Memaparkan catatan dengan label Arkib Filem. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Arkib Filem. Papar semua catatan

Isnin, 7 Jun 2021

SIAPA RUROUNI KENSHIN?

 
Minat saya terhadap filem-filem Jepun bolehlah dikatakan biasa-biasa sahaja walaupun ada banyak juga koleksi DVD filem-filem dalam simpanan seperti Zaitoichi, 13 Assassins, 7 Samurai, Lady Snowblood, atau dari genre anime seram dan mistik seperti Tomie, Mirai Nikki, Asura dan beberapa lagi. Beberapa orang rakan-rakan pernah mencadangkan filem itu dan ini, tetapi tidak berjaya menarik perhatian saya sehinggalah saya menonton Rurouni Kenshin. Ya, menurut mereka ada lagi yang lebih hebat dari itu tetapi jiwa saya melekat pada cara Nobuhiro Watsuki menulis epik Rurouni Kenshin ini. Dia secara genius dapat mengembangkan kisah Kenshin yang penuh penjiwaan dan keperwiraan. Ya, manga Rorouni Kenshin dikelaskan sebagai shōnen manga iaitu komik kisah romantik yang mensasarkan pembaca daripada kalangan remaja lelaki. Manga 28 bab ini (di Jepun disebut tankōbon sebab ia bukanlah siri tetapi setiap buku mempunyai cerita dan babak berasingan) diterbitkan pada tahun 1994 hingga 1999 dan hingga kini mungkin jualannya telah mencapai 80 juta naskah! Saya tak pernah membaca manga Rurouni Kenshin atau Samurai-X untuk pasaran luar Jepun. Manalah kita ada duit nak beli manga ketika itu? Jika ada pun tentulah saya beli kaset metal sebab itulah jiwa remaja saya ketika itu.

Namun apabila Samurai-X telah menjadi siri anime dan mula disiarkan di TV, asalnya TV2 kemudian bertukar ke TV1 saya memang setia menunggunya setiap kali pulang dari sekolah, ada kalanya saya pergi menonton di rumah jiran sebab ayah tak bagi tengok. Kata ayah “Bukan kartun tu nak bagi hang makan nanti dah besar!”. Siri TV Samurai-X itu meletup hingga ia membawa kepada filem animasi Rorouni Kenshin: The Motion Picture yang meletup pula di Amerika Syarikat. Anime Samurai-X ini turut dikenali di sesetengah negara dengan tajuk “Battousai the Manslayer”. Bagaimanapun penulis manga Rorouni Kenshin, Nobuhiro Watsuki mengkritik siri anime ini kerana penampilan karaktor Kenshin tidak seperti yang dia harapkan.

Kemudian apabila filem aksi Rorouni Kenshin diterbitkan Warner Bros pada tahun 2012 saya memang sangat teruja. Bagaimanapun saya hanya dapat menontonnya beberapa tahun kemudian dan begitu puas hati dengan hasil Studio Swan dan arahan Keishi Ōtomo, saya memang skeptikal bila pertama kali melihat Takeru Satoh dipilih menjadi Kenshin, biarpun dia terkenal sebagai Kamen Rider Den-O. Apa tuh? Generasi kami hanya kenal Kamen Rider Black! Haha! Takpalah. Muka Takero Satuh memang sebijik gaya ‘mat rempit’ tetapi dia telah berjaya membawa watak Rurouni Kenshin dengan baik dan aksi pertarungan pedang dalam filem ini sesuatu yang lain daripada yang lain malah menetapkan satu tahap baru dalam aksi pertarungan bersenjata. Gila! Bayangkan permainan pedang Samurai, ya 100% teknik samurai dengan gandaan 2x kelajuan dan akrobatik daripada apa yang kita pernah lihat dalam filem-filem klasik sebelum ini.


Ada beberapa elemen yang menarik pada sosok Rorouni Kenshin, pertama semestinya mengenai latar belakangnya sebagai Hitokiri Battosai, seorang pembunuh professional yang bertugas untuk kerajaan Meiji. Kisahnya digambarkan berlaku saat-saat penghujung Tokugawa Shogunate, dia akhirnya memutuskan untuk menjadi ronin (samurai tanpa tuan yang hidup merantau) dalam membantu orang yang ditindas untuk menebus dosa-dosa silamnya. Battosai mengubah namanya kepada Kenshin dan mengunakan sebilah pedang unik bernama sakabato kerana matanya yang terbalik. Maka dia dapat mengelak daripada membunuh orang lain semasa bertarung kecuali dalam keadaan terpaksa. Kenshin seorang lelaki yang kurus, manis tutur kata, berambut merah dan mempunyai parut luka X di pipi kiri. Watak Rorouni Kenshin dipertemukan dengan Cik Kaoru yang menjadi pasangan hidupnya seterusnya membentuk babak-babak penting dan penuh drama dalam epik ini. Fiksyen ini menambahkan lagi warnanya apabila digambarkan kegiatan eksport luar berlaku secara besar-besaran di era Meiji. Fesyen berkembang dengan pesat, ada rakyat yang terpengaruh dengan gaya kolonial, Turki dan sebagainya. Saat bertembungnya senjata moden dan katana. 

Nobuhiro Watsuki mengarap manga Rorouni Kenshin dengan mengunakan kreativitinya berdasarkan kisah sebenar seorang daripada 4 orang hitokiri (pembunuh) professional kerajaan Bakumatsu yang bernama Kawakami Gensai. Kisah sejarah Gensai juga menarik namun hayatnya berakhir apabila dipancung pada 13 Januari 1872 kerana mencampuri urusan tentera, Kiheitai di bawah pimpinan Oraku Gentarō, yang juga merupakan rakan seperjuangannya. Setiap kali melakar Rouroni Keshin, Watsuki membayangkan seorang yang sanggup mengorbankan dirinya sendiri demi keselamatan orang lain.

“You believe that the strong exist to cull the weak. To use them as food. But you are mistaken… The strong exist, not to feed off the weak, but to protect them!” - Rorouni Kenshin

Sebagaimana filem-filem hebat antarabangsa yang lain, filem sekuel Rorouni Kenshin turut dilengkapkan runut bunyi yang mantap. Dengarkan “Hiten”,  “Akatsuki no Tatakai”  setiap kali Kenshin bertarung atau berperang, memang meremang bulu tengkok. Saya diperkenalkan dengan kugiran dengan nama mengarut One OK Rock pun melalui sekuel “The Legend Ends (2014) dengan lagu “Heartache” yang benar-benar kena dengan situsi Kenshin ketika itu. 

Baiklah, siapa Nobuhiro Watsuki dan bagaimana dia boleh jadi begitu kreatif dalam menulis epik Hitokiri Battosai? Nobuhuri Watsuki ialah seorang pelukis manga dari Tokyo yang kini telah pun berusia 51 tahun. Dia merupakan seorang pengamal seni bela diri Kendo dan sukakan muzik, boleh dikatakan konsep dan babak-babak penting dalam manga Rorouni Kenshin tercetus sewaktu Watsuki mendengar muzik. Bakat Watsuki mula menyerlah sejak di bangku sekolah lagi apabila karyanya “Teacher Pon” telah membawanya ke tempat ke-33 bagi Tezuka Awards pada tahun 1987. Antara karya-karya hebat lain yang terhasil daripada tangannya ialah Gun Blaze West, Embalming -The Another Tale of Frankenstein, Crescent Moon in the Warring States dan banyak lagi. Pada Novemer 2017, peminat-peminatnya gempar apabila Watsuki ditangkap dalam satu serbuan polis di rumahnya. Siasatan polis telah menemukan lebih 100 keping DVD pornografi kanak-kanak. Dia ditangkap dan didakwa, nasibnya baik kerana tidak dipenjarakan tetapi hanya didenda sebanyak ¥200,000. Ini bukanlah kali pertama artis manga buat hal, pada Ogos tahun lalu Tatsuya Matsuki yang dikenali menerusi manga Act-Age, telah meramas buah dada seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ketika memintasnya dengan basikal. Dia pun bernasib baik kerana setelah ditangkap dan didakwa, hukum yang diberikan ialah berkelakuan baik selama 3 tahun. 

Filem sekuel Rorouni Kenshin “The Beginning” dan Rorouni Kenshin “The Final” sepatutnya ditayangkan pada tahun lalu namun terpaksa ditunda akibat serangan wabak Covid-19 di seluruh dunia. Menariknya “The Beginning” yang mula ditayangkan 2 hari lalu merupakan kisah era awal Hitokiri Battosai dengan kekasih pertamanya Yukishiro Tomoe dan bagaimana dia mendapat parut X diwajahnya. Manakala “The Final” pula adalah kesinambungan filem “The Legend Ends” (2014) yang lalu.

