Rabu, 18 Februari 2015

15 TSHIRT METAL PALING UNGGUL SEPANJANG ZAMAN

Tshirt adalah satu seragam paling unik mengambarkan jatidiri anda sebagai seorang metalhead. Di universiti, di pasar malam atau pun di hospital, takala bertemu dengan seorang remaja, doktor, pensyarah, tukang kebun atau guru, jika benar cecair logam mengalir dalam darah anda. Kita pasti bertegur sapa. Itu persaudaraan metal. Bagi yang tidak tahu. Anda tiada akan faham.

Tajuk kali ini saya pilih adalah berdasarkan pandangan peribadi bukan dipengaruhi mana-mana tulisan berprofil tinggi atau popular. Sekadar memberi pandangan kepada yang melaluinya dan berkongsi pada generasi baru yang mahu mengetahuinya. Apa yang dikatakan t-shirt metal itu seharusnya mempunyai elemen yang berpaksikan jenayah, kegelapan hinggalah kepada unsur syaitan. Imej-imej dari dunia muzik metal ini sangat menakutkan bagi golongan-golongan alim dan kumpulan-kumpulan agama yang menyifatkan kumpulan-kumpulan metal adalah penyembah syaitan. Ada sesetengah kumpulan metal yang begitu mementingkan imej dan penjenamaan hingga melebihi muzik mereka itu sendiri. Malah mereka lebih dikenali dari imej dan kerja seni visual. Pemakaian tradisional seorang metalhead boleh dirujuk dalam posting saya yang sebelum ini, yang mana tshirt satu elemen utama yang harus ada.

Saya memilih 15 tshirt ini berdasarkan kriteria berikut:

- Ia popular sebaik sahaja dikeluarkan walaupun telah diulang cetak.
- Mudah kelihatan di tempat awam (perpustakaan, pasar tani, kolej, bandar, kampung, dsb)
- Sering kelihatan di acara muzik ( gig, konsert, festival, klinik gitar, kedai muzik, rock pub)
- Sering dipakai band lain dalam promo foto (majalah dan zine, lebih utama rujukan zine UG)
- Mempunyai nilai yang tinggi, baik yang baru atau terpakai. (sering diburu dan dicetak rompak)

Memang ada beberapa tshirt lain yang begitu popular seperti BURZUM bersama foto Varg memegang belantan yang begitu ikonik, tshirt album pertama BLASPHEMY yang mempopularkan war metal, DRI dengan logo orang lidi nya, GHOST yang tiba-tiba meletup, begitu juga DISHAMMER yang meletup dengan album “Vintage Addiction” dan terus menjadi klassik, tetapi yang senarai dibawah ini menewaskan mereka dalam beberapa aspek sejarah atau kekuatan muzik itu sendiri.

15. IRON MAIDEN “Number of The Beast” (1982)
Ilustrasi oleh: Derek Riggs
Lukisan paling mengundang kontroversi dan paling jahat pernah dihasilkan oleh Riggs untuk Iron Maiden kerana memaparkan Eddie (maskot Iron Maiden) mengawal marionette setan dengan tali dijemarinya. Banyak kumpulan-kumpulan agama tampil membakar kaset Iron Maiden sebagai tanda protes. Lukisan ini sebenarnya adalah hiasan kulit asal bagi single “Purgatory” tetapi telah disimpan untuk album ke-3 mereka. Cetakan tulen tshirt ini mempunyai senarai tarikh-tarikh jelajah dunia tahun 1982-83.

14. METALLICA “Damage Inc Tour” (1986)
Ilustrasi oleh: Pushead
Ada yang mengatakan lukisan “Metal Up Your Ass” lebih popular. Mungkin benar? Tetapi ini penilaian saya dari kajian secara peribadi. Semua orang tahu, album pertama Metallica sepatutnya berjudul “Metal Up Your Ass” dengan lukisan tangan memegang pisau keluar dari mangkuk jamban oleh Stephen Gorman. Namun pengunaannya dihalang oleh syarikat rakaman mereka, membuatkan Cliff Burton melenting dan berkata “Just fucking kill ‘em all”. Ironinya syarikat Megaforce terus bersetuju dengan judul “Kill ‘em All”. Tetapi kenangan yang mengaitkan Damage Inc dengan kematian tragik bassist fenomena mereka, Cliff Burton pada 28/9/1986 di Sweden, menjadikan tshirt ini sangat-sangat diburu.


