Memaparkan catatan dengan label Kisah Makan Minum. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kisah Makan Minum. Papar semua catatan

Jumaat, 22 Mac 2024

MARAH PENIAGA JUAL BARANG MAHAL


Pertama sekali jangan mudah menerakakan orang...

Dalam hukum jual beli ini, kita setuju baru beli. Kita tak setuju, janganlah beli. Bila harga yang ditawarkan mahal, tanya peniaga sebab apa? Dia bagi penjelasan. Contohnya:

“Murtabak saya guna daging kijang, daging lembu wagyu, daging landak. Saya pula guna kentang russet..”

Dia pun nak untung. Tak setuju juga. Takda siapa paksa suruh beli. Kita blah dan beli di tempat lain. Ia bukan makanan asasi, bukan barang kawalan, mana-mana pasar malam, pasar Ramadan, restoran mamak pun ada.

“Aku sebagai pembeli nak protes sikit takkanlah tak boleh?”

Boleh. Sesiapa pun boleh suarakan pendapatnya. Masalahnya menghukum peniaga yang menjual barang mahal seolah-olah urus niaganya yang haram dan terus menerakakannya itu yang keterlaluan! Mari kita rujuk hadis:

1) Saiyidina `Urwah Ibn al-Ja`d al-Bariqi RA pernah diberi satu dinar oleh Rasulullah ﷺ untuk membeli seekor kambing. `Urwah kemudiannya berjaya membeli dua ekor kambing, dan menjual salah satunya dengan satu dinar, menjadikan keuntungan yang diperolehi adalah 100%! Apabila diserahkan, Baginda gembira dan mendoakan beliau dengan keberkatan. Berkat doa itu, beliau apabila berniaga di pasar, boleh menjana keuntungan sehingga 40,000 dinar! Riwayat al-Bukhari (no. 3642). Rujuk juga Fath al-Bari (5/137) oleh Ibn Hajar al-Asqalani.
 
2) Saiyidina al-Zubair bin al-`Awwam RA pernah membeli sebidang tanah di hutan dengan harga 170,000 dirham, kemudian anaknya Abdullah RA menjualnya selepas kematian al-Zubair dengan harga 1,600,000 dirham. Jumlah itu adalah 9 kali ganda! Riwayat al-Bukhari (no.3129).

Dari dua hadis ini jelas, tujuan perniagaan adalah keuntungan. Ini bertepatan dengan majoriti pandangan ulama dan juga fatwa Mufti Wilayah Persekutuan bertarikh 18 Disember 2018; “Kami cenderung kepada pendapat bahawa mengambil untung berlipat kali ganda dalam perniagaan adalah bukanlah sejenis riba dan diharuskan selagi mana tidak membawa kepada penindasan dan kezaliman. Ini kerana keuntungan itu sendiri bersifat relatif dan tidak boleh dibandingkan secara mutlak dengan harga pasaran sebelum ditolak hasil jualan itu dengan perbelanjaan yang perlu ditanggung peniaga sebelum mendapatkan keuntungan bersih”.

Seperti yang diperjelaskan tadi jika ada elemen peniaga aniaya orang. Kita perlukan bukti, bukan tunjuk foto harga mahal, provok, berpakat jatuhkan peniaga sesama muslim! Tunjukkanlah apa yang dia sudah tipu? Kalau takda bukti, jangan menuduh orang hanya kerana kita tak mampu membeli murtabak harga kayangan untuk warga kayangan! Yang sebetulnya kita sedar diri dan pakailah baju ukur badan sendiri.

Mudah sahaja urusan ini jika ada ilmu.

Wallahu’alam.

Nota kaki: Saya bkn peniaga murtabak ya...
- Ra1m1

Sabtu, 12 Februari 2022

MALAIKAT MENDOAKAN PEMINUM KOPI?

 "Barangsiapa yang meninggal dunia sedang dalam perutnya ada kopi. Maka dia masuk syurga" 

Beberapa tahun lalu tular kenyataan tersebut daripada seorang tokoh Sufi Indonesia. Hari ini ada dakwaan baharu pula daripada seorang guru Sufi di Indonesia mengatakan selagimana ada bau kopi di mulut seseorang itu, selama itulah para malaikat akan mendoakannya.

PERTAMA sekali, kata-kata ini bukan hadith, melainkan kata-kata ahli Sufi yang gemar minum kopi lalu mula mereka-reka fadhilat minum kopi untuk tujuan-tujuan tertentu. Bahkan semua hadith tentang kopi atau "qahwah" atau disebut juga sebagai "al-Bunnu" adalah PALSU dan DUSTA kerana minuman ini belum ditemui di zaman Nabi Salallahu alaihi wassalam.

Qahwah atau kopi muncul kira-kira pada kurun ke-10 hijrah, tersebar luas dalam kalangan umat Islam, minuman aneh ini dibahas dan menimbulkan perbezaan pendapat tentang halal atau haram kerana ia memberikan kecergasan terutamanya bagi yang gemar bersolat tahajud pada lewat malam. Bagaimanapun, akhirnya semua ulama bersetuju kopi termasuk dalam minuman yang halal.

Dikatakan warung kopi pertama dibuka di Yaman pada kurun ke-15 Masihi, kemudian pedagang Turki membawa pulang pakej perniagaan minuman kopi ke Turki. Ketika itu bangsa Eropah sangat membenci kopi yang sinonim dengan masyarakat Muslim dan mengharamkannya dengan panggilan "Wine of Arab" dan "Minuman untuk Syaitan". Namun kini kopi digilai semua orang dan diubahsuai menjadi minuman manis yang tidak lagi sihat.

Berita tentang malaikat melakukan itu ini kerana sebab itu dan ini adalah termasuk dalam hal ghaib yang kita tidak ketahui melainkan dari wahyu (Quran) atau khabar daripada Nabi (hadith sahih). Oleh itu tinggalkan karut marut yang dibawa oleh penglipur lara bertopeng ulama.