Sukar untuk kita tidak menyukai Kenshin… percayalah!

Selasa, 9 Februari 2021

LET HIM GO (2020)


Apabila Covid-19 menyerang seluruh dunia dan melumpuhkan perniagaan pawangan, saya pasti banyak yang tertanya-tanya, apakah filem terbaik bagi tahun lalu? Bagi saya, Let Him Go ialah antara yang terbaik. Saya memang peminat filem Western dari dahulu lagi, namun ini bukanlah filem western spagetti. Bagi yang tak tahu, Kevin pernah melakonkan watak Wyatt Earp, watak yang dipegang dengan cemerlang oleh Kurt Rusell dalam filem Tombstone. Malah Kevin memang turut terlibat dalam pembikinan Tombstone tetapi timbul salah faham hingga dia tarik dari diri dan buat filem Wyatt versi dia pula. 

Filem ini diadaptasikan daripada novel tulisan Larry Watson dengan judul yang sama. Ia berlatar belakangkan zaman awal 60-an tentang sebuah keluarga seorang pesara Sheriff bernama George Blackledge (Kevin Costner) dan isterinya Magaret (Diane Lane) yang merupakan seorang penjinak kuda. Anak mereka telah maut ditimpa satu kecelakaan ketika menunggang kuda, 3 tahun kemudian isterinya akhirnya mengambil keputusan untuk berkahwin lagi dengan Donnie Weboy.

Walaupun berat untuk berpisah dengan cucu mereka, Jimmy mereka akur membiarkan Donnie menjaganya sebagai bapa tiri. Suatu hari Magaret terlihat Donnie memukul Jimmy dan isterinya di pekan. Dia pun jadi tak sedap duduk, suatu hari bila Magaret ke rumah Donnie, mereka dah pun berpindah. Risau dan gusar tentang keadaan Jimmy, Magaret dan George ambil keputusan untuk ke North Dakota untuk menjejak keluarga Weboy. George sebagai pesara sheriff mengunakan kelebihan yang ada meminta bantuan daripada balai sheriff untuk mencari Weboy.


Weboy rupanya datang daripada keluarga konservatif, mereka bukanlah jahat sebenarnya, tetapi dari segi bahasanya ialah konservatif. Kalau difikirkan sebenarnya ketegasan Blanche Weboy, ibu adik-beradik Weboy itu dah memang cara orang kampung. Itu cara mereka, tetapi George dan Magaret merasakan mereka lebih bertamadun dan berkemampuan untuk menjaga Jimmy. Bermulalah, perseteruan mereka apabila masing-masing bertemu muka dalam undangan makan malam di rumah Blanche. Satu drama kekeluargaan yang cukup mendebarkan. Saya suka penceritaan sebegini, ia mentah dan realistik, ia kritikan sosial yang rapat dengan kehidupan seharian kita. Jika sesiapa yang tengok dan suka filem Homefront (lakonan Statham, tulisan Sly) pasti menyukai genre filem ini. Kebanyakan masalah berat yang terjadi hanya disebabkan kes-kes yang kecil sahaja. Begitu juga keluarga Weboy ini, apabila mereka tahu George dan Magaret cuba mempengaruhi menantu dan cucunya untuk lari dari rumah mengikut mereka pulang ke Montana, keluarga Weboy mula bertindak. Mereka menyerang George dan Magaret di hotel, polis juga turut menyebelahi Weboy dalam serangan itu. Hujah-hujah Weboy ternyata lebih bernas dan kuat. George putus jari ditetak dengan kapak sia-sia sahaja tanpa pembelaan. 

Konflik ini akhirnya berakhir dengan kemusnahan dikedua-dua pihak apabila George mengambil keputusan untuk mengambil juga cucunya dengan cara koboi. Dia tahu Magaret tidak akan tenang selagi tidak dapat mengambil kembali cucunya. Dia terpaksa berkorban demi dua insan tersayang iaitu isteri dan cucunya. Kalau dalam DC Universe, Kevin berkorban untuk Clark Kent, kini dia berkorban untuk Magaret dan Jimmy plak. Kevin Costner memang aktor terbaik dalam menghidupkan seorang watak ayah berkarisma. Filem-filem ketika era tuanya seperti Criminal, The New Daughter agak lesu dalam babak aksi namun dia tetap memberikan drama yang terbaik kepada penonton.

8/10


Jumaat, 27 November 2020

IF ANYTHING HAPPENS I LOVE YOU (2020)


Filem pendek berdurasi 12 minit ini baru sahaja keluar di Netflix tujuh hari lalu. Filem animasi yang di tulis oleh Will McCormack dan Michael Govier ini mengisahkan tentang keperitan hidup sebuah keluarga yang mengharungi hari-hari sepi selepas kematian anak mereka. Pengkritik menyifatkan filem ini jujur dan penuh emosi walaupun tanpa sebarang dialog. Will McCormack sebelum ini terkenal melalui penulisan Toy Story 4 telah membawakan tragedi ini secara berseni dan gothik sekali. Kejadian amuk di sekolah semakin menjadi-jadi di Amerika Syarikat, produk-produk ganas ini dianggap sebagai kes kemurungan, gangguan psikologi, tekanan perasaan dan terpencil namun jika ia melibatkan remaja Muslim sudah pasti agama Islam akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya.

"If anything happens I love you" adalah mesej terakhir daripada kanak-kanak malang berusia 10 tahun itu kepada ibu bapanya sebelum terbunuh dalam tembakan rambang di sekolahnya. 

Isnin, 13 Julai 2020

UNDERWATER (2020)

OK, kali ini dewa pemusnah daripada imaginasi H.P Lovecraft, Cthulhu telah diberi keadilan melalui kesan FX yang bagus. Jalan ceritanya ringkas dan mereka cuba untuk membawa kegerunan dari lautan dalam ke kaca skrin sepertimana yang telah dilakukan oleh Spielberg melalui Jaws, tetapi dengan tambahan elemen ‘kegelapan’.

Underwater bermula terus dengan babak gegaran kuat yang melanda Kepler 822 iaitu sebuah prasarana cari gali di dasar lautan Mariana Trench. Apa yang disangka gempa bumi sebenarnya adalah amukan Cthulhu. Kemusnahan Kepler 822 secara mengejut itu telah meragut nyawa hampir kesemuanya krew kecuali Kristen Steward selaku Norah Price, Rodrigo, Paul, Kapten Lucien, Emily Haversham dan Liam Smith. Maka bermulalah misi menyelamatkan diri krew-krew yang terselamat itu ke pengkalan induk Roebuck 641. Satu-satunya cara ke sana adalah perlu berjalan di lantai lautan sejauh 1 kilometer.

Mereka telah diserang oleh makhluk seperti hantu yang tertarik kepada cahaya dan akan menelan mangsa yang diserang. Mereka akhirnya sedar peluang untuk selamat adalah tipis apabila menyedari makhluk-makhluk itu begitu banyak dan mereka seperti parasit yang bergantung di badan makhluk yang lebih besar iaitu itu raksasa, Cthulhu. Ketika Price melarikan diri daripada serang ke stesen Shepard, dia sempat menyelongkar laci besi Kapten Lucien dan melihat lukisan pentagram di atas blue print kawasan cari gali itu. Mungkin ini membawa maksud syarikat cari gali itu sudah pun tahu tempat tersebut dihuni sesuatu yang misteri.

Filem ini berakhir dengan Price meletupkan dirinya bersama Roebuck 641 demi untuk menyelamatkan pod yang memuatkan Smith dan Haversham daripada dikaut Cthulhu ketika diluncurkan ke permukaan lautan. Bagi yang tidak tahu, gergasi Cthulhu mula popular dalam pop culture setelah Metallica memperkenalkannya dalam lagu-lagu mereka sejak album Ride the Lightning  (1984) lagu instrumental gubahan mendiang Cliff Burton berjudul "The Call of Ktulu", album Master of Puppets (1986) melalui lagu berjudul  "The Thing That Should Not Be", dan album Hardwired... To Self-Destruct (2016) lagu berjudul "Dream No More".

6/10


Selasa, 5 Mei 2020

COFFEE & KAREEM (2020)


Sudah lama rasanya saya tidak menonton filem baharu. PKP 2020 yang berkuatkuasa sejak April lalu telah memberi saya sedikit ruang untuk riadah bersama keluarga lalu saya memilih untuk menonton filem Netflix ini disebabkan tajuknya yang unik. Itu saja alasannya!