13. DISSECTION “Storm of the Light’s Bane” (1995)
Ilustrasi oleh: Kristian Wåhlin atau dikenali sebagai Necrolord
DISSECTION pernah menjadi suatu kuasa besar black metal Sweden suatu ketika dahulu dan pernah menjadi sebahagian dari pergerakan penganas muzik black metal diketuai oleh mendiang Euronymous. DISSECTION adalah diantara band yang membuktikan apa yang mereka nyanyikan dilakukan dalam dunia nyata. “Storm of the Light’s Bane” adalah album terakhir sebelum penyanyi dan gitaris mereka Jon Nödtveidt disumbatkan ke dalam penjara kerana membunuh pada tahun 1997. Suatu ketika dahulu tshirt “Storm of the Light’s Bane” dengan lukisan serampang berkaki salib songsang pada belakang sering kelihatan memenuhi gig-gig black metal serata tempat.


12. CELTIC FROST “Morbid Tales” (1984)
Ilustrasi oleh: Thomas Gabriel Fischer
Morbid Tales album sulung dari kumpulan metal lasak dari Swiss ini mempengaruhi begitu ramai artis black/death metal. Antara tshirt kegemaran otai-otai muzik yang kejam dan maha berat. Lebih hebat ia dilukis oleh Tom sendiri. Kebanyakan tshirt ini yang boleh diperolehi dari banyak distro adalah bootleg.


11. CANNIBAL CORPSE “Butchered at Birth” (1992)
Ilustrasi oleh: Vincent Locke
Antara kumpulan teknikal death metal yang paling berjaya menakutkan dunia dengan imej serta lirik mereka. Malah mereka dikecam di negara kelahiran mereka sendiri. Mereka mula menjadi perhatian apabila kumpulan-kumpulan agama dan ahli politik terkejut pada lukisan tshirt mereka yang digemari para remaja, seterusnya menjadikan Cannibal Corpse sebagai sasaran kempen mereka. Isu itu juga membuatkan album-album mereka digam di Jerman, Russia dan Australia. Namun kontroversi tersebut membuatkan album mereka diburu dan terjual jutaan unit.


10. DEATH “Leprosy” (1988)
Ilustrasi oleh: Edward Repka
Dinobatkan sebagai album paling penting dalam genre death metal, Lukisan dan muzik “Leprosy” adalah kesinambungan dari album sulung mereka “Scream Bloody Gore” (1987). Tshirt DEATH dengan ilustrasi ngeri dari Repka lebih diminati dari konsep abstrak yang dicetak selepas itu. Namun itu pilihan mendiang Chuck Schuldiner sendiri kerana berpendapat mereka bukan lagi band death metal selepas album ketiga.


9. CRADLE OF FILTH “Vestal Masturbation” (1997)
Ilustrasi oleh: tidak diketahui
CRADLE OF FILTH pernah popular dalam pergerakan black metal suatu ketika dahulu kerana memperkenalkan tema Pontianak dengan penuh gaya. Apabila mereka bertindak menghalakan muzik mereka kearah yang lebih komersil dengan memperbanyakan elemen gothic dan symphonic. Mereka mula dikecam. Seperti CANNIBAL CORPSE mereka sangat menekankan kerja visual, bezanya jika CANNIBAL mengunakan lukisan, CRADLE mengunakan foto sebenar. Tidak kira dimana sahaja, di Asia atau Barat, tshirt mereka sangat keterlaluan untuk ditonton umum. Tshirt ini memaparkan seorang biarawati melakukan onani dan pada belakang tshirt ini terpampang ayat ‘Jesus is a cunt”. Tetapi ia masih kelihatan dipakai sesekali dalam gig-gig hingga kini.



