Memaparkan catatan dengan label Seni Lakar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Seni Lakar. Papar semua catatan

Isnin, 23 Oktober 2017

CONVERSE ALL STAR: BLACKFIRE EDITION





Kebetulan terjumpa Converse All Star lelong di Jaya Mall. Kenangan pakai all star ni mula pada tingkatan tiga (1994), zaman tu kalau hendak beli kasut ni kena naik bas ke Alor Setar. Beli pun guna duit biasiswa. RM55 zaman tu. Ramai rakan-rakan yang terpengaruh dengan scene skateboard dan thrash. Jadi kita pun terikut. Waktu tu di tumit kasut ini tulis "designed in USA", dikilangkan dimana entah la?? Katanya kalau tulis "Made in USA" ditumit baru tulen? Tapi yang terbaru ini, ditulis "Converse All Star". Disebabkan corak yang menyeramkan untuk dipakai ini, maka aku cuba-cubalah sneaker art. Idea datang sepontan aja. Lihat hasilnya dibawah. 

Tidak dijual. Sekadar mencuba.




Jumaat, 15 September 2017

T-SHIRT RASMI KREMATION


Semalam saya terima bungkusan istimewa dari sahabat lama di Sarawak. Ia merupakan t-shirt rasmi KREMATION yang dicetak oleh Morgue CafĂ© (saya tidak pasti sama ada ia masih dijual atau tidak? Anda boleh hubungi Masumi, GORESLUTS untuk pertanyaan). 

Nasth Sheir, (pemain bass & vokal) adalah merupakan sahabat pena saya sejak dari 90-an. Kami berutus puluhan surat malah saya turut melakukan wawancara bersamanya yang dimuatkan Kemenyan zine. Kremation berdiri sebaris dengan SENSELESS dalam memperkenalkan irama death metal di bumi kenyalang. Kremation ditubuhkan pada 1992 dan berjaya menerbitkan sebuah album penuh berjudul “Head Hunter Revenge” pada tahun 2000. Kulit album ini dihasilkan oleh saya dengan warna air sepenuhnya melalui idea yang diberikan oleh Nasth Sheir sendiri. Sukar untuk percaya ia telah berusia 18 tahun.

Album dan lukisan ini asalnya bertajuk “The Curse of Headhunter” namun ditukar pada saat ia dikeluarkan dalam format kaset oleh Music Trax. Ramai peminat ketika itu hairan bagaimana Kremation boleh bernaung dengan sebuah label yang asing dan hanya menerbitkan kaset-kaset bootleg ketika itu. Album ini turut memuatkan EP tersohor mereka iaitu “Reborn” yang pertama kali dikeluarkan oleh Nebiula Production pada tahun 1999.

Bagi yang tidak tahu, Kremation masih aktif dan ada merekodkan sebuah lagu promo pada 2011. Nasth Sheir pula sedang sibuk merakamkan demo dan seterusnya perancangan untuk album sebuah kumpulan hard rock bernama AMBUSHED. 

Semoga Kremation dapat merakamkan album baru buat peminat-peminat tegar mereka!

Ahad, 12 Jun 2016

APA ITU DOODLE?

Rakan saya membuat doodle ini sambil mengomel anaknya minta belikan hadiah kepada semua cikgu sempena Hari Guru. Dia tak tahu saya curi-curi snap apa yang dia buat ni…


Definasi: lakaran kasar yang dibuat sewaktu minda separa sedar.

Doodle secara asasnya adalah lukisan yang dibuat seseorang tanpa niat, ia ringkas namun punyai penjelasan serta maksud yang konkrit ataupun dilakar secara bersahaja serta abstrak. Sesuatu hasil itu diperakui sebagai doodle tulen apabila anda tidak mengangkat pena atau alat lukis dari kertas ketika melakukannya. Tipikal doodle boleh dilihat dalam buku nota sekolah, buku margin yang dilukis oleh pelajar ketika ‘mamai’ didalam kelas, atau sewaktu perbualan telefon yang panjang manakala tangan anda tercapai pen dan kertas. Doodle paling popular biasanya karikatur wajah pensyarah, rakan sekelas, selebriti, karektor adiwira, inovasi saintifik, panorama, geometri dan corak-corak. 

Betapa doodle itu adalah sesuatu yang reflektif tanpa sedar, ia disamakan seakan-akan bahasa tubuh kepada pelukisnya. Sehinggakan doodle boleh jadi bagai amarah hinggakan anda membuat lubang pada kertas, kadangkala sangat terperinci, tepat atau lukisan kebudak-budakan. Jadi jika sesebuah lukisan itu diberikan fokus dan perancangan untuk menghasilkannya, ia bukanlah doodle yang ASLI.