Filem aksi komedi ini mengisahkan seorang pegawai polis bernama James Coffee yang sedang bercinta dengan seorang wanita kulit hitam bernama Vanessa Manning. Dia mempunyai seorang anak lelaki berusia 12 tahun bernama Kareem (mulanya aku ingat budak tu perempuan!). Suatu hari Coffee dan Vanessa kantoi melakukan seks di rumah setelah merasakan Kareem berada sekolah, padahal dia balik sekodeng maknya. Sejak hari itu dia bertekad mahu memutuskan hubungan mereka. Lalu dia pergi mendapatkan Orlando Johnson dan memfitnah James mencabulnya. Dia cuba mengupah mereka agar membelasah James namun pertemuan itu telah mencetuskan kekacauan dan mendedahkan pakatan jahat antara mereka dan pegawai polis di balai tempat Coffee bertugas. Maka bermulalah kerjasama Coffee dan Kareem untuk menyelamatkan diri, menyelamatkan Vanessa dan membongkar sindiket pengedaran dadah yang melibatkan ketua balai dan rakan sepejabatnya. Insta famous, King Bach berjaya memberi nilai tambahan pada filem ini dengan melakonkan watak penjahat yang melucukan. Babak-babak aksi yang digarap tidaklah terlalu kaku dan kartun. 

4/10

Sabtu, 3 Mac 2018

WADJDA (2012)


Wadjda adalah filem pertama dari Arab Saudi tulisan dan arahan pengarah wanita bernama Haifaa al-Mansour dan ia difilemkan sepenuhnya di Arab Saudi. Ia antara filem yang mendapat pujian dan banyak anugerah kerana sarat dengan nilai sosio-politik negara berkenaan yang masih asing bagi dunia luar terutamanya Barat, kononnya Arab Saudi bagaikan negara miskin dan dikuasai puak gasar. Haifaa mendapat sokongan dana dari Putera Saudi, Alwaleed bin Talal. 

Wadjda mengisahkan seorang budak berusia 10 tahun tinggal dipinggir bandar Riyadh yang mengidam untuk memiliki basikal untuk berlumba dengan rakannya, Abdullah. Watak Wadjda ini agak rebel. Bagi mengumpul duit, dia menjual mixtape lagu-lagu punk rock dan jual gelang d.i.y kepada rakan-rakannya. Digambarkan dalam masa yang sama keadaan di madrasah perempuan yang tidaklah sekeras seperti yang disangka. Malah kelas-kelas pengajian Al-Quran juga mereka tidak menutup aurat. Guru-guru di madrasah juga berpakaian moden bukannya berjubah litup. Salahkah membaca al-Quran tanpa menutup aurat? Jom teliti fatwa ulama Arab Saudi.


Hukum:
Tidak mengapa seorang wanita dalam keadaan bersendiri membaca al Qur’an tanpa menutup aurat dengan sempurna kerana tiada ada dalil yang mewajibkannya. Akan tetapi jika menutup auratnya, maka itu lebih baik dan merupakan salah satu adab membaca al-Qur’an. 

Syaikh Muhammad bin Sholeh Al-Utsaimin, menjawab pertanyaan netizen tentang hukum wanita membaca al-Qur’an tanpa menutup aurat: 

“Untuk membaca Al-quran, tidak ada pensyaratan bagi wanita untuk menutup kepalanya. Kerana tidak disyaratkan untuk menutup aurat ketika membaca Al-Quran. Berbeza dengan shalat. Shalat seseorang tidak sah kecuali dengan menutup aurat.” - dikutip oleh muslimah corner, Rabu (24/6/2015). 

Dalam masa yang sama diselitkan drama-drama seperti ayah Wadjda yang ingin berkahwin 2 kerana ibu Wadjda sudah tidak boleh melahirkan anak lagi, dan bagaimana ibunya mula berhias diri untuk memenangi hati si ayah agar membatalkan perkahwinan itu. Babak Wadjda menyanyi didapur mengingatkan saya kepada hadis 2 kanak-kanak perempuan yang menyanyi sambil didengari oleh nabi s.a.w. 

Demi mencapai cita-citanya Wadjda menyertai peraduan musabaqah yang menawarkan hadiah bernilai 1000 riyal. Atas kesungguhan Wadjda dalam menekuni Al-Quran, dia berjaya memenanginya namun dia sangat kecewa apabila pihak madrasah mendermakan wang itu kepada Palestin atas namanya. Bagaimanapun ibunya yang prihatin pada minat Wadjda telah menghadiahkannya sebuah basikal di hari perkahwinan ayah Wadjda dengan isteri barunya. 

Filem kerjasama Arab Saudi-Jerman ini sebenarnya ringan dan santai sahaja, namun kontroversi dan perspektif luar pada negara itu telah menjadikan ia unik. Haifaa memerlukan bantuan produksi Jerman untuk memasarkan filem ini ke luar negara disebabkan tiada industi filem dan panggung wayang di Arab Saudi. 

Antara keunikan filem ini adalah ia merupakan lakonan pertama Waad Mohammed yang membawa watak utama sebagai Wadjda. Haifaa pula mengarah dan membuat rakaman filem dengan penuh kesukaran kerana di Arab Saudi, krew lelaki tidak boleh bergaul dengan wanita. Haifaa hampir sepanjang masa memberi arahan melalui walkie talkie dan hanya melihat shooting dari monitor dibelakang van oleh kerana larangan pergaulan lelaki dan perempuan ajnabi ditempat awam. Oleh itu Haifaa memastikan setiap babak perlu di–rehearse dihadapan beliau hingga tepat sebelum ia dirakamkan di lokasi sebenar. Ia mengambil masa 5 tahun untuk disiapkan.

Kebanyakan pengkritik filem antarabangsa member markah penuh pada filem ini. Jadi, ia wajar anda tonton. 

3.5/5

Jumaat, 2 Mac 2018

THE RITUAL (2017)


Sebagai seorang yang suka aktiviti masuk hutan dan berkhemah, saya jadi tertarik apabila mendapat tahu filem ini mengisahkan tentang 4 orang sahabat baik Phil, Dom, Hutch, dan Luke yang memutuskan untuk hiking di Kungsleden (King's Trail) in Sarek National Park, utara Sweden sebagai penghormatan terakhir kepada sahabat mereka Rob yang terbunuh dalam satu kes samun di kedai serbaneka. Mulanya saya terfikir mereka tersalah tempat untuk buat ritual penghormatan terakhir (pasang lilin dan minum whiskey) kepada mendiang rakan mereka itu. Saya teringatkan filem Pet Sematary hehe!. Rupanya mereka benar-benar tersasar ke hutan yang masih dihuni puak pagan yang mengamalkan sihir dan menyembah dewa hutan. 

Di Sweden dan Norway mereka ada satu undang-undang yang membenarkan seseorang untuk mengembara dan tidur di mana sahaja dipanggil allemansrätten dan di Finland aktiviti yang sama dipanggil jokamiehenoikeus bermaksud "kebebasan setiap insan" yang mana anda boleh mengembara dengan berjalan, naik basikal atau boat, berkhemah tak kira atas tanah siapa pun sekurang-kurangnya sehari bahkan petik bunga dan buah di situ dengan syarat anda berada jauh dan tidak ganggu rumah tuan tanah disamping tidak buang sampah sarap merata-rata. Hebatkan budaya mereka?

Bermula dengan mimpi aneh apabila mereka tumpang berteduh di sebuah rumah usang yang ada berhala dan penuh runes (simbol sihir purba dari negara Viking), hingga mereka mula diserang raksasa yang menyangkut mayat pada pokok dan merobek isi perut mangsanya. Bagi yang terpilih pula si dewa akan dilorekkan rune dibadan untuk menjadi penyembahnya untuk tinggal di hutan itu dibawah pengawasannya. Dan dalam 4 orang sahabat ini, Luke telah dipilih kerana dia masih berduka akibat diburu rasa bersalah terhadap kematian Rob. Dan itulah janji si dewa, para penyembahnya perlu tinggal di hutan tanpa sebarang duka lara lagi. 

Semua persoalan ini terjawab apabila Luke akhirnya ditangkap oleh penghuni-penghuni hutan itu yang memberitahu bahawa mereka adalah penyembah Jötunn, makhluk gergasi yang merupakan anak haram kepada tuhan Loki. Mereka kononnya dianugerahkan usia yang panjang oleh Jötunn. 

Secara keseluruhan filem ini menarik, CGI juga terbaik, begitu juga kemasan dan perincian dalam babak cemas, pembawaan emosi, serta elemen seram dan gore dan ilmu hitam. Saya percaya ianya lebih menyeramkan jika membaca karya asal dalam versi novel tulisan Adam Nevill. 