8. MORBID ANGEL “Altar of Madness” (1989)
Ilustrasi oleh: Dan Seagrave
Mengambarkan sebuah plat dari fosil memerangkap roh dan entiti purba yang jahat. Kadang-kadang jika di amati ia kelihatan seperti animasi Ghostbuster pun ada. Bagaimanapun seperti muziknya, “Altars of Madness” seperti memulakan sesuatu terma death metal yang sempurna dan agung tepat pada masanya. Robban Becirovic, dari majalah Close-Up berpendapat album ini merubah wajah muzik metal Sweden secara keseluruhan ketika ia diterbitkan. Yang mana pada penghujung 80-an Speed, Thrash dan Death Metal seperti tiada perbezaan yang jelas. “Altars of Madness” memberi suatu yang baru. Semua orang memilikinya. Seluruh empayar thrash Sweden telah dihukum dan lenyap sama sekali kerananya! Baju ini asalnya dicetak dengan perkataan “Masters of Chaos” dibelakang. Mempunyai dua versi dan masih diulang cetak hingga sekarang.


7. SEPULTURA “Beneath the Remains” (1989)
Ilustrasi oleh: Michael Whelan
Tshirt ini cantik dan ada nilai seni halus yang tidak mungkin dikaitkan dengan death/thrash metal. Jika seseorang tidak tahu kegilaan pemuzik Brazil ini, pasti mereka akan sedikit bingung dengan karya ini. Tajuk lukisan ini adalah “Nightmare in Red”, manakala album “Beneath the Remains” ini dirakam oleh Scott Burns dan diadun oleh Tom Morris. Dua nama besar dalam rakaman muzik heavy metal. SEPULTURA adalah kumpulan muzik berat paling hebat pernah wujud di Brazil.


6. DIO “Holy Diver” (1983)
Ilustrasi oleh: Randy Barrett
“Holy Diver” adalah album paling agung pernah dikerjakan oleh mendiang Ronnie bersama rakan-rakan walaupun pernah mengetuai ELF pada awal 70-an, seterusnya bersama RAINBOW dan BLACK SABBATH. Tidak dapat dinafikan ‘suara emas heavy metal’ ini tiada lagi pengantinya. Logo DIO dikatakan jika diterbalikkan akan membawa bacaan “Die” atau “Devil” manakala lukisan Holy Diver memaparkan Murray (maskot DIO) memegang rantai seperti melontarkan seorang paderi ke dalam laut. Sebuah visual yang penuh tanda tanya?

5. DARKTHRONE logo
Ilustrasi oleh: Tassilo Förg, Fenriz dan Tompa (AT THE GATES)
Tidak dapat dipastikan bila sebenarnya tshirt ini mula dicetak? Apa yang saya tahu, kali pertama ia dicetak terdapat lukisan Baphomet dibelakangnya. Kalau yang tulen mestilah keluaran Peaceville. Bagaimanapun disebabkan terlalu laris. Banyak juga edisi bootleg yang boleh dibeli dengan kualiti setanding yang tulen. Tetapi Darkthrone langsung tak kisah.

 
4. SODOM “Agent Orange” (1989)
Ilustrasi oleh: Andreas Marschall
Saya berpendapat hampir setiap orang yang pernah menjadi atau masih thrasher pasti memiliki tshirt ini. Album yang menyaksikan SODOM akhirnya berjaya menembus pasaran komersil setelah beralih dari muzik black metal atas saranan gitaris Frank Blackfire. Tshirt ini boleh dikatakan pelengkap kepada seragam thrash metal dengan haluan militan. Lukisan yang diinspirasikan oleh pengunaan Agent Orange di perang Vietnam. Pada bahagian belakang tshirt ini dicetak asap berbentuk tengkorak yang dikeluarkan oleh pesawat AC-47. “Agent Orange” turut dicetak pada tshirt hitam dan celoreng. Tetapi yang paling popular berwarna putih.