Selasa, 31 Ogos 2021

WARUNG KOPI YANG PATUT ANDA CUBA DI PERLIS

Melihat perkembangan perniagaan kopi di Perlis yang semakin rancak, saya akan cadangkan dari masa ke masa warkop (warung kopi) yang bagus sekitar negeri Perlis untuk anda cuba. Baiklah kita mulakan dengan:


1. TENTANG KOPI



Hari pertama Negeri Perlis dikeluarkan dari Pelan Pemulihan Negara (PPN): Fasa 1, ke PPN: fasa 2 saya dan isteri terus ke Tentang Kopi terletak di No. 68 , Kampung Nesam, Abi Kurung Batang. Saya sebenarnya sudah beberapa kali berhajat untuk ke sini ketika sering lalu lalang untuk buat persiapan Perlis Zine Fest 2020 yang lalu, namun tak kesampaian hinggalah pada hari ini. Saya cuba iced latte, kerana itu memang kegemaran saya, bagaimanapun bancuhan istimewa di warung ini menurut rekomendasi si barista ialah Potted Plant Mocha dan Vanilla Latte, mereka juga menjual kopi kampung iaitu Kopi nostalgia dan klasik kopi O dengan harga kampung. Bagi yang tidak gemar minuman kopi ada juga green tea dan minuman cokelat. Ada juga aneka ragam pencuci mulut dan sandwic yang sedap-sedap dan unik. Operasi bermula jam 12.00 tgh hingga 10.00 malam, Whattsapp: +6016-479 7709

2. WARUNG ALI KOPI



Ketika wabak Covid-19 melanda Malaysia dan kerajaan melaksanakan 'total lockdown' dari 18 Mac 2020 hingga 3 Mei 2020, semua premis perniagaan telah diarahkan tutup, termasuklah Restoran Kin Too tempat Abang Ali bekerja sebagai 'barista'. Tamat PKP 1.0 majikannya terus menyepi, dia tidak dipanggil bertugas semula lalu Abang Ali memutuskan untuk bikin warung sendiri di tepi rumahnya sahaja berbekalkan pengalamanya selama 41 tahun di restoran masakan Cina di pekan Kangar. Abang Ali bertuah kerana ada rakan-rakan dan pihak baitulmal yang membantu untuk dia setup-up warung kopi yang kini begitu gamat di Jalan Kaki Bukit walaupun bagi orang luar, mungkin agak sukar untuk mencarinya kerana terletak jauh di dalam Kampung Kechor. Ali Kopi menyediakan kopi kampung tradisional, base-nya saya rasa ialah kopi Vietnam dan dicampurkan dengan kopi tempatan. Lokasi sarapan pagi yang aman dan nyaman. Ada juga capati, nasi lemak, roti bakar dan masakan panas. Ada kala Tuanku Raja Muda Perlis pun turun minum di situ bersama Team Tayar Golek.

Bersambung....

Isnin, 12 Februari 2018

4 NASI KANDAR YANG PERLU ANDA CUBA DI PERLIS


1) Nasi Kandar Yasmeen. Restoran yang terletak di Kompleks Tok Arau, (C-Mart) ini agak popular dan seringkali pelanggan terpaksa berbaris panjang untuk membuat pilihan lauk. Bermacam aneka pilihan lauk dari resipi kari India Muslim disini. Tetapi yang menjadi pilihan saya tetap ayam goreng panas berempah mereka yang diakui oleh sesiapa sahaja memang KICK ASS! Mencapai piawaian restoran mamak yang cemerlang, khidmat pelanggan yang laju, tandas yang cantik, surau yang cantik, baju koporat yang lawa, harga sendiri mau ingat!



2) Saya akui, saya agak bias untuk pilihan ini kerana Gany Nasi Kandar adalah bekas majikan saya. Semua metalheads Kangar pernah menjadi buruh yang digajikan beliau. Cakap saja, Azil Upanishad zine, Diken Thanatopsis zine, GG Bunthai, Madi DOSA, Ciwi, Ah Cuan, Muhazly, banyak lagi.. semuanya ada kisah suka duka di gerai ini. Malah gerai ini bermula dari perniagaan atas beca, kemudian beroperasi di bulatan Bukit Lagi (berhadapan stesen bas ekspress Kangar). Halid anak kepada arwah Pak Gany telah membawa satu menu baru ‘Chicken Tika’ sejenis sajian Arab untuk dimakan bersama nasi atau roti. Saya dah cubanya, memang sedap. Lembut dan pedas mirip tandoori. Kedai Gany adalah pilihan pak Arab dan nigga yang belajar di Unimaps, Kampus Kangar. Bila tanya, Arab mana ajar resipi ni? Halid jawab "Aku tibai saja. Ni bidang aku, sekali rasa aku dah tau nak tarok apa. Macam hang dengar lagu tresh, terus boh double pedal. Aku pun sama!".


Kedai Gany Nasi Kandar sudah tidak beroperasi lagi, kini Halid menjual nasi kandarnya di warung 'tunai dan tapau' dihadapan Sekolah Kebangsaan (C) Khoon Aik, Jalan Syed Alwi. 




3) Nasi Kandar Pak Daud. Apa yang saya ingat inilah rasa 'nasi ganja' yang masih boleh ditemui hingga hari ini walaupun kebanyakan pengusaha nasi kandar tidak lagi mengunakan air rebusan daun ganja untuk memasak nasi kandar. Namun kas-kas (benih bunga poppy) masih terjual dirata-rata pasaraya sebagai rempah ratus wajib resipi nasi kandar. Apa yang kekal dalam ingatan saya, ayah saya akan menyebut nasi ganja setiap kali membeli nasi arwah Pak Daud dahulu. Sebenarnya, restoran Pak Daud turut menyediakan lauk, ikan, daging dan telur. Namun saya sukakan ayam goreng kunyit bersama nasi berkuah kari pedas dan campuran kuah dhal. Ia mempunyai citarasa yang tulen. Pedas dan mengkhayalkan. Kedai Pak Daud ini hanya terletak bersebelahan koeteaw Pak Nan (lihat post mengenai koeteaw di Perlis). Dan tempoh jualan nasi ini sekitar jam 6.30 pagi – 10.00 pagi sahaja. Sangat laris! Mereka bercuti pada hari Khamis. Kedai Nasi Kandar Pak Daud turut menjual roti canai. Faizal tekong campur kuah di kedai ini, orang kuat sunnah dan sangat berbudi bahasa.