Walaupun kisah beberapa orang sahabat tersesat dalam hutan dan terdampar di rumah buruk seterusnya diserang entiti mengerikan adalah idea lama. The Ritual berjaya membawakan nafas baru dalam genre ini. Sesuai untuk tontonan keluarga.

3.5/5

Sabtu, 25 November 2017

PENGABDI SETAN (2017)


Filem yang diadtaptasi semula dari sebuah filem seram kultus Indonesia (1980) yang perlu anda tonton walaupun ulasan dari pandangan peribadi saya ini hanyalah biasa-biasa sahaja. Bagi pengemar filem hantu dan seram sejak kanak-kanak, mungkin persembahan Joko Anwar belum cukup angker pada pengalaman saya. Pengabdi Setan yang asal punyai aspek-aspek tulen dan penceritaan unik walaupun ada sedikit pengaruh Beyond The Door (1974), Phantasm (1979) dan ia dikenang sebagai pemula kepada unsur kebatinan Islami dan rukyah dalam filem Indonesia yang sebelumnya lebih kepada kepercayaan Kristian.

Pengabdi Setan 2017 benar-benar didokong oleh si mati Mawarni Suwono seorang bekas penyanyi yang terlibat dengan 'satanic cult' ala Crowley selepas berhasrat untuk mendapatkan zuriat. Sedangkan dalam versi asal dibawa oleh pembantu rumah mereka. Walaupun tidak diceritakan dengan jelas, naluri anaknya Toni percaya ibunya Mawarni terlibat dengan upacara selingkuh setan atau 'satanic orgy' dengan pemuja-pemuja setan yang sering hadir disetiap persembahan nyanyian ibunya. Maklumat-maklumat tentang kegiatan diperolehi oleh rakan neneknya, Budiman yang juga penulis kisah-kisah seram dalam sebuah majalah (lebih kurang macam Variasari). Walaupun Toni, Rini (anak sulung Mawarni) pada mulanya kurang percaya dengan cerita Budiman dalam majalah itu, mereka mula ambil serius apabila peristiwa-peristiwa lebih menyeramkan berlaku apabila Mawarni mati. Seterusnya nenek mereka pula mati dalam telaga. Dan kekasih Rini, Hendra turut terbunuh dalam perjalanan kembali untuk membawa perkhabaran dari Budiman tentang status Ian (adik Mawarni). Pengunaan kamera aksi, sudah dijangka untuk babak kemalangan ini.



Filem ini mempunyai sinematografi yang baik. Atmosfera suram dan muram dan ngeri juga berjaya dibangunkan serta dikembangkan. Rasanya dari segi pakaian, kenderaan dan muzik, suasana yang digambarkan adalah sekitar awal 80-an. Runut bunyi juga sesuai dan kemas. Beberapa aspek sosial sedikit sebanyak cuba ditonjolkan, mungkin untuk berlaku adil misalnya; walaupun keluarga Mawarni jahil agama mereka menghormati imam, terbuka untuk bercakap hal agama dan turut mengikut upacaya keagamaan setempat seperti tahlilan arwah. Saya kesan Joko Anwar cuba membawa perbahasan paranormal dalam filem ini dalam watak Imam dengan dialog " yang kembali bukan ibumu tetapi sesuatu yang lain", manakala Hendra berkata "walaupun anak ustaz, aku berbeza pandangan, sebelum wujud agama dan jin, ada sesuatu yang lain", manakala suami Mawarni (lakonan Bront Palarae), Budiman pula percaya pada roh-roh yang kembali termasuk nenek Rini yang kononnya datang kembali dari mati untuk membantu keluarganya dari digangu setan. Babak akhir terlihat di cermin 'hantu' nenek sedang bertarung menutup pintu yang sedang dirempuh mayat-mayat hidup (zombie).

Ok, sepanjang menonton filem ini saya terfikir mungkin juga Joko Anwar sangat mengkagumi dan menekuni karya-karya terkini James Wan dalam menghidupkan watak biarawati, Annabelle, pasangan The Warrens yang diolah semula dalam acuan nusantara. Ia tidak terhenti disitu, cuba lihat pemilihan rumah agam, gaya-hidup Americanized (sarapan pagi barat, tidur pakai seragam, sudah uzur pun pakai gaun putih,) sedangkan mereka bukan orang kaya, tinggal dihujung kampung bersebelahan tanah perkuburan dan pakai air telaga. Lebih kurang The Conjuring versi Asia.

Jika anda biasa dengan filem-filem satanic cult seperti The Lords of Salem (arahan Rob Zombie), (ambil perhatian kenapa pemuja setan yang datang berhimpun depan rumah mereka untuk menjemput Ian (anak keempat Mawarni) dengan pakai kot hitam dan payung hitam? - tipikal imej kumpulan penyembah setan di Barat, diadun dengan zombie bangun menyerang rumah dan seperti Pak Imam terbunuh kerana secara kebetulan dia sunyi dan bermalam di rumah mereka. Ini semua plot-plot ketandusan idea.

Jangan jadikan ulasan ini spoiler untuk anda menontonnya, anda masih boleh menghargai nilai seni dan hiburan didalamnya. Ketika jalan keluar dari pawagam, kedengaran beberapa orang gadis-gadis dah bimbang untuk ke tandas kolej seorang diri malam ini....

5.5/10 

Sabtu, 28 Oktober 2017

A GIRL WALKS HOME ALONE AT NIGHT (2014)


Filem ini unik, susah nak dilabelkan produksi ini. Ia filem Iran dari Amerika.. haha! Apa ni? Entah la. Beginilah, filem genre pontianak ini berlangsung di Iran dengan mengunakan bahasa Parsi dan hanya dibintangi 5 orang aktor utama. Arash dilakonkan oleh Arash Marandi seorang tukang kebun yang rajin dan hidup bersama bapanya Hussein, merupakan seorang penagih heroin tegar. Akibat bapanya banyak berhutang dengan pusher bernama Sayed. Kereta antik milik Arash telah dirampas Sayed.

Suatu hari Arash telah mencuri subang milik majikannya dan berhenti kerja. Dan masa yang sama, setiap malam di pekan mereka berkeliaran seorang gadis pontianak mencari mangsanya. Namun gadis ini sering memilih mangsa dari kalangan kutu rayau dan penjenayah. Dan antara mangsanya adalah Sayed yang dijumpanya ketika melanggan pelacur. Terbunuhnya Sayed, membuatkan Arash mendapat tuah kerana berada ditempat kejadian. Selain dapat kembali kereta antiknya, Arash turut mengambil duit dan dadah tinggalan Sayed.

Suatu malam Arash keluar berfoya-foya ke parti helloween di kelab malam. Dia dipaksa untuk mengambil pil khayal oleh bekas majikannya. Dalam perjalanan pulang, Arash bertembung dengan si Pontianak yang sedang bersiar-siar dengan skateboard nya. Ya! Skateboard. Bibit-bibit cinta mula berputik, si Pontianak membawa Arash kembali ke rumahnya, mereka pun bercengkerama dalam buaian lagu-lagu dari koleksi LP Pontianak itu. Ya, dia sukakan fesyen dan muzik.

Kisah ini pendek sahaja, disudahi dengan Arash akhirnya bertengkar dengan ayahnya. Setelah diberi wang dan dadah, Hussein keluar dan melanggan pelacur. Ketika itulah datang si Pontianak membunuh Hussein. Setelah mendapat tahu ayahnya mati, Arash mengajak si Pontianak lari ke tempat lain untuk membina hidup baru. Akan tetapi kucing kesayangan dia dan ayahnya tiba-tiba muncul dalam rumah si Pontianak, tahulah Arash bahawa pembunuhan ayahnya ada kaitan dengan gadis itu. Bagaimanapun dia tetap meneruskan hajatnya untuk bersama Pontianak itu. Kisah ini tamat begitu sahaja.

Penulis dan pengarah filem ini, Ana Lily Amirpour

Dari segi filem baget rendah, cinematografi-nya sangat bagus dan mereka bijak memilih untuk menyunting filem ini dalam hitam putih. Ia menghasilkan atmosfera goth dan menyelamatkan banyak visual yang mungkin kantoi jika berwarna terutama babak berdarah. Perubahan plot-plot sangat lembab dan mungkin anda akan bosan menanti satu-satu babak berakhir. 

Landskap yang dipamerkan dalam filem memberi saya tanggapan berbeza tentang Tehran. Kawasan perumahan mereka bersih, dengan fesyen, runut bunyi, sosio-budaya mereka kelihatan sangat terbuka, mirip Tel Aviv pun ada?! Jangan terkejut antara penerbit filem ini adalah Elijah Wood.

Syiah dan Yahudi memang ada hubungan mesra ya….