3. BATHORY “Bathory” (1984)
Ilustrasi oleh: Joseph A. Smith
Gambar kepala kambing itu, Ace Spunky Black dan Quorthon sunting dari kulit buku berjudul Witches (1981) ada asalnya lukisan ini mahu dicetak dengan warna emas pada kulit album tetapi disebabkan budget yang kecil, Quorthon meminda ke warna kuning. Quorthon tidak menyukai warna kuning tersebut, namun 1000 cetakan pertama itu laris dalam masa dua minggu dan popular sebagai “Gula Geten” (Kambing Kuning). Cetakan pertama album tersebut sangat sangat diburu oleh peminat. Bagi cetakan seterusnya, Quorthon memilih untuk hitam putih sahaja. Jadi tidak hairanlah jika tshirt ini ada kambing versi kuning dan putih. Bagi yang tidak tahu album ini mulanya mahu dinamakan “Pentagrammaton” dan dirakamkan Heavenshore Studio (sebenarnya hanya sebuah garaj) mengunakan perakam analog 8 channel. Album terpenting kepada genre black metal ini mempengaruhi ribuan kumpulan metal seluruh dunia. Lawaknya, Quorthon menyatakan dia tidak pernah dengar muzik VENOM ketika proses menulis dan merakamkan album ini. Namun pemain dram mereka mengakui BATHORY terpengaruh dengan keganasan muzik VENOM. Apa pun tahta muzik hitam di Sweden tetap dikuasai BATHORY walaupun mendiang Quarthron telah lama terbang ke Valhalla.


2. MOTÖRHEAD “England” (1977)
Ilustrasi oleh: Joe Petagno
Siapa tak kenal logo ‘babi perang’ yang berstatus klasik ini mungkin tidak tahu menahu langsung apa yang dikatakan punk atau rock & roll atau permulaan thrash metal? Nama MOTÖRHEAD ini sebenarnya merujuk kepada penguna dadah Amphetamin. Cetakan terkini bertulis ‘Everything Louder Than Everything Else”. Kini MOTÖRHEAD mampu menjual album mereka hingga 15 juta unit seluruh dunia. Jadi, pasti banyak versi bootleg tshirt ini bersepah-sepah.


1. VENOM “Black Metal” (1982)
Ilustrasi oleh: Conrad “Cronos” Lant
Lars Ulrich ada tshirt ini. Varg Vikerness ada tshirt ini. Dani Filth ada tshirt ini. Mirai ada tshirt ini. Nergal ada tshirt ini. Dave Grohl ada. Wan As Sahar ada. Apa mau tanya lagi? Tshirt tulen VENOM diberi hak cetakan kepada Razamataz dan versi bootleg nya boleh didapati serta dunia dengan mudah namun tetap kekal nilai anti komersilnya. VENOM menghentam dunia muzik perdana melalui album ini hingga memberi syaitan satu imej baru. Iaitu…. Menjelma sebagai ‘bintang rock’! VENOM memulakan segalanya yang dilakukan dengan lebih ekstrim oleh pemuzik di Florida, di Brazil, di Sweden dan di Norway. Seorang metalhead memakai tshirt VENOM umpama mereka memberi penghormatan kepada raja kepada segala raja muzik black metal.

Sabtu, 14 Februari 2015

MENJEJAKI KESULTANAN SINGGORA (SONGKHLA)


Walaupun ini adalah kali ke-3 saya ke Songkhla, belum pernah terlintas untuk saya menjejaki sejarahnya. Jadi saya luangkan masa cuti kali ini dengan perkara yang berfaedah dan memilih untuk menjejaki salah satu Tamadun Islam yang dimusnahkan, iaitu Singgora atau dalam makna bahasa Melayu ‘Kota Singa’.

Jarak dari bandar Kangar ke Songkhla kira-kira 117 KM, setelah mengisi petrol sebanyak RM100 saya bergerak ke Padang Besar pada jam 3.30 petang. Setelah selesai urusan dokumen perjalanan dan pengishytiharan saya menukar wang di pekan Padang Besar sebelah Thailand. Kegawatan ekonomi Malaysia nampaknya semakin meruncing namun media pro kerajaan langsung tidak menghebahkan hal sebenarnya. Hari ini ringgit jatuh lagi, 88 bath bersama RM1. Jika dinilai kuasa beli rakyat Thai. Kita jauh ketinggalan. Bagi memudahkan anda faham, anda masih mampu membeli air tin berkarbonat di 7 Eleven Thai dengan harga 10 bath. Di Malaysia ada lagi air tin RM1? Saya hanya membawa 2200 baht.

