al-Baqarah/2:286]


Faiz tempah tempat kuliah Dr Maza sejak jam 6.40 petang




Tujuan-tujuan syariat memiliki ketetapan-ketatapan hukum yang bersifat pasti, maka adalah wajib menjadikan diri selalu terikat dan menjalani hidup seiring dengan tujuan-tujuan syariat. Kita tidak boleh bertindak untuk lari atau menghindar diri atau menyimpang dari ketentuan syariat secara sengaja, baik langsung atau tidak langsung, sebab kita mengetahui bahawa di sebalik tindakan itu terdapat bahaya besar, kerosakan dan dosa yang hanya diketahui oleh Allah.


قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ

Katakanlah: “Inilah jalanku (agamaku). Aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah berdasarkan bashirah (ilmu/hujah yang nyata)…” [Yusuf/12:108]

Memahami hukum-hakam syariat tanpa memahami tujuan-tujuannya merupakan kelemahan yang sangat besar. Maka memahami tujuan-tujuan syariat ini diperlukan oleh siapa saja, baik orang awam, da'i ataupun ulama dan mujtahid. Kefahaman tujuan-tujuan syariat sangat perlu dikuasai para dai supaya mereka dapat menyusun skala keutamaan dalam berda’wah ilallah. Sementara itu, memahami skala keutamaan memerlukan kedalaman pemahaman dan penelitian. Ketika Rasulullah mengutus Mu’adz bin Jabal ke Yaman, beliau Shallallahu ‘alaihi wa sallam berpesan:


إِنَّكَ تَقْدَمُ عَلَى قَوْمٍ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ، فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوْهُمْ إِلَيْهِ أَنْ يُوَحِّدُوا اللهَ. متفق عليه.

Sesungguhnya engkau akan datang kepada suatu kaum dari Ahli Kitab, maka hendaklah pertama-tama yang engkau da’wahkan kepada mereka ialah agar mereka mentauhidkan Allah. [Muttafaq ‘alaih]

Sebagai contoh kes ini, mentauhidkan Allah merupakan perkara paling besar dan paling agung kedudukannya. Ia berada pada skala keutamaan paling tinggi dari bab cabang seperti kebersihan, pakaian atau aurat.





Pulut ayam dan 3 ketoi burger Malaysia. Pergh!

Seperti kata Dr MAZA dalam kuliah Magrib,

"jika mahu mengambil hadis secara literal dalam urusan ibadah, misalnya tidak boleh diubah bilangan rakaat solat fardu. Alhamdulilah!".

"Tetapi untuk mengambil hukum arak hanya menjadi haram jika dibuat mengunakan anggur berdasarkan hadis khamr sudah tentu salah kerana maqasid pemeliharaan aqal. Arak haram kerana merosakkan aqal, bukan kerana bahan buatannya".

Dr. Rozaimi Ramle turut memberi contoh pengambilan hukum yang tidak boleh diselesaikan dengan maqasid melainkan menuruti dengan taat apa yang diperintahkan dalam urusan peribadatan seperti mengambil wuduk semula apabila terkentut.

"Dari segi logiknya kalau kentut batal wuduk, buat apa basuh muka? Baik basuh bontot. Tetapi agama bukan begitu".

Kata Dr Rozaimi menginggatkan saya tentang sapuan khuf yang ditanya kepada Ali r.a. Jawapan Ali "Seandainya agama ini terbina atas hukum logik, tentulah menyapu dibahagian bawah khuf itu lebih afdal berbanding diatasnya. Sungguh aku telah melihat Rasulullah s.aw menyapu diatas kedua-dua khufnya" (Riwayat Abud Daud, Ad-Darimi, Daruqutni, al-Bahaiqi. Ibn Hajar mensahihkan sanadnya)

Perkampungan Sunnah siri 6 ini boleh dikatakan seminar maqasid paling panjang (3 hari) pernah dianjurkan di Malaysia. Ramai muka baru dan lama yang hadir, Faiz hadir untuk kali kedua, Pitri datang kayuh basikal dari Guar Chempedak, Joe Deathgrezzor datang untuk kali pertama, kawan-kawan Perlis pulang ke kampung, Afdzal datang untuk kali pertama barangkali, Aduha datang membawa warga emas dari rumah kebajikan.



Pada hari terakhir PS6 ketika sedang makan ayam goreng gunting salut cheese, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya datang duduk disebelah saya untuk menikmati teh masala. Beliau merupakan pengerusi IKAF, International Khayr Ummah Foundation yang kini sedang giat melaksanakan IKAF Quranic Academy (iQRA) mengunakan kaedah memori fotografik (sebagaimana pusat tahfiz kendalian Dr Kamilin Jamilin) bagi melahirkan lebih ramai penghafal Al-Quran. Kesempatan itu saya acukan pertanyaan yang ditanya Pitri kepada saya 2 hari lalu:

"Ustaz, saya nak tanya satu soalan, sebenarnya ini soalan kawan saya. Kalau ada Si Polan ini, dia berminat dengan sebuah buku di rak masjid, kemudian dia ambil buku itu namun diganti buku lain yang dia rasakan nilainya setara. Apa hukumnya?".

Dr. Fathul Bari "Tak boleh. Mana boleh, sebab tuan buku itu telah wakafkan buku itu kepada masjid, kecualilah dia dapat cari semula orang yang wakafkan buku itu, sebab itu niat orang itu, kemudian minta kepada orang itu dan tunjukan buku yang Si Polan itu nak ganti. Jika orang itu setuju, barulah boleh ambil dan ganti. Ehh... baguslah soalan ni!".

Sebelum itu Dr. Fathul Bari mengambil alih kerusi Ustaz Nik Omar Nik Aziz yang tidak dapat hadir kerana tidak sihat bagi membahaskan tajuk "Menjaga Maqasid Syariah Dalam Berdakwah". Penyampaian yang sungguh mantap!

Moga kita semua dapat bertemu lagi di Perkampungan Sunnah Siri 7. In Shaa Allah.

MENGIMANI TAKDIR (KARYA PIS)

Kuih raya dah nak habis tetapi ilmu tak akan habis. Mengimani Takdir adalah terjermahan surat tulisan Amir al Mukminin, Umar al-Khattab yang...