Bagaimanapun jika diperincikan jalan ceritanya, ditambah aksinya, diberi kesan khas dan baget yang besar. Saya rasa ia boleh berdiri sebaris filem From Dusk Till Dawn arahan Robert Rodriguez.

4/10

Ahad, 10 September 2017

BASTILLE DAY (2016)


Filem-filem yang menongkah arus seperti Body of Lies, Shooter, walaupun digarap dengan aksi yang baik, merungkai konspirasi dan membawa realiti, akan mendapat sambutan suram tidak seperti lambakan filem penipu garapan iluminati. Saya menonton filem ini kerana Idris Elba tanpa mengambil tahu apa jalan ceritanya. Sebenarnya saya kagum bila mengetahui dia sedang berlatih walaupun telah berusia 44 tahun demi mengejar impiannya untuk menjadi kickboxer professional. Idris turut turun ke Thailand untuk berlatih di gym bersama Buakaw Banchamek. Majalah Time 2016 menyenaraikan Idris Elba sebagai diantara 100 orang paling berpengaruh di dunia.

Penulis dan pengarah, James Watkins berjaya lari dari stereotype dengan menjadikan muslim sebagai kambing hitam dalam semua filem bergenre aksi dan patriotik barat. Filem ini mengisahkan serangan di kota Paris diambang sambutan Hari Bastille yang didalangi oleh anggota UTK Perancis sendiri. Serangan yang seolah-olah dilakukan penganas itu bertujuan untuk menimbulkan rusuhan agama serta perkauman bagi memudahkan mereka menjalankan rompakan ke atas bank negara Perancis dikala semua aspek keselamatan tertumpu pada rusuhan.

Sebagai kumpulan polis UTK mudah untuk mereka memfabrikasi jalan cerita dengan mengebom lokasi strategik dan membuat pengakuan palsu, namun perancangan mereka sedikit tersasar ke kawasan orang awam apabila beg berisi bom telah diragut oleh seorang penyeluk saku. Dengan mengunakan medium ancaman video ala V for Vendetta, klip video polis memukul orang awam yang dibuat polis sendiri, hastags di media sosial, membuat serbuan ke masjid dan meletakkan sendiri bahan peledak, menangkap dan memukul orang Islam, dengan pantas membawa api rusuhan meletus di seluruh bandar. Disinilah munculnya Idris Elba sebagai agen CIA bersama penyeluk saku yang ditangkapnya bergabung tenaga bagi menumpaskan sekumpulan penyamun yang disangka ‘terrorist’.

Mungkin ada garapan yang mirip Die Hard III, London has Fallen,The Recruit, namun jalan cerita Bastille Day ini berani membawa teori tersendiri walaupun akhirnya USA tetap juga wiranya.

IT (2017)


Filem yang membuatkan saya teringatkan Jaideep Patel, gitaris BLOOD LEGION ketika kami berkerja kilang yang sama suatu ketika dahulu. Sebagai metalhead perbualan kami dari hari ke hari sudah tentu dalam lingkungan dunia kami, termasuklah filem seram. Jaideep mengaku, IT adalah filem yang paling dia takut. Apa yang membuatkan saya terkenang hingga hari ini, reaksi wajah dia semasa menceritakan tentang Pennywise, dia benar-benar takut. Haha!

Siapa yang melalui zaman kanak-kanak yang dihantui IT, 1990 harus menonton filem ini kerana ia sesekali tidak akan mengecewakan anda. Saya puji pengarah, Any Muschietti, dan aktor-aktor kanak-kanak yang menjayakan watak-watak mereka dan juga adaptasi semula jalan cerita oleh Chase Palmer, Fukunaga dan Dauberman. Karya mereka sangat teliti, peristiwa IT digambarkan berlaku di pekan Derry sekitar 1988-1989 yang mana Pennywise akan menyerang (makan) kanak-kanak setiap kali genap 27 tahun. Skrip yang dibawa watak-watak kanak-kanak sangat bagus dan mereka begitu menjiwai plot-plot komedi, cemas, romantis dan sedih. IT sebuah filem yang sempurna. Ini kerana saya menonton di pawagam yang dihadiri kebanyakannya gadis-gadis bersama pakwe yang tidak pernah menonton IT yang asal (saya tahu sebab mereka berceloteh) dan mereka begitu menghayati filem ini. Ada yang takut sampai menangis, ada yang ketawa terbahak-bahak bila babak lucu dan ada yang gembira terutama saat romantik Ben ingin mengurat Beverly. 

Saya masih tidak pasti sejak dari filem yang asal kerana tidak membaca novel It. Adakah Beverly itu mangsa rogol ayahnya? Bagi yang tidak tahu, IT diadaptasi dari novel Stephen King (1986).


Tidak perlulah saya sebut spoiler alert namun saya kagum produksi New Line Cinema yang gigih menyelit butir-butir kecil bagi menghidupkan suasana 80-an dalam setiap minit seperti era penemuan penyakit Aids, era kemunculan New Kids On The Block dan irama Rap, kemuncak Micheal Jackson, jam tangan kalkulator, BMX old school, filem Batman (Micheal Keaton) dan Lethal Weapon di pawangam, seluar dalam scuba dan sebagainya.

CGI yang digunakan juga mahal, ketika Pennywise keluar dari projector hampir semua orang tersentak dari kerusi. Jika menonton di pawangam yang ramai begitu pun boleh gugur jantung, apatah lagi jika menonton seorang diri. 

Harus tonton! 
Ini baru episode pertama. 

10/10

Selasa, 25 Julai 2017

MY FATHER DIE (2016)



Filem yang ditulis dan diarahkan oleh anak ‘James Bond’, iaitu Sean Brosnan ini akan jadi kult beberapa tahun ke hadapan. Pierce Brosnan sendiri gemar genre bertema permasalahan sosial. Lihat saja filem “Shattered” (2007) yang digarap beliau dengan konflik keluarga sebegitu gelap hingga memberi inspirasi untuk saya menulis lagu mengunakan judul yang sama dalam album AU REVOIR “Engine of my Heart”. Keluarga Brosnan berjaya membawa tema realiti kehidupan yang pincang untuk dibahas melalui layar perak. Dan “My Father Die” adalah filem arahan Sean yang pertama.

My Father Die mengisahkan kehidupan Ivan (Gary Stretch), seorang ayah pendera dan sociopath biker, dan kasih sayang seorang adik, Asher (Joe Anderson) yang ingin menuntut bela atas kematian abangnya. Chester telah dibunuh oleh Ivan setelah kantoi mengurat girlfriend ayahnya itu. Manakala Asher dipukul hingga pekak dan menjadi bisu. Ivan disumbat ke penjara atas jenayah itu.

10 tahun kemudian, Ivan dibebaskan kerana keadaan penjara yang semakin sesak. Asher yang mendapat tahu hal itu dengan dendam yang membara keluar menjejak ayahnya untuk dibunuh. Malangnya, nyawa Ivan bukan mudah untuk ditamatkan. Asher pula menjadi buruan Ivan sehinggalah Nana, bekas awek ayahnya dulu turut menjadi mangsa.

Filem ini dinaratif dengan puitis oleh suara kanak-kanak, disunting dengan visual yang hebat member kesan yang mendalam pada watak dan plot-plot ceritanya. 

Harus tonton tapi ingat ini filem orang dewasa.

Ahad, 23 Julai 2017

HARDCORE HENRY (2016)



Trailer filem Russia ini tular pada tahun lalu. Kesan khas yang digarap juga sangat mengkagumkan. Namun bagi seorang yang tidak gemar bermain video game skirmish dan tektikal, saya akui memang pening dan serabut bila tiba babak-babak bertempur dari berbagai sudut itu. Filem ini disunting dengan persektif dari seorang individu, bermaksud apa yang Henry lihat itulah keseluruhan filem ini. 

Apa yang menarik filem ini dirakamkan sepenuhnya dengan mengunakan kamera GoPro yang dilekatkan khas pada topeng ciptaan Sergey Valyaev. Potongan rakaman tadi kemudiannya disunting dengan mengunakan software bernama Blender. Dan pembikinan Hardcore Hendry ini dibiayai oleh Indiegogo bagi mempromosi GoPro Hero 3.

Hardcore Henry ditulis, diterbitkan bersama, diarahkan Ilya Naishuller dari kumpulan indie rock BITING ELBOWS. Bahkan Hardcore Henry ini diinspirasikan dari klip video BITING ELBOWS berjudul "Bad Motherfucker" dan "The Stampede".

Ringkasan kisahnya begini, Henry adalah cyborg satu agensi (tentera upahan) yang dimiliki Akan (Danila Kozlovsky). Henry sebagai cyborg dimanipulasi dengan program dan memori palsu supaya dia dedikasi pada ujikaji serta tugasnya. Henry turut terpedaya apabila beranggapan Estelle (Haley Bennett) saintis yang membina tubuh badan cybernatik-nya itu adalah isterinya. 