Seterusnya saya isi semula kredit pasca bayar talian AIS untuk navigasi Wave, walaupun serik mengunakan aplikasi ini ketika ke Krabi tempoh hari, saya siap sedia juga untuk kemudahan komunikasi dan kecemasan.

Tanpa sebarang masalah saya terus memandu ke bandar Hatyai. Saya telah maklumkan kepada pengerak-pengerak muzik UG di sana bahawa saya akan mahu riadah dan santai di Greenway Market malam ini. Pusat kegiatan punk/metal di Hatyai.

Sebaik singgah di masjid untuk solat bersebelahan President Hotel, saya terus masuk menginap di situ. Lagipun seorang sahabat lama, Nurul @ Kedom dari Northern Fitness Team pernah cadangkan saya hotel tersebut. Lokasinya memang strategik, berhampiran kawasan bazaar yang menjual assesori wanita secara pukal serta  bersebelahan dengan warung masakan halal kegemaran saya. President Hotel digemari oleh orang-orang Malaysia, hanya 700 baht semalam dengan kondisisi setanding Hotel Seri Malaysia dan mesra pelanggan. Harus saya beritahu, pada sebelah malamnya akan ada bapak ayam menunggu di lobi untuk menjual khidmat seks tanpa selindung. Bagi yang tidak biasa dengan hal ini, usah melenting. Ia kegiatan lazim di semua hotel dalam bandar Hatyai yang dipenuhi pelancong luar. 



Setelah mandi dan rehat sebentar. Saya ke warung kaki lima yang terletak pada kiri bahu jalan keluar dari President Hotel. Masakan Thai di sini hanya terhad kepada daging dan ayam bakar, tom yam, som tam, lap ayam, lap ikan, lap daging, sayur-sayuran, minuman pula hanya Coca-Cola dan air kosong. Tetapi sentiasa dipenuhi pelanggan. Jika anda kurang bernasib baik. Terpaksalah anda menunggu giliran untuk duduk makan. Seterusnya saya ke pasar terapung di Klong Hae, saya ada menulis mengenai pasar terapung ini dalam siri kembara ke Selatan Thai yang lalu. (boleh rujuk sini). Walaupun telah sering datang ke sini, tarikan pada makanan-makanan halal exotik dalam perahu ini membuatkan saya tidak jemu kerana ada sahaja makanan baru. Kali ini saya mencuba kerabu betik goreng. Anda patut mencubanya! Sebagai peringatan. Kawasan ini diawasi oleh CCTV.


Kira-kira jam 9.30 malam saya bergerak ke Greenway Market. Dan terkejut rupanya mereka sedang menerima kedatangan band punk rock dari Jerman, SPEICHELBROISS atau dalam Inggerisnya Spicyboyss. Sebuah parti dianjurkan pada malam itu. (Saya muatkan kisah satu malam bersama Speichelbroiss ini di blog Faithcraft) Kita teruskan ke esok harinya ya.....

Pulang malam itu sekitar 3.30 pagi atau 2.30 pagi waktu tempatan membuatkan saya agak liat untuk bangun pagi walaupun jam 6.00 pagi dah macam 8.00 pagi di Hatyai. Cadangnya untuk berfoto di roundabout berhadapan hotel yang dihiasi replika kambing-kambing sempena Tahun Baru Cina tidak kesampaian kerana lalulintas dah sibuk.