4) Nasi Kandar Pokok Petai. Simpang Tiga pekan kecil Mata Ayer. Pada bulan Ramadan ada pasar Ramadan di situ yang pernah tular dengan murtabak saiz jumbo. Dulu pernah viral makanan selera kampung di warung Pokok Sawa yang terletak berdekatan Balai Polis Mata Ayer. Saya jarang-jarang sekali ke kedai Nasi Kandar Pokok Petai ini, namun jika ada rakan-rakan dari luar atau ingin rasa nasi kandar yang lain dari selalu, mereka akan dibawa ke sini. Ramuan nasinya berat dan karinya pekat. Suasanya kedainya yang 80% dibina dari batang dan pohon kayu gergasi menarik perhatian ramai. Mudah untuk cari kedai ini. Cari Simpang Tiga ke kampung Gial, cari motorsikal Norton yang tergantung setinggi tiang telefon di sebuah bengkel kereta. Itulah tempatnya!


5) Kalau teringin masakan India/Mamak di Kuala Perlis, memang salah tempat. Rata-rata sini dipenuhi warung/restoran masakan Thai kerana Satun berjiran dengan Kuala Perlis. Maka segala masakan dipengaruhi citarasa orang seberang. Selain laksa, nira, mentarang bakar dan lokcheng. Kini tidak lagi, Nasi Kandar Saadiq dah dibuka di Jalan Serawak. Cubaan pertama saya terus menang! Begitu juga roti canai. Kuah karinya memang terbaik. Sensasi rempahnya terasa. Saya memang kurang setuju dengan roti canai Kuala Perlis biarpun yang tebarnya seorang awek cun. Kuah manis dicampur dengan sambal tumis ikan bilis memang tidak sepadan. Kalau kita order dhal sahaja, macam cicah dengan serawa labu pulak rasanya. Saadiq menyelamat legasi roti canai Kuala Perlis. Ini baru real!


Bersambung....

Isnin, 12 Jun 2017

KURMA KERING DAN MENTEGA


Lama rasanya saya tak ulasan tentang restoran dan makan. Apa kata saya bawa satu juadah kegemaran nabi S.A.W yang sering diperkenalkan akhir-akhir ini. Saya pun tahu mengenainya tahun ini. Dan terus mencubanya kerana saya suka makanan yang senang dibuat dan bahan-bahan pun mudah dicari. 

Janganlah pula menuduh saya ni penunggang agama kerana juadah ‘kurma dan mentega’ ini. Ya, mungkin rakan-rakan pernah mendengar saya agak kurang senang dengan mereka yang memakai rida dan topi logo sandal. Bukanlah kerana saya membenci pemakaian rida yang ada pada tubuh nabi S.A.W. Kini dengan jelas sekali, puak tertentu cuba menjadikan ia satu tanda aras kehebatan aliran-aliran yang mereka bawa. Bukankah itu menunggang agama?

Anda perlu tahu, menunggang agama bermaksud perbuatan yang mendatangkan imbuhan duniawi kepada diri sendiri atau untuk memenangkan hujahnya dengan putar belit. Ringkasnya, agama bukan menjadi syariat buat dirinya tetapi agama pula perlu mengikut telunjuknya. Penungang agama seringkali dikaitkan dengan perdagangan sesuatu amalan oleh individu ‘berjubah’ alim.

Kurma dan mentega ini sama seperti pemakaian serban, selipar bucu tajam, pemakaian rida, ia adalah sunnah ‘jibiliyah’ (kebiasaan orang Arab), bukan nabi S.A.W yang cipta resipinya. Di sisi agama, sunnah 'jibiliyah' ada nilai pahalanya jika dilaksana atas dasar cinta dan kasih kepada Rasulullah S.A.W. Jadi bersedehanalah dalam mengkritik, takut-takut kita jatuh rasa membenci kepada orang yang melakukan sesuatu semata-mata kerana cinta bukan bertujuan membelit kefahaman sesiapa.

“Telah diceritakan kepada kami (Hisyam bin 'Ammar) telah menceritakan kepada kami (Shadaqah bin Khalid) telah menceritakan kepadaku (Ibnu Jabir) telah menceritakan kepadaku (Sulaim bin 'Amir) dari kedua anaknya Busr As Sulami (Abdullah bin Busr) dan (Athiyah bin Busr) keduanya berkata, "Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam masuk menemui kami, lantas kami meletakkan selimut milik kami yang kami hamparkan untuk beliau, kemudian beliau duduk di atasnya. Kemudian Allah menurunkan wahyu kepada beliau di rumah kami. Lalu kami menyediakan mentega dan tamar untuk beliau, sungguh beliau sangat menyukai mentega." (Hadis Ibnu Majah No.3325)

* Tamar = Kurma kering

* Mentega = (Zubdah) terhasil dari lemak haiwan biasanya berasal daripada krim susu atau lemak susu. Secara fizikal, mentega memiliki tekstur yang lebih lembik berbanding margerin sehingga tidak dapat bertahan dalam suhu bilik atau mudah meleleh. Warnanya cenderung lebih pucat dan memiliki aroma khas yang sangat enak seperti aroma susu. 

Tidak diriwayatkan bagaimana cara nabi S.A.W memakan kurma kering dan mentega itu. Namun saya memilih mentega salted (bergaram) sebagai juadah iftar petang ini. Ringkas sahaja. Buang biji, sapu mentega, bismillah dan makan. SEDAP!

Hayati mazhab syammail… mazhab cinta. Tiada lain penyebab saya mencuba juadah ini semata-mata kerana baginda menyukainya. In Sha Allah.