Jika anda suka aksi tanpa henti dengan jalan cerita yang ringkas. Ini sesuatu yang anda cari.


Isnin, 24 April 2017

JERUZALEM (2015)


Seingat saya belum ada lagi filem dari Israel yang saya tonton kecuali karya-karya muzik dari sana yang diakui memiliki keunikan dan kualiti. Ini bolehlah dikategorikan dalam genre seram, pasca-kiamat. Satu tema yang begitu mendapat sambutan pembikin filem sekarang ini. Filem ini saya kira berpusat dari idea yang dipetik dari Talmud (Eruvin 19a) bermaksud “Adanya tiga pintu ke neraka, satu di padang pasir, satu di lautan dan satu di Jerusalem”.

Bagi yang mengambil karya ini sebagai hasil seni tanpa sebarang sentimen lain. Bolehlah menganggap penulis dan penerbit Jeruzalem iaitu Doron Paz dan Yoav Paz cuba membawa mesej majmuk dalam filem ini walaupun ke semua aktor-aktor adalah Yahudi, mereka telah cuba membawa peranan penganut 3 agama samawi di Palestin.

Hampir keseluruhan filem boleh dikatakan ala filem Russia Hardcore Hendry, yang mana dalam Hardcore Henry mengunakan kamera GoPro: Hero sesuai dengan aksinya, manakala dalam filem JeruZalem watak utamanya Sarah Pullman mengenakan kacamata teknologi tinggi, Google Glass yang dihadiahkan ayahnya. Sarah Pullman bersama rakannya Rachel dari Amerika Syarikat merancang percutian di Tel Aviv, dan dalam perjalanan mereka berkenalan dengan Kevin, seorang remaja yang sangat berminat pada mitologi bani Israel. Tiba di sana mereka menjadi kawan rapat dan tinggal di hotel budjet milik orang Islam. Di situ mereka bersahabat pula dengan Omar. Sarah mula tertarik pada Kevin, manakala Rachel pula bercinta dengan Omar. Nak dibuat cerita kelihatan lebih logikal, digarap insiden tas tangan Sarah yang berisi kaca mata dilarikan pencuri kanak-kanak, maka terpaksalah Sarah memakai Google Glass sepanjang masa. Kelebihan penerbit sebagai rakyat Israel dimanfaatkan dengan merakamkan banyak babak-babak di tapak-tapak keagamaan dan bersejarah. Manakala sekitar Tel Aviv dipaparkan masyarakat Islam aman berniaga, solat dan juga mengemis. Omar digambarkan kaki berfoya-foya, sehingga Kevin menegur “Bukankah Muslim tak boleh minum alcohol?” ketika Omar membawa mereka ke kelab. Tentera-tentera Israel pula digambarkan bodoh dan tidak efisen. Rachel dan Sarah berkata pada Omar “Mereka nampak sopan”. Omar mengherdik “Orang Amerika terlalu naïf untuk kenal mereka ni”. Boleh tahan skripnya.

Malang nasib mereka, baru beberapa hari bercuti syaitan pun muncul dan merasuk mayat-mayat manusia. Bagaikan wabak, siapa yang kena cakar atau gigit, dia pula dirasuk. Dalam masa yang sama sejenis raksasa macam kaiju pula muncul membinasakan kota Jerusalem. Tentera Israel bertindak balas dan berperang dengan syaitan. Dari situ mahu ditonjolkan bahawa Yahudi sudah tahu tentang ini semua awal-awal lagi, sebab itulah tembok-tembok dan persediaan ketenteraan dibangunkan di Tel Aviv.

Dalam panik itu, Fauzi, tokey hotel yang mereka menginap itu mencadangkan mereka melarikan diri melalui gua di kuari Nabi Sulaiman. Malang sekali ketika itu juga Rachel turut dicakar syaitan. Satu persatu mereka mati dibunuh manakala Rachel bertindak membunuh diri sendiri setelah tahu dia dijangkiti. Tragisnya watak utama Sarah Pullman turut dijangkit setelah dicakar dan bertukar menjadi syaitan sebaik dia dan Kevin berjaya keluar diseberang tembok.

Babak terakhir mengambarkan berduyun-duyun syaitan terbang dan berperang dengan tentera Israel. Boleh dilihat ada juga pengaruh filem World War Z (2013) dalam Jeruzalem ini. Mungkin sambungan filem ini akan menyusul.. dan entah-entah ada Ultraman nanti lawan dengan kaiju tu? 

Walaupun CGI yang lemah, Paz bersaudara boleh dikatakan hebat kerana menghasilkan filem ini dengan budget bawah USD200K sahaja.

Sabtu, 11 Mac 2017

LOGAN (2017)



Saga Wolverine berakhir dengan filem ini (mungkin.. tiada kepastian dalam Hollywood, semuanya wang), Hugh Jackman memaklumkan beliau tidak berminat lagi membawa watak Wolverine dan mencadangkan Shah Rukh Khan sebagai pelakon yang paling layak mengantikan tempatnya. (bolehlah kita lihat Wolverine menari dan menangis sampai keluar hingus lepas ni).

Banyak watak adiwira dimatikan  dalam Hollywood seperti Batman, Superman, Optimus Prime, dan dihidupkan semula dengan nafas baru atau mengikut skrip asal dari komik-komik mereka.

Logan mengisahkan Wolverine yang telah dimamah usia, tubuhnya tidak lagi berfungsi seperti dahulu akibat besi adamantium dalam tulangnya mula meracuni sistem penyembuhan tubuhnya. Logan, Professor X yang kini sangat uzur dan diserang sawan, hidup bersembunyi di sebuah kawasan sempadan Mexico dengan ditemani Caliban, seorang mutan yang diupah untuk menjejaki Professor X namun bertindak melarikan diri dan tinggal bersama mereka. Logan menyara hidup dengan memandu limo sewa atau chauffeur. Dunia ketika itu sudah tidak lagi gusar tentang mutasi kerana X-Men sudah berkubur dan tiada lagi mutan lahir sejak 25 tahun lalu.

Babak aksi bermula apabila suatu hari seorang jururawat bernama Gabriela dan seorang budak perempuan bernama Laura dari syarikat penyelidikan Alkali-Transigen memintanya untuk membawa mereka ke satu tempat dipanggil Eden di North Dakota. (dah macam filem-filem post-apocaplyse zombie dah.. semua nak lari ke Eden). Bagaimanapun mereka telah dijejaki oleh pasukan keselamatan Alkali-Transigen, The Reavers yang diketuai oleh Donald Pierce (peminat komik Wolverine). Gabriela terbunuh dan The Reavers menyerang tempat persembunyian Wolverine. Dari situ Wolverine sedar ada sesuatu yang tak kena pada Laura apabila dia bertarung dengan mengunakan kuku dari adamantium, malah turut mempunyai kuku kaki. Menurut Professor X, Wolverine spesis betina memang ada kuku kaki dan Laura adalah anaknya.

Mereka berjaya melarikan diri namun Caliban tertangkap dan digunakan untuk menjejaki mereka. Dari video yang ditinggalkan dalam telefon Gabriela, Wolverine dan Proffesor X mendapat tahu yang Laura adalah bayi tabung uji dari DNA Logan melalui projek X-23. Setelah projek X-24 berjaya Alkali Transigen mahu melupuskan kanak-kanak dari projek X-23 menyebabkan Gabriela melarikan diri bersama Laura dan membebaskan kanak-kanak lain. Dari komik-komik vintage X-Men, Gabriela dan Laura percaya ada satu kawasan perlindungan mutan yang dipanggil Eden.

Banyak babak-babak dan plot digarap masuk supaya dapat memberi sedikit pertarungan, jenaka dan emosional untuk membentuk karakter akhir Wolverine dan Professor X yang daif, kesunyian dan pessimis. 