Manusia doodle selalunya kerana bosan akibat mesyuarat atau perbualan telefon yang panjang tanpa melakukan sesuatu. Manusia juga tertekan apabila pendapatnya tidak berpeluang untuk disuarakan, ketika itu mereka sering doodle tanpa sedar. Refleksi dengan membuat doodle sebenarnya telah melepaskan anda dari rasa bingung dan buntu dengan cara selamat.

Doodle adalah kembara minda seseorang. Ia peta dan cebisan yang menceritakan isi minda seseorang. Lebih tepat ia mengambarkan kualiti tersembunyi yang ada pada seseorang itu. Peliknya tiada siapa yang mengarahkan apa yang perlu dilakukan, namun kita semua seringkali akan doodle sesuatu yang hampir sama; bintang, matahari, bunga, ombak, yang berkaitan dengan jati diri, keperluan dan perasaan manusia. Imej-imej yang dilukis juga mempunyai hubungan dalaman dan merupakan indikasi kepada hal yang sedang dihadapi oleh orang yang melukisnya ketika itu.

Isnin, 31 Ogos 2015

MINDA PALING KREATIF TAHUN 1949

Salam kemerdekaan...

Adakah orang Melayu benar-benar ketandusan inspirasi dan idea-idea tulen sejak dari dahulu lagi atau dikongkong dan didorong kuasa asing supaya mencorakkan pemikiran melalui asas yang mereka bina? Ia satu persoalan yang sentiasa bermain dalam minda saya, lebih lagi apabila terbaca beberapa teori daripada golongan nasionalis mengenai orang Melayu malas kerana diprogramkan oleh Inggeris. Apa benar Inggeris yang bersalah menyebabkan Melayu malas walaupun kemerdekaan telah diperolehi sejak 58 tahun lalu?



Melihat keratan akhbar ini, adakah ini idea terunggul seorang negarawan pada tahun 1949? Dan kenapa reka-lukis itu yang dipilih? Umum juga perlu tahu, reka bentuk bendera tersebut perlu mendapat kelulusan Raja George VI pada 19 Mei 1950. Ada pihak marah yang marah apabila dikritik mengenai reka-lukis yang mencerminkan minda terjajah ini. Bukankah mengkritik untuk penambahbaikan itu suatu hak dalam demokrasi? 

Saya teringat suatu liputan berita mengenai Angkatan Tentera Malaysia yang berkhidmat dibawah panji-panji NATO ditembak mujahiddin di Afghanistan oleh kerana bendera Malaysia yang dijahit dijaket tentera kelihatan seperti The Stars and Stripes. Peristiwa ini berlaku (mungkin pada tahun 2010, kebanyakan enjin carian sudah tidak mengarkibkan berita ini lagi). Pihak mujahiddin memohon maaf atas kekeliriuan itu namun ia tamparan hebat buat imej negara, dan bagi pemimpin yang ada jati diri. 

Saya seorang patriotik tetapi bukan nasionalis. Menurut George Orwell:

"Nationalism is not to be confused with patriotism. By ‘patriotism’ I mean devotion to a particular place and a particular way of life, which one believes to be the best in the world but has no wish to force on other people. Patriotism is of its nature defensive, both militarily and culturally. Nationalism, on the other hand, is inseparable from the desire for power. The abiding purpose of every nationalist is to secure more power and more prestige, not for himself but for the nation or other unit in which he has chosen to sink his own individuality."

Selamat hari kemerdekaan kali 58, Ya Rabb merdekakan kami dari kemalasan, kelemahan, kedegilan dan ketumpulan akal.

Khamis, 14 Ogos 2014

SENI DINDING DOA UNTUK PALESTINE

Saya tidak pandai dalam kesenian dinding ini, malah saya benar-benar seorang beginner dalam scene wheatpaste ini. Rujukan saya kebanyakan datang dari Youtube dan motivasi saya untuk meluahkan idea ini datang dari Redrum (Penang) yang aktif mempamerkan hasil seni mereka yang bermotifkan anti-korupsi, anti-peperangan, kemanusian dan kedamaian.

Berikut adalah antara yang dapat saya dokumentasikan sepanjang proses membuat wheatepaste di dinding Faithcraft Studio, Repoh, Perlis. Sesiapa yang lalu dikawasan ini, jangan malu-malu untuk datang mengambil foto dan sebarkan rasa benci kita kepada negara Yahudi tidak sah yang sedang menindas dan membunuh rakyat Palestine serta merampas Masjidil Aqsa dari umat Islam.