Khamis, 25 Ogos 2016

KISAH ROTI CANAI


Semasa darjah 5-6 (1989-90) dahulu, saya dah ke sekolah dengan menaiki basikal. Ada ketikanya saya keluar awal untuk singgah restoran mamak Al Jami untuk beli roti canai. Ketika itu harga roti canai sebiji 30 sen. Wang saku yang ayah bagi ke sekolah 50 sen, jadi ada lagi baki 20 sen. Boleh beli air sirap. Bagaimanapun semasa beli roti canai ini, saya takut sangat kalau terselisih dengan ayah. Kalau dia nampak, pasti saya akan dimarah, katanya saya 'breakfast macam orang taman. Lagak orang kaya-kaya'. Oleh itu saya kadang-kadang saja berani beli roti canai, sedangkan ada kawan-kawan lain sarapan roti canai tiap-tiap hari. Bagi saya ia mewah dan sarapan istimewa yang jarang-jarang dapat rasa.

Dahsyat nilai wang dulu, bila difikirkan 30 sen boleh tampung kos roti canai, plastik kuah kari, kertas bungkus roti dan plastik beg!

Keluarga saya tidak mengajar untuk mengambil breakfast, antara penyebab hingga kini saya tidak gemar bersarapan di awal pagi kerana perut kurang selesa untuk makan pagi. Akhirnya saya tidak lagi membeli roti canai sebaik masuk sekolah menengah kerana lebih selesa makan pada jam 10 pagi.

Al-Jami masih wujud hingga sekarang walaupun kurang hygiene dan kini dikenali sebagai Restoran Ismail. Hari ini saya imbas kembali nostalgia itu setelah sekian lama banned kerana kes tikus dalam kari. Ternyata roti dan kari hitam mereka kekal asli. Rasa sama sejak dahulu!

Tafsiran roti canai mengikut Gregory Han:
" In Malaysia, it's the roti canai (rho-tee chan-ai) that graces breakfast plates. Conjured from flour, water, clarified butter, with a touch of condensed milk, the dough is flipped, flattened, folded, and slapped down like a '90s Bell Biv Devoe ditty onto a hot oiled griddle to proudly puff. Roti canai is prepared with mesmerizing efficiency, and it's obvious why it's commonly referred to as "flying bread.""¨

Roti canai's origins are often connected to the influx of immigrant laborers from India's Chennai region (still commonly known by its colonial name, Madras) across the South Asian sea. Along with their manpower the South Indians brought over the layered flatbread, parotta. Cheap and easy to make, the thin bread quickly gained popularity and can now be found at food stalls and restaurants all over Malaysia, enjoyed plain or sprinkled with sugar, with new variations even offering fillings like Nutella or mayo-spiked salads of chopped cabbage and carrots. But most often roti canai is traditionally accompanied by a small bowl of potato coconut curry for dipping."¨

Selasa, 28 Jun 2016

ROCK IN AND SHELL OUT

Kami di kem Pedal To The Metal malam ini menganjurkan shell out sahur untuk rakan-rakan bagi meraikan bulan Ramadan al-Mubarak ini. Tak tahulah dari mana asal makanan macam ni dipanggil "Shell out"? Rasanya di Malaysia aja, sebab kalau dari erti ungkapan dalam Cambridge pun 'shell out' bermaksud "bayar". Apa pun ia merupakan makan malam yang 'trending' kini. Ini resipi kami kalau nak cuba:

1kg Ketam Bunga
1kg Sotong
0.5 Udang
200g Bracoli
4 biji tomato
2 batang timun ( penting untuk neutral asid urid)
300gram mentega ( ikut kadar untuk membuat pes yang diinginkan)
6 ulas bawang putih (dipotong halus)
separuh bawang besar (dipotong halus)
1/2 paket serbuk kari 
2 sudu besar cili giling
1 sudu mixed herb
2 sudu besar sos tiram
1 besar pes tom yam
2 sudu besar gula



Rebus segala macam ketam, sotong, udang. Sejatkan apabila masak. Simpan air rebusan itu.


Tumiskan bawang putih, bawang besar, mixed herb dengan mentega. Bila dah wangi, masukkan cili giling dan goreng hingga sedikit hangit (penting hangit tu agar tak sakit perut nanti). Masukan serbuk kari dan seterusnya sos tiram. Apabila dah mesra masukan air rebusan ketam/udang tadi ikut kehendak sendiri. Apabila mendidih masukan pes tom yam dan gula sesedap rasa.




Seterusnya masukan makanan laut yang telah direbus tadi serta bracoli dan tomato. Gaul hinga sekata dibawah api sederhana. Apabila siap, tabur timun dan sedia untuk disajikan.


Walla.. selamat mencuba!

Khamis, 21 Januari 2016

6 NASI AYAM UNIK YANG PERLU ANDA CUBA DI PERLIS

Okay, sini saya cadangkan 7 jenis nasi ayam (berlaukkan ayam) jika anda berada di Perlis. Moga dapat mencuba kesemuanya;



1) Nasi Kumok (ejaan betul Khao Mok). Yang ini memang lagenda. Ada orang memanggilnya nasi ganja, tetapi mereka tersilap ini adalah resipi nasi kuning dan ayam goreng dari Selatan Thailand. Kuahnya dibuat dari lemak kulit ayam dan lauknya adalah ayam digoreng dengan rempah ranggup. Gerai ini terletak sebelum Sungai Repoh jka menghala ke Kangar, berhadapan RPA Taman Seri Pilihan. Bagi gen X Kangar, pasti anda boleh ingat kembali yang mereka ini telah berniaga sejak zaman 80-an lagi di Stesen Bas Kangar, berhadapan Kelab Hokkien, kini dah jadi bangunan Anak ku atau Agro Bank tu.

Rasa sekali pasti datang lagi kerana harganya yang berbaloi. RM4.50 sebungkus. Tetapi kalau tiap hari makan, mual pula rasanya. Jika bernasib baik, mereka ada juga menjual murtabak pada hari-hari tertentu.Andainya ada murtabak, baik anda mencubanya sekali. Sedap dan amat berpadanan dengan harga. Bagi yang tidak suka nasi lembik dan bergam. Mungkin citarasa anda tidak sesuai makan nasi kumok ini. Ayam percik juga mula diperkenalkan beberapa tahun lalu. Ada 2 gerai nasi Kumok di Kampung Repoh. Jika anda menghala ke Arau boleh cuba yang bersebelahan stesen Petron.