Professor X akhirnya dibunuh oleh X-24 yang merupakan klon Wolverine namun tanpa kebolehan penyembuhan. Bagaimanapun Dr. Rice dari Alkali telah berjaya mencipta satu serum bagi mempercepatkan pemulihan sel tubuhnya. Akhir babak, Laura berjaya juga sampai ke koordinat yang ditulis dalam komik itu dan bertemu dengan rakan-rakan mutan yang lain. Namun mereka telah diserang oleh The Reavers ketika cuba untuk menyeberang sempadan. Wolverine yang sempat menghidu pergerakan The Reavers dan Dr. Rice terpaksa mengambil semua serum (overdozed) yang ditinggalkan oleh kanak-kanak mutan tersebut dan membuat serangan nekad. Kamikaze lah kiranya!. Dia memang mengharapkan kematian. Namun serum itu hanya bertahan untuk tempoh yang pendek. Wolverine berjaya menembak mati Dr. Rice namun dia pula dikerjakan oleh X-24 hingga mati. X-24 mati dibunuh Laura dengan mengunakan peluru adamantium yang diambil dari Wolverine. (Wolverine memang berhajat untuk membunuh diri sendiri). Laura dan rakan-rakannya menguburkan Wolverine ditepi tasik dengan membacakan talkin, dari dialog filem koboi yang ditontonnya bersama Professor X. Nisan tanda salib dikubur Wolverine juga terbalikkan menjadi huruf X oleh Laura (jika filem Malaysia dah jadi kontroversi ni..). Logan adalah diantara filem adiwira yang mempunyai plot emosi yang luar biasa walaupun jalan ceritanya biasa-biasa sahaja. Antara filem yang wajar ditonton untuk 2017. Penamat karier Hugh sebagai Wolverine selama 17 tahun. 

8/10
(p/s: sepatutnya ENTOMBED "Wolverine Blues" dijadikan runut bunyi..haha)

Rabu, 23 November 2016

THE WARRIORS GATE (2016)


Saya bawa anak angkat saya menonton filem ini sempena cuti sekolah yang lalu. Dia sendiri yang memilihnya. Selesai menonton filem ini saya lihat wajahnya girang, puas hati dengan pilihannya. Lebih lagi watak budak hero dalam filem ini rapat dengan jiwanya. Seorang yang sering dibuli di sekolah, anak kepada ibu tunggal yang ada masalah kewangan, gemar video games dan semestinya sering impikan keadaan akan berubah menjadi baik suatu hari nanti. Filem ini bukan sahaja hiburan, tapi fantasi yang diangankan oleh kanak-kanak sepertinya.

Filem kanak-kanak persis Disney yang diterbitkan sempena cuti sekolah ini adalah terbitan EuropaCorp, dengan jalan cerita dan skrip oleh Luc Besson (pengarah tersohor genre sci-fi) adalah menghiburkan dengan dialog-dialog yang lucu dan selamber. Mengisahkan seorang remaja, Jack (Uriah Shelton) yang merupakan penggila games pertarungan dan juga pekerja sambilan sebuah kedai antik. Suatu malam, melalui bakul purba pemberian taukey nya, seorang lelaki dengan pakaian panglima (Mark Chao) tiba-tiba muncul bersama seorang gadis ala diva (Ni Ni) meminta pertolongan. Panglima itu mendakwa gadis itu adalah puteri China yang sedang dilindunginya dari pemberontak yang diketuai oleh Arun the Cruel ( Bautista). Maka jadilah kisah romantis, Jack menjaga si puteri tanpa pengetahuan ibunya namun pihak pemberontak berjaya menculiknya di dibawa kembali ke dinasti purba untuk menjadi maharani Arun. Jack mempertaruhkan dirinya dengan turut terjun ke dalam bakul ajaib bagi bergabung dengan satu-satunya pahlawan maharaja dan seorang dukun (Francis Ng) untuk menyelamatkan Puteri Su Lin. Pengembaraan pun bermula. Jack berjaya menyelamatkan Su Lin bahkan dapat membunuh Arun dengan tangannya sendiri setelah belajar beberapa langkah kung fu semalaman. (ini memang tak logik tapi yalah fantasi kanak-kanak kan? Layan ja laa).

Dengan bantuan dukun, Jack berjaya kembali ke tahun 2016, walaupun sedih kerana terpaksa meninggalkan puteri yang jelita, Jack akhirnya mengabadikan pengembaraannya dengan memprogramkan sebuah video game berjudul Warrior’s Gate dan berjaya menjualnya kepada sebuah syarikat besar disaat-saat rumah mereka hampir dilelong. Ibu Jack sangat gembira, tapi Jack lagilah gembira bila suatu hari tuan Puteri Su Lin datang dari jauh semata-mata mahu makan ais krim bersamanya. 

And they live happily ever after…

Boleh bagi anak-anak tonton. Lucu dan GCI kira pun OK lah… Jalan cerita ringkas dan tipikal.

Ahad, 13 November 2016

DEATHGASM (2015)

Poster yang reject lagi ganas. Lucah.

Produk dari New Zealand ini boleh dikatakan filem komedi remaja yang sempoi walaupun idea dan jalan ceritanya hanya kitar semula. Namun penulis selaku pengarahnya telah memperincikan banyak aspek menjadikan ia mengatasi filem ‘heavy metal’ yang pernah dihasilkan sebelum ini.

OK, cuba ambil Pick of Destiny (2006) untuk dialog jenakanya, ambil Lord of Salem (2012) untuk jalan ceritanya, dan gabungkan Brain Dead (1992) untuk aksi ganas/ngeri dan make-up nya. Walla! Anda dapat Deathgasm!

Mengisahkan seorang remaja anak yatim bernama Brodie yang diberi hak penjagaan kepada bapa saudaranya setelah ibunya dimasukkan ke institut pemulihan mental. Brodie yang meminati muzik black/death metal mengalami kesukaran apabila sering dibuli oleh sepupunya yang tampan dan sering di dakwah untuk kembali kepada ajaran Kristian oleh pak ciknya.

Hidup Brodie berubah apabila mengenali seorang remaja samseng yang juga pengemar muzik black metal disebuah kedai LP. Mereka sama-sama memilih LP Autopsy ketika itu. Setelah sumpah setia ‘Brotherhood of Steel’, mereka pun menubuhkan band death metal bernama Deathgasm atas cadangan Zakk. Dalam masa yang sama Brodie menyimpan perasaan pada seorang gadis di bernama Medina yang merupakan rakan sekelas di sekolahnya.

Medina dan kapak nya

Kisah menjadi menari apabila pada suatu hari Zakk mengajak Brodie memecah masuk rumah seorang pemuzik metal old school bernama Daggers. Dari situlah mereka mendapat komposisi lagu disebuah kertas using yang dipanggil “The Black Hymn”. Tanpa pengetahuan mereka yang lagu tersebut digunakan untuk menyeru setan. Deathgasm pun mula memainkan lagu tersebut dalam sesi latihan mereka. Mereka juga tidak tahu dalam masa yang sama ada sebuah organisasi ajaran gelap turut giat mencari kertas using itu.

Dalam kelas Bahasa Latin purba, Brodie Berjaya menterjemahkan lirik The Black Hymn yang dikatakan mampu memberi kuasa dan benda yang dihajati. Setelah dibuli dan dipukul oleh sepupunya serta dilarang untuk berkawan dengan Medina, Brodie mengambil keputusan untuk memainkan The Black Hymn hingga akhirnya satu pecan Greypoint kerasukan (tapi tak semua? Tak tahu pulak kenapa ada yang tak kena sampuk?) Bermula pada malam itu orang ramai mula berbunuhan sesama sendiri. Brodie dan Zakk mula mencari jalan penyelesaian dengan bertanya kepada seorang tukang tilik bernama Abigail yang turut terbunuh selepas itu. Menurut Abigail, untuk menghentikan huru-hara dan kedatangan raja setan, Aeloth adalah dengan cara memainkan semula riff-riff The Black Hymn dengan cara mengundur sebelum pukul 3 pagi.

Namun Brodie gagal menyebabkan Aeloth merasuk dalam badan Zakk manakala ahli kumpulan Deathgasm yang lain terbunuh kecuali Medina. Akhirnya dalam keadaan sedar dan terasuk, Zakk meminta agar Brodie mengelar lehernya agar dia tidak dikuasai Aeloth.

Beberapa bulan selepas itu, Brodie dan Medina telah menjadi pasangan kekasih. Babak terakhir menyaksikan Zakk berinteraksi dengan Brodie dari alam barzakh melalui piring hitam. Zakk memberitahu alam roh sangat menyeronokkan kerana dapat bertemu Ronnie James Dio, Kurt Kobain, Jon Bonham dan paling seronok dapat jumpa the true..true MAYHEM. Haha!

Filem ini dihiasi dengan seleksi runut bunyi oleh BULLETBELT, SKULL FIST, PATHOLOGY, NUSLAUGTHER, MIDNIGHT, GOATESQUE, EMPEROR dan banyak lagi. Dan katanya ia diilhamkan dari kisah hidup sebenar pengarahnya Jason Lei Howden yang merupakan remaja bermasalah dan peminat black metal ketika remaja.

Saya tonton melalui youtube aja…

4/5 bintang. (sebab berani guna corpse paint, sebut banyak nama band black metal dan guna lagu mereka. Hahaha!)