Kira-kira jam 9.30 saya keluar dari hotel dengan sarapan air mineral percuma yang diberi dalam peti ais bilik hotel dan sisa secawan white coffee yang saya beli di 7 Eleven bersama Speichelbroiss semalam. Dan lokasi pertama adalah Zoo Songkhla yang terletak kira-kira 21 KM dari President Hotel. Saya pernah ke sini dalam jelajah Ocean to Ocean Ride 2014 yang dianjurkan bersama Peketum rider. (baca sini). Zoo merupakan satu tempat rekreasi wajib jika anda merupakan pecinta haiwan dan alam. Lebih lagi zoo ini dibina diatas bukit yang luas dan jika anda kurang stamina untuk hiking ke setiap kadang haiwan. Anda boleh memandu terus ke setiap lokasi. Jika saya. Saya lebih gemar hiking dan seterusnya menikmati udara segar dipuncak. Rusa jinak dibiar bebas untuk anda bermesra. Peta diberikan percuma. Pertunjukan aksi haiwan percuma di auditorium. 


Seterusnya saya ke Pulau Yo, atau dikenali sebagai Ko Yo ( bukan pulau di lautan sebaliknya di teluk yang sebuah jambatan menghubungkannya, terdapat sebuah muzium kebudayaan di situ) mengunakan jalan ke Singha Nakhon. Disinilah tamadun Singgora bermula. Terdapat 14 kota perlabuhan bersejarah namun hanya 6 masih elok dan boleh di jejaki di kaki gunung Khao Daeng kerana yang lain musnah dalam peperangan. Dicatatkan perlabuhan ini mampu memunggah 80 kapal barang dalam suatu masa di zaman kegemilangannya. Dari sini dagangan turut dibawa melalui laluan sungai hingga ke Kedah. Jeremias van Vliet, Kapitan Belanda dari East India Company yang bertugas di Ayuthaya mengambarkan Singgora sebagai salah satu bandar utama Siam dan pengekspot terbesar lada hitam. John Baptista Tavernier, saudagar permata dari Perancis pula menulis Singgora sebagai kawasan yang kaya dengan bijih timah. Manuskip Cottonian lama di Perpustakaan British menegaskan bahawa polisi kerajaan Singgora yang membenarkan pihak luar membina gudang dan bebas cukai membuatkan ia terkenal serta mesra pedagang.

Kawasan yang di panggil Tasik Singgora ini mempunyai pemandangan yang cantik mengadap Pulau Tikus. Masjid Sultan Sulaiman Shah juga terletak berdekatan kota perlabuhan ke-8. Melewati kota perlabuhan ke-4 dan ke-5, jika anda mampu mendaki hingga ke puncak gunung, terdapat 2 buah pagoda yang dibina pada tahun 1830 sebagai mercu tumbangnya Kerajaan Melayu Kedah.

Bagaimana Kesultanan Singgora wujud? Pada tahun 1600-an rombongan ulama Parsi yang diketuai oleh Dato Mogol telah membuka sebuah wilayah di selatan Thailand dengan nama Singgora atau kini ditukar kepada Songkhla. British dan Belanda memanggilnya dengan nama Bandar Sangora, manakala pegawai tentera Jepun memanggilnya Shinichu. Seperti juga Nagara Kedah, Kesultanan Singgora dituntut membayar ufti atau bunga emas kepada kerajaan Ayutthaya.

Apabila Dato Mogol wafat pada 1620, putera sulungnya Sulaiman Shah mengambil tapuk pemerintahan dan berjaya membangunkan Singgora dengan begitu pesat. Kemajuan dan kekayaan Singgora membuatkan kerajaan sekitarnya dan pihak asing mula iri hati dan ingin menakluknya. Sejarah, fakta, jurnal, surat-surat, laporan mengenai kerajaan Singgora sangat banyak ditulis oleh cendiakawan British dan pedagang Belanda, dan juga banyak tersimpan di akrib Perancis. Adakalanya mempercayai apa yang mereka tulis bulat-bulat dan tidak membahaskan kandungan adalah SALAH. Ini kerana terdapat bukti menunjukkan mereka lah juga batu api dan terlibat sama dalam konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan Islam Singgora dengan membantu Siam melancarkan serangan dari dalam kota Singgora dengan menyamar sebagai pedagang.