2) Nasi Ayam Panggang (Manok Tunok) ini memang kegemaran saya sejak diperkenalkan oleh Chainsore (vocal WRECKÄR) beberapa tahun lalu. Terletak disempadan Kedah-Perlis, dibawah fly-over highway Pauh-Bukit Kayu Hitam dan berhadapan Kampung Penyamun (nama sebenar Kampung Titi Kerbau, Mat Duha @ Pekëtum yang cerita dahulu kala orang ramai takut melalui jalan kampung ini pada malam hari kerana akan ditahan penyamun, saya sendiri pernah melalui pengalaman aneh sewaktu pulang menonton wayang bersama girlfriend dahulu apabila seorang perempuan tua dengan rambut mengerbang tiba-tiba melompat keluar dari belukar ke jalanraya. Ketika itu jam hampir 2.00 pagi, hampir saya mengilis wanita itu dengan kereta, girlfriend saya tidak dapat tidur sepanjang malam itu katanya!) Kedai ini diusahakan oleh orang Sarawak dan memasak mengunakan resipi tradisi mereka. Saya juga sukakan sup ayam yang dimasak dalam buluh. Kicap buatan sendiri yang disajikan bersama nasi itu barangkali pembangkit selera kerana saya mampu meratah seekor ayam tanpa nasi seorang diri! Ayamnya tidak basah, tidak juga terlalu kering. Sempurna dan boleh menyebabkan ketagihan! Wajib anda cuba dijika anda berada sekitar Pauh atau kampus utama Unimap.




3) Nasi Ayam Panggang Mek Siam. Ini adalah warung tanpa nama dan diusahakan oleh orang Pattani yang bertutur Bahasa Melayu pun suam-suam kuku aja. Apa yang saya hairan bagaimana mereka boleh membuka warung tenggek berhadapan Makmal Bioproses Unimap, Kawasan Perindustrian Jejawi (area JPJ) di tepi kedai membaiki kasut ini. Mereka juga mampu menjual ayam panggang dengan murah mengalahkan peniaga tempatan. Bayangkan dengan ayam yang boleh dipilih sendiri, harga sepinggan nasi tidak pernah mencecah RM5. Harga yang begitu mesra pelajar. Oleh itu tidak hairan, ramai pelajar, pemandu lori, posmen dan pekerja kilang datang makan di gerai ini. Namun saya tidak suka sup mereka yang dibuat dengan perisa dan stok ayam semata-mata. Ayam panggang di sini memang sedap tetapi saya pasti kandungan MSG yang digunakan mereka boleh tahan juga. Mereka turut mengedarkan minuman indie Pop the Soda.



4) Nasi Ayam Sri Ketapang ini adalah hidangan standard nasi ayam Hainan, cuma disebut Ketapang disebabkan gerai mereka terletak dibawah pokok Ketapang. Walaupun nampak hidangan sepinggan nasi ayam mereka kelihatan seperti direstoran-restoran yang lain. Percayalah nasi ayam Hainan disini ada kelainan dan rasanya kekal serupa setelah lebih sedekad mempertahankan kualitinya. Lokasi mereka adalah di Kampung Paya berhampiran kedai char kueteaw Tok Wi, dan jika anda ke Wang Kelian atau Padang Besar untuk membeli belah, ada baiknya ada singgah menjamu selera disini kerana saya pasti sudah lama anda tidak menikmati nasi ayam Hainan yang menyelerakan.



5) Bagi yang berada di Kuala Perlis, mungkin anda tidak berkesempatan untuk rasa 'nasi kumok' di Repoh yang tular tu. Anda boleh ke warung pulut ayam Aminah di Jalan Sarawak, berdekatan simpang 3 ke pasar malam Kuala Perlis, berdekatan Pasaraya Seri Utama. Diusahakan oleh orang Satun, mereka fasih berbahasa Melayu walaupun cakap Siam sesama mereka. Yang ini nasi kumok original sebab mereka guna sos cili homemade sebagai kuah, begitu juga dengan pulut ayam.  Warung beroperasi seawal 7 pagi hingga petang (hingga habis ayam).



6) Kedai ini terletak di sebelah bengkel Volvo yang sudah menjadi bagai hospital kepada kereta saya. En. Zaki mewarisi kepakaran membaiki Volvo dari ayahnya. Pusat urus jenazah milik One Centre Malaysia (institusi dakwah moden berbilang bangsa) juga berada kira-kira 200 meter dari kedai ini. Boleh dikatakan Nasi Ayam Kubang Gajah, (Kubang Gajah tu nama kampung ni) adalah sebagai mana nasi ayam Hainan yang lain. Tetapi keistimewaannya terletak pada nasinya. Sedap, seroi (tidak melekit), cukup segala sukatan rempahnya. Menurut Google Maps, warung ini turut dikenali sebagai Nasi Ayam Last Kicap!

Kredit: photo 1 & 6 dari imej Google.

Ahad, 24 Mei 2015

6 KOAY TEAW UNIK YANG PERLU ANDA CUBA DI PERLIS

KOAY TEAW PAK WAN

Ada banyak faktor yang membuatkan koay teaw kerang ini mencapai status ‘cult’. Arwah Pak Wan merupakan pemain gitar jazz yang memiliki studio latihan muzik pada awal 80’an, studio beliau menjadi markas kumpulan black metal pertama di Malaysia, (METAL GHOST) atau di Asia Tenggara secara amnya, kemudian pada tahun 1984 mereka memilih untuk mengunakan nama BLACKFIRE. Pak Wan adalah pengkritik utama BLACKFIRE yang akhirnya menjadi penyokong kuat mereka.

Kedua, Pak Wan antara peniaga di tapak gerai makan bersebelahan Pasar Besar Kangar (penduduk tempatan panggil ‘markit’) yang telah dirobohkan. Lokasi tersebut menjadi lagenda kerana tiada kasta sebaik anda menjejakkan kaki di situ. Menteri, selebriti, pesawah, penyamun, penganggur, orang kurang siuman, Cina, India, Siam, semua boleh duduk makan bersama.