Khamis, 11 Ogos 2016

THE NICE GUYS (2016)


Poster dengan rekaan vintage menarik minat saya untuk melihatnya, tambahan saya tidak pernah melihat Russell Crowe berlakon watak unik yang tidak mempamerkan susuk tubuh sasa, maskular dalam filem “buddy” komedi ini, walaupun beliau gemar membelasah orang tanpa belas kasihan. Saya suka filem-filem suasana retro Hollywood kerana mereka hebat dalam memperincikan prop, pakaian, kenderaan dan kesan-kesan khas termasuklah runut bunyi yang diselitkan.

Filem ini digambarkan berlaku di Los Angeles pada tahun 1977 dimana industri pornografi sedang berkembang pesat dan menjadi rebutan golongan kapitalis dan politikus. Ia bermula dengan babak kematian pelakon porno, Misty Mountains yang berkaitan dengan kehilangan seorang gadis bernama Amelia. Penyiasat persendirian, Holland March (Ryan Gosling) diupah oleh seorang wanita yang mendakwa terlihat Misty setelah insiden yang meragut nyawanya itu. Melalui siasatan itu, Holland mula menjejak Amelia kerana dia ada hubungkait dengan Misty dalam sebuah filem porno. Manakala Jack Healy (Russell Crowe) pula diupah oleh Amelia untuk menyiasat dan membelasah orang yang mengekorinya, iaitu Holland. Setelah menjalankan tugasannya, Healy telah diserang di rumah oleh 2 orang hitman menyebabkan dia sedar, Amelia terlibat dalam konspirasi yang lebih besar dan bergabung dengan Holland untuk menyelesaikan kes itu. Maka, jadilah ia kisah 2 rakan penyiasat penuh ragam lucu dan retro. Tetapi Russell Crowe tidaklah selucu mana pun, kerana bahagian bertarung memang kebolehannya.

Healy, Holland dan tambahan watak Holly, anak perempuan kepada Holland menjalankan siasatan untuk menjejak Amelia dan akhirnya mendedahkan yang Amelia merupakan anak perempuan kepada Judith Kutner, seorang pengawai tertinggi dalam US Department of Justice. Judith Kutner menyatakan beliau seorang yang tegas membenteras industri filem porno oleh kerana itu anaknya mengalami delusi, dan apabila terbabit dalam filem porno, Amelia menjadi paranoid dengan menyangka ibunya mengupah orang untuk membunuhnya. Judith seterusnya mengupah pula Healy dan Holland untuk menjejaki Amelia.

Setelah berjaya menjumpai Amelia, Healy dan Holland akhirnya mendapat tahu Judith Kutner memang menghantar pembunuh-pembunuh upahan untuk membunuh anaknya sendiri kerana beliau adalah antara dalang yang menguasai industri pornografi Detroit. Manakala Amelia sebenarnya membuat sebuah filem/dokumentari mengenai pornografi untuk mendedahkan jenayah ibunya kepada awam melalui satu acara auto show. Bagi Amelia, polis dan media yang dikuasai kerajaan tidak akan menyebelahi dirinya.

Filem ini agak menarik jalan ceritanya. Walaupun ada banyak watak kanak-kanak dan mesejnya positif dan tiada adegan seks. Ada juga babak memperlihatkan Holly menonton porno bersama orang dewasa, beberapa dialog kotor dan suasana yang kurang sesuai bagi kanak-kanak.

3/5

Isnin, 8 Ogos 2016

LIGHTS OUT (2016)


Mangkok manalah yang kata ni filem James Wan dan lebih menakutkan dari Conjuring 2? James Wan hanyalah salah seorang dari pemberi modal kepada terhasilnya filem ini setelah melihat sample (short film) dari David F. Sandberg. Ini adalah hasil kerja perdana dilayar perak yang pertama oleh Sandberg.

Mengisahkan seorang budak perempuan bernama Diana yang mempunyai penyakit kulit aneh dan berkemampuan memanipulasi fikiran orang lain. Dia telah dimasukkan ke sebuah pusat pemulihan mental dan memanipulasi Sophie agar menganggap mereka sebagai sahabat karib. Namun Diana mula cemburu apabila melihat Sophie semakin pulih, tetapi tragedi telah menimpa Diana dalam satu proses rawatan arus elektrik menyebabkan Diana mati dan menjadi hantu. Namun peliknya Diana memerlukan Sophie menjadi gila dan menganggap Diana masih hidup sebagai hubungan untuk dia kembali ke dunia. Jadi hantu Diana akan menghalang Sophie mengambil ubat PSY agar dia dapat mendampingnya, dimasa sedar dan normal Sophie meminta agar Diana tidak menganggu keluarganya.

Tapi itulah bodohnya, yang hantu Diana ni dok pi kacau anak dan membunuh suami Sophie apabila mereka mula mempersoalkan kewarasan dan watak Diana yang sering diucapkan Sophie. Ketika minit tersebut, saya dah tahu Sophie mesti akan bunuh diri atau minta orang bunuh dia untuk putuskan data-connection Diana bila dia mula kacau anak-anaknya. Hahaha! Memang betul pun!


Cerita ini memang pendek gila. Mudah dibaca plot-plot nya, kesan khas (lampu padam ada kelibat) pun telah banyak orang troll kat youtube malah dalam iklan maxis pun ada. Tetapi dalam pawagan memang ramai lagi yang jerit-jerit ketakutan walaupun dah tahu trick ni. Rebecca (Teresa Palmer) anak sulung Sophie memang hot macam biasalah, syok tengok cara dia berpakaian, sentiasa dengan boots dan anda tentu perasan dalam bilik dia ada poster kumpulan occult rock, GHOST. Adik dia, Martin (Gabriel Bateman) agak hambar sebagai budak yang selalu kena kacau hantu. Mungkin jika adik perempuan lebih sesuai. Conjuring 2 sememangnya lebih kuat garapan dari Lights Out, tetapi pengemar filem seram begitu menyokong karya yang ada nama James Wan hingga mampu mengaut keuntungan mencecah USD87 juta walaupun budjet filem ini hanya USD5 juta.

Go Teresa Palmer!
Hantu macam Freddy Krueger + Goblin + Mortiis pun ada! haha!

2/5

THE LEGEND OF TARZAN


Kisah Tarzan kali ini ada sedikit pusing supaya lebih menarik, malangnya ia tetap ditahap biasa -biasa sahaja. Dibintangi oleh aktor Sweden, Alexander Skargård sebagai John Clayton II, dari keluarga bangsawan Greystoke, beliau telah lama meninggalkan bumi Afrika dan gelarannya sebagai “Tarzan”. Clayton II kini hidup mewah di London. Kisah Tarzan sudah pun menjadi lagenda.

Bagaimanapun John Clayton II telah dijemput kembali Ke Boma, Congo oleh King Leopold untuk membuat laporan mengenai pembangunan di Congo, walaupun menolak jemputan tersebut, seorang wakil dari Amerika, iaitu Washington Williams (Samuel Jackson) telah menyakinkan John Clayton II untuk kembali ke Congo kerana difahamkan pihak Belgium masih memperhambakan penduduk Congo untuk kerja-kerja buruh kasar. Washington Williams mahu menyiasat perkara tersebut. Pihak British tidak tahu, jemputan King Leopold tersebut dipalsukan oleh Leon Rom (pegawai tentera Belgium) yang bertujuan untuk menangkap dan menyerahkan John Clayton II kepada ketua suku, Chief Mbonga yang berdendam untuk membunuhnya. Sebagai upah Chief Mbonga sanggup memberi Leon batu-batu permata yang akan digunakan oleh Leon untuk membiayai tentera upahan bagi menakluk wilayah Congo dan merampas hasil mereka. Mbonga tidak tahu hal tersebut.

Apabila sampai saja di Boma, Cayton II terpaksa berdepan tentera upahan Leon yang menyerang dan menculik isterinya. Kembali menjadi Tarzan, dia dengan bantuan Washington Williams menjejaki Leon, bertarung dengan beruk Mangani (yang telah membuangnya sebagai keluarga), Mbonga dan tentera pimpinan Leon demi menyelamatkan Congo.

Walaupun sinopsis ini dengarnya seperti menarik, ia taklah sehebat mana, kesan khas juga menjadikan aksi-aksi pertarungan dan akrobatik seperti kartun sahaja. Bagi saya Washington Williams lebih hebat dari Tarzan kerana handal dengan senjata api dan boleh juga mengejar/bersaing kudrat Tarzan walaupun baru 2 hari hidup dalam hutan Boma! Kalau dia yang lahir dan dibesarkan oleh beruk, mungkin Washington Williams adalah Super Tarzan!

2/5