Pergolakan Singgora ‘dikatakan’ bermula apabila Permaisuri Pattani menabalkan pemerintah Siam yang baru bergelar Raja Prasat Thong, seorang yang kejam dan perampas tahta. Dicoretkan juga oleh British bahawa Permaisuri Pattani memerintah tenteranya menyerang Ligor dan Phattalung namun Ayutthaya telah menghalang kemaraan mereka dengan menghantar 60 000 orang tentera. Singgora terkena tempiasnya dan menghantar utusan meminta bantuan kerajaan Ayutthaya namun tidak dilayan. Belanda mencatatkan Singgora mengalami kemusnahan teruk dan dagangan lada hitam mereka turut lumpuh oleh kerana serangan tentera Pattani.

Pada Disember 1641, dari mulut Belanda juga, tercetuslah revolusi pertama gerakan untuk merdeka dari Ayutthaya setelah Singgora tidak mendapat pembelaan oleh kerajaan itu. Mungkin cuba melaga-lagakan atau perkara benar, Jeremias van Vliet yang dalam pelayaran dari Ayutthaya ke Batavia dan singgah di Singgora melaporkan Sulaiman Shah tidak menyenangi surat rekomendasi pegawai hubungan luar Siam, Phra Klang yang dipanggil Belanda sebagai ‘Berckelangh’ dan menolak untuk membayar bunga emas kepada Ayutthaya.

On the 3rd of February the delegate van Vlieth landed at Sangora and was received by the governor, who was angry at the Berckelangh's letter, saying that his country was open to the Netherlanders without Siamese introduction and that the letter had not been necessary. This and other haughty acts displeased the Hon. van Vlieth. —Dutch Papers: Extracts from the "Dagh Register" 1624–1642.[14]

Pada 1641 juga kerajaan Singgora menabalkan Sulaiman Shah sebagai Sultan dan bergerak sendiri sebagai sebuah negara merdeka. Sultan Sulaiman Shah memodenkan segala prasarana, membina kubu dan mengikat hubungan perniagaan dengan Belanda, Portugis, Greek dan orang Cina. Sultan Sulaiman Shah melantik adiknya Farisi mengetuai pertahanan darat yang berpusat di Phattalung. Ayutthaya melancarkan 3 serangan laut ke atas Singgora yang semuanya gagal, malah Laksamana mereka melarikan diri.

Sultan Sulaiman Shah wafat pada 1668 dan tahtanya diwarisi oleh puteranya Mustafa. Dalam Hikayat Pattani, Sultan Sulaiman Shah diriwayatkan sebagai raja Islam yang mati berperang. Dicatatkan pula oleh Belanda kerajaan Pattani menyerang Singgora di zaman pemerintahan Mustafa. Walaupun tentera Singgora berjumlah kecil, Sultan Mustafa enggan menerima pertolongan dari Kerajaan Melayu Kedah. Baginda lebih percayakan tentera-tenteranya sendiri dan meriam-meriam hebat ciptaan jurutera tempatan yang sangat digeruni oleh Siam.

Pada 1679 Kesultanan Singgora yang tersepit telah menyiapkan persiapan perang untuk kali yang terakhir. Dan pada 1680 Ayutthaya telah melancarkan armada-armada perang paling hebat. Seperti yang didokumenkan oleh mubaligh-mubaligh Perancis yang berdakwah di Ayutthaya. Raja Siam mengarahkan Singgora dimusnahkan "de fond en comble" yang membawa maksud “dari puncak hingga ke bawah”. Setelah diserang selama 6 bulan, Singgora musnah sepenuhnya manakala rakyatnya melarikan diri, ia bagai padang jarak padang terkukur.

This King has fortified his City, gunned his Forts upon the hills, making all the provision he can for his defence, not knowing how soon the King of Siam will oppose him. —Samuel Potts, Samuel Potts at Sangora to Richard Burnaby at Siam, 22 January 1679.[23]


Berikutan tumpasnya kerajaan Singgora, tentera Siam membawa pulang meriam-meriam Singgora sebagai trofi. Meriam tersebut dipamerkan di Ayutthaya sehingga Burma berjaya menakluk Siam dalam peperangan (1765-1767) dan dibawa pulang ke Burma. Seterusnya apabila Burma pula tewas selepas peperangan Anglo-Burma ke-3 (1885-1887) kepada British. Meriam itu dibawa belayar ke England. Pada 1887, meriam itu dihadiahkan kepada Royal Hospital Chelsea di London dan dipamerkan diruang tiang bendera kebangsaan. Meriam berkenaan boleh dilihat hingga kini dan menjadi saksi utama kegemilangan kerajaan Singgora suatu ketika dahulu. Dengan perkataan jawi diukir nama penciptanya Tun Juma'at Abu Mandus of Singora dan terpahat lambang kerajaan yang bertulis “ Mohor Sultan Sulaiman Shah, Raja yang masyhur”.