Arwah Pak Wan meninggalkan legasinya yang berjaya mengekalkan citarasa yang sama. Jika anda sukakan koay teaw kerang dengan rasa tradisional, dipadankan dengan jeruk cabai hijau. Anda perlu datang ke Medan Selera, Pasar Besar Kangar yang terletak dibelakang Pasar Borong Kangar. (Dua jenis pasar basah dengan harga barang yang berbeza dalam satu kawasan yang sama? Pelik kan?). Gerai Arwah Pak Wan terletak bersebelahan nasi kandar Hamid.

Atau jika anda mahukan, sesuatu yang benar-benar dari warisan. Anda boleh terus ke Taman Aman, Jalan Raja Muda Perlis. Anak arwah, Berry mengusahakan gerai koay teaw kerang resepi warisan ini dihadapan rumahnya yang dibuka pada lewat petang hingga larut malam.

KOAY TEAW PAK NAN

Pak Nan digeruni kerana sikap panas baran dan turut penah membelasah pelanggannya sendiri. Seorang bekas komando dan penternak kambing berjaya pada siang hari. Jika anda tidak mampu melihat sang suami memarahi isteri sambil mengoreng koay teaw, dan ada kalanya beliau membaling sudip, pinggan atau kuali. Lebih baik anda jangan datang ke sini. Tahap kesabaran anda yang tinggi juga amat diperlukan jika berhajat untuk makan di sini, kerana secara purata sajian anda akan sampai ke meja dalam tempoh satu jam.

Walaubagaimanapun, kedai beliau sentiasa penuh dengan pelanggan setia yang sudah lali mengenai sikapnya. Keistimewaan koay teaw Pak Nan semestinya dari kaedah memasaknya yang mengunakan arang batu. Maka, rahsia keenakan koay teaw ini selain resepi tradisi semestinya lah pada teknik kawalan api mengunakan arang tersebut.

Pak Nan berniaga di lokasi yang sama sejak era 80-an hingga kini, bezanya jika dahulu dalam dangau kayu yang hampir runtuh, kini dia menyewanya di kedai projek tanah wakaf bersebelahan Masjid Muhammadi, Jejawi berdekatan JPJ Negeri Perlis.

Walaupun menu asalnya adalah koay teaw kerang, anda boleh minta Pak Nan tukarkan kepada daging atau jadikan ia berkuah. Jika anda berani order laaa….! Koeteaw Pak Nan akan menjadi lebih ‘kick’ bila dipadankan bersama sos cili cap Unta. Harganya kekal murah tiada tandingan. 


KOAY TEAW KWSP

Seingat saya, inilah char koay teaw Penang yang pertama dibawa masuk ke Perlis pada 94-95. Pada zaman tersebut boleh dikatakan setiap minggu saya akan ke sini, begitu juga rakan-rakan. Pantang sesiapa sahaja yang ada duit lebih dan berniat mahu belanja kawan, atau terdetik hati untuk makan malam bersama awek. Sinilah lokasi kegemarannya. Pada ketika itu, si taukeh sendiri yang mempamerkan seni masakan bermain api dalam kuali. Kini dah pakai pekerja.

Tetapi kini dari apa yang saya sendiri rasa, kualiti tumisan mereka (pekerja) kurang baik, dan rasanya manis lain macam. Berbeza dari apa yang saya rasa pada pertengahan 90’an dahulu. Kalau dahulu, selalunya kami makan seorang dua pinggan.

Namun, mereka kekal sebagai char koay teaw terlaris di bandar Kangar dan digemari generasi Y. Saya pun kurang pasti kenapa? Mungkin juga citarasa saya berbeza. Boleh anda cari dengan mudah kerana mereka beroperasi di kaki lima bangunan KWSP pada sebelah malam sahaja. Parkir pun mudah. Suasana romantis kerana makan bergelap hanya tumpang lampu jalan.

 CHAR KOAY TEAW ROSLI

Char Koay teaw Rosli adalah antara pesaing kepada Char Koeteaw KWSP yang muncul pada pertengahan 90’an yang asalnya dibuka roundabout Kangar. Lokasi trending zaman itu, malangnya mereka diarahkan berpindah kerana kawasan itu sering berlangsung acara rakyat. Mereka berpindah ke simpang tiga Stadium Utama, Jalan Kaki Bukit berdekatan nasi kandar Jalal.

Jika di KWSP sajian nya agak manis, char koay taw Rosli terkenal dengan sajian masin. Jadi anda bolehlah memilih diantara dua, saya sukakan yang masin ini. Keistimewaan char koay teaw Rosli mereka akan mengoreng udang secara berasingan terlebih dahulu sebelum dimasukan ke dalam koay teaw. Saya sering makan char koeteaw ‘special’, menu ini diberikan beberapa udang goreng tambahan dalam pinggan asing bersama telur dan kicap seasoning serta cabai hijau. Koeteaw kerang juga unik dan digemari pengemar makanan masin.


CHAR KOAY TEAW TAMAN KEMAJUAN

Jangan keliru antara sebuah lagi cawangan char koay teaw KWSP yang terletak dihadapan bangunan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs), char koay teaw yang yang maksudkan ini terletak dihujung Pasaraya Taman Kemajuan dan terletak dibahu jalan yang diusahakan dari rumah corner lot yang turut menjual masakan Thai dan buah-buahan.

Menariknya, mereka turut menyediakan char koay teaw ketam. Jika char koay teaw biasa, udang-udang dari sangkar peliharaan yang digunakan agak besar juga saiznya dari kebanyakan restoran-restoran lain. Namun harganya murah. Saya kecewa kerana tukang masak mereka silih berganti, menyebabkan citarasa masakan mereka tidak konsisten. Setiap kali saya ke sini, pasti saya akan pesan supaya tumis agak lama supaya saya tidak merana cirit-birit. Bagaimanapun jika tukang masak berpengalaman yang bertugas pada malam tersebut, hasilnya pasti mencengkam kalbu. 


 CHAR KOAY TEAW TOK WI

Apabila Tok Wi membuka restoran char koay teaw berhadapan Masjid Batu 2, Simpang ke Taman Ular sebelum berpindah ke Kampung Paya, Balai Baru. Ia menjadi viral kerana kesedapan masakan nya. Sesiapa yang tidak pernah makan di Tok Wi dianggap tidak up-to-date. Sehinggalah kualiti perkhidmatan, layanan pelanggan dan kualiti makanan itu sendiri merundum akibat dari sikap egois mereka. Saya penah banned restoran Tok Wi kerana bersikap acuh tak acuh kepada pelanggan disebabkan sambutan luar biasa pada masakannya. Mungkin bagi mereka, 2 orang pelanggan yang kecewa tidak akan mendatangkan apa-apa kerugian bagi mereka.

Sejak berpindah, kedainya hanya diraikan oleh pelanggang setia sahaja. Namun boleh saya katakan kualiti masakannya kekal dengan mengunakan udang yang bersaiz besar dengan harga yang agak murah. Walaupun saya telah hentikan kempen ‘banning tok wi’, jarang-jarang sekali saya ke Tok Wi kecuali ada teman dari luar Perlis yang datang untuk cuba masakan unik di sini. char koay teaw Tok Wi terkenal dengan kuah yang banyak dan perkhidmatan yang cepat. Konsep seperti kawasan 'rehat dan rawat' yang diadaptasi di kedai makan kampung ini kurang mesra pelanggan. Maknanya mereka tidak akan layan tempahan atau urusan pembayaran makanan anda selagi anda tidak bangun sendiri ke kaunter.

Jika anda pulang dari Padang Besar lewat petang dan tiba di kawasan Balai Baru, Beseri, bolehlah anda singgah di char koay teaw Tok Wi untuk mencubanya.

Khamis, 26 Mac 2015

TERINAI LAKEVIEW RESORT


Kelmarin ada sebuah Kursus Pemanduan Berhemat oleh JPJ Negeri Perlis berlangsung di Terinai Lakeview Resort dan kebetulan aku juga disenaraikan sebagai peserta. Entah kenapa jabatan kami terfikir untuk menjemput JPJ bagi memberikan ceramah fasal keselamatan lalulintas dan modifikasi kenderaan hanya mereka sahaja yang tahu? Mungkin atas kefahaman ‘semua orang adalah pemandu’ maka dianjurkan kursus ini bagi meningkat kesedaran pentingnya etika pemanduan selamat.

Sebenarnya inilah kali pertama aku datang ke kawasan ini setelah lama ia jatuh bankrap sewaktu dijadikan sebagai hentian rehat dan makan lama dahulu. Sebelum wujudnya tempat ini, aku sering berbasikal untuk melihat pemandangan diatas bukit ini bersama seorang sahabat (arwah Habizam) pada setiap pagi minggu. Mungkin kerana salah perancangan dan terlalu banyak campur tangan anasir politik menjadikan ia sukar untuk dimajukan mengikut kehendak setempat. Kebetulan seorang rakan pernah menyewa tapak kedai disini, maka aku sering mendengar keluhan-keluhan beliau hinggalah kedainya jadi kenangan. Pihak Koperasi Majlis Perbandaran Kangar membuat penjenamaan semula dengan menjadikan ia sebuah resort dan cafeteria terbuka mengadap Empangan Timah Tasoh.

Tasik ini asalnya adalah pertemuan dua sungai ia itu Sungai Timah dan Sungai Tasoh. Di dasar tasik yang dijadikan empangan bagi bekalan air seluruh Perlis ini asalnya adalah sebuah penempatan bernama Kampung Tasoh. Turut ditenggelamkan untuk pembinaan empangan ini adalah masjid, sekolah, rumah penduduk dan tanah perkuburan. Ketika Chainsore (vocals Wreckär) masih bertugas di unit stor Universiti Malaysia Perlis, kami sering ke Empangan Timah Tasoh untuk menyelenggara 2 buah jet ski kepunyaan mereka. Ada ketikanya kami singgah dibangunan-bangunan yang timbul ditengah-tengah tasik semasa air surut ketika memanaskan enjin jetski. Ini menguatkan fakta bahawa suatu ketika dahulu terdapat penempatan di situ. (rujuk blog ini untuk kisah jet ski di Timah Tasoh)

Memandangkan program Mufti Kerajaan Negeri Perlis, ‘Perkampungan Sunnah’ semakin hampir dan mungkin ada yang berminat untuk berkunjung ke sini disamping membeli belah di Padang Besar atau selatan Thailand. Ada baiknya jika anda tempah penginapan disini? Selain pemandangan yang cantik dan kebersihan yang terjamin, lokasi resort ini juga sangat berdekatan Padang Besar, Gua Kelam, IKM Beseri, MRSM Beseri, Tasoh Lake Resort and Retreat ( Bunkface pernah buat konsert mega di situ) dan restoran makanan Thailand popular, Tok Mek.









Terinai Lakeview Resort menpunyai 20 buah kemudahan bilik standard (berharga RM120), 5 buah chalet yang comel (RM120), sebuah asrama berkatil dua tingkat (RM20 seorang/kapasiti 20 orang), dewan seminar, café dan surau.

Hanya satu komen saya kenapa pelancongan negeri Perlis atau pengusaha hotel sendiri tidak memberi harga sewa yang murah sebagai polisi bagi mengalakan sektor perlancongan negeri Perlis? Bagaimana kita dapat menyaingi hotel-hotel negara jiran yang hanya beberapa kilometer sahaja dari disempadan Thailand yang menawarkan harga serendah RM50 –RM80 namun setanding hotel 3 bintang di Malaysia? Seterusnya kita hanya mampu berputih mata bila kebanyakan pelancong lebih gemar bermalam di Pulau Langkawi, Dannok, Padang Besa Thai atau Hatyai yang mempunyai lebih nilai pada wang serta hiburan.