Makam Sultan Sulaiman Shah
Makam lain di kawasan yang sama
Makam Sultan Sulaiman Shah terletak di tanah perkuburan Islam 1KM utara Khao Daeng. Makam baginda mempunyai binaan berbumbung dengan ciri Thai, manakala batu nisan makam ayahnya mirip nisan Merong Mahawangsa. Makam beliau diziarahi oleh masyarakat Muslim dan Buddha hingga kini. Oleh kerana penghormatan yang tinggi pada baginda sering kali upacara khurafat turun berlaku di makamnya.

Bersebelahan makam baginda terdapat tanah perkuburan Belanda yang dinamakan Vilanda Graveyard. Namun ia tidak boleh dilawati tanpa kebenaran disebabkan lokasinya yang terletak dalam Kompleks Petrolium PTT.

Tidak sah jika ke Singgora, anda tidak singgah di Pantai Bismillah. Mana tu? Tak pernah dengar? Untuk pengetahuan anda, apabila kerajaan Singgora tumpas dan bandar Songkhla dibina semua dari sisa perang berbagai-bagai perubahan dilakukan oleh pemerintah Thai bagi mengurangkan pengaruh Islam di bumi Singgora.


Pantai Bismillah telah ditukar kepada Samila Beach. Arca dan patung-patung serta kesenian Buddha dibawa masuk sebagai monumen atau kebudayaan setempat. Patung paling popular adalah ikan duyung dan Naga. Pantai yang mengadap Laut China Selatan ini menjadi pusat kegiatan rekreasi dan perniagaan bagi masyarakat setempat. Disini juga terdapat gerbang kecil yang memuatkan sebuah plat tembaga menceritakan sejarah pembukaan Kota Singa dan ditadbir dengan jayanya oleh ulama Islam.

Kira-kira jam 3.00 petang saya bertolak semula ke Padang Besar. Cuaca panas dan tanpa menjamah sebarang makanan membuatkan saya agak letih dan mengantuk untuk memandu. Seterusnya saya singgah di 7 Eleven untuk makan mee segera dan burger daging halal dengan sos lada hitam. Pilihan kegemaran saya.

Seterusnya saya sampai dirumah kira-kira jam 7.00 malam. Petrol di kereta menunjukkan masih berbaki 1/4. Conggakkan perbelanjaan:

Petrol: RM75 (RON 97)
Insuran Kereta Thai: RM18
Tip immigresin Thai (pergi-balik): RM2
Hotel: RM70
Makan malam: RM20 (daging & ayam bakar, tomyam)
Tiket Zoo: RM35
Makanan ringan & kopi: RM15
JUMLAH KESELURUHAN: RM235


Tambahan:
Ada 2 pengajaran saya dapat dari kembara ini;
1. Jika ingin melumpuhkan pengaruh sesuatu kawasan Islam, ganggu akidah akar umbinya. Gugat tauhid nya. Bina tugu, bina berhala agar umat setempat terbiasa dan senang dengan penyembahan objek dan makhluk.
 
2. Cegah bida'ah dan khurafat bila kuasa berada di tangan kita. Jangan lalai dan ambil mudah. Sedih bila melihat makam-makam sultan dan kubur-kubur ulama yang soleh dijadikan kawasan pemujaan oleh orang-orang bukan Islam dengan hanya mampu diperhatikan oleh kaum muslimin serta tidak terdaya untuk menghalangnya, bahkan sudah menerima upacara khurafat sebagai keadaan biasa. Ini kerana keupayaan melaksanakan tuntutan agama telah hilang dan disekat. Jangan sampai kita jadi begitu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...