Hubungi: Terinai Lake Resort
Tel: 04-9383223, HP: +6012-6558581
Email: terinailakeview_kop.mpkpb@yahoo.com
BLOG RASMI TERINAI LAKEVIEW

Jumaat, 16 Januari 2015

JUS TIMUN GOUT KILLER

Ilustrasi dari James Gillray pada tahun 1799 mengaitkan kesakitan gout seperti perbuatan syaitan.

Dikatakan gout adalah ‘penyakit orang kaya’ sebabnya ia terjadi disebabkan pengumpulan asid urid dari kebanyakannya hasil makanan laut. Maknanya seorang yang tiap hari makan udang, ketam, sotong atau makanan asas kekacang, tak ke orang kaya namanya? Hehe. Gaut juga dinamakan the disease of kings bermaksud ‘penyakit diraja'.

Tetapi jika dikaji dari segi kesihatan, secara logikalnya ada organ tertentu yang menentukan kadar asid dalam darah gagal berfungsi dengan baik. Oleh itu senaman adalah cara terbaik untuk mengembalikan kefungsian organ-organ tersebut kerana tubuh manusia sepenuhnya dibina dari otot-otot yang harus berfungsi kecuali mati. Bukankah orang lain pun makan makanan laut dan kekacang dalam kadar seperti anda juga ataupun melebihi anda. Kenapa mereka tidak pun berlebihan asid urid? Oleh itu mulakan gaya hidup sihat mulai hari ini! 

Disini saya ingin memberi satu resipi yang dipetik dari Health.com yang berkesan untuk menyahkan kristal-kristal asid urid pada sendi-sendi, penyebab kepada gout. Jika selepas meminum jus ini, anda mula merasa sedikit sengal atau pedih pada sendi, usah risau. Itu menandakan proses penyembuhan sedang berlaku. Toksin yang termendap dalam tubuh anda sedang dihapuskan. Daun saderi dan halia digunakan untuk mengurangkan rasa kurang selesa tersebut. 


BAHAN-BAHAN:

1 biji timun saiz sederhana (lebih mudah gunakan timun ulam sebiji cukup untuk satu gelas)
2 tangkal daun saderi
1 inci halia
Sepotong limau 


CARA PENYEDIAAN:

Basuh semua ulaman tersebut.
Potongkan timun, halia dan masukkan kedalam juicer bersama saderi.
Masuk ke dalam gelas dan sejukan dalam peti sejuk.
Perah limau dan minum.
Minum ketika sejuk lebih sedap kerana jus timun turut membantu menurunkan haba panas dalam tubuh. Amalkan dan in shaa Allah ada petanda baik. Jangan lupa bersenam dan lebih baik kurangkan dahulu pengambilan makanan hasil laut, sayuran (yang kaya dengan purin) dan organ dalaman lembu sehingga kadar urid asid dalam darah anda kembali normal.

Amalan meminum kopi dan pengambilan hasil tenusu juga boleh mengurangkan risiko gout.

Selamat mencuba: Ahmad Ra1m1

Selasa, 11 November 2014

KOETEAW KIN KUN NA





Sejarah ayat ‘kin kun na’ memang lawak, ia bermula bila kami mula membuka sebuah tapak untuk latihan muay thai di belakang Faithcraft Studio. Suatu malam selepas latihan, tiba-tiba kami bercerita tentang Ip Man dan Bruce Lee. Badril Dickenson dengan tidak sengaja tersasul menyebut ‘kin kun na’ merujuk kepada seni mempertahankan diri ciptaan Bruce Lee, ‘jeet kun do’. Haha! Sejak dari malam tersebut apabila kami bercerita fasal Kung Foo. Kami akan panggil kin kun na. Sekian. 

Pagi ini saya mencuba menu koeteaw kung foo buat pertama kali. Mudah. Ini brunch saya pada pagi ini:

 
BAHAN-BAHAN:
Koeteaw (kira-kira satu penumbuk)
1 biji telur
2 ulas bawang putih dilenyek
15 gm isi ayam
3 ekor udang
3 biji cili padi hijau
2 batang putik jagung
10 gram sew pak choy (ganti lobak pun ok)
3 sudu besar sos tiram
1 sudu tepung sos (ganti tepung jagung pun ok)
1 sudu kecil jus limau
Garam
Lada sulah
Air
Minyak masak


CARA-CARA MEMASAK:

Gaulkan koeteaw bersama telur dan sedikit garam. Panaskan minyak dan goreng.
Setelah koeteaw dan telur tadi digoreng. Angkat dan letakkan dalam pinggan. Biarkan.
Tumis bawang putih dan cili padi. Masukkan ayam dan udang. Goreng hingga mesra.
Seterusnya masukkan sayuran, sos tiram dan air cukup untuk satu orang makan. Apabila mendidih tambahkan garam, perisa (jika mahu), lada sulah dan jus limau. Rasa.
Bancuh tepung sos dengan sedikit air dan tuang ke dalam kuah yang sedang mendidih agar pekat.
Angkat dan tuang kuah tadi ke ke atas koeteaw di dalam pinggan sebentar tadi. Walla!

Extra: air tin Toya dalam foto hanya perhiasan. Sayang nak minum, simpan balik dalam almari display. Hehehehe. Makan dengan jeruk cili hijau best. Klik untuk resepi jeruk Green Goblin.

Selamat berpuasa dan jika sudi berbukalah dengan juadah ini. Sama juga dengan bubur asyura, resipi koeteaw ini tiada kena mengena dengan Nabi Nuh a.s turun dari kapal.

"Nabi tiba di Madinah, kemudian baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari asyura. Baginda bertanya : "Apa ini?" Mereka menjawab : "Suatu hari yang baik, ini adalah hari dimana Allah menyelamatkan Bani Israil dari musuh mereka, maka Musa berpuasa pada hari itu sebagai tanda syukur. Maka beliau (rasulullah) menjawab : "Aku lebih berhak terhadap Musa daripada kalian(Yahudi), maka kami akan berpuasa pada hari itu sebagai bentuk pengagungan kami terhadap hari itu." (HSR Bukhari 4/244, 6/429)